Friday, May 10, 2013

Penipuan Pilihanraya?

Saya ingin memberi sedikit penerangan tentang perjalanan pilihanraya supaya masyarakat jelas apa yang berlaku.

Memang... Setiap pihak akan cuba menyalahkan pihak yang lain jika mereka tidak menang! Pada saya pula, saya ingin melihat proses pilihanraya berjalan secara telus, bersih dan tidak boleh dipertikaikan kesahihan keputusannya.

Saya tidak berpihak kepada BN dan tidak juga berpihak kepada PR tetapi saya menyokong keintegritian sesuatu proses.

Baiklah. Mereka yang melaksanakan perjalanan PRU adalah mereka yang dilantik oleh SPR. Jika sekolah adalah premis tempat pengundian maka guru-guru sekolah tersebut merupakan pegawai-pegawai SPR. Jika tempat mengundi dibuat di Balai Polis (contohnya, untuk pengundian awal) maka pegawai SPR mungkin terdiri dari staf Pejabat Tanah dan Daerah.

Tempat mengundi adalah tempat pengiraan undi (kecuali bagi pengundian awal). Pengundian awal hanya dibenarkan kepada anggota polis dan tentera serta keluarga mereka. Pengundian secara pos pula dibenarkan kepada mereka yang berada di luar negara serta staf SPR yang mengendalikan PRU.

Sebelum proses pengundian berjalan, semua ejen calon sudah berada di tempat pengundian. Mereka akan melihat bahawa tong-tong undi adalah kosong, senarai nama pengundi adalah betul, dan sebagainya. Ejen calon yang berada di pusat pembuangan undi terdiri dari mereka yang mewakili calon. Jika BN, Pas, dan PKR bertanding maka ketiga-tiga ejen ini hadir di tempat pengundian.

Ejen calon melihat segala yang berlaku di bilik mengundi. Nama setiap yang datang mengundi dibaca kuat oleh pegawai SPR supaya setiap ejen dapat menanda bahawa si polan bin si polan telah mengundi. Ejen calon kebiasaannya berganti-ganti. Setiap parti mungkin sudah membuat perkiraan sendiri berapa ramaikah ejen yang perlu ada untuk satu-satu pusat mengundi. Setiap pusat mengundi mungkin ada 5 saluran. Oleh itu, 5 orang ejen setiap calon perlu ada pada setiap masa.

Setelah waktu mengundi tamat, penyelia tempat mengundi akan mengarahkan supaya pintu pagar sekolah ditutup. Pengundi yang masih berada di dalam premis masih boleh meneruskan proses pengundian mereka.

Apabila proses pengundian selesai maka proses pengiraan akan terus dibuat di setiap saluran pusat mengundi. Jika pusat mengundi itu mempunyai 5 saluran maka setiap saluran akan membuat kiraan undi masing-masing. Setiap saluran diketuai oleh seorang Ketua Tempat Mengundi (KTM).

Sebelum pengiraan dibuat, pintu bilik akan ditutup dan semua ejen calon akan berada di dalam bilik bersama-sama dengan pegawai SPR. Pihak polis akan berada di luar bilik bagi mengawasi keadaan.

Setiap saluran mempunyai satu peti Parlimen dan satu peti DUN. Proses pengiraan akan dibuat satu per satu. Jika ia dimulakan dengan DUN maka semua kertas undi dalam peti DUN harus dikira semua sebelum ia diteruskan pula dengan peti Parlimen.

Setiap kertas undi akan ditayangkan kepada ejen-ejen calon bagi mengenalpasti undi itu milik siapa. Jika sesuatu kertas undi mempunyai kedua-dua tanda bagi calon A dan B maka kertas undi tersebut ditolak. Tetapi sekiranya kertas undi tersebut mempunyai sedikit keraguan, contohnya, dipangkah untuk calon A tetapi ada sedikit lelehan dakwat di calon B maka kertas undi ini akan dimasukkan ke dalam kotak ragu.

Dengan kata lain, di depan pegawai SPR dan ejen calon ada 5 kotak. Kotak pertama diisikan dengan longgokan kertas undi yang belum dikira, kotak kedua untuk disi kertas undi milik BN, kotak ketiga untuk diisi kertas undi milik Pas, kotak keempat untuk diisi kertas undi ragu dan kotak kelima untuk diisi kertas undi yang ditolak.

Kertas undi di dalam kotak ragu akan dilalui sekali lagi supaya konsensus dicapai siapakah pemilik undi tersebut. Pegawai SPR dengan sedaya upaya mencuba untuk meminimakan bilangan kertas undi yang rosak. Walau bagaimanapun setiap ejen calon mempunyai hak untuk menolak mana-mana kertas undi yang meragukan. Di dalam PRU13 yang lalu, terdapat lebih 300,000 undi rosak.

Setelah pengiraan undi selesai (kertas undi diikat sepuluh sepuluh kemudian seratus seratus), KTM akan mencatat bilangan undi yang diperolehi oleh setiap calon ke dalam Borang 14. Di sini setiap ejen calon akan menurunkan tandatangan sebagai tanda setuju.

Kertas-kertas undi akan dimasukkan kembali ke dalam peti undi dan di'seal'kan. Ejen-ejen calon perlu menandatangani di 'sticker' yang ditampal di lubang peti undi tersebut. Dengan kata lain, tiada siapa yang boleh sewenang-wenangnya membuka peti undi tersebut tanpa hadirnya ejen-ejen calon yang telah menandatanganinya.

Peti-peti undi bersama borang 14 akan dibawa ke tempat penjumlahan undi. Seluruh peti-peti undi bagi kawasan parlimen dan DUN ini dibawa ke sini. Ia dibawa dengan kenderaan dan di'escort' oleh polis.

Keselamatan peti undi bukan lagi perkara utama kerana keputusan kiraan undi sudah diperolehi.

Ia berbeza dengan zaman dahulu dimana peti-peti undi dari pusat pengundian dibawa ke satu dewan lain untuk pengiraan. Pada zaman ini, peti-peti undi mesti dijaga betul supaya peti undi yang sama sampai di tempat penjumlahan undi.

Pegawai SPR, kebiasaannya Pegawai Daerah akan memeriksa borang 14 dan seterusnya memberi borang tersebut kepada pegawai lain untuk dimasukkan ke dalam komputer. Calon dan ejen calon dapat melihat setiap 'updating' undi yang dipancarkan ke skrin.

Setelah semua jumlah undi diperolehi dari semua saluran pusat mengundi maka akan terpampanglah siapa yang menang dan di sinilah Pegawai Daerah akan mengisytiharkan pemenangnya.

Pada pemerhatian saya, tiada unsur-unsur penipuan berlaku. Cuma, sekiranya pihak SPR ingin mengelakkan dari sebarang unsur fitnah berlaku maka eloklah undi awal dikira dahulu. Sekiranya tidak boleh maka pihak SPR seharusnya membenarkan ejen calon untuk mengawasi peti undi awal di dalam lokap. Penambahbaikan yang kedua ialah dakwat kekal mestilah berkualiti dan ia boleh bertahan selama 5 hari seperti yang dijanjikan.

1 comment:

  1. It is all over. I am concerned for the younger generations. Would they enjoy what we have, or lose because we fail to appreciate Quranic order to maintain Islamic unity, whatever the situation may be?

    ReplyDelete