Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Sunday, November 14, 2010
Ihtifal SRIH 2010
Pada 13 November 2010, berlangsung Hari Ihtifal Sekolah Rendah Islam Hidayah, buat kali ke 21. Ya, sudah lama SRIH beroperasi... Alhamdulillah, hasil keringat pakcik-pakcik terdahulu maka telah lahir beribu-ribu pelajar dari sekolah yang bersepadu ini.
Tanpa usaha pakcik dan makcik yang melihat perlu adanya sekolah yang bersifat 'integrated' antara kurikulum biasa dan deeniyah, maka sudah pasti ramai di kalangan anak-anak akan belajar di sekolah biasa saja.
Hasilnya, disamping anak-anak cemerlang dalam matapelajaran aliran biasa (seperti Kimia, Fizik, Matematik Tambahan, dan lain-lain), anak-anak juga faham dan arif tentang selok belok agama Islam (Tauhid, Fiqh, Seerah, Hafazan, dan lain-lain).
Tamat Darjah 6 di SRIH, sudah boleh menghafal seluruh juzuk 'Amma dan 5 surah terpilih (seperti Al-Waqiah, Yaasin, Al-Mulk, dan sebagainya).
Zaman pakcik makcik jauh sekali... Kami hanya membuat hafazan tentang perkara yang bukan-bukan.
Pakcik masih ingat semasa di Darjah 5 atau 6, yang mana sekolah mengadakan Minggu Kesedaran Bahasa Inggeris. Oleh itu, pelajar diminta menghafal lagu-lagu Inggeris. Kerana katanya menghafal lagu lebih senang kerana seiring dengan naluri manusia yang sukakan hiburan. Jadi, kalau hendak pandai Bahasa Inggeris kena banyak dengar atau hafal lagu Inggeris!!!
Apa lagi, pakcik pergi ke rumah sepupu yang mempunyai piring hitam lagu Beatles. Apa itu piring hitam, anak-anak mungkin tidak pernah melihatnya? Setelah dicari satu lagu yang senikatanya agak mudah maka pakcik pun mula menghafalnya. Sambil menghafal sambil menangis kerana susah hendak ingat dan takut cikgu panggil ke depan perhimpunan nanti untuk menyanyi lagu tersebut.
Emak saudara menasihatkan ku supaya membaca ayat kursi dan insyaAllah, Allah akan lindung kita dan mudah-mudahan nama kita tidak dipanggil ke depan untuk menyanyi. Nak hafal lagu Beatles lagi... Nak hafal ayat al-Kursi lagi...
Anak-anak kita darjah 1 sudah ingat ayat al-Kursi kerana selalu dibaca dalam al-Ma'tsurat... Itulah bezanya zaman pakcik dan makcik dengan zaman anak-anak.
Di sekolah kita juga, ada satu penilaian lain selain dari UPSR, dikenali sebagai SPPM. Apa itu SPPM?
Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) bertujuan melahirkan insan musleh, yang memiliki akhlak yang terpuji dan bermanfaat kepada orang lain. Mereka menjadi contoh, ikutan dan pembimbing kepada orang lain.
Insan musleh ini boleh dilihat melalui beberapa dimensi kemanusiaan atau konstruk yang hendak dibina dalam diri insan.
Dalam pendidikan peringkat sekolah, pentaksiran yang begini boleh mempertingkatkan sifat musleh dalam kalangan pelajar.
Berdasarkan kepada konsep pentaksiran yang bersepadu, Pusat Pendidikan SRI-SMI Berhad (MUSLEH) telah membangunkan Sistem Pentaksiran Pelajar MUSLEH (SPPM) ini.
SPPM menggabungkan proses penilaian formatif dan sumatif merangkumi kognitif dan bukan kognitif.
SPPM adalah sebahagian daripada proses pengajaran dan pembelajaran yang berterusan.
Langkah penggubalan instrumen pentaksiran bermula dengan mengenalpasti kategori atau ciri insan yang penting dalam diri insan yang musleh yang selari dalam setiap kategori.
SPPM terdiri dari lima (5) bidang iaitu:-
1 - Bidang Ilmu
2 - Bidang Kemampuan
3 - Bidang Ibadah Khusus
4 - Bidang Iman
5 - Bidang Akhlak
Itulah bezanya sekolah anak-anak kita dengan sekolah kita.
Wahai anak-anak, doakanlah ke hadrat Allah SWT semoga segala usaha pakcik dan makcik yang berkorban harta, tenaga, dan masa demi menjayakan sekolah kita diberi ganjaran yang setimpal. Tanpa usaha mereka, anak-anak kita tidak mampu berada di mana mereka berada sekarang...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment