Monday, January 2, 2012

Aktiviti Pada Hari Kerja Pertama Tahun 2012...

Pada 2 Januari 2012, negeri-negeri seperti Johor, Kedah, Kelantan, Perlis, dan Terengganu tidak bercuti. Negeri-negeri yang lain becuti pada 2 Januari 2012 kerana 1 Januari jatuh pada hari Ahad. Negeri-negeri ini termasuk juga Wilayah Persekutuan menyambut tahun baru dengan cuti umum.

Pada tarikh ini, aku terasa untuk pergi menderma darah di HSAJB. Aku ke sana bersama Rasyid, anak yang ke 6.

Seperti biasa, 'parking space' di HSAJB tidak pernah kosong. Aku pernah meluahkan perasaan kepada staf Tabung Darah, HSAJB, supaya menyediakan tempat parkir khas untuk mereka yang datang menderma darah. Bukan lamapun, mereka yang datang menderma darah ni, paling lamapun aku rasa...setengah jam. Tetapi sampai sekarang tiada tindakan!


Aku parkir Kancilku di tempat biasa, di tepi jalan menghala ke Pusat Islam dan Masjid Sultan Abu Bakar. Dari sini, aku menapak di celah-celah bangunan wad sehinggalah sampai ke pintu belakang bangunan Tabung Darah.

Aku masuk dan didapati kempen derma darah sedang dijalankan di laluan awam dan tidak di bilik Tabung Darah seperti kebiasaannya.

Aku bertanya staf kenapa proses derma darah dilakukan di laluan awam dan beliau menerangkan bahawa stok darah amat-amat berkurangan. Stok darah berkurangan bukan saja di Johor tetapi di bandar-bandar besar yang lain juga seperti Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan sebagainya. Jadi untuk menggalakkan mereka yang lalu lalang menderma, maka aktiviti ini dilaksanakan di luar dari bilik Unit Tabung Darah.


Ada yang dipanggil supaya datang menderma! Antaranya adalah sekumpulan dari Johor Military Force (JMF) atau kita panggil askar Bukit Timbalan. Staf Tabung Darah menanyaku sama ada aku dipanggil atau aku datang sendiri? Aku menjawab aku datang sendiri!

Hari ini adalah kali ke 31 aku menderma darah. Apa yang tercatit di dalam buku derma darah untuk mereka yang menderma sebanyak 31 hingga 40 kali? Insentif yang bakal aku peroleh ialah percuma rawatan pesakit luar dan rawatan perubatan dan wad kelas satu untuk 4 tahun selepas menderma darah kali terakhir.

No comments:

Post a Comment