Saturday, May 25, 2013

Masak Lemak Udang...

Teringat semasa tinggal di rumah sewa ketika 'undergraduate' di USA dulu...

Aku suka memasak kuah lemak... tak kisahlah kuah lemak udang ke, kuah lemak ayam ke, mahupun kuah lemak daging...

Caranya senang aje. Ambil sebiji bawang besar atau 2 ulas bawang merah dan 2 ulas bawang putih. Mayang bawang-bawang tersebut nipis-nipis.

Bersihkan sekilo udang dan toskan. Kalau menggunakan ayam, potong seekor ayam kepada 16 bahagian. Jika sekilo daging digunakan, maka hirislah daging itu kepada 'slice' yang nipis agar ia mudah dimasak dan lembut untuk dikunyah.

Mayang sebiji lada merah dan potong 2 biji kentang. Ketuk sebatang serai dan basuh 2 keping asam keping.

Panaskan periuk dan masukkan sedikit minyak masak. Setelah minyak sudah panas, masukkan bawang besar atau bawang merah yang sudah dimayang nipis. Kemudian masukkan pula bawang putih. Biarkan bawang menjadi sedikit garing.

Selepas bawang hampir garing maka masukkan 2 sudu besar cili boh dan secubit kunyit. Dan masukkan secawan air. Biarkan ia mendidih...

Setelah mendidih maka masukan udang, atau ayam, atau daging. Kemudian masukkan 2 cawan air lagi. Masukkan asam keping, kentang, dan serai ke dalam periuk. Dan jangan lupa untuk masukkan sekotak 200ml santan. Tutup periuk dengan penutupnya dan kecilkan api dan tunggu sehingga ia mendidih...

Sekiranya kita ada belimbing buluh, masukkan 7 hingga 10 biji ke dalam periuk. Kalau tidak, nenas yang masih hijau juga boleh digunakan. Potong nenas sebesar 2 jari dan masukkan 5 hingga 7 keping ke dalam periuk.

Setelah mendidih maka masukkan garam dan gula secukup rasa. Kemudian matikan api dan tunggu selama 5 minit sebelum dihidangkan.

Ummmh memang sedap!!!

No comments:

Post a Comment