Semua apa yang kita rasa adalah berunsurkan perasaan. Sedih, suka, takut, marah, sesal, puas, dan berbagai-bagai lagi adalah natijah dari perasaan kita.
Saya merasa suka dan seronok apabila kadet-kadet menegur saya. "Assalamu'alaikum tuan!" Kita terasa bahawa kewujudan kita sebagai pegawai di PALAPES dipeduli.
Begitu juga apabila bekas-bekas pelajar yang pernah kita bantu dan kita ajar menyapa kita, baik secara 'live' mahupun secara maya. Sedikit perasaan seronok muncul, membuatkan kita merasa sedikit dihargai.
Perasaan takut telah Allah gambarkan di dalam Al-Quran; "Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa, dan buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata Inna lillahi wa inna ilaihi raaji'un (sesungguhnya kami milik Allah dan kepadaNyalah kami kembali) (al-Baqarah; 155-156).
Di kala kita sedih dan takut, Allah tidak membiarkan kita bersendirian, malah Allah menyuruh kita mengingati dan memohon pertolongan dariNya.
"Maka ingatlah kepadaKu, Akupun akan ingat kepadamu. Bersyukurlah kepadaKu, dan janganlah kamu ingkar kepadaKu. Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan kepada Allah dengan sabar dan solat. Sesungguhnya, Allah beserta dengan orang-orang yang sabar" (al-Baqarah; 152-153).
Nah, kita telah mengetahui bahawa Allah sentiasa bersama kita... Di kala senang, susah, aman, tenteram, kacau bilau, dan sebagainya.
Mengapa kita masih mengharapkan pertolongan dari yang lain?
Dan yang terpenting sekali apabila kita telah beriman dan mengaku bahawa Islam adalah agamaku dan Muhammad SAW adalah pesuruh Allah, maka kita akan diuji. Tiada insan yang tidak diuji malah semuanya akan diuji. Mudah-mudahan dengan ujian itu akan memantapkan lagi iman yang kita dokongi.
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka Allah pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang dusta" (al-'Ankabut; 2-3).
Kita sentiasa mendoakan supaya Allah memelihara diri kita dari terjerumus ke lembah yang hina. Mudah-mudahan doa kita diterima!
No comments:
Post a Comment