Saturday, December 28, 2013

Ya Allah, Aku Terima Qadha' Dan QadarMu...

Alhamdulillah, peperiksaan lisan bagi tesis Phdku telah berlalu pada 26 Disember lepas.

Banyak pengalaman telah aku pelajari dari sesi ini setelah aku melalui sesi yang sama pada tahun lepas. Aku belajar erti persahabatan, aku belajar erti bersyukur, aku belajar erti matlamat kehidupan.


Memang benar kita tidak terlepas dari pengajaran dan pembelajaran sehinggalah kita dimatikan oleh Allah SWT.

Ada orang melalui sesi viva-voce ini dengan mudah, ada orang yang terpaksa menangis untuk mendapat belas ihsan para pemeriksa yang seperti aku kata pada penulisan yang lepas, yang mana mereka (pemeriksa) cuba meniru gaya malaikat Munkar dan Nakir dalam menyoal dan ada yang agak sulit sepertimana yang aku lalui.

Keputusannya ialah aku diberi tempoh 6 bulan untuk memperbaikinya setelah 'external examiner' memberi keputusan B, manakala kedua-dua 'internal examiner' memberi keputusan C.


Dan yang paling menghairankan aku ialah bila 'external examiner' menanya aku secara personal, "Apa masalah 'you' punya 'internal examiners'?"

Dan yang paling malang sekali ialah lima salinan pembetulan yang mempunyai 3 'columns', muka surat mana komen pemeriksa, muka surat mana yang telah aku betulkan dan sebagainya, yang ditandatangani oleh penyelia dan telah aku serahkan kepada Sekolah Pengajian Siswazah (SPS) telah hilang! Dengan kata lain, pihak SPS tidak menyerahkan borang 'itemization of correction' bersama tesis yang telah aku perbetulkan kepada pemeriksa.

Jadi antara komen yang aku dapat ialah "Tiada borang 'itemization of correction'!" Subhanallah, begitu berat sekali ujianmu Ya Allah.

Kalau kita fikir secara logik, bolehkah aku serahkan tesis pembetulan aku tanpa borang 'itemization of correction'? Jawabnya, sudah pasti SPS tidak akan menerimanya!!!

Ya Allah, sesungguhnya aku redha dengan ketentuanMu... Walaupun ujian ini berat tetapi aku bersedia untuk menghadapinya.

Wa makaru wama karallah... Wallahu khairul makirin.

Aku kenal siapa kawan dan aku kenal manusia 'hipokrit'!

Aku hanya mampu berdoa supaya Engkau bukalah hati mereka dan siramilah dengan cahayaMu yang tak kunjung malap dan semoga mereka menjadi manusia yang beriman dan bertakwa kepadaMu. Amin ya Rabbal 'Alamin!

Tuesday, December 24, 2013

Suatu Pandangan...

Kita semua tahu bahawa anak-anak adalah amanah Allah SWT yang dianugerahkan kepada kita. Anak-anak inilah yang kita mengharapkan untuk mendoakan kepada kita apabila kita sudah tiada nanti. Bukan itu saja bahkan kita mendambakan doa mereka semasa kita masih ada bersama.


Pada saya, anak-anak perlu didikan dan asuhan. Kita tidak mengharapkan Tadika atau Taska mengajar anak-anak kita sahaja semasa mereka kecil tetapi ibubapa juga turut berperanan. Kita amat memilih Taska yang Islamik supaya anak-anak kita diajar membaca dan menghafaz bacaan al-Quran dan doa-doa.

Setelah besar, kita menghantar mereka pula ke sekolah-sekolah Islam supaya ada kesinambungan pembelajaran agama.

Kepada ibubapa yang sibuk mencari rezeki, ingin saya nyatakan di sini bahawa 'waktu kecil' anak-anak ini adalah sangat terhad! Mereka hanya mempunyai 12 tahun untuk diasuh dan dimanjakan oleh kedua ibubapa. Setelah mereka memasuki alam persekolahan sekolah menengah, mereka telah membentuk jati diri mereka sendiri, baik dengan asuhan ibubapa mereka mahupun tidak.

Masa alam persekolahan sekolah rendah begitu baik masanya untuk kita membentuk mereka mengikut acuan yang kita kehendaki, bak kata pepatah "Melentur buluh biarlah dari rebungnya!"

Justeru itu, pada pandangan saya seboleh-bolehnya si ibu wajar mengambil tanggungjawab menjaga dan mendidik anak-anak selagi mereka masih kecil. Waktu kecil hanya sekali dan ia tidak boleh diulang!

Ya, mungkin sewaktu di awal 'career' kita, kita tidak mempunyai cukup pendapatan. Maka tiada salahnya kita suami isteri saling bantu membantu bekerja untuk memenuhi keperluan kehidupan. Tetapi setelah ekonomi keluarga sudah stabil, saya berpendapat sewajarnya tugas mencari nafkah diletakkan di bahu si suami dan si isteri kembali mengasuh dan mendidik anak-anak dengan sebaik yang mungkin.

Mungkin si along, si angah dan si alang terpaksa dikorbankan masa kecil mereka tanpa mendapat asuhan dan didikan ibu tetapi janganlah ke semua anak-anak kita, kita biarkan mereka melalui jalan yang sama.


Pada saya, si ibu sepatutnya berehatlah... Kembali melihat tugas asal mereka yang disarankan Tuhan. Pernah kita dengar, tangan yang menghayunkan buaian itu boleh melahirkan seseorang yang boleh menggoncangkan dunia!

Anak-anak yang masih kecil tidak sama jagaannya oleh si pengasuh yang begitu ramai bilangan anak-anak jagaan mereka. Begitu juga anak-anak yang masih kecil tidak sama jika dijagai si ibu berbanding dengan dijagai oleh si abang!

Apa lagi yang kita hendak kejarkan? Mana yang lebih penting, kerjaya kita atau keluarga?

Sekiranya kita mati, esok atau lusa majikan kita dapat mencari pengganti tempat kita. Cuba bayangkan bagaimana perasaan anak-anak kita yang gersang kasih sayang seorang ibu...

Apatah lagi jika kerjaya kita turut menghalang dari kita menziarahi kedua ibubapa dan adik beradik yang berjauhan? Lama-kelamaan hubungan kekeluargaan yang sedia tandus akan menjadi lebih gersang.


Berpadalah. Kita bukannya ingin hidup buat selama-lamanya. Berapa lama lagi baki umur yang kita ada?

Sekiranya kita masih perlu bekerja... bekerjalah seadanya, separuh hari ke? Janganlah si suami bekerja dari pukul 8 pagi hingga 5 petang tetapi si isteri lebih masa kerjanya dari 7 pagi hingga 7 petang!

Sesetengah ibu mereka ingin bekerja kerana sudah tiada lagi anak-anak kecil di rumah. Pun begitu bagi saya berilah peluang pekerjaan kepada generasi muda pula untuk berkhidmat. Berilah peluang kepada mereka untuk berbakti jua!


Si suami ingin merasakan masakan air tangan si isteri dan bukannya masakan dari warung dan kantin sekolah yang dihangatkan semula di rumah! Masakan yang mengambil masa dan bukannya 'instant cook' yang cuma ada rasa masin, manis dan masam tetapi tiada rasa kasih sayang!

InsyaAllah, jika kita berani berkorban Allah akan memberi jalan. Mungkin juga Allah tidak membekalkan biasiswa atau pinjaman kepada sesetengah dari anak kita untuk melanjutkan pelajaran kerana kita merasakan kita perlu bekerja lebih. Kita tidak merasakan Allah SWT yang memberi rezeki tetapi kita yang bertungkus lumus bekerja sehingga mendapat makan setiap bulan.

Allahumma Rabbana Hablana Min Azwajina Wa Zurriatina Qurratu'a yunin Waj Alna Lil Muttaqina Imama...

Sunday, December 22, 2013

Ustaz Bertelagah Sesama Sendiri...

Sejak mutakhir ini, kita melihat ada dikalangan ustaz yang cuba untuk menaikkan nama sendiri dan menjatuhkan nama ustaz-ustaz yang lain. Pada saya, ia suatu perkembangan yang kurang sihat! Di luar sana masyarakat kelaparan dan dahagakan ilmu dari para asatizah. Manakala kita pula, asyik meremehkan ustaz-ustaz yang mempunyai pandangan berbeza dengan kita.

"Oh...ustaz A lulusan bahasa arab dan sastera sahaja dari Jordan. Kemudian sambung buat master dan phd di Malaysia. Dia tidak layak bercakap tentang syariah", kata si ustaz B.

"Kalau berani, kita berdebat! Kalau takut datang Kuala Lumpur, biar saya pergi ke Perlis!", begitu sinis sekali si ustaz B.

Allah... sedih melihat para agamawan yang berlagak sebegini. Kalaulah dia tidak belajar bidang agama dulu, saya agak mungkin dia telah menjadi ketua 'gangster'.

Tak payahlah kita memperli ustaz-ustaz yang lain. Siap sebut namanya sekali. Mana sifat husnul dzan kita sebagai ustaz.


Apabila kita mengajar orang... sedap cakap... jangan buat begitu, tak boleh buat begini. Bila kita sendiri bermuamalah dengan sesama agamawan maka kita lontar segala adab dan kesopanan ke tepi. Maka kita berperang mulut secara terbuka, cabar mencabar. Seolah-olah tiada lagi taraf atau 'title' ustaz yang ada pada kita.

Masyarakat umum di luar sana keliru, bingung dan merasa hairan. Kalaulah ustazpun yang pergi belajar jauh-jauh di negara Arab tentang agama masih bertelingkah dan boleh menghina sesama mereka, samalah dua kali lima dengan aku!


Tak payah aku hendak faham mendalam sangat tentang Islam. Setakat tahu solat, puasa, zakat dan haji dah cukup. Kalau tahu dalam-dalam sangat maka mungkin aku akan menjadi macam ustaz-ustaz ini pula, masing-masing mengata dan menghentam sesama mereka!

Sedihkan! Di luar sana masih ramai yang tak solat 5 waktu dan ada yang tak tahu solat dan mengaji al-Quran, puasapun tak penuh tapi kita sibuk dengan menyalahkan ajaran wahabi dan sebagainya.

Kita panggil Imam Masjidil Haram untuk mengimamkan kita di Malaysia. Beliau mengatakan tidak ada aliran wahabi tetapi mengatakan mereka mengamalkan salah satu dari 4 mazhab iaitu mazhab Hanafi...


Kita pergi Haji dan Umrah, di sana kita ikut imam mereka yang tidak membaca qunut dan mengambil pendekatan tidak batal wudhu bila bersentuh lelaki perempuan semasa tawaf.

Kita ambil juga pendekatan membayar zakat fitrah menggunakan wang dan tidak menggunakan bahan makanan ruji. Cuba bayangkan kalau kita ikut pendekatan Imam Syafie, berapa luas bekas perlu disediakan untuk mengisi beras di masjid-masjid dan surau-surau.

Pada saya, kita tidak perlu untuk menunjukkan bahawa kita lebih alim dari ustaz yang lain. Kita tidak perlu untuk melabelkan ustaz-ustaz yang lain dengan panggilan yang menghina seperti bodoh, bengong dan sebagainya.

Kalaulah orang Islam yang belum berapa faham Islam akan menjadi 'phobia' dan takut untuk mendalami ilmu Islam disebabkan angkara tersebut maka apa akan jadi kepada mereka yang belum Islam?

Fikir-fikirkanlah para ustaz! Jangan kita sendiri yang membuat orang lain lari dari agama fitrah Allah ini...

Sunday, December 15, 2013

Tak Peka Ke Mereka Ini Atau Mereka Sengaja Pekakkan Telinga?

Aku sungguh meluat! Lepas satu, satu, menaikkan harga... Kelihatan seperti apa yang kita suarakan tidak diendahkan sama sekali.

Mula-mula petrol, kemudian gula, kemudian tarif letrik, kemudian cukai pintu, kemudian tambang bas, kemudian tol, kemudian harga rumah, kemudian...

Ada telinga ke mereka atau tuli?

Itulah kesannya BN menang pilihanraya. Lepas 4 tahun nanti, baru dia akan peka semula. Sekarang buat pekak badak aje. Apa orang hendak kata, kata ajelah. Puas bising, senyaplah mereka.

Dan yang aku paling pening apabila melihat si pembaca berita atau si penulis berita. Ada saja 'reasons' atau asbab diberikan untuk menjustifikasikan semua kenaikan harga.

Dah gila ke apa? Kalaulah si penulis skrip dah cukup mewah... fikir juga tentang saudara mara mereka yang mungkin kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.


Aku fikir semua orang terkesan, cuma sikit dan banyak aje! Golongan atasan mungkin tak kisahpun kerana gaji mereka tak luakpun, cukup ditampung dengan elaun-elaun yang gila-gila.

Bagi golongan pertengahan dan golongan bawahan pasti cukup terasa. Aku yang gaji tujuh, lapan ribupun terasa pahit. Terasa pahit kerana tanggungan ramai. Anak sembilan orang. Tak tahulah bagaimana mereka yang mempunyai anak seramai aku tetapi hanya bergaji tiga, empat ribu saja? Mesti lagi parah.

Banyak perkara dalam memberi pinjaman PTPTN dan sebagainya kita tidak peka dengan mereka yang mempunyai anak ramai. Kita kira pendapatannya sahaja.

Mereka yang bergaji RM3,000 tetapi mempunyai anak seorang dua tak sama beban tanggungan berbanding mereka yang bergaji RM10,000 tetapi mempunyai anak 9 orang. Sepatutnya yang bergaji RM10,000 dan beranak ramai perlu diberi pinjaman penuh!

Aku hairan bagaimana cara mereka berfikir?

Masalah kita ialah kita tidak melihat ke bawah. Masa kita susah dulu, kita bercakap sana sini tentang ketidakadilan dan ketidakpuasan hati tetapi apabila kita sudah melonjak naik dan duduk di zon selesa maka kita tidak ambil kisah lagi mereka yang di bawah.

Apa yang kita fikir adalah dulu aku susah juga macam mereka dan sekarang mereka mesti lalui seperti apa yang aku lalui!

Pada pandangan aku yang cetek ini, semua kenaikan harga berpunca dari kenaikan harga petrol! Apabila harga petrol naik maka semua perkara terkena tempiasnya. Ia seperti domino effect yang saling kait mengait diantara satu sama lain.

Tengoklah nanti... bila rakyat makin marah maka dia akan hulurkan BR1M. Rakyat akan diam. Dan harga barangan akan terus naik. Rakyat marah kembali maka dia naikkan sedikit elaun. Rakyat kembali diam. Itulah sedikit gula-gula yang diberikan.

Tetapi habuan mereka akan terus naik! Hasil dari keuntungan GLC itu dan ini maka mereka tetap macam biasa. Itulah pemerintah negara.

Friday, December 13, 2013

Pengajaran Buat Mereka Yang Berfikir...

Hari ini kelas pukul 8 pagi. Aku bertolak dari rumah sekitar jam 7 pagi. Datang awal sebabnya nak belek-belek soalan 'final exam' dulu, 'so' nanti boleh beri 'hint' kepada pelajar topik apa yang akan masuk 'final exam'. Bila sampai ke pejabat maka bersiap-siaplah apa yang patut. Hari ini sepatutnya ada seorang lagi yang perlu 'present' tugasan yang dibuat.


Aku masuk kelas jam 8 pagi. Dalam kelas baru ada 3 atau 4 orang. Sementara menunggu 'presenter', pelajar-pelajar yang lain datang. Ada berdua, ada bertiga dan ada juga yang datang seorang seorang. Dalam bahasa askar kedatangan mereka ini amat tidak disukai iaitu kedatangan yang dipanggil 'sehelai', 'sehelai'!

Kepada yang datang lewat, aku berseloroh supaya mereka membuat ketuk ketampi atau 'push-up'. Tiada siapa yang buatpun kerana mereka tahu bahawa aku bergurau!

Nampaknya beberapa pesananku di awal semester hanya sudah tinggal pesanan. Tiada siapa lagi yang menurutinya.

Antara pesananku adalah; Saya tidak suka orang datang lewat ke kelas kerana dia akan mengganggu konsentrasi orang lain, baik saya mahupun rakan sekelas. Kedua, saya tidak mahu melihat sesiapa saja yang memakai baju t-shirt tanpa kolar dalam kelas. Semua baju mesti berkolar! Tujuannya hanyalah untuk mengelakkan pelajar cina memakai pakaian menjolok mata. Walaupun ditujukan kepada pelajar cina perempuan tetapi dipukul ratakan semua supaya peraturan tidak nampak seperti rasis!

Banyak lagilah yang aku terangkan apa yang aku suka dan apa yang aku tak suka. Semuanya berkaitan dengan peraturan asrama dan AUKU.


Dulu masa muda-muda selalu juga aku tak benarkan mereka yang datang lewat dari memasuki kelas. Begitu juga yang pakai baju tanpa kolar, aku suruh mereka balik tukar baju. Dengan kata lain, peraturan yang dibuat dikuatkuasakan peraturannya. Baru ada impak!

Aku cakapkan kepada pelajar-pelajar yang ada, sekarang pukul 8.17 minit, sekiranya seminit lagi, si Pasta tak sampai, aku akan keluar kelas.

Saat 8.18pun sampai, aku bangun dan keluar dari kelas.

Aku berjumpa dengan Pasta di pertengahan jalan. Beliau menceritakan bahawa beliau tak sedar dari tidur kerana ubat terlampau kuat. Terasa malas hendak layan entah betul entah tidak! Tetapi semalam dimaklumkan kepadaku bahawa beliau tidak akan masuk kelas aku dari 11 hingga 1 petang kerana ingin ke Pusat Kesihatan Universiti.

Kemudian dia datang ke pejabatku sambil menangis...

Akhirnya aku membenarkannya untuk membentangkan tugasannya... Yang penting dia dan rakan-rakan sekelas belajar dan mendapat pengajaran dari peristiwa yang berlaku.

Monday, December 9, 2013

Hujung Tahun Menjelang Awal Tahun Baru...

Bila tahun akan berakhir maka terasa berat bahu memikul. Di awal tahun banyak duit yang terpaksa aku belanjakan.

Pada awal tahun, aku biasanya akan membayar cukai pintu dan cukai tanah. Cukai pintu tahun ini hanya RM259 tetapi tahun depan RM300 lebih untuk setahun. Cukai tanah hanya RM30 lebih. Pada tahun depan juga aku terpaksa membayar cukai pintu dan cukai tanah untuk dua buah rumah, satu di Taman Pulai Utama dan satu lagi di Bandar Dato' Onn. Untuk ini saja, hangus dekat RM800.


Perkara kedua ialah yuran pendaftaran dan yuran bulanan sekolah. Pada tahun depan, aku hanya mempunyai 2 pelajar Sekolah Menengah Islam Hidayah dan 2 orang di Sekolah Rendah Islam Hidayah. Untuk pendaftaran, uniform, buku, alat tulis dan yuran bulanan, busuk-busuk terbang empat atau lima ribu RM.

Aku juga membayar takaful siswa anak-anak untuk setahun terus. Ini juga rasanya melayang seribu lebih RM.

Disamping takaful anak-anak, aku juga mengambil takaful aku sendiri dengan syarikat Takaful Ikhlas. Aku terus membayar untuk setahun juga. Ini menelan belanja tiga ribu lebih.


Dengan kata lain, dari bulan Januari hingga April aku terpaksa membelanjakan banyak wang untuk menyelesaikan banyak urusan. Antaranya ialah 'road tax' dan insurans kereta dan sebagainya.

Bermula tahun ini juga, aku mula menanggung 2 orang anak yang belajar di universiti. Nasib baik Kak Long mendapat biasiswa JPA. Didoakan semoga Achik, anak yang ke empat akan mendapat tajaan atau sekurang-kurangnya pinjaman PTPTN apabila beliau memasuki IPTA nanti.

Kita sebagai 'parents' berbeza dengan zaman orang tua kita menjadi 'parents'... Kita tahu kemampuan dan keupayaan orang tua kita. Kita tidak akan minta apa yang mereka tidak mampu sediakan.

Zaman anak-anak kita berbeza...

Cuma, diri ini cemburu apabila melihat anak-anak orang lain bekerja di waktu cuti semester!

Viva-Voce Datang Lagi...

Setahun telah berlalu sejak aku menyediakan diri untuk diperiksa tesis Phdku... Di penghujung tahun ini akan berlaku sekali proses 'defence' setelah aku membuat penambahbaikan tesis tersebut.

Tarikh keramat tersebut ialah 26 Disember 2013, jam 9 pagi di Sekolah Pengajian Siswazah!

Proses pertahankan hujah amat berat dirasakan apabila 'external and internal examiners' cuba menjalankan tugas malaikat Munkar dan Nakir tanpa ada belas kasihan.


Many Muslims believe that, after death, a person's soul passes through a stage called barzakh, where it exists in the grave (even if the person's body was destroyed, the soul will still rest in the earth near their place of death). The questioning will begin when the funeral is over and the last person of the funeral congregation has stepped 40 steps away from the grave. Nakir and Munkar prop the deceased soul upright in the grave and ask three questions: "Who is your Lord? Who is your Prophet? What is your religion?". A righteous believer will respond correctly, saying that their Lord is Allah, that Muhammad is their prophet and that their religion is Islam. If the deceased answers correctly, the time spent awaiting the resurrection is pleasant. Those who do not answer as described above are chastised until the day of judgment.
These angels are described as having solid black eyes, having a shoulder span measured in miles, and carrying hammers "so large, that if all of mankind tried at once to move them a single inch, they would fail". When they speak, tongues of fire come from their mouths. If one answers their questions incorrectly, one is beaten every day, other than Friday, until Allah gives permission for the beating to stop.
Muslims believe that a person will correctly answer the questions not by remembering the answers before death (compare with the Egyptian Book of the Dead) but by their iman and deeds such as salat and shahadah (the Islamic profession of faith). Keterangan ini diambil dari wikipedia dan mungkin tidak benar atau selari dengan al-Quran dan as-Sunnah.

Walau apapun... debaran tetap terasa, biarpun ia tidak sehebat apa yang akan berlaku di alam barzakh.

Aku hanya mampu pasrah padaMu, ya Allah! Engkaulah yang aku sembah dan kepadaMu jua aku meminta pertolongan. "Hasbunallahu wanikmal Wakil!"

Cuma aku pohon padaMu ya Allah untuk mencurahkan idea dan melancarkan percakapanku di hadapan panel nanti. Aku mengharapkan sekiranya Engkau anugerahkan kejayaan kepadaku maka Engkau teguhkan hatiku untuk terus istiqamah di jalanMu. Hidup dan matiku hanya kerana dan untuk Mu!


Sekiranya aku berjaya, jangan Engkau lalaikan daku dengan urusan keduniaan. Jadikan kejayaanku sebagai satu platform untuk aku terus memartabatkan agamaMu! Hindarilah dari perasaan riya', takbur dan merasakan diri ini 'besar'!

Sebaliknya pula jika aku gagal, aku memohon kepadaMu untuk aku redha dengan ketentuanMu ya Allah. Tiada siapa yang aku mengharapkan pertolongan dan pembalasan kecuali pada Mu, ya Allah ya Rabbal 'Alamin.

Thursday, December 5, 2013

Nasihat Yang Bagai Mencurah Air Ke Daun Keladi...

Pada awal semester iaitu pada pertemuan kami yang kedua, aku telah membuat ujian pertama. Keseluruhan pertemuan hanyalah 5 kali. Ini adalah kerana pembelajaran secara jarak jauh dan hanya 2 jam kredit untuk matapelajaran ini.

Sebelum ujian dijalankan, aku telah mengarahkan supaya semua nota disimpan dan diletakkan jauh dari pandangan.

Semasa ujian berjalan, aku nampak pelbagai aksi dan reaksi pelajar. Ada yang mengambil nota dan dijadikan bahan lapik kerana 'mungkin' katanya kertas jawapan perlu dilapik untuk menyenangkan penulisan. Ada yang lindungkan separuh nota di kerusi bersebelahan supaya senang untuk dijenguk. Ada yang terus mengambil nota dari dalam beg untuk ditiru. Dan bermacam-macam gaya lagi yang dilakukan dan aku mengaku bahawa inilah kali pertama aku melihat gejala tiru meniru dilakukan dalam suatu suasana tenang tanpa menghiraukan kehadiran pensyarah.

Sejak aku mengajar di universiti pada tahun 1995, inilah kali pertama yang aku saksikan bahawa pelajar melakukan peniruan tanpa segan silu. Mungkin sudah menjadi budaya. Mungkin juga pensyarah-pensyarah lain tidak mengambil kisahpun tentang gejala ini. Mungkin juga semua pensyarah mengambil pendekatan ujian 'open book' kepada pelajar-pelajar ini sejak tahun 1 sehinggalah sekarang ini mereka berada di tahun 4 (akhir). Tetapi rasanya tidak mungkin!


Apapun aku menegur tingkah laku mereka yang kurang sihat ini melalui e-mail kepada ketua kelas dan dimintakan supaya ketua kelas 'forward'kan kepada pelajar-pelajar lain. Hasilnya, bertalu-talu datang 'sms' yang berjanji tidak akan mengulanginya lagi.

Proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) bukanlah setakat menyampaikan ilmu semata-mata tetapi kalau diamati Falsafah Pendidikan Negara ia merangkumi keempat-empat elemen iaitu Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah perkembangan potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara."

Semasa saya menjalankan ujian yang kedua, nampaknya gejala ini masih berlaku tetapi tidak sehebat dulu...


Nasihat hanya diberi tetapi tuan ampunya diri yang semestinya bersetuju untuk menuruti atau sebaliknya. Tetapi yang pasti, nasihat yang diberi HANYA bagai mencurah air ke daun keladi...

Yang paling saya sedih ialah pelajar perempuan yang meniru depan mata saya tanpa segan silu. Kebiasaannya pelajar perempuan mempunyai sifat malu dan lebih beradab dibandingkan dengan pelajar lelaki. Tetapi sekarang tidak lagi... Sama saja baik lelaki mahupun perempuan!

Pada saya kalau tak hormat saya sebagai chegu atau pensyarah maka hormatlah saya sebagai orang tua... 

Bagaimana ya... untuk melahirkan rakyat yang berilmu, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan sebagainya?