Mukhayyam 02 telah berlangsung dari 17 hingga 19 Februari 2012 di sekitar Skudai dan Kulaijaya. Seramai 63 orang peserta telah mendaftar tetapi yang betul-betul datang dan menjalani mukhayyam hanyalah lima puluh lebih iaitu hampir 60 orang.
Mukhayyam 02 merupakan mukhayyam yang pertama dilaksanakan pada tahun ini. Seterusnya akan disusuli pula oleh Mukhayyam 01 pada bulan April, Mukhayyam 03, Mukhayyam 04, dan akhir sekali ialah untuk 05 pada bulan September nanti.
Mukhayyam 02 telah kita ubah konsepnya berbanding dengan tahun lepas. Pada tahun lepas, di mukhayyam ini mereka terpaksa berjalan kaki sejauh 30km sebelum melakukan aktiviti-aktiviti lain.
Pada tahun ini, kita ingin peserta mengenali tokoh-tokoh atau orang lama yang berkecimpung dalam dakwah sejak kesekian kalinya. Mereka banyak membantu jamaah suatu masa dulu dan masih aktif sekarang. Sebab itu tema mukhayyam 02 kali ini ialah "Kebersamaan Dalam Perjalanan".
Tokoh-tokoh yang dipilih ialah di kalangan ahli teras kawasan Kulaijaya. Ini bersesuaian dengan kawasan perkhemahan hutan bandar Kulaijaya yang berhampiran. Mungkin jika konsep yang sama diterapkan untuk mukhayyam 01, maka tokoh dari kawasan lain pula akan kita perkenalkan kepada peserta.
Lapan tokoh yang diziarahi oleh lapan kumpulan ialah PM Ustaz Hj Ajmain Safar, PM Hj Zamani Mohd Zain, Hj Mohd Hisham Jaafar, Prof Dr Hj Jasmy Yunus, Hj Ahmad Hisham Ahmad Walat, Dr Hj Ismail Mat Amin, PM Dr Hj Mohd Nor Bakar, dan Ir. Hj Salim Jamiun.
Kita ingin para tokoh berkongsi pengalaman mereka dengan anak muda tentang keterlibatan mereka dalam dakwah. Sejauhmana mereka telah membantu jamaah dan sebaliknya pula sejauh mana jamaah telah membantu mereka? Tujuannya supaya para tokoh dapat menyuntik semangat kepada anak-anak muda untuk kekal istiqamah di jalan dakwah.
Tidak semua mereka yang berdakwah kekal hingga ke akhirnya. Ada yang tumpas di tengah jalan. Ada beberapa individu yang pernah mengajak dan berdakwah kepada saya untuk bersama dengan jamaah tetapi sekarang sudah tidak kelihatan di medan.
Semua kita tahu tentang keperluan berada di dalam jamaah. Tidak perlu saya huraikan lagi. Kalau tidak silap saya, ada hadis nabi (SAW) tentang seekor kambing yang duduk bersendirian lebih mudah dimakan serigala berbanding dengan kambing yang berada dalam kumpulan.
Mukhayyam 02 bermula dengan pendaftaran pada pukul 9 malam. Kemudian, para peserta menghadiri halaqah mingguan IKRAM JBT yang disampaikan oleh Tuan Hj Ahmadon Bakri bertajuk Keselamatan Diri dan Harta.
Pembukaan program telah dilaksanakan oleh Ustaz Hairozi Mohamed selaku masul tarbiah negeri Johor pada pukul 11 malam.
Keesokannya, para peserta bangun untuk qiamul-lail sekitar jam 5 pagi. Selepas solat Subuh, bacaan al-Ma'thurat, dan kuliah Subuh, para peserta bertolak dari Pejabat IKRAM Negeri ke Pejabat IKRAM Kulaijaya untuk sarapan dan persiapan untuk ke rumah tokoh.
Mereka kembali semula ke Pejabat IKRAM Kulaijaya sekitar jam 11.30 pagi untuk mendengar taklimat yang disampaikan oleh Tuan Hj Hassan Hushin berkaitan borang selidik "Johor Bebas Asap Rokok".
Soalselidik ini adalah kerjasama pihak Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Pertubuhan IKRAM negeri Johor.
Selesai makan tengahari dan solat Zohor, mereka bertolak ke destinasi masing-masing untuk mencari responden. Lapan kumpulan tadi telah diatur untuk ke lapan destinasi yang berasingan seperti airport, Pasaraya Mydin, Johor Premier Outlet, Bandar Senai, dan sebagainya.
Mereka kemudiannya diminta untuk melapor diri di Hutan Bandar Kulaijaya sekitar jam 5 suku petang untuk solat Asar dan menjalani 'obstacle course'.
Adapun tujuan utama soal selidik diberikan kepada peserta adalah untuk melatih mereka supaya tidak malu dan segan untuk berdepan dengan pelbagai lapisan masyarakat untuk berdakwah.
Ia juga bertujuan untuk melatih peserta supaya banyak bersabar dalam melayan karenah manusia. Disamping itu, ia juga bertujuan untuk menajamkan kebolehan kemahiran berkomunikasi para peserta. Mereka diperingatkan untuk mendapatkan 7 responden bagi setiap peserta.
Pada petangnya, para peserta menjalani merentas halangan. Halangan-halangan yang ada adalah seperti 'monkey rack', tembok 12 kaki, titi gantung dan sebagainya. Kelihatan beberapa peserta mendapat kecederaan ringan tetapi mereka tetap ceria...
Selepas solat Maghrib dan bacaan al-Ma'thurat, para peserta menjamu selera. Pada kali ini, makanan tidak mencukupi berbanding dengan makanan tengahari yang berlebihan.
Jam 9.15 malam, mereka mula membuat persembahan. Tiga hadiah disediakan untuk tempat pertama, kedua, dan ketiga. Hadiah ini adalah sumbangan dari akhi PM Dr Mat Hussin Yunan.
Pukul 11 lebih, kebanyakan ahli kumpulan mulai tidur dan setengahnya pula terpaksa membuat hirasah secara bergilir, demi menjaga keselamatan barangan dan kenderaan mereka.
Pukul 4.15 pagi, mereka bertolak pula dari Hutan Bandar ke Masjid Ar-Rahman, Taman Putri Kulaijaya. Di masjid, mereka berqiamul-lail.
Kemudian mereka mengerjakan solat Subuh berjamaah dan seterusnya mendengar Kuliah Subuh yang disampaikan oleh PM Ust Ajmain Safar iaitu YDP Pertubuhan IKRAM Kulaijaya.
Selesai kuliah, para peserta dan ahli kariah dijamu dengan nasi lemak ayam. Selepas makan, barulah mereka membuat khidmat masyarakat di sekitar masjid. Ada yang mengelap cermin, membasuh bilik air dan tandas, mengutip sampah, 'vacuum cleaner'kan permaidani, membersih jaring penutup kipas, memotong serai untuk dijual dan sebagainya.
Antara ciri-ciri yang menarik yang ada di sekitar kawasan masjid ini ialah di tepi-tepi pagar ditanam dengan tanaman serai dan pisang. Apabila cukup masa, tanaman ini dituai dan dijual, dan hasilnya masuk ke dalam tabung masjid.
Di dalam kawasan masjid terdapat juga bangunan-bangunan wakaf yang disewakan kepada pengusaha untuk menjalankan perniagaan seperti 'cake and bakery', warung, dan sebagainya. Hasil sewaan tadi akan dipecahkan dua, sebahagian akan masuk ke tabung wakaf iaitu Yayasan Wakaf Malaysia dan sebahagian lagi menjadi sumber pendapatan kepada masjid.
"Ini pentingnya mempunyai pengerusi masjid yang berpendidikan tinggi (sambil merujuk kepada PM Ustaz Hj Ajmain Safar)", ujar tuan kedai warung yang kami singgah bagi meraikan perasmi penutup program Mukhayyam 02.
Pada jam 9.15 pagi, para peserta diminta untuk menulis komen tentang mukhayyam 02 pada kali ini sebelum upacara penutup yang disampaikan oleh Tuan Hj Aminuddin Alias, selaku Pengerusi Belia IKRAM Negeri Johor.
Majlis berakhir sekitar jam 10 suku pagi dengan para peserta dan fasilitator bersalam salaman dan berpelukan sambil memohon kemaafan diantara satu sama lain.
No comments:
Post a Comment