Monday, August 8, 2011

Pesanan Buat Anak-AnakKu...


Wahai anak-anakku,

Apabila kamu didatangi seseorang untuk menjadi penjamin bagi sesuatu urusan maka usahlah engkau terima kecuali sesama kamu adik beradik. Jika kakak atau abang tidak menjamin adik kandungnya, kepada siapa lagi hendak diharapkan?

Kepada si adik pula janganlah kamu sia-siakan jaminan yang diberikan oleh abang dan kakakmu. Ambillah atau terimalah dengan penuh tanggungjawab. Jangan sekali-kali mengambil ringan dengan jaminan tersebut sehingga menyusahkan mereka yang menjamin kamu!

Implikasi jaminan ini begitu besar... Sekiranya mereka yang berhutang tidak menjelaskan hutangnya maka si penjamin akan menanggung hutang tersebut. Oleh itu, usah dijamin jika mereka bukan adik beradik kamu!

Abah pernah mengambil risiko membuat pinjaman kereta untuk orang. Kereta dibeli dengan bayaran ansuran kepada bank. Pinjaman bank dibuat atas nama abah. Nama di geran kereta juga adalah nama abah. Tetapi kereta dipakai oleh orang lain...

Pada mulanya memang kesian, rasa ingin membantu kawan. Tetapi akhirnya, banyak sakit kepala dari merasai seronok dapat membantu kawan.

Setiap bulan apabila kawan lewat membayar ansuran, bank akan kejar kita kerana penama pada pinjaman itu adalah nama kita. Kalau terlampau kerap tertangguh bayaran, nama kita akan disenaraihitamkan! Apabila nama telah di'blacklisted', apa jua pinjaman lain, kita tidak akan memperolehnya kerana Bank Negara sudah masukkan kita ke dalam senarai hitam.

Jika kereta berlanggar, atau mereka yang memandu kereta tersebut membawa bahan yang terlarang maka kita akan terbabit sama.

Abah pernah tidak dapat membayar cukai jalan kereta abah sendiri kerana 'kereta abah' yang dipandu oleh orang lain mendapat 3 saman. Abah terpaksa menghubungi pemakai 'kereta abah' supaya menjelaskan saman-samannya terlebih dahulu, baru cukai jalan kereta sendiri dapat diperbaharui.

Menyusahkan dan penuh risiko bukan?

Oleh itu, abah menyaran anak-anak abah supaya tidak terikut seperti abah. Jangan kita mudah kesiankan orang lain yang kemudiannya akan menyusahkan diri kita pula.

Kita perlu membantu orang tetapi jangan sehingga akhirnya menyusahkan diri kita dan mungkin pahala juga tiada kerana kita pula marah kepada mereka yang telah kita tolong!

Friday, August 5, 2011

Juwahir...Bekas Pelajar Ku.

Hari ini sudah acapkali aku menemui Juwahir (bukan nama sebenar). Semasa di laluan depan ‘library’ tadi, di masjid sewaktu solat zohor, di foyer dekat fakulti... dan sekarang di masjid lagi sementara menunggu azan Asar.

Aku dan Juwahir bukan baru kenal. Aku pernah menjadi Penasihat Akademiknya semasa beliau belajar di peringkat ‘undergraduate many many years ago!’ Aku rasa mungkin sekitar 10 tahun dulu…

Aku yang dimaklumkan Juwahir tentang kad pengenalan palsunya dulu…

Lantaran itu, aku selalu juga menjemput dia makan di rumah semasa aku menjadi Felo di Kolej Siswa Desa Skudai. Dia tidak mendapat apa-apa pinjaman mahupun biasiswa angkara kad pengenalan palsu yang dijual kepadanya oleh pegawai pejabat pendaftaran negara di Sabah dulu dengan harga RM600.

Aku juga dipanggil oleh Bendahari dan HEP untuk membincangkan pasal Juwahir yang berhutang yuran pengajian sejak tahun 2 hingga semester akhir pembelajarannya. Aku masih ingat penjelasanku kepada Bendahari dan HEP yang ingin membuang Juwahir dari Universiti.

Kataku, “Sepatutnya kalau kita hendak mengambil tindakan kerana dia tidak membayar yuran, sudah lama kita buat… tetapi kenapa tunggu sehingga dia dah di semester akhir? Kalau kita buang dia, dia akan terkandas belajar dan pastinya duit hutang universiti dia tak akan membayarnya. Kalau kita biarkan dia terus belajar dan ‘complete’ tetapi kita tidak anugerahkan ‘scroll’ sehingga dia menjelaskan hutang adalah lebih praktikal.”

Alhamdulillah, Bendahari dan HEP menerima pandanganku!

Aku duduk agak jauh dari Juwahir sementara menunggu waktu solat Asar. Tiba-tiba dia bergerak ke arahku dan menghulurkan tangan untuk bersalam. Aku rasa dah kali ketiga aku bersalam dengannya hari ini…

“En. Wan, saya dah jumpa ayah dan mak saya!”, jelas Juwahir.

“Alhamdulillah!”, balasku.

“Dia orang dah tua En. Wan…, bapa saya dah beruban dan berumur enam puluh lebih…”, sambungnya lagi.

Cerita pasal Juwahir ditinggalkan ibubapanya masih segar dalam ingatanku. Cerita yang diceritakan kepadaku lebih 10 tahun dahulu masih ku ingat.

Bagaimana pula layanan keluarga angkat kepadanya bila dia balik sekolah dan membuka periuk hendak makan? Tinggal periuk kosong! Walhal mereka juga ada pertalian persaudaraan, sanggup diberi makan anak sendiri dan dibiarkan periuk kosong untuk anak angkat.

“Alhamdulillah, dia tinggalkan Juwahir dulupun bersebab… iaitu supaya anaknya yang seorang ini dapat belajar, menjadi warganegara dan dapat merubah nasib keluarga”, balasku.

“Ya... En.Wan, dia orang terkejut bila mendapat tahu saya belajar sehingga ke universiti”, sambung Juwahir lagi.

“Dan En. Wan… saya juga ditawarkan kad pengenalan merah oleh pihak imigresen. Alhamdulillah berkat bulan puasa…”, jelas Juwahir lagi.

“Alhamdulillah…”, sambungku lagi.

Patutla dia seronok hari ini ingin memberitahuku sesuatu rupanya…

Di bulan yang penuh barakah ini, aku panjatkan doa pada Mu ya Allah, aku pohon limpah Rahmat Mu untuknya, cukupkanlah segala keperluannya, berikanlah ketenangan kepada jiwanya, dan satukan kembali hubungan kekeluargaannya! Amin ya Rabbil ‘Alamin.

Risalah Mursyid

Petikan Risalah Mursyid Mutakhir: 27 Sya’ban 1432, 28 Jul 2011

.."...Semua ini tidak akan memberi apa-apa makna melainkan kita menghalakan kepada al-Quran, membukanya pada bulan yang mulia ini, membaca, merenung, menghayati ayat-ayat dan berinteraksi dengannya, menghidupkan makna-maknanya dan melaksanakannya kepada diri kita sendiri, supaya kita menerima ganjaran dan kemuliaan Al-Quran, bulan Ramadan, dan supaya kita mengubah dari diri sendiri dan memperolehi keredhaan Tuhan kita."

"...Di samping tiupan angin bulan yang penuh kesucian, kini muncul di ufuk kita cahaya kebebasan dan sinar harapan, yang tersebar kenikmatannya; untuk mengubah semua kezaliman melalui kemahuan yang kuat, mengubah ketidakadilan dan korupsi melalui keyakinan yang tinggi dan menumbuhkan dalam diri kita semangat pembinaan. Semua ini tidak akan berlaku melainkan dengan kemahuan yang tulus dan keazaman yang teguh, yang dididik di dalam jiwa oleh Ramadan.

Pendidikan tertegak di atas asas kemenangan dalam menentang nafsu dan syaitan. Kedua-dua unsur ini diperkukuhkan oleh Ramadan di dalam roh untuk melaksanakan ketaatan kepada Allah. ..

...Kita dapati bahawa setengah pemimpin melakukan kekerasan terhadap rakyatnya dan memusnahkan keupayaan negaranya bagi memenuhi ‘keinginan haram’ dan mengekalkan kuasa yang dirampas dari rakyat..."

Baca sepenuhnya di: http://fikrah-dakwah.blogspot.com/

Thursday, August 4, 2011

Antara Amalan Sunat Dalam Bulan Ramadan...

Banyak amalan-amalan sunat yang boleh kita lakukan di bulan Ramadan. Beberapa amalan sunat adalah;

1) Disunatkan bersahur dan sebaik-baiknya dilewatkan. Rasulullah (SAW) bersabda; "Bersahurlah kerana pada sahur itu ada keberkatan" (Riwayat Bukhari & Muslim).

2) Mandi junub, haid atau nifas sebelum terbit fajar.

3) Menyegerakan berbuka puasa. Berbukalah dengan buah kurma atau air atau sesuatu yang manis.

4) Membanyakkan berdoa semasa berpuasa dan ketika berbuka.

5) Mempertingkatkan tilawah al-Quran sama ada secara sendirian atau tadarus berkumpulan.

6) Banyakkan bersedekah dan membantu mereka yang miskin.

7) Memberi makan kepada orang yang berpuasa walaupun dengan sebiji kurma atau segelas air.

8) Meninggalkan perkara yang melalaikan dan tidak bermanfaat.

9) I'tikaf di masjid terutamanya 10 malam terakhir.

10) Merebut kelebihan lailatul qadr dengan melakukan amalan dan berdoa.

11) Mengeratkan silatur rahim dengan sesama muslim.

Wednesday, August 3, 2011

Beautiful Sayings That I've Received In The E-mail...

There are so many things in this world that will look nice and tidy when we rephrased them! They're not black, dark, and ugly but they're not as bright as it should be...
Here's some food for thought in this fasting month of Ramadan...

Heavy rains remind us of challenges in life. Never ask for a lighter rain.
Just pray for a better umbrella.
That is attitude.

When flood comes, fish eat ants but when flood recedes, ants eat fish. Only time matters.
Just hold on, God gives opportunity to everyone!

Life is not about finding the right person, but creating the right relationship,
it's not how we care in the beginning, but how much we care till the very end.

Some people always throw stones in your path. It depends on you what you make with them.
A Wall or a Bridge? Remember you are the architect of your life.

Search for a beautiful heart, but don't search for a beautiful face because beautiful things are not always good, but good things are always beautiful.

It’s not important to hold all the good cards in life.
but it’s important how well you play with the cards you hold.

Often when we lose all hope & think this is the end, God smiles from above and says, `Relax dear it’s just a bend, not the end'.
Have Faith and have a successful life.

One of the basic differences between God and humans is, God gives, gives and forgives.
but the human gets, gets, gets and forgets.

Be thankful in life....

Tuesday, August 2, 2011

Allah Kabulkan Permohonan Kita...

Alhamdulillah, Allah SWT telah mengkabulkan permohonan kita untuk sampai ke bulan Ramadan 1432. Doa yang telah kita ucapkan sejak bulan Rejab dan Syaaban lagi. “Ya Allah, berkatilah bulan Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadan!”.

Kita dah masuk hari kedua di bulan Ramadan… So, apa nak buat sekarang? Sekarang kita perlu melakukan ibadah sepertimana yang telah kita rancangkan. Lihat dari banyak aspeks, jangan dari satu atau dua aje…

Pertama, berpuasa! Kita seharusnya berpuasa dengan sebenar-benarnya. Bukan berpuasa yang hanya meletihkan, hanya berlapar dan berdahaga! Tidak dijagai mulut, dari berkata mengumpat, bercakap bohong dan bercakap kosong. Harus dijagai mata supaya tidak memandang dan melihat benda yang tidak diizinkan. Perlu menjagai telinga supaya hanya mendengar perkara-perkara yang baik belaka, dan bermacam-macam lagi.

Kedua, solat tarawih. Pada usia kita ini sepatutnya sudah tidak menjadi masalah untuk bertarawih. Berapa rakaat? 8 ke atau 20 kemudian disusuli dengan 3 rakaat solat witir. Sebelum sahur sempat lagi solat tahajjud sekurang-kurangnya sebanyak 2 rakaat.

Infaq di jalan Allah. Inipun tak kurang penting! Beri aje ke tabung masjid ke, tabung pembinaan sekolah, tabung beri makan masyarakat miskin di Malaysia dan luar negara, tabung anak-anak yatim, tabung rumah kebajikan seperti Raudatul Sakinah, rumah orang-orang tua, dan lain-lain lagi.

Keempat, memberi makan kepada orang berpuasa. Perkara ini boleh dilakukan secara individu mahupun secara beramai-ramai. Kalau mampu, kita taja aje satu malam di mana-mana masjid atau surau. Di surau Taman Pulai Utama, penajaan untuk satu iftar ialah sebanyak RM600 (dianggarkan RM4 seorang untuk 150 orang). Sekiranya tidak mampu, kita masukkanlah duit berapa aje nilainya ke dalam tabung penajaan iftar surau atau masjid.

Kalau tidakpun, kita boleh ajak satu famili atau dua tiga orang bujang untuk berbuka puasa di rumah kita. Perkara ini biasa kita lakukan semasa kita belajar di luar negara. Di Malaysia, rasanya agak susah kerana kita suami isteri sibuk bekerja dan pembantu rumah pula tiada.

Kelima, membaca al-Quran secara bertadarus atau mencuba memahami maknanya sekali. Kita harus meletakkan ‘target’, berapa kali kita mahu mengkhatamkannya? Kalau kita membaca sehelai sebelum dan sehelai selepas setiap solat lima waktu, maka kita akan khatam sekali sepanjang Ramadan ini.

Keenam, kita seharusnya juga sentiasa berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur. Bibir kita sentiasa basah dengan bacaan zikir yang tidak mengganggu orang lain.

Ketujuh, kita seharusnya membanyakkan bacaan buku-buku agama, lebih-lebih lagi buku-buku rujukan yang berkaitan dengan berpuasa. Perkara yang kita lakukan setahun sekali mungkin mudah lupa berbanding dengan perkara solat yang kita lakukan 5 kali dalam sehari! Rujuk balik apa perkara sunat, makruh, sah, batal dan lain-lain dalam berpuasa...

Kelapan, bertukar-tukar juadah juga adalah sangat baik kerana ia bukan saja mendapat pahala memberi makan orang berpuasa tetapi juga mengeratkan silaturrahim antara jiran tetangga.

Akhir sekali, sekiranya kita penat melakukan ibadah yang disenaraikan di atas maka adalah elok jika kita dapat menadahkan telinga mendengar tadzkirah yang disampaikan oleh imam atau ustaz di waktu-waktu senggang. 'Worse come to worse', kita pasang orang mengaji Quran... Kita malas baca, kita dengaq depa baca!

Selamat Beramal!

Saturday, July 30, 2011

Program Bina Insan FGHT Ke-6

Alhamdulillah pada hari Jumaat (29 Julai) berlangsung Program Bina Insan Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah Ke-6. Program bermula dari jam 0915 hingga 1015 pagi.

Pada kali ini, kita mengundang Ustaz Ahmad Marzuki Mohamed untuk membicarakan tentang Ramadan: Persiapan, Amalan, dan Penghayatannya.

Saya secara personal begitu teruja melihat kedatangan staf FGHT yang bertali arus. Walaupun majoritinya dari kalangan staf sokongan, alhamdulillah sekurang-kurangnya, kita menyediakan program untuk mereka hadiri pada setiap bulan. Kedatangan pada kali ini agak ramai sehingga makanan yang disediakan tidak mencukupi!

Mungkin mereka terkesan dengan program motivasi staf sokongan yang dibuat di Port Dickson pada minggu lepas…

Kalaulah staf akademik juga dapat meluangkan masa, alangkah seronoknya. Disamping kita sama-sama menghadiri majlis ilmu, staf sokongan dan staf akademik akan lebih rapat dan mesra berada dalam satu majlis bersama.

Walau apapun, “We can just bring the water to the horses but we can’t force them to drink it!!!”. Mungkin juga, “They’re not thirsty or perhaps they don’t like plain water. But whatever it’s, I’ll keep on bringing them water.”

Penerangan yang diberikan oleh Ustaz Marzuki begitu menarik perhatian para hadirin. Apabila ceramah berakhir, ustaz melayani beberapa soalan berkaitan puasa. Ada yang bertanya tentang mengelakkan diri dari mendengar nyanyian yang melalaikan di bulan Ramadan, ada yang bertanya tentang pembayaran fidyah, ada yang bertanya tentang gantian puasa oleh anak-anak untuk ibubapa yang telah meninggal dunia, dan sebagainya.

Jika diizinkan Allah, kita akan melaksanakan Program Bina Insan FGHT Ke-7 pada minggu kedua di bulan Ramadan. Mungkin pada kali ini, kita akan menyentuh tentang 10 malam terakhir Ramadan dan usaha mendapatkan Lailatul Qadr.

Saya juga turut terharu kerana ada saja insan pemurah untuk menaja makanan mahupun sumbangan wang ringgit kepada penceramah setiap kali program diadakan. Tetapi pada kali ini, sumbangan wang akan diuruskan oleh Timbalan Pendaftar yang akan mengambil nama dan nombor kad pengenalan penceramah untuk dibayar dengan cek, menggunakan vot fakulti.

Akhir sekali, pengharapan kita sebagai ‘organiser’ agar semua maklumat yang diperolehi dari Program Bina Insan ini dicontohi dan diamalkan dengan sedaya yang mampu. Kita tidak mahu ilmu melangit tetapi pengamalan hanya sebesar busut!

Sama-sama kita mendoakan supaya kita akan melaksanakan puasa, tarawih, solat tahajud, sedekah, memberi makan untuk mereka berbuka puasa, zikir al-ma’thurat, dan lain-lain amalan dengan sepenuh hati dan sebaik yang mungkin. Semoga kita berjaya memasuki syurga Allah melalui pintu ar-Rayyan iaitu salah satu dari pintu syurga yang disediakan Allah kepada mereka yang berpuasa!.

Ramadan Karim!!!