Pada tanggal 5 Mei ini, masyarakat Malaysia bakal mengundi untuk memilih pemimpin peringkat negeri dan kebangsaan. Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan.
Debaran terasa... adakah kita mampu memilih pemimpin yang lebih baik dan seterusnya kerajaan yang lebih bersih? Atau mungkinkah kita bakal menerima kerajaan yang sama yang kurang peka kepada kebajikan masyarakat? Kita amat takut kerajaan yang tidak ikhlas membantu rakyat...
Hanya kebelakangan ini, apabila tempoh pemerintahan hampir tamat maka segala jenis bantuan diperkenalkan. Hatta, ketika memegang kerajaan sementarapun masih banyak bantuan diberi dan dijanjikan. Saya kira dalam tempoh setahun dua ini, bilangan atau amaun bantuan melebihi bantuan yang telah kerajaan berikan kepada rakyat dalam masa 10 hingga 20 tahun yang lalu.
Tidak pernah ada bantuan kepada kesemua pelajar sekolah secara keseluruhannya. Dulu pelajar-pelajar terpilih sahaja mendapat bantuan makanan di sekolah. Pelajar-pelajar miskin, disamping mendapat bantuan sarapan pagi, mereka juga diberi bantuan buku teks.
Semua pelajar universiti mendapat bantuan baucer buku. Keluarga yang berpendapatan rendah mendapat bantuan RM500. Pemandu teksi mendapat bantuan pembelian tayar dan banyak lagi bantuan-bantuan yang lain.
Kita takut bantuan-bantuan ini tidak mencapai objektif sebenar. Tujuan kita berbelanja adalah untuk mendapat faedah darinya dan bukan sekadar berbelanja semata-mata. Allah juga menyarankan bahawa setiap amal harus disertai dengan niat yang baik dan ikhlas. Baru amalan itu dikira...
Walau apapun kita sebagai rakyat harus menerima pemberian ini tetapi apabila membuat pilihan nanti, jangan pula terasa terhutang budi. Pilihan adalah hak kita sebagai warganegara di dalam sistem demokrasi.
Kita perlu melihat betapa ramai orang yang dahulunya pegawai tinggi kerajaan tetapi bila bersara mereka memilih untuk menyertai kumpulan yang ingin memperbaiki sistem kerajaan ke arah yang lebih baik. Ada juga dikalangan bekas pemimpin tertinggi parti yang telah meninggalkan parti yang kurang amanah dan berhijrah kepada parti yang lebih menjaga harta rakyat. Di sini tak perlulah saya namakan mereka satu per satu. Dalam dunia siber yang tanpa batas ini, carilah siapa mereka...
Lihatlah laporan audit negara, negeri yang diperintah oleh kerajaan mana yang lebih amanah, lebih cekap, lebih berhemah dan lebih baik belanjawannya. Tidak percayakah kita kepada laporan audit? Kalau kita percaya tetapi masih memilih pemimpin yang rakus mengumpul harta maka sia-sialah peluang yang diberikan kepada kita untuk memilih.
Sesetengah pemimpin sekarang dan yang lepas, saya kira harta mereka cukup banyak. Kalau mereka mati dan dihidupkan kembali ke dunia, mereka masih boleh hidup dengan mewah tanpa perlu bersusah payah mencari harta lagi... Anak cucu mereka boleh hidup tanpa perlu mencari harta lagi!
Pemimpin yang beginikah yang kita mahu atau pemimpin yang mengembalikan sebahagian duit gajinya semula kepada kerajaan yang ingin kita nobatkan nanti?
Pemimpin yang kaya raya ini cukup pandai berlakun di khalayak ramai. Mereka boleh menangis, mereka boleh merayu supaya kita percaya bahawa merekalah pejuang kita. Kita diberi RM500 tetapi mereka dapat RM5 juta!
Saya dengan sedar dan berdasarkan prinsip demokrasi yang diamalkan oleh Malaysia akan mengundi Pakatan Rakyat. Fatwa tentang mengundi calon bukan Islam telah dinyatakan oleh ramai asatizah. Lihatlah fatwa Ustaz Dr Zaharudin, Ustaz Dr Sheikh Parid, dan ramai lagi.
Bagi tuan-tuan, berfikirlah dan buatlah pertimbangan yang sewajarnya. Sesungguhnya kita akan dipertanggungjawabkan nanti apabila kita kembali menemui Allah Azzawajalla...
No comments:
Post a Comment