Pengetahuan sangat penting, bahkan lebih penting dari emas dan wang ringgit. Wang ringgit berjuta boleh hilang sekelip mata kerana ditipu. Kalau kita berpengetahuan kita tidak akan tertipu.
Saya selalu memaklumkan kepada anak-anak, "Abah tak ada harta untuk ditinggalkan kepada kamu tetapi jika kamu ingin belajar, bergolok bergadaipun akan abah usahakan!".
Sekarang manusia sanggup membuat apa saja; merompak, mencuri, membunuh, merogol, apatah lagi menipu... Kepada mereka, menipu hanya perkara kecil. Mereka akan membuat apa saja, asalkan matlamat tercapai.
Anak saya dari Kaherah baru 'WhatsApp' menyatakan bahawa bagnya yang diletakkan di tepi semasa solat Asar hilang. Di dalamnya ada duit yang baru diambil dari bank bagi sara hidupnya untuk bulan Mei, Jun dan Julai, kad bank, telefon, buku-buku pelajarannya, dan passport.
Apa yang dapat saya katakan...
Belajarlah dari peristiwa itu. Jadikan sebagai tauladan. Mudah-mudahan di masa lain kita lebih berhati-hati!
Kadang-kadang kita belajar 'through the hard way' dan banyak kali kita belajar secara tidak formal (informal). Apapun cara dan mekanismenya, belajarlah... kerana kita tidak akan berhenti dari belajar; "Dari buaian hingga ke liang lahad!".
Kita juga boleh belajar dari pengalaman seseorang. Wahai anak-anakku..., tanyalah ayah dan ibumu mengenai apa saja. Kami telah lama hidup dan banyak pengalaman dan pengetahuan yang telah kami raih.
Buku-buku juga banyak di rak almari rumah. Tersedia menunggumu untuk membacanya.
Jangan segan untuk bertanya jika kita ingin mempelajari sesuatu. Semasa latihan PALAPES pada hari Sabtu dan Ahad lepas, saya banyak belajar dari Sjn Zaidi berkenaan dengan 'smart phone'. Katanya, sekarang banyak perisian yang boleh digunakan secara percuma. Disamping 'WhatsApp', 'WeChat' dan 'LINE' yang semakin popular dan mendapat perhatian ramai. Dua perisian tersebut katanya lebih baik dari 'WhatsApp' kerana ia bukan saja boleh menghantar mesej tetapi boleh juga dihantar suara dan boleh juga bertindak sebagai 'walkie talkie'.
Dunia semakin canggih. Amat malanglah sekiranya kita masih di takuk lama.
Mahu ataupun tidak, kita perlu mencuba sedaya upaya untuk mempelajari sesuatu benda baru. Jangan nanti kita dikatakan kolot!
Akhir sekali, saya ingin merakamkan ucapan Selamat Hari Guru bersempena sambutannya pada hari ini (16 Mei) kepada semua guru-guru yang sempat mengajar saya dari Tadika hinggalah ke peringkat universiti. "Selamat Hari Guru, cikgu!"
No comments:
Post a Comment