Alhamdulillah pagi tadi berlangsung program bina sahsiah 1/2012 di bilik seminar FGHT. Seramai 30 peserta telah menghadiri ceramah bulanan ini.
Pada kali ini bersempena dengan bulan Rabiul Awal, dan pada hari ini iaitu 3 Rabiul Awal bersamaan 27 Januari, kita telah memberi mandat kepada al-Fadhil Ustaz Hj Idris Ismail untuk menceritakan tentang 'Bukti Kebenaran Nabi Muhammad SAW Sebagai Pesuruh Allah Atau Rasulullah'.
Kenapa perlu dibuktikan kerasulan Muhammad SAW? Persoalan ini telah dijawab oleh Ustaz Idris bahawa kadang-kadang hati manusia itu meminta supaya persoalan-persoalan yang kecil ini dijawab dan kadang-kadang ia adalah mainan syaitan.
Ia seperti persoalan yang dibawa oleh Nabi Ibrahim AS kepada Allah SWT tentang kejadian semula manusia.
Nabi Ibrahim meminta kepada Allah untuk menunjukkan bagaimana Allah mencipta balik manusia sesudah kematiannya. Lalu Allah bertanya, "Adakah engkau masih ragu?". Nabi Ibrahim mengatakan bahawa supaya hatinya bertambah yakin dengan penciptaan Allah!
"Dan ingatlah ketika Ibrahim berkata, "Ya Tuhanku, perlihatkanlah kepadaku bagaimana Engkau menghidupkan orang mati." Allah berfirman, "Belum percayakah engkau?" Dia (Ibrahim) menjawab, "Aku percaya, tetapi agar hatiku tenang (mantap)." Dia (Allah) berfirman, "Kalau begitu ambillah empat ekor burung, lalu cincanglah olehmu, kemudian letakkan di atas masing-masing bukit satu bahagian, kemudian, panggillah mereka, nescaya mereka datang kepadamu dengan segera." Ketahuilah bahawa Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" (Al-Baqarah;260).
Persoalan tentang kerasulan Muhammad SAW perlu diperkukuhkan dengan membaca sirah, mengkaji mukjizat, dan sentiasa membaca selawat kepada baginda SAW.
Mukjizat yang diberikan Allah SWT kepada beliau antaranya ialah;
i) Bulan terbelah
ii) Air terpancar dari jarinya
iii) Tunggul pohon kurma menangis sedih
iv) Makanan yang sedikit mencukupi untuk bilangan yang ramai
v) Isra' dan mi'raj
vi) Al-Quran yang diturunkan kepada beliau
Oleh itu, marilah kita sama-sama mengenangi dan mencintai Rasulullah SAW dengan lebih banyak dan lebih kuat sempena bulan Maulidur Rasul ini dengan membaca sirah ar-Rasul sejak beliau masih kecil sehinggalah beliau diutuskan sebagai Rasul dan seterusnya sehingga baginda wafat. Banyakkan selawat dan salam kita kepada baginda dan keluarga serta sahabat-sahabat baginda SAW. Marilah juga kita pertingkatkan pengamalan perkara-perkara sunnah tinggalan ar-Rasul SAW.
Mudah-mudahan dengan ingatan kita yang mendalam kepada baginda, kita diberikan syafaat di padang mahsyar kelak. Amin ya Rabbal 'Alamin!
No comments:
Post a Comment