Friday, May 31, 2013

Projek Sarjana Muda (PSM)...

Projek Sarjana Muda atau PSM merupakan tesis bagi pelajar-pelajar yang membuat kursus 'undergraduate' di UTM. Mereka perlu mendaftar di dua semester pada tahun akhir. Semester pertama, mereka akan membuat 3 'chapters' yang merangkumi pengenalan, metodologi kajian, kajian literatur dan pengenalan kepada kawasan kajian. Semester kedua atau semester terakhir, mereka akan meneruskan dengan proses pemungutan data, membuat analisis, mendapatkan hasil kajian, mencadangkan penambahbaikan dan sebagainya.

PSM kadang-kadang menghantui pelajar. Ada yang menangis semasa proses pembentangan mereka kerana tidak tahan dengan soalan-soalan ahli panel. Ada yang lalui dengan selamba aje walaupun projeknya menghadapi seribu satu masalah. Tak kurang juga yang betul-betul 'prepare' dan 'get ready' dengan kajian yang begitu mantap dan tersangat baik.

Sayapun tak pasti apa tujuan PSM ini sebenarnya. Kalau sekali tengok macam nak mengajar semua pelajar 'undergraduate' bagaimana hendak membuat 'research' atau kajian. Kalau fikir sekali lagi, perlu ke mereka melalui proses ini? Bukan semua pelajar akan mengendalikan kajian apabila mereka bekerja nanti.

Saya sendiri semasa menghabiskan ijazah sarjana muda di USA dulu tak pernahpun membuat PSM. Tetapi boleh dikatakan setiap subjek ada 'term paper' atau tugasan yang berkaitan dengan matapelajaran tersebut. Tugasan yang berbentuk penulisan ini mesti dibuat setebal 10 muka surat. Pandai-pandailah kita mengulas mengenai topik yang diberi atau 'subject matter' tersebut.

Semasa membuat 'master degree' atau ijazah sarjana dulupun, juga di USA, saya tidak membuat tesis. Saya diberi pilihan samaada untuk menulis tesis atau mengambil 'comprehensive exam'. Saya pilih untuk mengambil 'comprehensive exam' yang memakan masa selama 2 hari.

Dalam 'comprehensive exam' inilah semua matapelajaran yang kita belajar selama setahun setengah akan disoal. Mana-mana bahagian yang kita tidak 'master' atau 'failed' maka bahagian tersebut perlu diulang semula 'exam'nya.

Pada saya, jika kita betul niatnya untuk melatih pelajar-pelajar 'undergraduate' supaya tahu untuk membuat penyelidikan maka kita perlu jelas bagaimana cara kita untuk melatih mereka. Adakah perlu kita membuat sesi viva seperti sesi 'interrogate' sehingga kecut perut pelajar? Nasib baik hanya setakat keluar air mata dan tidak ada yang sampai terkencing...

Pagi ini, ada seorang pelajar PSM dibawah seliaan saya datang bertanyakan pasal tesisnya. Saya menanyakan beliau tentang komen ahli panel semasa vivanya minggu lepas. Dia mengatakan bahawa ahli panel menyuruhnya untuk membuat 'major changes' kerana kajiannya tidak menepati objektif dan sebagainya.

Saya menerangkan kepada pelajar ini bahawa saya tidak tahu menahu tentang komen ahli panel. Jadi pelajar kena 'make a point' untuk berjumpa dengan panel-panel tersebut untuk mendapatkan penjelasan tentang apa yang perlu dibuat. Sambil menangis pelajar ini mengatakan bahawa panel tak ada seminggu pada minggu ini kerana ada urusan lain.

Saya menjelaskan kepada pelajar dan menyuruh dia pergi berjumpa dengan pengerusi viva tersebut dan menanyakan beliau tentang komen ahli panel. "You cakap kepada pengerusi viva apa yang perlu saya buat hanya untuk lulus (dapat D) aje dan saya tak mampu untuk pergi membuat pemungutan data kembali", ujar saya kepada pelajar tadi.

Tangisannya yang teresak-esak nampak reda dengan cadangan saya tersebut. Tak tahulah kalau ahli panel dan pengerusinya begitu 'strict' dan tak boleh memberi markah D...

Saya tidak bermaksud untuk membandingkan sistem pengajian di peringkat universiti tetapi pada hemat saya, banyak lagi perkara lain yang perlu diterapkan kepada pelajar selain dari PSM. Mungkin matapelajaran 'code of ethics' atau etika semasa pekerjaan nanti perlu diterapkan kepada pelajar supaya mereka mempunyai bekal dan asas untuk tidak melakukan rasuah dan sebagainya.

Akhirnya, sekira pelajar terpaksa juga melalui proses membuat PSM ini, maka saya mencadangkan supaya kita membuat 'proper' bengkel untuk menerangkan kepada mereka supaya mereka betul-betul faham dan jelas tentang proses yang akan mereka lalui ini... Saya nampak ramai pelajar yang tidak begitu jelas dengan PSM.

Tuesday, May 28, 2013

Kerjasama Pas dan UMNO...

Mutakhir ini ramai bercakap pasal kerjasama antara PAS dan UMNO.

Kerjasama dengan UMNO, pemimpin PAS perlu buang ego

Bimbang dengan perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu akibat perseteruan politik UMNO-PAS, bekas Mufti Perlis, Datuk Mat Jahaya Hussin minggu lalu menyatakan kesediaannya untuk menjadi orang tengah bagi mencari titik pertemuan antara kedua-dua pihak yang bertelagah itu.

Begitulah tajuk-tajuk yang tertera di akhbar...

Kalau saya dizinkan bertanya... Kenapa pemimpin PAS saja yang perlu buang ego, pemimpin UMNO tak ada yang ego ke?

Pada saya, 'let alone' pemimpin PAS ke atau pemimpin UMNO ke... Yang betul-betul perlu membuat transformasi minda ialah puak-puak penulis berita.

Mereka harus berubah. Berubah ke arah fitrah. Melapur dan membuat berita yang ikhlas dan tiada unsur-unsur mengenakan seseorang atau sesebuah organisasi lain. Etika kewartawanan yang jujur harus dipertingkatkan.

Terlampau ramai wartawan kita begitu cekap mensensasikan berita. Berita yang ditulis dengan nada biasa tidak akan ada unsur-unsur menggalakkan manusia lain mengulangi atau menceburi bidang yang tidak baik itu. Tetapi berita yang begitu sarat dengan bunga-bunga bahasa seolah-olah mengajak manusia lain mengerjakan perbuatan terkutuk tersebut amat kurang beretika.

Wartawan perlu ikhlas dan beramanah dalam merencanakan berita.

Kita semua tahu bahawa pena adalah lebih tajam dari keris. Pena juga boleh menaikkan dan menjatuhkan individu. Kita boleh memberi kredit semaunya kepada sesiapa yang kita suka dan sebaliknya pula, kita boleh menjatuhkan imej sesiapa saja yang kita suka.

Maruah tidak lagi penting kepada kita. Kita boleh menjatuhkan maruah seseorang dengan menulis angkara buruk tentangnya. Kita juga sudah tidak menghiraukan maruah, untuk menerima apa jua habuan yang diberikan hasil penulisan yang kita telah lakukan itu. Begitu rendahnya maruah yang kita miliki dewasa ini. Buatlah apa saja...janji ada yang 'masyuk'!

Pada saya biarlah UMNO dengan pegangan doktrinnya dan begitu juga dengan pemimpin PAS. Memanglah kita inginkan kesatuan. Tetapi pada hemat saya, budaya kedua-dua organisasi ini berbeda. Jauh perbedaannya seperti langit dengan bumi...

Pemimpin-pemimpin PAS boleh makan bersila dengan rakyat jelata dan tidak perlu protokol yang membezakan mereka. Pengikut-pengikut PAS boleh membelanjakan duit sendiri untuk menghadiri program-program tajaan pemimpin mereka. Tetapi saya ragui jika ahli UMNO boleh menghadiri program tanpa adanya habuan dan umpanan.

Pada hemat saya, jika penggabungan itu perlu biarlah ia berlaku secara beransur-ansur dan normal tanpa adanya tangan-tangan yang cuba bermain silap mata. Iapun bukannya tidak pernah bergabung. Pengalaman masing-masing boleh bercerita tentang perkara ini.

Dalam Islam kita tahu bahawa "matlamat tidak menghalalkan cara" tetapi saya pasti ada 'exceptional case' yang mana kita boleh menggunakannya sekira kita mahu demi merapatkan persaudaraan sesama Islam.

Contoh yang paling mudah ialah kita tahu bahawa si A tidak begitu baik dengan si B maka demi untuk merapatkan hubungan mereka maka kita beritahu bahawa si A mengirim salam kepada si B, walhal si A tidakpun berbuat demikian. Begitu pula dengan si B.

Maka secara tidak langsung, lama kelamaan perasaan 'hatred' tadi akan beransur-ansur berkurangan dan perasaan saling hormat menghormati akan timbul di antara si A dan si B.

Sekiranya pihak media mengambil langkah tersebut maka hubungan PAS dan UMNO akan menjadi lebih baik dan lama kelamaan perasaan mahabbah akan terjalin.

Sehingga hari ini, apa yang dilaporkan media tiada satupun yang baik berkenaan dengan PAS. Jika berita tentang PAS keluar maka kita tahulah bahawa mesti ada mala petaka atau perkara buruk berlaku tentang mereka.

Mana mungkin seseorang suka pada seseorang yang telah digambarkan dengan segala bentuk kenakalan, kejahatan, kebejatan, dan penyelewengan.

Pada saya jika kita terus dengan sistem 'denial the truth' lama kelamaan masyarakat tidak lagi mempercayai media massa kita kerana pada mereka kita sudah tiada kredibiliti untuk menyampaikan maklumat secara benar.

Lihatlah apa yang berlaku dalam PRU13! Walaupun SPR cuba membuat yang terbaik sedaya upaya mereka tetapi masyarakat masih sangsi dengan keputusan yang telah diperolehi.

Cuba kita fikir secara matang untuk kesekian kalinya... Sekiranya pihak media masih 'take side' atau kita katakan sebagai menulis berita sebelah pihak saja maka akhirnya rakyat akan hilang kewarasan mereka.

Berita yang tak waras (sebelah pihak saja yang baik dan membuat pembaikan) menghasilkan masyarakat yang juga tidak waras (memikirkan pihak yang berlawanan pula yang terbaik dan terbagus).

Oleh itu, pihak media mesti jujur dengan berita dan cuba untuk melapurkan secara positif semua berita, baik dari UMNO mahupun dari PAS.

Bukan Warganegara Berkhidmat Dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)...

Kejadian 'accident' merupakan kejadian yang tidak disukai dan diingini oleh sesiapa saja, baik yang melanggar mahupun yang dilanggar.

Tetapi apabila ia berlaku maka banyaklah kerja yang harus dilalui. Sebab itu, jika ia adalah satu kemalangan kecil dan dijangka melibatkan kos hanya RM300 hingga RM400 untuk membaikinya maka si pesalah eloklah membayar aje kepada tuan kereta yang dilanggarnya.

Bukan apa... Bila sampai ke tahap membuat laporan polis, si pesalah akan dikenakan denda RM300. Melayang RM300 kepada kerajaan. Kemudian nak kena 'repair' kereta kita dan kereta yang kita langgar pula.

Tetapi jika ia melibatkan perbelanjaan yang besar untuk membaiki kereta kita dan kereta yang kita langgar maka biarkan insuran aje yang menguruskannya.

Semalam saya memandu Kancil manakala isteri saya memandu van untuk ke tempat membaiki kenderaan. Van yang dipandu isteri saya telah dilanggar dari belakang pada 2 minggu yang lepas semasa dia dan anak-anak ingin ke sekolah.

Alamat bengkel panel Takaful Ikhlas hanya satu di Skudai iaitu di Taman Tun Aminah. Berpusing-pusing aku mencari alamat tersebut.

Setelah puas berusaha sendiri mencari alamat tersebut, aku nampak ada seorang pekerja MPJBT sedang menyapu sampah. Pada aku, dia adalah orang yang paling arif dan paling tepat untuk bertanya berkaitan dengan lokasi.

"Dimana Jalan Syahbandar 8, bang?", aku bertanya setelah memberi salam padanya. Diapun menjelaskan dimana kawasan atau jalan tersebut dengan pelat yang aku agak dia adalah dari Bangladesh.

Mungkin aku silap... tapi yang pasti dia bukan orang lokal!

Aku juga mungkin silap bahawa pekerja tersebut bekerja dengan PBT kerana sekarang ini PBT banyak menswastakan perkhidmatan mereka. Contoh yang mudah ialah pembersihan dan pengangkutan sampah diswastakan kepada Southern Waste Manangement (SWM). Mungkin juga SWM yang menggajikan Bangla untuk membuat kerja-kerja ini.

Setelah menuruti panduan arah yang diberikan oleh abang 'cleaner' Bangla tadi, akupun sampai ke bengkel panel Takaful Ikhlas.

Cuma apa yang aku rasa terkilan ialah HANYA inilah SATU-SATUnya bengkel panel Takaful Ikhlas di Skudai.

Sunday, May 26, 2013

Keterbatasan Pergerakan...

Musim cuti sekolah sudah tiba. Panggilan atau undangan menghadiri walimatul urus sungguh luar biasa banyaknya. Kewajipan untuk kita menghadiri undangan ini sudah tidak perlu dipertikaikan lagi selagi tiada unsur-unsur lagha dan tiada ritual yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Masalah yang dihadapi ialah keterbatasan pergerakan kerana penyakit gout. Semalam saya pergi ke Klinik UTM dan diberikan 3 hari MC bermula hari esok. Inilah kali pertama saya mendapat MC yang bukan bermula pada hari yang kita bertemu dengan doktor!

Semalam juga sudah 'missed' walimah anak sahabat, anak Johari Hassan. Hari ini tak pasti lagi boleh atau tidak ke majlis walimah anak sahabat Mohd Ghazali Ibrahim dan Mahayati Ibrahim. Anak mereka Bint Huda berkahwin dengan Dr Hanif, juga anak sahabat arwah Tarmidi.

Minggu depan lagi banyak undangan walimah. Cadangan terkini untuk minggu depan ialah untuk menghadiri akad nikah anak usrah, saudara Suhaimi @ Skem pada 31 Mei, lepas Isya' di Kulai dan selepas itu terus bergerak ke Kelantan. Adik isteri yang bongsu akan melangsungkan perkahwinannya pada 3 Jun. Jadi ada beberapa undangan di Johor pada hujung minggu tersebut terpaksa diloloskan.

Pada masa ini juga, musim peperiksaan akhir semester di UTM. Dua 'paper'ku ialah pada 7 dan 10 Jun.

Memeriksa kertas 'final exam' di universiti tidak semudah dulu. Sekarang kena ada analisa bagi setiap soalan yang pelajar jawab. Kena buat graf dan sebagainya...

Begitu juga dengan soalan 'final exam'... Perlu dihantar awal kepada panel untuk di'screen' samaada soalan-soalan yang hendak ditanya sesuai atau tidak. Kalau panel rasa tak sesuai maka soalan perlu diubah walaupun panel tidak pernah mengajar subjek tersebut!

Ini adalah langkah yang baik walaupun ia merupakan gara-gara untuk menambah beban pensyarah. Kalau di US, saya nampak seseorang pensyarah mempunyai 'full responsibility' terhadap 'subject matter' yang diajar. Di sana bilangan pensyarah dan staf tidak ramai kerana masing-masing tahu bidang tugas masing-masing dan mereka tidak dibebankan dengan perkara-perkara yang remeh.

Cuti sekolah ini juga, kita mencuba sedaya upaya untuk memenuhi masa senggang anak-anak. Kesian juga melihat mereka bertungkus lumus di masa persekolahan tetapi di musim cuti sekolah kita tidak mampu memberi apa-apa habuan kepada mereka.

Walau apapun, ia juga bergantung kepada bajet atau kemampuan kita untuk berbelanja sekadar yang termampu...

Saturday, May 25, 2013

Masak Lemak Udang...

Teringat semasa tinggal di rumah sewa ketika 'undergraduate' di USA dulu...

Aku suka memasak kuah lemak... tak kisahlah kuah lemak udang ke, kuah lemak ayam ke, mahupun kuah lemak daging...

Caranya senang aje. Ambil sebiji bawang besar atau 2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih. Mayang bawang-bawang tersebut nipis-nipis.

Bersihkan sekilo udang dan toskan. Kalau menggunakan ayam, potong seekor ayam kepada 16 bahagian. Jika sekilo daging digunakan, maka hirislah daging itu kepada 'slice' yang nipis agar ia mudah dimasak dan lembut untuk dikunyah.

Mayang sebiji lada merah dan potong 2 biji kentang. Ketuk sebatang serai dan basuh 2 keping asam keping.

Panaskan periuk dan masukkan sedikit minyak masak. Setelah minyak sudah panas, masukkan bawang besar atau bawang merah yang sudah dimayang nipis. Kemudian masukkan pula bawang putih. Biarkan bawang menjadi sedikit garing.

Selepas bawang hampir garing maka masukkan 2 sudu besar cili boh dan secubit kunyit. Dan masukkan secawan air. Biarkan ia mendidih...

Setelah mendidih maka masukan udang, atau ayam, atau daging. Kemudian masukkan 2 cawan air lagi. Masukkan asam keping, kentang, dan serai ke dalam periuk. Dan jangan lupa untuk masukkan sekotak 200ml santan. Tutup periuk dengan penutupnya dan kecilkan api dan tunggu sehingga ia mendidih...

Sekiranya kita ada belimbing buluh, masukkan 7 hingga 10 biji ke dalam periuk. Kalau tidak, nenas yang masih hijau juga boleh digunakan. Potong nenas sebesar 2 jari dan masukkan 5 hingga 7 keping ke dalam periuk.

Setelah mendidih maka masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian matikan api dan tunggu selama 5 minit sebelum dihidangkan.

Ummmh memang sedap!!!

Membawa Pelajar Tahun 1 Ke Perbadanan Putrajaya, KPKT, JPBD & DBKL

Apa yang paling seronok bagi seorang pensyarah ialah apabila pelajarnya dapat memahami apa yang diajar. Pensyarah mencuba sedaya upaya untuk menurunkan segala ilmu di dada.

Menjadi tradisi saya untuk membawa pelajar ke pejabat-pejabat kerajaan bagi menambah ilmu pengetahuan mereka. Kadang-kadang apa yang kita ajar hanya secara teori, dan kadang-kadang apa yang kita ajar sudah 'out of date'. Maka dengan lawatan akademik inilah pelajar-pelajar dapat mendengar penjelasan dari setiap unit yang berkaitan.

Saya telah memberi arahan kepada pelajar-pelajar supaya jangan malu untuk bertanya.

Pada semester ini, pelajar-pelajar saya dari kelas Perancang Bandar dan Desa (merangkumi pelajar-pelajar Pengurusan Harta Tanah dan pelajar-pelajar Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) telah membuat lawatan akademik ke beberapa pejabat kerajaan. Pelajar-pelajar yang seramai 70 orang itu terdiri dari pelajar-pelajar Tahun 1 dan berketurunan melayu, cina, kadazan, dan iban. Boleh dikatakan 3/4 dari kelas adalah siswi. Kemana hilangnya siswa dewasa ini?

Pengarah program ini ialah Ezzati binti Tarmidi. Beliau menggantikan pengarah lelaki yang gagal melaksanakan tugasan ini.

Saya telah bergerak awal dengan pajero fakulti pada pagi Ahad (12 Mei). Pelajar-pelajar akan menaiki 2 buah bas, jam 6.30 petang, pada hari yang sama.

Pada bulan Mac, saya juga telah membawa pelajar-pelajar tahun akhir untuk lawatan akademik ke Putrajaya. Pada masa itu, saya menaiki bas bersama dengan pelajar-pelajar, kononnya ingin menjimatkan duit kerajaan.

Tetapi kadang-kadang kita tak perlu berjimat sangat kerana menaiki bas UTM memerlukan kesabaran yang tinggi, melayan kerenah pemandu. Bukan pemandu yang perlu menjaga hati pegawai tetapi sebaliknya pegawai yang kena jaga hati pemandu. Begitulah hakikat pemandu UTM... Bukannya semua pemandu begitu tetapi ada jugalah...

Walaupun saya sudah tidak mampu untuk memandu 'direct' ke Kuala Lumpur tetapi berhenti-henti 5-6 kali kerana mengantuk, saya rasa lebih tenteram dari terpaksa mendengar pemandu bas memarahi pelajar kerana sedikit kesalahan kecil.

Destinasi pertama kami pada jam 9 pagi, hari Isnin (13 Mei) ialah Perbadanan Putrajaya. Saya keluar dari Hotel Quality jam 7 pagi untuk mendapatkan bas pelajar. Kaki pula terasa sakit... mungkin 'gout'. Jadi, dari terpaksa memandu pajero dari KL ke Putrajaya dengan kaki sakit, elok aku tumpang bas aje.

Pelajar-pelajar menginap di hostel di Setiawangsa, di kawasan tanah runtuh yang merosakkan rumah Dr Jamaluddin Jarjis, dan beberapa orang besar UMNO yang lain.

Di Perbadanan Putrajaya, kami ditayangkan video korporat Putrajaya. Banyak fakta-fakta yang diperolehi pelajar. Selesai sesi penerangan dari Mr Sim, pegawai perancang bandar lulusan UTM, kami dijamukan dengan kuih muih sebelum membuat lawatan ke pejabat Perdana Menteri, kediaman Perdana Menteri dan Taman Botani.

Kami makan tengahari di kedai makan yang berhampiran. Selesai makan kami ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memenuhi temujanji yang ditetapkan pada jam 2.30 petang.

Di KPKT, kami diisi dengan dua ceramah; satu dari KPKT sendiri yang berkaitan dengan perumahan negara, manakala satu lagi dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) yang menerangkan perkembangan perancangan bandar dan desa di negara kita.

Selesai program kami dihidangkan dengan kudapan. Setiap pejabat kerajaan yang dilawati begitu tinggi sekali 'hospitality' mereka.

Kami mengerjakan solat jamak ta'khir serta qasar di Masjid Besi Putrajaya, iaitu solat Zohor 2 rakaat kemudian disusuli dengan solat Asar 2 rakaat.

Ada 2 pendapat mengenai solat jamak ta'khir ini. Ada yang mengatakan kita kena mendirikan solat Asar dulu kerana sekarang sudah waktu Asar dan disusuli dengan solat Zohor. Ada pula yang mengatakan kita perlu mengikut susunan solat iaitu solat Zohor sebelum solat Asar. Apapun buatlah mengikut pendapat yang mana-mana, asalkan solat terlaksana! Jangan kita suka berpolemik tetapi akhirnya solat tak juga dilakukan...

Kami sampai ke Setiawangsa menghampiri jam 8 malam. Aku pula berjanji untuk mengadakan sesi ulangkaji matapelajaran jam 9 malam di kediaman pelajar.

Aku memandu pajero balik ke Hotel Quality untuk mandi. Selesai mandi, aku bergerak semula ke tempat penginapan pelajar. Jam sudah menunjukkan 9.30 malam.

Aku banyak bertanyakan pelajar-pelajar tentang apa yang dipelajari dari lawatan pada hari ini. Pelajar-pelajar juga menanyakanku apa yang mereka kurang faham.

Setelah lebih sejam di sana, aku bergerak pulang ke hotel kerana esok pagi kami akan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula. 

Di DBKL, kami dibawa ke bilik kawalan trafik di aras 3. Di sini pelajar-pelajar ditunjukkan bagaimana bilik kawalan ini mengawal lampu isyarat di sekitar Kuala Lumpur. Kemudiannya, pelajar-pelajar diberi taklimat tentang pelan pembangunan DBKL.

Akhirnya, kami dijamu dengan makan tengahari. Sesi di DBKL berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

Pelajar-pelajar yang sudah 'check-out' dari tempat penginapan mereka sejak pagi tadi mula bergerak ke Time Square. Aku pula bergegas ke hotel untuk 'check-out' dan bergerak pulang ke Skudai...

Hasil dari laporan yang ditulis pelajar, mereka sangat seronok dengan lawatan akademik ini dan mereka mengharapkan ada lagi lawatan seumpama ini di masa hadapan.

Thursday, May 16, 2013

Kita Perlu Mencari Pengetahuan; Melalui Pengalaman, Pembelajaran, Pembacaan Dan Sebagainya.

Pengetahuan sangat penting, bahkan lebih penting dari emas dan wang ringgit. Wang ringgit berjuta boleh hilang sekelip mata kerana ditipu. Kalau kita berpengetahuan kita tidak akan tertipu.

Saya selalu memaklumkan kepada anak-anak, "Abah tak ada harta untuk ditinggalkan kepada kamu tetapi jika kamu ingin belajar, bergolok bergadaipun akan abah usahakan!".

Sekarang manusia sanggup membuat apa saja; merompak, mencuri, membunuh, merogol, apatah lagi menipu... Kepada mereka, menipu hanya perkara kecil. Mereka akan membuat apa saja, asalkan matlamat tercapai.

Anak saya dari Kaherah baru 'WhatsApp' menyatakan bahawa bagnya yang diletakkan di tepi semasa solat Asar hilang. Di dalamnya ada duit yang baru diambil dari bank bagi sara hidupnya untuk bulan Mei, Jun dan Julai, kad bank, telefon, buku-buku pelajarannya, dan passport.

Apa yang dapat saya katakan...

Belajarlah dari peristiwa itu. Jadikan sebagai tauladan. Mudah-mudahan di masa lain kita lebih berhati-hati!

Kadang-kadang kita belajar 'through the hard way' dan banyak kali kita belajar secara tidak formal (informal). Apapun cara dan mekanismenya, belajarlah... kerana kita tidak akan berhenti dari belajar; "Dari buaian hingga ke liang lahad!".

Kita juga boleh belajar dari pengalaman seseorang. Wahai anak-anakku..., tanyalah ayah dan ibumu mengenai apa saja. Kami telah lama hidup dan banyak pengalaman dan pengetahuan yang telah kami raih.

Buku-buku juga banyak di rak almari rumah. Tersedia menunggumu untuk membacanya.

Jangan segan untuk bertanya jika kita ingin mempelajari sesuatu. Semasa latihan PALAPES pada hari Sabtu dan Ahad lepas, saya banyak belajar dari Sjn Zaidi berkenaan dengan 'smart phone'. Katanya, sekarang banyak perisian yang boleh digunakan secara percuma. Disamping 'WhatsApp', 'WeChat' dan 'LINE' yang semakin popular dan mendapat perhatian ramai. Dua perisian tersebut katanya lebih baik dari 'WhatsApp' kerana ia bukan saja boleh menghantar mesej tetapi boleh juga dihantar suara dan boleh juga bertindak sebagai 'walkie talkie'.

Dunia semakin canggih. Amat malanglah sekiranya kita masih di takuk lama.

Mahu ataupun tidak, kita perlu mencuba sedaya upaya untuk mempelajari sesuatu benda baru. Jangan nanti kita dikatakan kolot!

Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru bersempena sambutannya pada hari ini (16 Mei) kepada semua guru-guru yang sempat mengajar saya dari Tadika hinggalah ke peringkat universiti. "Selamat Hari Guru, cikgu!"

Friday, May 10, 2013

Penipuan Pilihanraya?

Saya ingin memberi sedikit penerangan tentang perjalanan pilihanraya supaya masyarakat jelas apa yang berlaku.

Memang... Setiap pihak akan cuba menyalahkan pihak yang lain jika mereka tidak menang! Pada saya pula, saya ingin melihat proses pilihanraya berjalan secara telus, bersih dan tidak boleh dipertikaikan kesahihan keputusannya.

Saya tidak berpihak kepada BN dan tidak juga berpihak kepada PR tetapi saya menyokong keintegritian sesuatu proses.

Baiklah. Mereka yang melaksanakan perjalanan PRU adalah mereka yang dilantik oleh SPR. Jika sekolah adalah premis tempat pengundian maka guru-guru sekolah tersebut merupakan pegawai-pegawai SPR. Jika tempat mengundi dibuat di Balai Polis (contohnya, untuk pengundian awal) maka pegawai SPR mungkin terdiri dari staf Pejabat Tanah dan Daerah.

Tempat mengundi adalah tempat pengiraan undi (kecuali bagi pengundian awal). Pengundian awal hanya dibenarkan kepada anggota polis dan tentera serta keluarga mereka. Pengundian secara pos pula dibenarkan kepada mereka yang berada di luar negara serta staf SPR yang mengendalikan PRU.

Sebelum proses pengundian berjalan, semua ejen calon sudah berada di tempat pengundian. Mereka akan melihat bahawa tong-tong undi adalah kosong, senarai nama pengundi adalah betul, dan sebagainya. Ejen calon yang berada di pusat pembuangan undi terdiri dari mereka yang mewakili calon. Jika BN, Pas, dan PKR bertanding maka ketiga-tiga ejen ini hadir di tempat pengundian.

Ejen calon melihat segala yang berlaku di bilik mengundi. Nama setiap yang datang mengundi dibaca kuat oleh pegawai SPR supaya setiap ejen dapat menanda bahawa si polan bin si polan telah mengundi. Ejen calon kebiasaannya berganti-ganti. Setiap parti mungkin sudah membuat perkiraan sendiri berapa ramaikah ejen yang perlu ada untuk satu-satu pusat mengundi. Setiap pusat mengundi mungkin ada 5 saluran. Oleh itu, 5 orang ejen setiap calon perlu ada pada setiap masa.

Setelah waktu mengundi tamat, penyelia tempat mengundi akan mengarahkan supaya pintu pagar sekolah ditutup. Pengundi yang masih berada di dalam premis masih boleh meneruskan proses pengundian mereka.

Apabila proses pengundian selesai maka proses pengiraan akan terus dibuat di setiap saluran pusat mengundi. Jika pusat mengundi itu mempunyai 5 saluran maka setiap saluran akan membuat kiraan undi masing-masing. Setiap saluran diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Sebelum pengiraan dibuat, pintu bilik akan ditutup dan semua ejen calon akan berada di dalam bilik bersama-sama dengan pegawai SPR. Pihak polis akan berada di luar bilik bagi mengawasi keadaan.

Setiap saluran mempunyai satu peti Parlimen dan satu peti DUN. Proses pengiraan akan dibuat satu per satu. Jika ia dimulakan dengan DUN maka semua kertas undi dalam peti DUN harus dikira semua sebelum ia diteruskan pula dengan peti Parlimen.

Setiap kertas undi akan ditayangkan kepada ejen-ejen calon bagi mengenalpasti undi itu milik siapa. Jika sesuatu kertas undi mempunyai kedua-dua tanda bagi calon A dan B maka kertas undi tersebut ditolak. Tetapi sekiranya kertas undi tersebut mempunyai sedikit keraguan, contohnya, dipangkah untuk calon A tetapi ada sedikit lelehan dakwat di calon B maka kertas undi ini akan dimasukkan ke dalam kotak ragu.

Dengan kata lain, di depan pegawai SPR dan ejen calon ada 5 kotak. Kotak pertama diisikan dengan longgokan kertas undi yang belum dikira, kotak kedua untuk disi kertas undi milik BN, kotak ketiga untuk diisi kertas undi milik Pas, kotak keempat untuk diisi kertas undi ragu dan kotak kelima untuk diisi kertas undi yang ditolak.

Kertas undi di dalam kotak ragu akan dilalui sekali lagi supaya konsensus dicapai siapakah pemilik undi tersebut. Pegawai SPR dengan sedaya upaya mencuba untuk meminimakan bilangan kertas undi yang rosak. Walau bagaimanapun setiap ejen calon mempunyai hak untuk menolak mana-mana kertas undi yang meragukan. Di dalam PRU13 yang lalu, terdapat lebih 300,000 undi rosak.

Setelah pengiraan undi selesai (kertas undi diikat sepuluh sepuluh kemudian seratus seratus), KTM akan mencatat bilangan undi yang diperolehi oleh setiap calon ke dalam Borang 14. Di sini setiap ejen calon akan menurunkan tandatangan sebagai tanda setuju.

Kertas-kertas undi akan dimasukkan kembali ke dalam peti undi dan di'seal'kan. Ejen-ejen calon perlu menandatangani di 'sticker' yang ditampal di lubang peti undi tersebut. Dengan kata lain, tiada siapa yang boleh sewenang-wenangnya membuka peti undi tersebut tanpa hadirnya ejen-ejen calon yang telah menandatanganinya.

Peti-peti undi bersama borang 14 akan dibawa ke tempat penjumlahan undi. Seluruh peti-peti undi bagi kawasan parlimen dan DUN ini dibawa ke sini. Ia dibawa dengan kenderaan dan di'escort' oleh polis.

Keselamatan peti undi bukan lagi perkara utama kerana keputusan kiraan undi sudah diperolehi.

Ia berbeza dengan zaman dahulu dimana peti-peti undi dari pusat pengundian dibawa ke satu dewan lain untuk pengiraan. Pada zaman ini, peti-peti undi mesti dijaga betul supaya peti undi yang sama sampai di tempat penjumlahan undi.

Pegawai SPR, kebiasaannya Pegawai Daerah akan memeriksa borang 14 dan seterusnya memberi borang tersebut kepada pegawai lain untuk dimasukkan ke dalam komputer. Calon dan ejen calon dapat melihat setiap 'updating' undi yang dipancarkan ke skrin.

Setelah semua jumlah undi diperolehi dari semua saluran pusat mengundi maka akan terpampanglah siapa yang menang dan di sinilah Pegawai Daerah akan mengisytiharkan pemenangnya.

Pada pemerhatian saya, tiada unsur-unsur penipuan berlaku. Cuma, sekiranya pihak SPR ingin mengelakkan dari sebarang unsur fitnah berlaku maka eloklah undi awal dikira dahulu. Sekiranya tidak boleh maka pihak SPR seharusnya membenarkan ejen calon untuk mengawasi peti undi awal di dalam lokap. Penambahbaikan yang kedua ialah dakwat kekal mestilah berkualiti dan ia boleh bertahan selama 5 hari seperti yang dijanjikan.

Thursday, May 9, 2013

Keputusan Telah Diketahui, Sekarang Mari Kita Bekerja...

Alhamdulillah, majoriti rakyat Malaysia telah melaksanakan hak masing-masing iaitu 80% dari mereka yang layak mengundi telah membuang undi pada 5 Mei yang lalu. Keputusanpun telah diketahui iaitu BN telah memenangi 133 kerusi parlimen, manakala PR berjaya mendapat 89 kerusi parlimen. Kita berjaya melaksanakan sistem demokrasi yang kita amalkan.

Sekarang mari kita kembali bekerja demi meningkatkan pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Usah dipertikai lagi siapa sokong kita, siapa tak sokong kita!

Muhasabah memang perlu dibuat tetapi hanya untuk membuat penambahbaikan di masa depan. Mungkin juga dengan dapatan ini kita boleh memperbaiki strategi bagaimana untuk menarik hati kaum cina dan golongan menengah melayu.

Jangan pula kita memulakan bibit-bibit perkauman dan bersikap ingin membalas dendam. Semua yang mengundi pada 5 Mei lepas adalah mereka yang menunaikan hak masing-masing yang dibenarkan oleh perlembagaan negara.

Siapa yang mereka pilih adalah hak mereka! Tak perlu kita pertikaikan lagi. 

Saya bertugas sebagai pemerhati dalam PRU13 yang lalu. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan proses pengundian yang dilaksanakan.

Cuma kalau saya boleh sentuh tentang berkempen, saya berpandangan tempoh berkempen agak memadai. Tidak terlalu pendek dan tidak terlalu lama.

Dari aspek media kempen pula, saya berpandangan bahawa stesyen TV dan radio swasta bolehlah membuat kempen untuk BN selama 24 jam sehari. Tetapi bagi media kerajaan seperti TV1, TV2, dan stesyen radio kerajaan perlu juga memberi ruang dan peluang kepada pihak parti PR supaya nampak jelas bahawa kita tidak bertinju dengan lawan yang berikat tangan.


Kita akur tidak menggunakan kenderaan atau peralatan kerajaan yang lain semasa berkempen tetapi kita tidak akur menggunakan media massa kerajaan untuk berkempen untuk kita.

Pada saya proses pengundian di tempat saya menjadi pemerhati iaitu di SMK Puteri Wangsa berjalan lancar. Begitu juga proses pengiraan undi...

Sebagai rumusan, saya sebagai seorang warganegara Malaysia yang ingin melihat proses demokrasi berjalan segar berharap banyak lagi inisiatif kerajaan yang dilakukan supaya apabila menjelang 2020 nanti, negara kita akan menjadi sebuah negara yang betul-betul maju...

Saturday, May 4, 2013

Mari Kita Keluar Mengundi...

Esok, 5 Mei 2013 merupakan hari yang bersejarah buat kita. Kita semua keluar mengundi! Pilihlah parti mana yang anda suka. Itu adalah hak anda...

Saya juga akan keluar mengundi. Walaupun undi kita adalah rahsia tetapi biarlah saya umumkan calon pilihan saya. Saya akan mengundi calon Pakatan Rakyat!

Saya bukan menentang kerajaan tetapi saya memilih PR kerana menjalankan tanggungjawab sebagai seorang warganegara yang bebas untuk memilih parti yang saya rasa boleh menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik, lebih adil, lebih sempurna, lebih bersih, dan lebih cekap.

Saya takut jika pilihan saya tidak tepat maka anak cucu saya akan menanggung musibahnya nanti.

Peluang belajar hingga ke menara gading dengan percuma merupakan tarikan utama saya untuk mengundi calon PR. Saya ingin melihat semua warganegara kita mempunyai peluang untuk belajar tanpa mengira mereka miskin mahupun kaya...

Saya dimaklumkan oleh mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bahawa beliau berjaya meningkatkan pendapatan negeri Selangor dari RM500 juta (yang diwarisi dari Dato' Seri Dr Khir Toyo) kepada RM2,600 juta. Apa maknanya? Maknanya ialah kerajaan di bawah pentadbiran PR lebih cekap!

Tan Sri Khalid juga memaklumkan bahawa beliau berbelanja sebanyak RM700 juta untuk rakyat Selangor berbanding Dato' Seri Khir sebanyak RM250 juta sepanjang 2004 hingga 2008. Siapa yang lebih prihatin kepada rakyat? Jawapannya sudah pasti Pakatan Rakyat!


Saya bukanlah ingin mempengaruhi anda dan tiada niatpun untuk berbuat demikian. Saya tahu dan pasti anda juga bijak membuat pilihan!

Jadi, esok keluarlah mengundi. Semoga kita semua hidup aman damai walaupun berbeza ideologi. Tiada salahnya kita berbeza pendapat. Kita semua sudah matang dan bijak memilih. Tunaikan hak dan tanggungjawab anda!

Cuma harapan saya ialah supaya kerajaan yang lebih baik akan terbentuk selepas PRU13 nanti, insyaAllah!

Ya Allah, Engkau menangilah parti yang lebih baik dan yang lebih dekat dengan tuntutan agamaMu, Amin!

Minda Negara Ketiga...

Setiap individu warganegara diperuntukkan dibawah perlembagaan untuk memilih calon pilihan hati masing-masing apabila berlakunya pilihanraya. Itulah prinsip demokrasi yang diamalkan. Kita boleh pilih sesiapa saja!

Kadang-kadang kita dimomokkan sebagai warganegara yang tidak bersyukur apabila kita tidak memilih calon pemerintah sekarang. Salahkah kita? Menyalahi peraturan demokrasikah kita? Bukankah kita boleh memilih sesiapa saja asalkan mereka bertanding mengikut prosidur biasa?


Begitu juga dengan proses penampalan poster, 'banner', dan sebagainya. Masih ada yang menconteng poster, menurunkan 'banner', merosakkan banting pihak lawan dan sebagainya. Tidak kurang juga yang mengupah anak-anak muda membuat bising apabila pihak lawan mengadakan kempen ceramah.

Kenapa kita tidak boleh menghormati bahan kempen orang lain? Kan kita sudah 'control' media massa; TV, suratkhabar, radio dan sebagainya...

Biarlah mereka melaksanakan tugas mereka dalam kerangka peraturan yang dibenarkan. Mereka bukan melanggar apa-apa peraturanpun.

Tak bolehkah kita mengamalkan demokrasi sepertimana negara barat?

Sesiapa saja boleh berkempen untuk parti mereka selagi ia tidak melanggar mana-mana peraturan dan akta.


Yang menyedihkan lagi ialah kita tidak boleh melihat anggota kerajaan yang tidak bersama kita. Salahkah mereka menunaikan tanggungjawab sebagai warganegara untuk memilih pemimpin yang mereka suka? Salahkah mereka ingin membetulkan kerajaan sediaada kepada yang lebih baik?

Ada yang ingin membetulkan prosidur pilihanraya dengan mengatakan dakwat kekal yang sepatutnya tahan seminggu tetapi hanya tahan sehari ditukar tempat kerja... Demokrasikah kita? Matangkah kita dalam berpolitik?

Atau memang kita masih minda negara ketiga?

Thursday, May 2, 2013

Perutusan Presiden IKRAM Sempena PRU13

Assalamu'alaikum w. w.
Perutusan dari Presiden Ikram,

PERUTUSAN IKRAM KEPADA PARA PENGUNDI PRU 13
30 April 2013 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1434 H
 
 
Para pengundi yang budiman!
 
Setelah sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU13).  Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan  Negeri dan Persekutuan.
 
IKRAM mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan bersungguh-sungguh.  Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan negara.  Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih, adil dan bijaksana.
      
Kepentingan penglibatan politik
 
IKRAM berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan Islam sebagai ad-din yang syumul.  Kuasa pemerintahan diperlukan bagi menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi mungkar.  Justeru, penglibatan  umat Islam di dalam PRU kali ini adalah amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.
 
Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13
 
Matlamat  utama penglibatan PRU13 ialah untuk memastikan:
 
1.      Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa.  Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah).  Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين     (kebolehan dan integriti).
2.      Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.
 
Penglibatan ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai  sebahagian daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf kehidupan rakyat.  Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.
 
Usaha ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:
 
1.      Nilai kehidupan manusia (human values):
a.       Pemeliharaan agama
b.      Pemeliharaan kemanusiaan manusia:
                                     i.      Fitrahnya
                                   ii.      Kemuliaan dirinya
                                 iii.      Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
                                 iv.      Kebebasannya
 
2.      Diri manusia (human person):
a.       Tubuh dan nyawanya
b.      Rohani dan jiwanya
c.       Aqal dan pemikirannya
 
3.      Masyarakat manusia (human society):
a.       Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b.      Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya
 
4.      Persekitaran (Environment):
a.       Pemeliharaan harta benda
b.      Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia
 
Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi. 

Pertimbangan dan Perbandingan
 
Di dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR).
 
Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:
 
1.      Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance) yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia.  Rakyat hendaklah memilih blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk Malaysia.
 
2.      Kedua-dua blok ditubuhkan di atas asas perkongsian.  Adalah wajar diketahui bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata berasaskan gagasan warga negara Malaysia?  Perlu difikirkan apakah pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak pada perundingan dan tawar menawar.
 
3.      Persepsi dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu, pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara yang penting dalam usaha mereka memerintah negara.  Rakyat sentiasa mahu mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini.  Di samping itu kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.
 
4.      Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting.  Rakyat hendaklah memilih blokyang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.  
 
5.      Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat.  Rakyat mestilah memilih blokmanakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
 
 

Rumusan
 
IKRAM merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU 13 kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan negara dan rakyat jelata.
 
Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.
 
أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)
 
IKRAM menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja berperlembagaan.
 
Pilihan ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus menghapuskan kemungkinan rasuah.
 
 
Para pengundi yang budiman!
 
IKRAM menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.  Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada genggaman Ummat Islam.  Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi parlimen yang cukup selesa.  Penguasaan ummah akan terus terpelihara dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan, institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.
 

Para pengundi yang budiman!
 
Ingatlah, golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok masing-masing.
 
Sebenarnya negara  ini  dilimpahkan oleh Allah SWT dengan  kekayaan potensi dan sumber manusia serta alam.  Ia terletak di laluan strategik dunia antarabangsa.  Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa dan agama di dunia.  Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke tahap negara maju.  Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya maju dan bersaing.  Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia. 
 
Lantaran itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.
 
 
Para pengundi yang budiman!
 
Alangkah indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan bersih.  Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan mereka.  Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat atau pemerintah.
 
Alangkah baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.
 
Budaya dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan negara perlu diusahakan segera.  Negara mempunyai keupayaan untuk merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah serta maslahat Islam.
           
Negara juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara.  Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas, berjiwa besar dan berakhlak mulia.  Mereka ini merupakan satu golongan rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat pengurusan negara.  Dengan itu rakyat berpeluang menyahut cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada tahun-tahun mendatang.
 
Untuk memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat.  Dalam kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber, rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh dipercayai.  IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai, bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui integritinya sewajarnya diketepikan.
 
Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU 13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.
 
Sekian, selamat mengundi.  Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.
 
 
 
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)