
Pada 29 Mei 2010, Perbarisan Timbalan Komandan diadakan di Padang Kawad PALAPES UTM. Perbarisan seumpama ini biasanya dilakukan apabila sesebuah pasukan ingin keluar berjuang! Pasukan PALAPES UTM akan ke USM bagi menghadiri Upacara Istiadat Pentauliahan Diraja yang akan berlangsung dari 30 Mei hingga 12 Jun 2010. Majlis Pentauliahan kepada pegawai muda akan dilangsungkan pada 12 Jun oleh Raja Perlis.
Di Perbarisan Timbalan Komandan (yang sepatutnya Perbarisan Komandan tetapi Komandan mempunyai tugas lain), aku menerima Pingat Kebaktian (P.K.). Pingat Kebaktian diberikan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada mereka yang telah berkhidmat di dalam pasukan sukarela bagi tempoh 12 tahun.

Pingat kepada mereka yang berkhidmat di dalam pasukan tentera dan polis adalah amat berharga. Maksud berharga di sini bukan dari segi nilaian kos atau elaun kerana tiada apapun yang diperolehi dari segi balasan wang ringgit, malah mereka terpaksa berbelanja pula untuk membeli pingat untuk disematkan di baju mereka.
Tetapi perasaan bahawa kita dihargai! Negara menghargai penglibatan kita dalam pasukan ATM atau polis walaupun secara sukarela. Itu yang penting!!!

Cuma kepada mereka yang berkhidmat secara sukarela kadang-kadang mereka merasa terkilan. Terkilan kerana tiada pingat yang dianugerah kepada mereka, baik oleh Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong mahupun Raja-Raja. Jika melihat kepada anggota tetap, berpapan-papan pingat di dada mereka...
Pernah aku mewakili Komandan ke mesyuarat Komandan-Komandan di UKM. Seorang Pegawai Waran I memberi tabik hormat kepadaku kerana aku berpangkat Mejar kemudian secara perlahan beliau menanyaku, "Tuan tak ada apa-apa pingat ke? Kenapa tidak pakai Pingat P.P.A.?", setelah melihat tiada satu pingatpun di dadaku. Aku hanya mampu tersenyum kepada Encik Regiment Sargent Major (RSM) sambil berkata, "Tak layak Encik!" "Prebetpun pakai Pingat Perkhidmatan Am (P.P.A)... takkan Mejar tak pakai apa-apa...", balasnya lagi.

Begitulah nasib seorang pegawai tentera sukarela. Jika Komandan, Timbalan Komandan, dan Ketua Jurulatihnya tidak prihatin dan tidak mengambil kisah tentang pegawai bawahannya alamat tiada pingatlah yang dapat disematkan dibaju pegawai sukarela.
Dulu, banyak juga kemudahan diberikan kepada Pegawai Tentera Sukarela... Dengan menunjukkan Bat.C 20, mereka mendapat tambang konsesi bagi pengangkutan keretapi dan kapal terbang. Tetapi sekarang sudah tiada lagi...
Kerajaan menggalakkan masyarakat menyertai Askar Wataniah (AW), malah menyarankan supaya setiap kawasan parlimen ditubuhkan pasukan AW. Tetapi tidak banyak kemudahan atau penghargaan diberikan kepada kami...
Itulah Askar Wataniah!!!