Aku mendapat mesej tentang pemergian DJ Razak buat selama-lamanya dalam Facebook yang dihantar oleh Ustaz Rofazlin semalam.
Begitulah pemergian seseorang menemui Pencipta, kebiasaannya tiada 'appointment', tiada petunjuk awal, tiada tanda... Tiba-tiba, ia berlaku... Dan fenomena ini pasti akan berlaku lagi kepada kebanyakan dari kita.
Tunggulah, pasti ia akan datang. Tetapi janganlah kita menunggu tanpa membuat persediaan awal. Orang yang mengetahui benda yang pasti berlaku kepadanya tetapi tidak membuat apa-apa persiapan persediaan termasuk dalam golongan mereka yang bodoh atau bebal.
Apabila kita mengetahui bahawa kita akan bermusafir jauh dan sudah barang pasti berlaku, kita akan membuat persediaan yang bersesuaian. Airnya mesti mencukupi, makanannya tersedia, pakaian memadai, dan sebagainya.
Radio IKIM memang menjadi radio pendengaran kami sekeluarga. Sejak terbitnya Radio IKIM, kami dah tak dengar siaran radio lain lagi dah...
Arwah DJ Razak kepada saya, beliau mempunyai identiti tersendiri. Pernah saya memaklumkan kepada Achik tentang lagu latar belakang yang sering dimainkan beliau apabila beliau ke udara. Itulah identiti beliau. Lain dari yang lain...
Saya juga cukup tertarik dengan lagu latar tersebut. Ia menceriakan suasana...
Bercakap tentang kematian ini, saya ada sebuah cerita yang baru dimaklumkan kepada saya oleh seorang kawan.
Kawan saya ini telah memesan beberapa barangan dari Kedai Universiti UTM dengan kuantitinya yang agak banyak kerana beliau terlibat dengan pihak luar yang perlu diberi cenderahati dan sebagainya.
Lanjutan dari itu, seorang petugas dari Kedai Universiti selalu menghubungi kawan saya tanpa mengira waktu untuk mempastikan barangan yang dipesan. Kadang-kadang hari cuti dan kadang-kadang pada waktu malam.
Kawan saya tadi naik rimas dan memarahi staf perempuan tersebut kerana mengganggunya...
Pada hari Isnin baru ni, kawan saya menelefon Kedai Universiti untuk bercakap dengan staf perempuan tersebut.
"Betul ke Encik hendak bercakap dengan dia? Dia baru aje meninggal kemalangan kereta di Kota Tinggi, kelmarin", balas staf lelaki Kedai Universiti.
Kawan saya merasa amat bersalah kerana telah memarahi arwah staf tersebut. Kata saya kepada kawan saya, "You sedekahlah kepada mana-mana pembinaan masjid atau surau dengan niat pahala kepada arwah tersebut".
Inna Lillahi Wainna Ilaihi Raaji'un...
No comments:
Post a Comment