Saturday, May 25, 2013

Membawa Pelajar Tahun 1 Ke Perbadanan Putrajaya, KPKT, JPBD & DBKL

Apa yang paling seronok bagi seorang pensyarah ialah apabila pelajarnya dapat memahami apa yang diajar. Pensyarah mencuba sedaya upaya untuk menurunkan segala ilmu di dada.

Menjadi tradisi saya untuk membawa pelajar ke pejabat-pejabat kerajaan bagi menambah ilmu pengetahuan mereka. Kadang-kadang apa yang kita ajar hanya secara teori, dan kadang-kadang apa yang kita ajar sudah 'out of date'. Maka dengan lawatan akademik inilah pelajar-pelajar dapat mendengar penjelasan dari setiap unit yang berkaitan.

Saya telah memberi arahan kepada pelajar-pelajar supaya jangan malu untuk bertanya.

Pada semester ini, pelajar-pelajar saya dari kelas Perancang Bandar dan Desa (merangkumi pelajar-pelajar Pengurusan Harta Tanah dan pelajar-pelajar Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) telah membuat lawatan akademik ke beberapa pejabat kerajaan. Pelajar-pelajar yang seramai 70 orang itu terdiri dari pelajar-pelajar Tahun 1 dan berketurunan melayu, cina, kadazan, dan iban. Boleh dikatakan 3/4 dari kelas adalah siswi. Kemana hilangnya siswa dewasa ini?

Pengarah program ini ialah Ezzati binti Tarmidi. Beliau menggantikan pengarah lelaki yang gagal melaksanakan tugasan ini.

Saya telah bergerak awal dengan pajero fakulti pada pagi Ahad (12 Mei). Pelajar-pelajar akan menaiki 2 buah bas, jam 6.30 petang, pada hari yang sama.

Pada bulan Mac, saya juga telah membawa pelajar-pelajar tahun akhir untuk lawatan akademik ke Putrajaya. Pada masa itu, saya menaiki bas bersama dengan pelajar-pelajar, kononnya ingin menjimatkan duit kerajaan.

Tetapi kadang-kadang kita tak perlu berjimat sangat kerana menaiki bas UTM memerlukan kesabaran yang tinggi, melayan kerenah pemandu. Bukan pemandu yang perlu menjaga hati pegawai tetapi sebaliknya pegawai yang kena jaga hati pemandu. Begitulah hakikat pemandu UTM... Bukannya semua pemandu begitu tetapi ada jugalah...

Walaupun saya sudah tidak mampu untuk memandu 'direct' ke Kuala Lumpur tetapi berhenti-henti 5-6 kali kerana mengantuk, saya rasa lebih tenteram dari terpaksa mendengar pemandu bas memarahi pelajar kerana sedikit kesalahan kecil.

Destinasi pertama kami pada jam 9 pagi, hari Isnin (13 Mei) ialah Perbadanan Putrajaya. Saya keluar dari Hotel Quality jam 7 pagi untuk mendapatkan bas pelajar. Kaki pula terasa sakit... mungkin 'gout'. Jadi, dari terpaksa memandu pajero dari KL ke Putrajaya dengan kaki sakit, elok aku tumpang bas aje.

Pelajar-pelajar menginap di hostel di Setiawangsa, di kawasan tanah runtuh yang merosakkan rumah Dr Jamaluddin Jarjis, dan beberapa orang besar UMNO yang lain.

Di Perbadanan Putrajaya, kami ditayangkan video korporat Putrajaya. Banyak fakta-fakta yang diperolehi pelajar. Selesai sesi penerangan dari Mr Sim, pegawai perancang bandar lulusan UTM, kami dijamukan dengan kuih muih sebelum membuat lawatan ke pejabat Perdana Menteri, kediaman Perdana Menteri dan Taman Botani.

Kami makan tengahari di kedai makan yang berhampiran. Selesai makan kami ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memenuhi temujanji yang ditetapkan pada jam 2.30 petang.

Di KPKT, kami diisi dengan dua ceramah; satu dari KPKT sendiri yang berkaitan dengan perumahan negara, manakala satu lagi dari Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) yang menerangkan perkembangan perancangan bandar dan desa di negara kita.

Selesai program kami dihidangkan dengan kudapan. Setiap pejabat kerajaan yang dilawati begitu tinggi sekali 'hospitality' mereka.

Kami mengerjakan solat jamak ta'khir serta qasar di Masjid Besi Putrajaya, iaitu solat Zohor 2 rakaat kemudian disusuli dengan solat Asar 2 rakaat.

Ada 2 pendapat mengenai solat jamak ta'khir ini. Ada yang mengatakan kita kena mendirikan solat Asar dulu kerana sekarang sudah waktu Asar dan disusuli dengan solat Zohor. Ada pula yang mengatakan kita perlu mengikut susunan solat iaitu solat Zohor sebelum solat Asar. Apapun buatlah mengikut pendapat yang mana-mana, asalkan solat terlaksana! Jangan kita suka berpolemik tetapi akhirnya solat tak juga dilakukan...

Kami sampai ke Setiawangsa menghampiri jam 8 malam. Aku pula berjanji untuk mengadakan sesi ulangkaji matapelajaran jam 9 malam di kediaman pelajar.

Aku memandu pajero balik ke Hotel Quality untuk mandi. Selesai mandi, aku bergerak semula ke tempat penginapan pelajar. Jam sudah menunjukkan 9.30 malam.

Aku banyak bertanyakan pelajar-pelajar tentang apa yang dipelajari dari lawatan pada hari ini. Pelajar-pelajar juga menanyakanku apa yang mereka kurang faham.

Setelah lebih sejam di sana, aku bergerak pulang ke hotel kerana esok pagi kami akan ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pula. 

Di DBKL, kami dibawa ke bilik kawalan trafik di aras 3. Di sini pelajar-pelajar ditunjukkan bagaimana bilik kawalan ini mengawal lampu isyarat di sekitar Kuala Lumpur. Kemudiannya, pelajar-pelajar diberi taklimat tentang pelan pembangunan DBKL.

Akhirnya, kami dijamu dengan makan tengahari. Sesi di DBKL berakhir sekitar jam 12.30 tengahari.

Pelajar-pelajar yang sudah 'check-out' dari tempat penginapan mereka sejak pagi tadi mula bergerak ke Time Square. Aku pula bergegas ke hotel untuk 'check-out' dan bergerak pulang ke Skudai...

Hasil dari laporan yang ditulis pelajar, mereka sangat seronok dengan lawatan akademik ini dan mereka mengharapkan ada lagi lawatan seumpama ini di masa hadapan.

No comments:

Post a Comment