Sunday, August 17, 2014

Sukan Antara Universiti

Bermula dari minggu lepas kampus UTM Skudai dipenuhi dengan bas dari pelbagai universiti awam. Nampak logo bas USM, UMK, UM, UKM, UUM, dan sebagainya. Meriah. Sungguh meriah dalam suasana kampus yang masih kosong kerana pelajar-pelajar yang sedang bercuti.

Pelbagai acara dipertandingkan. Semua dianggotai oleh staf universiti masing-masing. Tetapi apa tujuannya ya? Adakah untuk melahirkan pemain atau atlit mewakili negara dalam pelbagai sukan di peringkat komenwel atau sebagainya? Atau untuk merapatkan hubungan silaturrahim di antara staf universiti? Sayapun kurang pasti.

Yang pasti, tidak sedikit wang yang dibelanjakan terutama seperti UNIMAS atau UMS. Tiket kapalterbang saja, saya rasa sudah menelan belanja beberapa ratus ribu ringgit? Belum lagi terpaksa menyewa bas untuk pergerakan di sini.

Yang paling menyedihkan ialah tiadapun siaran TV yang tertarik untuk membuat siaran langsung atau siaran tertunda bagi menonjolkan atlit-atlit kita. Setidak-tidaknya, buatlah liputan untuk sehari dua. Ini bukan sukan satu universiti tetapi semua universiti awam di negara kita!

Pada pandangan saya yang cetek ini, kita tidak perlu membuat perlawanan sukan antara staf tetapi yang teramat penting ialah perlawanan sukan antara pelajar universiti.

Kenapa antara pelajar?


Pada saya, pelajar masih muda dan boleh dibentuk untuk mewakili negara. Sediakan biasiswa untuk diberikan kepada pelajar yang berkebolehan di bidang sukan. Pegawai sukan universiti akan memerhati potensi pelajar-pelajar di sekolah-sekolah terpilih.

Adakan pertandingan bagi acara-acara sukan popular sepanjang semester di universiti. Antaranya adalah bolasepak, badminton, bola tampar, bola keranjang, bola jaring, kayak dan sebagainya. Buatkan jadual berkala supaya setiap universiti akan berlawan di 'home ground' dan juga 'away'.


Ini baru meriah! Universiti bukan sahaja tempat menimba ilmu pengetahuan tetapi juga merupakan tempat melahirkan atlit negara.

Dari acara sukan yang diperkenalkan, ia akan menyebabkan 'spin off' kepada industri. Industri Kecil dan Sederhana (IKS) akan menyebabkan ekonomi berkembang. Peluang-peluang pekerjaan akan terwujud secara tidak langsung. Jualan t-shirt dan cenderahati universiti akan bertambah dan begitu juga barang-barang 'souvenirs' yang lain.

Setiap universiti akan cuba merekrut pelajar yang cemerlang bukan sahaja dari aspek akademik tetapi juga dari bidang sukan.

No comments:

Post a Comment