Tuesday, January 24, 2012

Kita Mudah Lupa Diri Bila Kita Di Atas...

Kita sentiasa mendoakan kepada Allah supaya menetapkan diri kita di jalanNya, sentiasa istiqamah dengan amal yang ada walaupun sedikit, dan mengambil tauladan dengan ibrah yang ditunjukkan. Tetapi kadang-kadang ujian datang juga...

Aku pernah ada kawan yang sentiasa komplain, katanya boss Tyson tidak pernah ingin mendengar cakapnya, pembantu boss Hashim langsung tidak mendengar pendapatnya.


Itulah zikir hariannya apabila bertemu denganku. Kadang-kadang terasa kesian kepadanya... kenapa begitu sekali perangai pentadbir? Tidak boleh mendengar dan menerima cadangan orang bawahan...

Sekarang masa berubah... Orang yang selalu komplain suaranya tidak didengari telah diberi peluang menjadi pentadbir.


Alangkah terperanjatnya aku! Manusia ini yang dahulunya ingin suaranya didengari, sekarang ini menutup cadangan-cadangan atau tidak mahu orang bawahannya bersuara. Dia mengutuskan melalui Ketua Jabatan (KJ) supaya aku tidak lagi menulis tentang penambahbaikan.

Itulah kehidupan manusia... semasa dia di bawah, dia sentiasa muhasabah tentang orang di atas. Apabila dia pula di atas, dia sudah lupa bahawa dia pernah berada di bawah dan pernah merasa tidak berpuashati dengan orang di atas yang kurang membuka ruang untuk ditegur.


Dengan kata lain, dia tidak suka pandangan dan cadangan yang bertentangan dengan kehendaknya.

Ya Allah, Engkau jauhilah daku dari mempunyai sifat-sifat tersebut. Jika Engkau memberiku ruang dan peluang untuk berada di atas, Engkau jagailah hatiku supaya sentiasa bersamaMu, dan istiqamah di jalanMu.

Wednesday, January 18, 2012

Masjid Dipenuhi Dengan Orang Tua...

"We don't have so many big mosques back home in Yemen but we have so many mosques of a moderate sizes. More than here..." jelas 'Ammar. Ammar dulu merupakan pelajar di peringkat PhD di UTM dan sekarang telah dilantik menjadi staf setelah beliau tamat pengajian PhD dengan jayanya.

"When the azan was called, we don't know from which mosques that the azan's coming from", tambah Ammar lagi. Aku mengambil peluang untuk bertanya tentang negaranya sebelum bilal membuat iqamah solat zohor di MSI.

"Back home, we don't have surau like Surau At-Taqwa at Taman Pulai Utama. All are called mosques", jelas Ammar.


"In Surau at-Taqwa, I've noticed that only old people come to pray... Not many youngsters", celah Ammar lagi.

"In Yemen, it used to be like that 20 years ago, only old people come to the mosques, but now, so many younger generations filled up the mosques. It's a good sign!", sambungnya.

Kesedaran tentang agama amat penting untuk pembangunan sesebuah negara. Negara tidak akan maju sekiranya masyarakat jahil dalam agama. Kita perlu mempunyai pemimpin yang amanah, adil, bersih dari gejaja rasuah, bertanggungjawab, bersederhana, dan mendahulukan rakyat dalam erti kata sebenar!


"I like working here at UTM... a lot of research! Back home at our university, only teaching and no research", jelas Ammar.

"We have like 7 public universities in Yemen which is named after the town itself like Sana'a University, and many private universities. All universities are based on teaching, and not so much on research like here in Malaysia", tambah Ammar lagi.

"How many papers have you written or published?", tanyaku seperti menguji kegilaannya yang suka membuat 'research'.


"About 23, all together..."

Dalam hati aku berkata, "Memang patut si mamat ni gila buat 'research'!!!

"Allahu Akbar, Allahu Akbar,
Ashhadualla ila ha illallah, wa ash hadu anna Muhammadurasu lullah...
Hayya 'alassolah Hayya'alal falah...
.......

Selesai bilal membaca iqamah, kamipun bangkit untuk menunaikan solat Zohor!

Thursday, January 12, 2012

Suasana Sunyi Sepi...

Suasana sunyi sepi... Kadang-kadang berbunyi meja atau kerusi berkriuk-kriuk kerana mereka memadam tulisan di atas kertas jawapan. Bunyi kriuk terhasil, dek kerana tiada minyak disapu.

Banyak peralatan universiti yang baru tetapi rosak kerana tiada penyelenggaraan dibuat. Sayang seribu kali sayang...

Kalaulah kita nampak, bahawa hasil duit bayaran cukai pendapatan kita dengan sewenang-wenangnya melayang dibelanjakan sesuka hati mereka dan tidak dijaga... Apa perasaan kita?

Mungkin kita marah dan tidak rela duit kita diperlakukan sedemikian.

Mereka masing-masing memerah ingatan dan cuba yang terbaik untuk menjawab soalan peperiksaan akhir, Proses Pembangunan Tanah. 43 orang pelajar kesemuanya! 42 rakyat Malaysia dan seorang rakyat Djibouti.

Dulu tiada 'foreigner' yang mengambil 'undergraduate course' di IPTA. Kita lebih mementingkan rakyat negara kita mendapat ilmu di peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Jutaan ringgit dibelanjakan untuk mewujudkan satu IPTA yang lengkap. Dan sudah pasti kita ingin melihat rakyat kita yang menikmati kemudahan pembelajaran yang sempurna.

Itu dulu... Sekarang lain...

Minda kena berubah atau bahasa sekarang kita panggil transformasi...

Kita kena membuka ruang seluas-luasnya untuk rakyat asing belajar di negara kita. Tak cukup pelajar 'post-graduate', kita buka pula untuk 'undergraduate'. Barulah universiti kita menjadi tersohor dan ternama!


Berduyun-duyun mereka datang merebut peluang belajar di sini dengan bayaran yang sedikit. Kalau mereka tak ada duit, kita beri kemudahan biasiswa. Janji bilangan mereka ramai memasuki universiti kita.

Bagaimana peluang anak-anak kita yang ramai mendapat 9, 10, dan 11 A dalam SPM? Usah bicara itu semua, kan politeknik, maktab perguruan, IPTA yang baru-baru ada... Biar mereka yang uruskan. Kita tak larat kalau semua hendak difikirkan!

Pensyarah bagaimana? Kita import pensyarah internasional, apa susahnya?

Pelaburan untuk mewujudkan IPTA sudah banyak habis. Dan nikmatnya dirasai bersama oleh rakyat seluruh alam.

Sekarang kita ingin memberi peluang kepada pengajar pula datang mengajar di negara kita. Segala kemudahan kita berikan. Anak mereka ingin belajar di internasional school? Kita bayar sepenuhnya! Yang penting mereka datang mengajar di negara kita dan anak isteri mereka gembira buat selama-lamanya.

Itulah Malaysia, negaraku!

Aku berharap 43 orang pelajarku ini dapat menjawab soalan dengan baik. Dari 43 orang tersebut, jika mereka menjawab soalan peperiksaan dengan baik, hanya seorang yang tidak mungkin mendapat gred A. Ini disebabkan 'carry mark'nya rendah. Semua yang lain-lain mendapat 'carry mark' melebihi 40 dari 50 markah.

Apa yang penting bagiku ialah mereka mengetahui dan memahami prosidur menjalankan pembangunan tanah, dari awal hingga akhir. Sekiranya ini tercapai maka objektif pengajaran dan pembelajaran bagi kursus proses pembangunan tanah boleh dikatakan memenuhi kehendak dan keperluan silibus dan kepentingan 'stakeholders'.

Good luck guys!

Wednesday, January 11, 2012

Kita Ni Hamba...

Semua apa yang kita rasa adalah berunsurkan perasaan. Sedih, suka, takut, marah, sesal, puas, dan berbagai-bagai lagi adalah natijah dari perasaan kita.

Saya merasa suka dan seronok apabila kadet-kadet menegur saya. "Assalamu'alaikum tuan!" Kita terasa bahawa kewujudan kita sebagai pegawai di PALAPES dipeduli.


Begitu juga apabila bekas-bekas pelajar yang pernah kita bantu dan kita ajar menyapa kita, baik secara 'live' mahupun secara maya. Sedikit perasaan seronok muncul, membuatkan kita merasa sedikit dihargai.

Perasaan takut telah Allah gambarkan di dalam Al-Quran; "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali) (al-Baqarah; 155-156).


Di kala kita sedih dan takut, Allah tidak membiarkan kita bersendirian, malah Allah menyuruh kita mengingati dan memohon pertolongan dariNya.

"Maka ingatlah kepadaKu, Akupun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar" (al-Baqarah; 152-153).

Nah, kita telah mengetahui bahawa Allah sentiasa bersama kita... Di kala senang, susah, aman, tenteram, kacau bilau, dan sebagainya.

Mengapa kita masih mengharapkan pertolongan dari yang lain?

Dan yang terpenting sekali apabila kita telah beriman dan mengaku bahawa Islam adalah agamaku dan Muhammad SAW adalah pesuruh Allah, maka kita akan diuji. Tiada insan yang tidak diuji malah semuanya akan diuji. Mudah-mudahan dengan ujian itu akan memantapkan lagi iman yang kita dokongi.


"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta" (al-'Ankabut; 2-3).

Kita sentiasa mendoakan supaya Allah memelihara diri kita dari terjerumus ke lembah yang hina. Mudah-mudahan doa kita diterima!

Monday, January 9, 2012

Demi Persahabatan...

Kewujudan Pusat STAM IKRAM telah dicanang di sekolah beberapa minggu yang lepas, rasanya di saat-saat akhir peperiksaan SPM. Pusat STAM IKRAM mula beroperasi tahun ini di Taman Damai Mewah, Kajang, Selangor.

Tanpa menanya diriku, abang sudah mengisi borang pendaftaran untuk kemasukan ke sana bersama kawan-kawannya Abdul Muhaimin, Zahin, 'Asim, dan lain-lain.

Aku pula masih mencari-cari maklumat tentang pilihan terbaik untuknya. Impiannya ialah untuk belajar di Universiti Madinah dalam bidang syariah.

Beberapa orang sahabat yang aku tanya, menyatakan untuk ke Universiti Madinah tidak perlu kepada STAM. STAM 'is essential if you wanna go to Mesir', seperti ke Universiti Al-Azhar, dan sebagainya! Sebaliknya, STAM adalah 'advantage' sekiranya anak-anak ingin membuat syariah di universiti tempatan seperti di UM, UKM, USIM, dan lain-lain. STAM dikira setara dengan STPM.

Kita sebagai seorang ayah sudah pasti ingin memenuhi hasrat si anak setakat yang mampu dengan sebaik yang mungkin. Ada ayah yang berkorban menghantar anak ke Mesir untuk mempelajari bahasa arab sementara keputusan SPM keluar.

Tidak ketinggalan juga sebagai ayah, kita ingin melengkapkan anak kita dengan kemahiran yang lain. Antaranya ialah mempelajari kaedah memandu dan seterusnya mendapat lesen memandu.

Dua minggu lepas, anakanda Wan Abdul Rahman (abang) telah mendaftar untuk belajar memandu. Setelah menduduki syarahan selama beberapa jam dan menduduki ujian bertulis, dia telah lulus. Untuk proses tersebut RM200 telah dibelanjakan.

Ini belum lagi menjalani pembelajaran memandu kereta...

Pada jumaat lepas sehingga ahad (semalam), beliau telah bersama-sama dengan kawan-kawannya yang lain berprogram di Ledang. Program ini adalah sebahagian dari program pasca SPM untuk anak-anak Hidayah.

Program pasca SPM telah dianjurkan, kalau tidak silap saya, sejak tahun 2004. Bermacam-macam nama diberikan; R2A (Road to Acheh), R2J (Road to Jawa), R2S (Road to Sarawak) dan bermacam-macam lagi. Kak Long dan Kak Ngah telah ke Jawa dulu untuk program pasca SPM mereka.

Program pasca SPM dirancang oleh Prof Dr Aizaini, PM Dr Kahar, dan ajknya demi untuk menambah nilai positif kepada setiap anak-anak Hidayah. Anak-anak dilatih untuk merancang, memimpin, membantu, dan menggerakkan aktiviti. Aktiviti-aktiviti pula terdiri dari pelbagai pengisian. Ada aktiviti yang menambahkan konfiden untuk berucap, ada aktiviti yang membantu orang-orang susah dan miskin, ada aktiviti yang menambahkan kemahiran diri dan personaliti, dan bermacam-macam lagi.

Cuma abang tidak dapat mengambil bahagian lagi dalam program pasca SPM ini... kerana beliau telah mendaftar di Pusat STAM IKRAM, jam 9.30 pagi tadi.


Bas untuk program pasca SPM dari Ledang sepatutnya sampai ke Skudai pada pukul 4 petang semalam. Tetapi bas rosak. Bas ganti dihantar untuk mengambil mereka dan selamat tiba di Pejabat IKRAM Johor, pukul 7.30 malam.

Semasa abang berprogram di Ledang, aku bersama ibunya dan Kak Ngah bermesyuarat untuk membuat keputusan samaada abang elok dihantar ke STAM atau tidak? Kami membuat keputusan abang akan ke STAM! Lagipun abang juga yang telah mendaftarkan dirinya untuk ke STAM dulu.

Aku menelefon Hj Hatta untuk mengirim beg besar abang ke Pusat STAM IKRAM. Malangnya, Hj Hatta telah bertolak lebih awal bersama anaknya 'Asim, dan Ziayadi. Aku menelefon pula Hj Tahir kerana beliau juga akan menghantar anaknya Zahin ke sana.

Alhamdulillah, Hj Tahir bergerak hampir tengahari semalam, so, sempatlah umminya dan Kak Ngah mengisi kain baju keperluan abang ke dalam beg besar.

Setelah abang sampai dari Ledang, aku terus membawanya ke stesyen bas di Sri Putri untuk membeli tiket ke Kajang. Hj Tahir telah berpesan supaya abang turun di Kajang, dan beliau akan mengambilnya nanti.

Setibanya di Sri Putri, aku diberitahu "Bas untuk ke Kajang hanya ada 2 kali sahaja iaitu pukul 10.30 pagi dan 4.30 petang'. Bas-bas yang lain, hanya akan berhenti di Hentian Serdang.

Aku membeli tiket yang ada iaitu untuk pukul 12.30 pagi ke Hentian Serdang. Dimaklumkan oleh penjual tiket bahawa bas syarikat Eagle akan membawa anakku nanti.

Pukul 12.25 pagi, isteriku bersama Kak Ngah, abang, dan Asmaa telah berada di stesyen bas Sri Putri. Dan yang paling aku terharu ialah Abdul Muhaimin dan kawannya juga turut berada di situ untuk mengucapkan selamat jalan kepada abang.

Apabila bas Eagle tiba dan nombor platnya sama seperti yang dimaklumkan, maka abangpun naik tetapi tiada tempat duduk. 'Seat bus' ini terlebih jual sebanyak 2 'seats'. Si penjual tiket berjanji akan mencari bas lain sebagai ganti. Kitapun agak cuak untuk menunggu bas yang belum pasti di waktu pukul 1 pagi.

Akhirnya, abang dan seorang pemuda india dapat juga ke KL dengan menaiki bas Maju!

Saturday, January 7, 2012

Kita Kurang Cakna Tentang Nama Orang

Hakikatnya, kita kurang cakna tentang banyak benda... Kita tidak kisah, betul ke salah ejaan namanya. Setengah orang kata pula, apa ada pada nama? Islam pula menyuruh kita untuk memberikan nama kepada anak-anak dengan nama yang baik-baik.

Apapun, saya bukan ingin bercakap tentang nama tetapi saya ingin menyuarakan pandangan bahawa kita endah tak endah dengan EJAAN nama orang. Kita main taruk aje, janji tuan punya badan tak komplain.

Saya pernah belajar di luar negara dan setakat yang saya ingat tidak pernah sekalipun, nama saya di'salah eja'kan!


Ketepatan ejaan nama itu penting apabila ia ditulis pada surat-surat penting seperti surat berhenti sekolah, sijil-sijil tamat sekolah, dan lain-lain lagi. Jika ia tertulis pada buku rekod ujian bulanan, dan lain-lain yang tidak begitu penting, kita bukan kisahpun. Sebenarnya kita kisah... tapi biar ajelah, kan manusia tak pernah lepas dari kesalahan dan kecuaian? Itulah 'excuse' yang kita beri... tetapi mat salleh yang kafir itu, tak pula dia buat silap tersalah eja nama kita...

Saya sudah 8 orang belajar di sekolah ini. Tinggal seorang lagi yang belum masuk sekolah. Tiga orang dah tamat belajar.


Kelmarin, apabila balik dari pejabat dan saya melihat sekeping sijil bertajuk 'Rumusan Penilaian Aktiviti Kokurikulum' anak saya yang baru tamat Tingkatan 5.

Komen saya pada isteri, nama saya yang terdapat pada sijil anak-anak jarang yang betul. Sejak anak pertama saya masuk sekolah pada tahun 1996!

"Kak Ngahpun komen benda yang sama tadi, apabila dia melihat sijil itu...", balas isteri saya.

Bukan tak pernah diperbetulkan! Dah banyak kali dan sekarang dah naik malas... Banyak-banyak kali bersuara, dikatakan cerewet pula. Apalah, nama dia Fikri atau Fikry, bunyi sama aje...


Kalau kita hendak menjadi profesional, jangan jadikan perkara yang remeh, kecil, yang sepatutnya tidak berlaku, masih berleluasa!

Ianya bukan benda yang payah, cuma 'attitude' kerani yang membuat kerja perlu diperbaiki dan dinasihati. 'Make sure', dia semak setiap nama yang dia taip!

Kadang-kadang, kalau kita terlampau 'back-up' kerani yang selalu buat salah menjadikan mereka besar kepala. Itu aje...

Monday, January 2, 2012

Aktiviti Pada Hari Kerja Pertama Tahun 2012...

Pada 2 Januari 2012, negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu tidak bercuti. Negeri-negeri yang lain becuti pada 2 Januari 2012 kerana 1 Januari jatuh pada hari Ahad. Negeri-negeri ini termasuk juga Wilayah Persekutuan menyambut tahun baru dengan cuti umum.

Pada tarikh ini, aku terasa untuk pergi menderma darah di HSAJB. Aku ke sana bersama Rasyid, anak yang ke 6.

Seperti biasa, 'parking space' di HSAJB tidak pernah kosong. Aku pernah meluahkan perasaan kepada staf Tabung Darah, HSAJB, supaya menyediakan tempat parkir khas untuk mereka yang datang menderma darah. Bukan lamapun, mereka yang datang menderma darah ni, paling lamapun aku rasa...setengah jam. Tetapi sampai sekarang tiada tindakan!


Aku parkir Kancilku di tempat biasa, di tepi jalan menghala ke Pusat Islam dan Masjid Sultan Abu Bakar. Dari sini, aku menapak di celah-celah bangunan wad sehinggalah sampai ke pintu belakang bangunan Tabung Darah.

Aku masuk dan didapati kempen derma darah sedang dijalankan di laluan awam dan tidak di bilik Tabung Darah seperti kebiasaannya.

Aku bertanya staf kenapa proses derma darah dilakukan di laluan awam dan beliau menerangkan bahawa stok darah amat-amat berkurangan. Stok darah berkurangan bukan saja di Johor tetapi di bandar-bandar besar yang lain juga seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya. Jadi untuk menggalakkan mereka yang lalu lalang menderma, maka aktiviti ini dilaksanakan di luar dari bilik Unit Tabung Darah.


Ada yang dipanggil supaya datang menderma! Antaranya adalah sekumpulan dari Johor Military Force (JMF) atau kita panggil askar Bukit Timbalan. Staf Tabung Darah menanyaku sama ada aku dipanggil atau aku datang sendiri? Aku menjawab aku datang sendiri!

Hari ini adalah kali ke 31 aku menderma darah. Apa yang tercatit di dalam buku derma darah untuk mereka yang menderma sebanyak 31 hingga 40 kali? Insentif yang bakal aku peroleh ialah percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk 4 tahun selepas menderma darah kali terakhir.