Sunday, February 26, 2012

Statistik Menakutkan...

Berita Harian melapurkan bahawa, menurut rekod dari 2006 hingga 2010, seramai 234, 647 kejadian kelahiran tanpa ikatan perkahwinan di negara ini. Dari jumlah tersebut, 85,079 telah dilahirkan kepada keluarga Islam. Menakutkan ya? Satu pertiga darinya adalah dari mereka yang beragama Islam.

Astaqfirullahal 'Azim. Minta dijauhkan dari terkena kepada anak beranak kita. Sungguh menyedihkan... Dimana silapnya? Adakah kerana tiada didikan agama dari kedua ibubapa? Adakah kerana terpengaruh dengan ajakan atau hasutan kawan? Adakah kerana terpengaruh dengan budaya hiburan yang tiada had limitasinya? Atau kerana tiada apa-apa perancangan atau tindakan pihak kerajaan untuk menanganinya?


Cuba bayangkan, apa yang akan terjadi kepada anak-anak ini? Yang pasti, mereka tidak mempunyai kedua ibubapa untuk mendidik mereka sebaik mungkin nanti.

Perkara ini selalu kita timbulkan... Dicanang sana sini. Dibuat program Anda Bijak Jauhi Zina (ABJZ) dan bermacam-macam lagi. Tidak hanya setakat itu, kita terkedepan dengan menyediakan Raudatul Sakinah, satu tempat persinggahan bagi anak-anak gadis yang terlanjur.


Zina ini tidak mengira latar belakang pelajaran. Yang bodoh, yang cerdik, yang muda, yang tua, yang miskin, dan yang kaya; semua boleh terjerumus ke lembah yang hina ini.

Kita takut ia boleh berlaku kepada diri kita, dan anak cucu cicit kita.

"Dan sesungguhnya, perempuan itu telah berkehendak kepadanya (Yusuf). Dan Yusuf pun berkehendak kepadanya, sekiranya dia tidak melihat tanda (dari) Tuhannya. Demikianlah, Kami paling darinya keburukan dan kekejian. Sesungguhnya, dia (Yusuf) termasuk hamba Kami yang terpilih." (Yusuf; 24)


Ayat ini tidaklah menunjukkan bahawa Nabi Yusuf (A.S) mempunyai keinginan yang buruk terhadap perempuan itu, tetapi godaan itu demikian besarnya sehingga sekiranya dia tidak dikuatkan dengan keimanan kepada Allah SWT, sudah tentu dia jatuh ke dalam kemaksiatan.

Dalam keadaan masyarakat sekarang, ia sungguh menakutkan. Di universiti-universiti, pelajar tanpa segan silu duduk berdua-duaan, memakai pakaian yang begitu menjolok mata di dalam bilik kuliah, apatah lagi di luar kuliah. Kadang-kadang ke kuliah bertudung baik tetapi terbuka segala-galanya apabila di luar kuliah...


Mereka (siswi) secara tidak langsung menarik perhatian golongan siswa untuk mendekati mereka. Bertudung kepala tetapi badan dibungkus dengan begitu ketat sehingga menampakkan bentuk badannya.

Kucing mana tidak mahu menerkam ikan yang bermain-main di depannya. Sungguh alimlah kucing itu, jika dia berupaya mengalih perhatian dari ikan yang galak itu.

Kita disuruh supaya menjauhi zina. "Dan janganlah kamu mendekati zina; (zina) itu sesungguhnya suatu perbuatan keji, dan suatu jalan yang buruk." (Al-Isra'; 32)


Ajaklah kawan-kawan kita supaya takut akan seruan Allah SWT ini. Jangan mudah terpedaya dengan segala janji manis yang diluahkan. Kita takut kerana janji tergadai 'body'!

Saya selalu sebut kepada pelajar-pelajar bahawa apabila kita ke kedai untuk membeli barang, kita selalu 'try' atau cuba memakai pakaian itu, sama ada baju, seluar, kasut, dan sebagainya. Tetapi apabila kita hendak membelinya, kita meminta yang baru, yang belum pernah disentuh atau diusik oleh tangan-tangan lain.

Marilah kita tinggalkan segala bentuk pergaulan yang boleh menjurus ke arah penzinaan. Berkawan itu boleh tetapi jagalah had-had atau batasannya.

Jangan kita menangis di kemudian hari atau menconteng arang ke muka kedua orang tua. Mereka menyayangi kita dengan penuh kasih sayang. Cuma, kadang-kadang kasih sayang ibu ayah tidak jelas kelihatan tetapi nun jauh di sudut hati, kitalah segala-galanya buat mereka.

No comments:

Post a Comment