Assalamu'alaikum w. w.
Perutusan dari Presiden Ikram,
PERUTUSAN IKRAM KEPADA PARA PENGUNDI PRU 13
30 April 2013 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1434 H
Para pengundi yang budiman!
Setelah
sekian lama menanti, akhirnya tarikh 5 Mei 2013 diisytiharkan sebagai
tarikh pembuangan undi bagi Pilihanraya Umum Malaysia ke-13 (PRU13).
Seramai lebih 13 juta pengundi berdaftar yang layak mengundi akan
berpeluang memilih wakil mereka ke Dewan Undangan Negeri dan Dewan
Rakyat, sekaligus menentukan penubuhan kerajaan Negeri dan Persekutuan.
IKRAM
mengajak semua umat Islam dan rakyat Malaysia yang prihatin untuk
menjalankan tanggungjawab terhadap negara dengan serius dan
bersungguh-sungguh. Rakyat perlu bijak memilih peribadi pemimpin yang
sihat serta kuat fizikalnya dan beramanah bagi menerajui pemerintahan
negara. Pemimpin ini mestilah berupaya mengurus perjalanan negara dan
kehidupan rakyat dengan satu bentuk pengurusan yang paling baik, bersih,
adil dan bijaksana.
Kepentingan penglibatan politik
IKRAM
berpandangan penglibatan politik adalah sebahagian daripada tuntutan
Islam sebagai ad-din yang syumul. Kuasa pemerintahan diperlukan bagi
menjayakan agenda penegakan syariah dan pelaksanaan amar makruf nahi
mungkar. Justeru, penglibatan umat Islam di dalam PRU kali ini adalah
amat penting dan dianggap kritikal untuk memilih wakil pemimpin yang
mampu membantu merealisasikan cita-cita dakwah tersebut.
Matlamat penglibatan kita dalam dalam PRU 13
Matlamat utama penglibatan PRU13 ialah untuk memastikan:
1. Parti terbaik menguasai majoriti kerusi parlimen serta menubuhkan kerajaan baru yang bertanggungjawab dan berwibawa. Pemegang tampuk pemerintahan adalah satu kedudukan yang paling tinggi dalam Islam, ولاية عامة (wilayah ammah). Lantaran itu, ia sepatutnya diserahkan kepada peribadi-peribadi yang layak dan mempunyaiالقوى الأمين (kebolehan dan integriti).
2. Penegakan sistem dua (2) parti yang kuat, sistem ‘check dan balance’ yang berkesan.
Penglibatan
ummah dan rakyat dalam PRU 13 mestilah dilihat sebagai sebahagian
daripada inisiatif untuk memperbaiki urustadbir negara dan taraf
kehidupan rakyat. Ia juga meletakkan perjalanan negara di atas landasan
yang betul menerusi pelantikan pemimpin yang berkebolehan serta mampu
melaksanakan tanggungjawab dengan cekap.
Usaha
ini adalah sebahagian daripada usaha yang wajib dilakukan oleh ummat
Islam khususnya bagi menegakkan maslahah manusia di dunia dan akhirat
sejajar dengan matlamat-matlamat syariah yang menuntut diwujudkan
situasi yang akan melindungi perkara-perkara berikut:
1. Nilai kehidupan manusia (human values):
a. Pemeliharaan agama
b. Pemeliharaan kemanusiaan manusia:
i. Fitrahnya
ii. Kemuliaan dirinya
iii. Halatuju hidupnya (peranannya dalam kehidupan dunia)
iv. Kebebasannya
2. Diri manusia (human person):
a. Tubuh dan nyawanya
b. Rohani dan jiwanya
c. Aqal dan pemikirannya
3. Masyarakat manusia (human society):
a. Pemeliharaan keturunan dan maruahnya
b. Pemeliharaan institusi masyarakat dan hubungan kemasyarakatannya
4. Persekitaran (Environment):
a. Pemeliharaan harta benda
b. Pemeliharaan persekitaran kehidupan manusia
Semua perkara penting di atas merupakan matlamat-matlamat syariah yang mesti dipelihara dan dilindungi.
Pertimbangan dan Perbandingan
Di
dalam senario PRU 13, nyata terdapat persaingan ketara di antara
kedua-dua blok parti, iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat
(PR).
Untuk memilih blok yang paling hampir dengan hasrat rakyat, ciri-ciri berikut mestilah dipertimbangkan oleh rakyat:
1. Kedua-dua blok merupakan satu perikatan (tahaluf / alliance)
yang mewakili masyarakat majmuk Malaysia. Rakyat hendaklah memilih
blok manakah yang lebih memenuhi hasrat semua kelompok masyarakat majmuk
Malaysia.
2. Kedua-dua
blok ditubuhkan di atas asas perkongsian. Adalah wajar diketahui
bentuk perkongsian di kalangan mereka: adakah wujud dominasi satu
komponen ke atas komponen yang lain atau kesemua komponen sama rata
berasaskan gagasan warga negara Malaysia? Perlu difikirkan apakah
pulangan kepada semua komponen telah ditetapkan atau ia masih terletak
pada perundingan dan tawar menawar.
3. Persepsi
dan sikap kedua-dua blok terhadap isu-isu berkaitan bangsa Melayu,
pengamalan agama Islam dan institusi Raja berpelembagaan adalah perkara
yang penting dalam usaha mereka memerintah negara. Rakyat sentiasa mahu
mengetahui adakah kedudukan orang Melayu, agama Islam dan
insitusi raja-raja akan tetap terpelihara dan terjamin di bawah
pemerintahan mana-mana blok yang diberi mandat ini. Di samping itu
kedudukan orang bukan Melayu dan bukan bumiputra serta agama-agama
selain Islam mestilah mendapat perhatian yang wajar.
4. Sikap dan amalan kedua-dua blok dalam konteks urustadbir negara dan pembelaan kehidupan rakyat adalah satu perkara yang penting. Rakyat hendaklah memilih blokyang lebih telus, bersih, jujur dan bertanggungjawab kepada rakyat dan dilihat menyebelahi rakyat.
5. Realiti penglibatan kaum dalam keahlian komponen kedua-dua blok ini mestilah dilihat sebagai satu realiti yang meyakinkan rakyat. Rakyat mestilah memilih blokmanakah yang lebih mewakili kepelbagaian kaum dalam keahlian setiap komponen.
Rumusan
IKRAM
merumuskan bahawa memilih wakil dari blok Pakatan Rakyat dalam PRU 13
kali ini adalah satu kewajaran yang lebih berasas dan menguntungkan
negara dan rakyat jelata.
Rumusan ini berdasarkan kaedah dan prinsip ‘kemudharatan yang lebih ringan’.
أحسن الخيارين , أخف الضررين وأهون الشرين
(Pilihan terbaik di antara dua pilihan, pilihan yang lebih ringan kemudaratannya dan kurang kejahatannya)
IKRAM
menganggap pemilihan tersebut sebagai satu kecenderungan atau pilihan
yang pragmatis yang dijangka akan lebih menyebelahi rakyat, lebih adil
kepada semua, lebih bermanfaat kepada negara, lebih jujur kepada Islam
dan bangsa Melayu serta lebih memantapkan institusi Raja
berperlembagaan.
Pilihan
ini akan membuka lebih banyak ruang dialog, perbincangan, perundingan
dan permuafakatan bagi melaksanakan agenda perubahan dan pembersihan
pentadbiran dan pengurusan perjalanan negara, supaya tiada berlaku lagi
salah laku dan penyelewengan pegawai-pegawai pemerintah, sekaligus
menghapuskan kemungkinan rasuah.
Para pengundi yang budiman!
IKRAM
menyeru agar ummah tidaklah perlu takut, jika pendirian politik ummah
kali ini membawa kepada perubahan kerajaan di peringkat pusat.
Kejatuhan kerajaan BN tidak akan melucutkan kuasa pemerintahan daripada
genggaman Ummat Islam. Ummat Islam tetap memiliki jumlah kerusi
parlimen yang cukup selesa. Penguasaan ummah akan terus terpelihara
dengan kewujudan berbagai-bagai institusi dan badan yang sedia ada bagi
menjamin kelangsungan kekuasaan ummah. Institusi Raja berperlembagaan,
institusi angkatan bersenjata, tentera dan polis, jabatan pentadbiran
awam, badan-badan berkanun seperti Majlis-majlis dan Jabatan-jabatan
Agama Negeri-negeri, dan kesemua NGO akan terus berperanan
mempertahankan survival dan kelangsungan kekuasaan ummah di bumi Malaysia.
Para pengundi yang budiman!
Ingatlah,
golongan yang takut kepada perubahan atau yang tidak ingin kepada
perubahan hanyalah sebahagian daripada rakyat yang masih belum jelas dan
golongan yang memperjuangkan kepentingan peribadi, kroni atau kelompok
masing-masing.
Sebenarnya
negara ini dilimpahkan oleh Allah SWT dengan kekayaan potensi dan
sumber manusia serta alam. Ia terletak di laluan strategik dunia
antarabangsa. Ia merupakan daerah pertemuan pelbagai peradaban, bangsa
dan agama di dunia. Negara ini mempunyai potensi untuk diangkat ke
tahap negara maju. Ia boleh terus menggalakkan rakyatnya untuk berdaya
maju dan bersaing. Negara ini mampu membangunkan sebuah tamadun dan
peradaban kemanusiaan yang menjunjung nilai-nilai kehidupan yang mulia.
Lantaran
itu, rakyat diseru untuk berani mengorak langkah baru, membangun
inisiatif politik yang berupaya mewujudkan perubahan yang kita inginkan
untuk negara dan ummah di bumi Malaysia ini.
Para pengundi yang budiman!
Alangkah
indahnya perjalanan sebuah negara dan kehidupan rakyatnya sewaktu ia
dipayungi sebuah sistem politik yang adil, budaya politik yang sihat dan
bersih. Rakyat boleh mengangkat pemimpin yang terbaik dari kalangan
mereka. Setiap pemimpin boleh datang dan pergi menerusi proses pilihan
rakyat yang telus, bersih, dan aman, tanpa perlu menggunakan kekerasan
atau paksaan, tanpa menabur fitnah siang dan malam, sama ada oleh rakyat
atau pemerintah.
Alangkah
baiknya jikalau sistem politik yang diguna pakai akan membolehkan
rakyat mengangkat peribadi-peribadi terbaik untuk menerajui kepimpinan
negara, dan melaksanakan undang-undang dan peraturan-peraturan yang
dikuatkuasakan dalam pemilihan para pemimpin.
Budaya
dan pendekatan politik baru yang bersih dan sihat untuk masyarakat dan
negara perlu diusahakan segera. Negara mempunyai keupayaan untuk
merubah keadaan yang sedia ada kepada keadaan yang lebih baik dengan
berpaksikan ketinggian akhlak, kebenaran, ketelusan, sikap prihatin
kepada kepentingan umum, dan memperjuangkan matlamat-matlamat syariah
serta maslahat Islam.
Negara
juga berkeupayaan mengangkat peribadi-peribadi yang sesuai untuk
kedudukan yang sesuai dalam usaha mereka memimpin rakyat dan negara.
Kita mesti memilih wakil rakyat dari kalangan rakyat yang cerdas,
berjiwa besar dan berakhlak mulia. Mereka ini merupakan satu golongan
rakyat yang berupaya membuat keputusan dan polisi terbaik buat
pengurusan negara. Dengan itu rakyat berpeluang menyahut
cabaran-cabaran besar serta merebut pelbagai peluang yang terhampar pada
tahun-tahun mendatang.
Untuk
memilih pemimpin terbaik, rakyat memerlukan maklumat yang tepat. Dalam
kebanjiran maklumat dan berita yang diperolehi dari pelbagai sumber,
rakyat harus bijak menyaring isi kandungan berita yang boleh
dipercayai. IKRAM menasihatkan rakyat agar berusaha mendapatkan
maklumat dan informasi daripada sumber-sumber yang boleh dipercayai,
bertanggungjawab dan berintegriti. Maklumat dan berita yang mengandungi
unsur dakwaan fitnah, pembohongan dan pemujaan pemimpin yang diragui
integritinya sewajarnya diketepikan.
Marilah kita sama-sama berdoa agar perjalanan PRU 13 berlangsung dengan aman dan sejahtera, terhindar dari segala keburukan.
Sekian, selamat mengundi. Negara sejahtera, rakyat bahagia. Wassalam.
Ustaz Dr. Mohd Parid bin Sheikh Hj. Ahmad
Presiden
Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)
No comments:
Post a Comment