Tuesday, February 7, 2012

Al-Ikhlas - Drama TV Sempena Maulidur Rasul

Seronok tengok sebuah drama TV bertajuk al-Ikhlas sempena Maulidur Rasul. Ia berkisar tentang kisah seorang lelaki yang kematian isteri. Lelaki ini begitu ikhlas mengerjakan sesuatu.

Di kampungnya, dia mengambil upah membersihkan kebun pisang, menjual daun pisang, dan pelbagai pekerjaan kampung yang lain. Upahnya dia tidak berkira. Berapa aje orang beri, dia terima. "Asalkan ikhlas!", katanya.

Tidak kurang juga orang mengambil kesempatan diatas keikhlasannya. Malah ada yang mengatakan dia gila!


Di dalam cerita ini juga, dikisahkan tentang seorang anak yang ingin menjual tanah yang mana arwah bapanya telah mewakafkan untuk surau. Walaupun, telah diberitahu kepadanya bahawa arwah bapanya telah mewakafkan tanah tersebut tetapi si anak tetap berdegil!

Akhirnya, tanah tapak surau itu terjual juga kerana tiada perjanjian secara bertulis telah dibuat.

Ini merupakan satu perkara yang boleh diambil iktibar. Wakaf si ayah belum tentu akan dituruti si anak, lebih-lebih lagi jika si anak agak kurang faham tentang agama.


Seelok-eloknya, apabila kita telah mewakafkan tanah atau apa saja maka tindakan memaklumkan kepada pihak berwajib seperti Jabatan Agama perlu dilakukan. Dengan demikian, langkah yang sewajarnya dapat diambil.

Di akhir cerita, si 'ikhlas' yang meninggal dunia telah mewasiatkan supaya tanahnya diwakafkan untuk surau.

Banyak pengajaran dan tauladan yang boleh diambil dari cerita-cerita sebegini berbanding dengan cerita seram dan puaka yang tahyul dan bukan-bukan. Tak tahu apa mesej yang ingin disampaikan dalam drama TV dengan cerita-cerita kurafat itu.


Adakah ia ingin menggalakkan masyarakat bergelumang dengan maksiat dengan mempercayai bomoh dan dukun? Adakah ia ingin menyuruh masyarakat mengamalkan perkara-perkara syirik dan bertentangan dengan agama?

Sayapun tak pasti apa motif dan pengajaran yang boleh diambil dari cerita yang seleweng itu. Yang pasti, mereka yang menulis skrip, berlakon, dan menwar-warkan gejala yang kurang sihat itu akan terpalit sama menanggung dosa!

Kalaulah banyak cerita-cerita seperti al-Ikhlas ditayangkan maka masyarakat akan lebih baik, lebih harmoni, suka membuat kebajikan, menjauhi kurafat, lebih mengenal Allah dan sebagainya.


Hentikanlah cerita-cerita yang entah ada pengajaran mahupun tauladan kepada masyarakat... Ia hanya menambahkan kepercayaan tahyul dan meruntuhkan akidah umat Islam.

Zaman tahyul sudah berlalu... iaitu masa nenek moyang kita belum menganut agama Islam yang suci ini.

Sekarang zaman kita memantapkan akidah. Akidah kita seumpama kulit bawang jika tidak dikemasjalinkan maka ia harus carit terburai...

Ayuh! Marilah kita kuatkan azam untuk meningkatkan iman, dan beramal dengan amalan yang sahih lagi jelas. Kita tinggalkan cerita-cerita pegangan lama yang bakal menjauhi kita dari Rabbul Jalil. Tak ada gunanya...

No comments:

Post a Comment