Monday, November 8, 2010

Sedih Melihat Layanan Orang Tua Terhadap Anak-Anak Ke Masjid...

Abang dan Achik berpuasa hari ini. Aku memaklum pada abang kalau kita bergerak dari rumah sebelum pukul 8, kita akan ke Masjid Sultan Ismail (UTM) untuk menunaikan solat Isya', kalau selepas pukul 8 alamatnya Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama aje.

Anak-anak memang suka ke MSI, mungkin kerana sudah terbiasa sejak aku menjadi felo di Kolej Siswa Desa Skudai (1996) lagi, kami ke MSI untuk berjamaah. Apabila aku mengarahkan kereta ke surau atau masjid lain, maka berbunyi bisinglah di belakang.

Sebenarnya, elok juga kita membiasakan diri dengan masjid atau surau yang lain selain dari masjid 'favourite' kita... supaya kita tidak merasa kekok atau asing dimana-mana Rumah Allah. Semuanya sama, cuma ada yang lebih selesa kerana lebih luas, lebih bersih, 'toilet'nya banyak, ahli jamaah yang datang solat lebih 'kids friendly', dan banyak lagi faktor. Dengan kata lain, faktor jarak dari rumah tidak menjadi faktor utama. Kalau dekat tetapi kita tidak merasa selesa, aman atau 'at ease' pun susah juga.

Semasa hendak solat Isya' tadi, aku nampak ada seorang hamba Allah menghalau Rasyid dan Syakir yang berada di barisan belakang supaya berundur jauh ke belakang. Dengan kata lain, dia ingin melihat budak berdua ini mungkin berada 10-15 meter di belakang, jauh dari saf orang bersolat. Aku sudah sentuh mengenai isu ini dalam penulisanku dulu... Tapi aku tulis lagi, untuk melepaskan perasaan.

Pakcik yang menghalau itupun tak pernah aku nampak di MSI sebelum ini. Datang masjid setahun sekalipun.... astagfirullah...

Yang menyedihkan aku, cara dia menghalau budak-budak tu, macam halau ayam. Apa perasaan budak 9 tahun dan 6 tahun itu? Jika pengalaman buruk itu melekat di fikirannya, hendak ke budak-budak tu datang masjid lagi?

Atau masjid ini hanya perlu didekati oleh orang-orang tua yang menunggu masa aje?

Sedangkan kita hendak anak-anak terbiasa dengan masjid... Kita juga tahu pasal hadis yang menceritakan anak muda yang bertaut hati dengan masjid begitu besar sekali ganjarannya. Orang muda bukan orang tua! Orang tua memanglah kerana dia merasa dirinya sudah dekat hendak menemui Penciptanya. Kalau orang tua masih jauh dengan masjid atau datang setahun sekali aje, agak susah hendak cakap!

Gelagat sesetengah manusia yang mengaku Islam, kadang-kadang memburukkan lagi agama yang suci ini. Itu baru anak-anak, kalau orang kafir yang ingin mendekati Islam dan cuba melihat suasana di dalam masjid, mungkin diherdiknya atau dilarang sama sekali memasuki masjid.

Astagfirullahal 'azim, cubalah rasional sikit. Kadang-kadang manusia seperti itu mengalami apa yang dia buat itu semasa dia kecil dulu.

Masa dia kecil-kecil dulu, dia datang masjid, bukan hendak solat tetapi bergurau senda dengan kawan-kawan dan membuat bising. Apabila kena marah terus tidak datang dan baru sekarang datang balik... Dan sekarang ini, dia ulang balik apa yang orang tua dahulu kala lakukan kepadanya.

Kalaulah kita begitu taksub dengan pegangan kita, apa salahnya cakap elok-elok pada kanak-kanak itu supaya dia tidak terasa hati. Budak-budakpun mempunyai perasaan... Masyarakat Arab di MSI tak kisahpun anak-anak mereka bersolat bersebelahan mereka, baik semasa solat Jumaat mahupun solat biasa...

2 comments:

  1. hmm...betul jugak cakap pakcik...

    selalu gak ana nampak perkara macam ni berlaku..

    terutama di masjid-masjid besar...last-last, budak2 kecik ni bila dah besar makin jauh dengan masjid dan solat...

    sedih...mungkin kita boleh lakukan sesuatu untuk tangani masalah ni...??

    ReplyDelete