Thursday, November 4, 2010

Haram Menderhakai Ibu, Membunuh Anak, Tidak Menunaikan Hak, Menuntut Bukan Hak, Bercakap Sia-Sia, Banyak Bertanya, Dan Membazir


Diriwayatkan daripada al-Mughirah bin Syu'bah (RA) daripada Nabi (SAW), Baginda bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengharamkan ke atas kamu menderhakai ibu, menanam anak perempuan hidup-hidup, enggan memberikan hak yang wajib dan menuntut sesuatu yang bukan hak kamu. Allah juga membenci bagi kamu perbuatan bercakap (perkara sia-sia dan mungkar), banyak bertanya dan membazirkan harta." (Bukhari & Muslim)

Nabi (SAW) hanya menyebut menderhakai ibu, tanpa menyebut bapa, sedangkan menderhakai bapa adalah sama dengan menderhakai ibu. Cuma menderhakai ibu adalah lebih keji kerana ibu telah mengandungkan mereka dan ibu adalah lemah berbanding bapa.

Perbuatan membunuh anak perempuan selalu dilakukan oleh golongan jahiliyyah. Orang pertama yang melakukannya ialah Qois bin 'Ashim at-Tamimi. Salah seorang musuh Qois telah menyerangnya lalu menawan anak perempuannya. Kemudian musuh itu menjadikankan anak perempuan Qois sebagai isterinya. Selepas berlaku perdamaian, Qois memberi pilihan kepada anak perempuannya (antara kembali kepadanya atau kekal bersama suaminya). Anaknya memilih untuk terus bersama suaminya. Lantaran itu, Qois telah bersumpah pada dirinya bahawa setiap anak perempuannya yang dilahirkan akan ditanam hidup-hidup. Kemudian perbuatan itu telah diikuti oleh orang Arab. Qois terus hidup sehingga sempat memeluk Islam dan mendapat status sebagai sahabat Nabi (SAW).

Ada juga yang membunuh anak lelaki atau perempuan kerana sayangkan harta takut berkurangan atau kerana tidak mempunyai harta untuk menyara mereka.

...Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana bimbangkan kefakiran. Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka semua... (al-An'am; 151)

Dan apabila dikhabarkan kepada seseorang daripada mereka tentang kelahiran anak perempuannya, mukanya berubah kehitaman (seperti muka orang yang berdukacita), dalam keadaan susah hati sepenuhnya. Dia bersembunyi daripada kaumnya kerana (merasa malu disebabkan) berita buruk yang disampaikan kepadanya itu (sambil berfikir): adakah dia akan memelihara anak itu dalam keadaan menanggung kehinaan, atau dia akan menanamnya hidup-hidup di dalam tanah? Ketahuilah, sungguh jahat apa yang mereka hukumkan itu. (an-Nahl; 58 & 59)

Dan apabila anak perempuan yang ditanam hidup-hidup ditanya: "Dengan dosa apakah dia telah dibunuh?" (at-Takwir: 8 & 9)

Allah (SWT) juga mengharamkan ke atas kamu perbuatan menghalang atau enggan memberikan apa yang wajib kamu berikan (kepada orang yang berhak). Allah (SWT) juga mengharamkan ke atas kamu perbuatan menuntut sesuatu yang tidak harus kamu mengambilnya.

Allah (SWT) juga membenci kata-kata yang sia-sia yang dibualkan di pelbagai majlis.

Allah (SWT) juga membenci perbuatan:
a. Banyak bertanya tanpa sebarang keperluan.
b. Atau banyak bertanya mengenai persoalan-persoalan yang tidak diperlukan.
c. Atau banyak bertanya tentang sesuatu ilmu, bukan untuk mendapat kepastian dan pengetahuan, tetapi untuk menguji, bertengkar dan berdebat.
d. Atau banyak bertanya tentang hal-ehwal orang lain, tanpa mempedulikan keadaan mereka.

Allah (SWT) juga membenci perbuatan membazirkan harta, dengan membelanjakannya pada perkara yang tidak diizinkan syara' dan membelanjakan harta yang banyak bagi tujuan yang remeh dan sedikit.

No comments:

Post a Comment