Wednesday, November 28, 2012

Mengawal Bajet

Pada penghujung tahun selalunya kita perlu banyak membuat pembayaran. Nasihat saya, kita perlu ada 'saving' sebelum tiba penghujung tahun. Kita perlu pandai mengutamakan yang utama.

Jangan kita mendahului 'kehendak' tetapi membelakangkan 'keperluan'. Sebagai contoh, semua orang suka untuk pergi bercuti di penghujung tahun atau pada bila-bila masa saja tetapi kita kena membuat sedikit perkiraan, adakah peruntukan untuk bercuti itu tidak menjejaskan perbelanjaan keperluan lain?


Jika ya, tangguh dulu atau kita membuat alternatif lain yang mana ia seakan-akan menggantikan percutian yang menelan belanja yang mahal tetapi kesannya tetap ada kepada keluarga kita.

Untuk diri saya, pada masa inilah perlu dijelaskan yuran pendaftaran sekolah anak-anak untuk tahun depan. Buku-buku persekolahan juga perlu dibeli. Peralatan sekolah seperti pakaian dan sebagainya juga memerlukan penggantian. Dengan kata lain, bila menjelang aje akhir tahun, perbelanjaan begitu melonjak naik!


Setakat seminggu dua ini, sudah lebih RM8k telah saya habiskan. Pecahannya seperti di bawah;

a) Tajaan halaqah mingguan JBT (RM25)
b) Bayar bil TM (RM84.75)
c) Bayar kad kredit CIMB (RM500.59)
d) Beli buku anak-anak SRIH (RM737.80)
e) Bayar bil TNB (RM122.70)
f) Bayar Kem Tahfiz anak (RM160)
g) Bayar pendaftaran sekolah anak-anak SRIH & SMIH (RM4,469)
h) Bayar kad kredit AEON (RM1,270.42)
i) Beli tiket bas untuk anak-anak ke Melaka (RM48.90)
j) Beri duit untuk anak-anak belanja & terjemahan sijil di KL (RM500)
k) Bayar bil celcom sekeluarga (RM70)
l) Bayar bil SAJ (RM144.77)
m) Bayar sekolah memandu anak (RM400)
n) Bayar al-Ma'thurat untuk dibawa ke Mesir (RM100)
o) Sumbangan Dana Hidayah (RM350)


Itu tidak termasuk perbelanjaan sampingan lain seperti menghadiri kenduri kahwin, aqiqah, membeli hadiah hari lahir anak isteri, membeli lauk pauk dan sebagainya. Buku sekolah anak-anak sekolah menengah belum beli lagi.

Kadang-kadang saya tertanya-tanya, bagaimana Allah boleh memberi saya rezeki yang mencukupi untuk membuat pembayaran yang sebegitu banyak.

Rezeki dari Allah satu perkara dan satu perkara yang lain ialah kita bijak membuat perancangan supaya kita tidak berhutang dan tidak tertunggak jika terpaksa berhutang.


Prinsip yang saya pegang ialah saya tidak boleh melihat bil. Jika ada saja bil yang datang, saya akan terus membayarnya. Sesetengah orang dia suka menangguh sehingga hujung bulan untuk membayar semua bil.

Setelah semua bil dibayar, barulah kita tengok baki yang ada. Mampukah kita untuk membuat percutian dengan baki tersebut? Jika tidak, memadailah dengan membawa anak-anak bercuti di hutan bandar atau membeli barangan makanan yang enak-enak sepanjang musim cuti sekolah.


Nasihat saya kepada mereka yang masih muda dan baru berkeluarga, janganlah kita melihat jumlah duit kita yang banyak di dalam bank tetapi belum ditolak dengan bil-bil yang mendatang. Kita tolak dulu segala bayaran bil dan sebagainya, kemudian jika ada lebihan, barulah boleh memikirkan tentang 'holiday'!

Jangan sekali-kali berhutang yang tidak mampu untuk kita bayar! Buat 'calculation' dulu, jika aku beli iphone-5, boleh tak aku bayar? Kalau jawapannya, nyawa-nyawa ikan. Baik tak payah!


Sebab apa? Kadang-kadang ada aje perbelanjaan yang perlu dibuat tanpa kita 'expect'... Biar akaun kita ada berbaki untuk membayar apa-apa yang kita tidak jangka.

Prinsip kedua yang saya pegang ialah jangan kedekut untuk membuat kebajikan atau menghulurkan bantuan. Hulurkanlah walau RM1. InsyaAllah, Allah akan mendatangkan rezeki yang mencurah-curah tanpa kita sangka atau jangka!

Sunday, November 25, 2012

Menjadi Penasihat Akademik Pelajar

Apabila kita ditugaskan untuk menjadi Penasihat Akademik (PA) kepada pelajar-pelajar, kita boleh memilih untuk betul-betul menjadi seorang penasihat atau hanya sekadar melakukan kerja-kerja rutin seperti menandatangani borang pendaftaran matapelajaran, 'sign' borang 'drop' atau 'add' matapelajaran dan tidak lebih dari itu...


Atau kita berperanan lebih jauh dengan memberi motivasi kepada pelajar-pelajar dibawah jagaan kita supaya belajar dengan cemerlang dan beroleh keputusan 'first class', menasihati pelajar yang ingin bertukar kursus, malah lebih jauh lagi menasihati pelajar yang ingin berhenti belajar. Itu semua terletak kepada kemahuan kita.

Atau kita juga boleh berperanan ke sebelah 'extreme' yang satu lagi... Jika ada pelajar yang nak berhenti, apa aku kesah?


Menjadi PA atau Mentor kepada pelajar sangat penting. Kita yang telah menjalani kehidupan yang agak lama bolehlah memberi pandangan setakat yang mampu. Walau bagaimanapun garispanduan sebagai PA perlu dipatuhi. Apa yang boleh dan tidak boleh kita memberi tunjuk ajar.... Lihat skop kerja PA itu sendiri.

Masa kita belajar dulu, mungkin tidak ada sistem ini. Pandai-pandailah kita memikirkannya sendiri. Untung batu tenggelam dan untung sabut timbul...


Jumaat lepas, seorang pelajar tahun 3 yang berada dibawah penasihatan akademik saya menghantar satu pesanan ringkas kepada saya untuk berjumpa. Saya memaklumkan kepadanya bahawa saya terlibat dengan program membudayakan al-Quran sehingga pukul 9.30 pagi dan pada pukul 10 pagi pula dekan ingin berjumpa dengan semua pensyarah berkaitan projek 'endownment' universiti. Walau bagaimanapun, saya bersetuju untuk berjumpa dengannya pada pukul 9.30 pagi.

Bagi saya, saya akan cuba sedaya upaya untuk berjumpa dengan pelajar mengikut masa 'free' mereka. Masa senggang mereka amat terhad. Kalau kita ikut masa kita, kemungkinan besar pelajar yang ingin berjumpa dengan kita terpaksa mengorbankan waktu kelas mereka.


Jika boleh, kita cuba 'adjust' masa kita dan jangan biarkan pelajar tercari-cari masa luang mereka untuk berjumpa dengan kita!

Setelah berbincang dengan pelajar yang ingin berjumpa dengan saya tadi, saya dapati beliau ingin berhenti belajar. Beliau adalah pelajar lulusan Diploma dan menyambung di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Sekarang di tahun 3. Hanya setahun lebih lagi untuk menghabiskan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda.


Saya bersembang dengan pelajar tersebut sehingga jam 10.30 pagi dan seterusnya meminta izin untuk ke majlis perjumpaan dengan dekan. Saya menyatakan kepada beliau sekiranya ingin menyambung lagi perbincangan, saya akan keluar dari majlis tersebut jam 11.30 pagi.

Pukul 11.30 pagi, pelajar tersebut sudah bersedia menunggu saya. Kami berbincang lagi sehinggalah hampir jam 12.30 pagi. Sambil bincang sambil makan mee kari.


Dari apa yang dibincangkan, beliau telah membuat keputusan bahawa beliau akan pulang ke Sabah pada hari Isnin. Surat untuk berhentipun sudah dihantar ke pejabat fakulti. Familipun telah dimaklumkan dan mereka bersetuju dengan keputusan yang telah dibuat.

Tak banyak yang saya boleh bantu. Beliau nampak sudah tekad dengan keputusan yang diambil. Saya hanya memberi cadangan sekiranya beliau masih ingin menyambung pelajaran dalam kursus yang sama, maka bolehlah mengikutinya dengan cara SPACE, iaitu pengajian jarak jauh.


Mentor di sekolahpun sama peranannya dengan PA. Bahkan mungkin lagi berat kerana pelajar belum matang untuk membuat keputusan.

Apa yang saya nampak, kadang-kadang mentor di sekolah kurang berperanan. Pada saya, sekiranya mentor berperanan iaitu sebagai contoh, jika dia melihat pelajar tingkatan 4 aliran sains, setiap kali ujian Fizik, Kimia, dan Biologi, pelajarnya kantoi. Tak pernah lulus kesemua matapelajaran tersebut maka nasihatkanlah supaya pelajar tersebut menukar kepada jurusan sastera.


Dengan berdiam diri, menunggu dan mengharap 'miracle to happen' adalah satu kesilapan besar yang mana pelajar yang boleh kita selamatkan terbiar begitu saja. Dan akhirnya kecundang. Mungkin juga kepada sesetengah mentor, mereka berpegang kepada prinsip biar ajelah lagipun dia ni bukan anak atau adik aku...

Pada saya kita perlu menjalankanlah tanggungjawab kita sebaik yang mungkin, seboleh-bolehnya sepertimana yang dituntut dan akhirnya pelajar itu sendiri yang membuat keputusan.


Segala ruang dan peluang perlu diperjelaskan dengan terperinci supaya pelajar-pelajar terbuka pemikiran mereka sebelum sesuatu keputusan itu dibuat.

Dengan kita membantu orang, insyaAllah, Allah akan membantu kita atau keluarga kita atau sanak saudara kita.

Saturday, November 17, 2012

Integriti

Ramai orang suka bercakap tentang integriti. Dan memang ramai orang atau kita katakan kesemua manusia sukakan integriti. Kerana apa? Kerana hasilnya dari integriti adalah tulus, ikhlas, tepat, amanah, dan bertanggungjawab! Dan yang pasti bukan sebaliknya, pilih kasih, rasuah, pilih bulu, tidak amanah dan perkara-perkara yang seumpamanya.

Apa yang kita ingin lihat ialah sesuatu keputusan dibuat dengan sebetul-betul ikhlas atau seperti kata 'mat saleh' ialah 'without fear or favour!'


Saya mendapat maklumat dari seorang guru yang bekerja di PPD yang mengatakan bahawa keputusan UPSR lambat keluar pada tahun ini adalah kerana masalah sebuah negeri yang menggalakkan murid-muridnya untuk meniru di dalam peperiksaan UPSR. Tujuannya ialah untuk mengekalkan prestasi peratus negeri tertinggi yang mendapat 5A.

Keputusan peperiksaan UPSR dijangka keluar pada 19 November!

Saya menegaskan kepada beliau bahawa jangan kita membuat tuduhan, jika tiada bukti kukuh! Dia menegaskan pula bahawa guru-guru di negeri tersebut mengajar anak-anak meniru di peringkat sekolah rendah lagi.


Apapun, jika benar seperti apa yang dikata, kita merasa sedih... Guru-guru mungkin mendapat habuan mereka kerana telah mengekalkan prestasi pencapaian sekolah dan negeri dan mungkin diberikan imbuhan kenaikan pangkat, gaji dan sebagainya.

Apa yang murid dapat? Mungkin keputusan peperiksaan yang baik tetapi bukan hasil kerja atau usaha mereka! Pelajar juga mungkin mendapat pendidikan songsang yang menghalalkan pelakuan buruk seperti meniru, menipu di peringkat usia muda dan mungkin akan terbawa-bawa ke peringkat usia dewasa.


Saya juga 'terdengar' ada guru tuisyen yang mengajar beberapa matapelajaran yang memaklumkan soalan-soalan yang mungkin keluar dalam peperiksaan UPSR kepada pelajar-pelajar tuisyennya. Ini berlaku kerana guru tersebut terlibat dengan penggubalan soalan dan pemeriksaan kertas UPSR.

Guru membuat tindakan sedemikian untuk meyakinkan masyarakat bahawa sesiapa yang pergi membuat tuisyen dengannya akan mendapat A dalam UPSR. Keuntungan dari segi penambahan pelajar yang akan bertuisyen dengannya dan matlamat akhir ialah pulangan yuran atau wang yang lumayan.


Ada yang saya dengar komen dari bekas pelajarnya bahawa "Soalannya keluar sama sebiji sebiji, ustazah!".

"Kamu beritahu tak soalan itu kepada kawan-kawan kamu sebelum peperiksaan UPSR?", tanya ustazah.

"Tak", jawab pelajar tersebut. Mungkin dia dipesan oleh guru tuisyennya supaya merahsiakan perkara ini.

Integriti sudah tidak penting lagi. Apa yang penting ialah poket penuh dan kita dapat hidup mewah dan lumayan dengan hasil yang diusahakan. Halal haram usah dibicarakan...


Cuba kita lihat kembali matlamat pendidikan negara.

"Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara."


Di peringkat universitipun apa kurangnya? Beberapa semester yang lepas, saya 'dengar' ada matapelajaran yang diajar oleh pensyarah bukan Islam yang mana pelajar-pelajar bukan melayu mendapat markah yang tinggi dan skrip jawapan pelajar bukan melayu ini pun katanya 'sebiji' dengan nota yang diberikan. Pelajar melayu hanya mampu meraih markah yang bawah-bawah aje; C dan paling kuatpun B!

Ada desas desus mengatakan pelajar-pelajar bukan melayu diberi 'hint' tentang soalan-soalan yang akan keluar dalam peperiksaan. Tetapi tidak kepada pelajar melayu.

Inilah apa yang berlaku sekiranya kita tidak memikirkan tentang 'accountability' kita dengan Allah SWT apabila kita dihisab di hadapanNya nanti.


Kita sebagai pensyarah Islam tak sanggup untuk membezakan pelajar-pelajar melayu dan bukan melayu. Semuanya disamaratakan! Kita takut nanti Allah tanya kenapa engkau lebihkan markah untuk pelajar melayu dan tidak kepada pelajar bukan melayu? Mampukah kita menjawab soalan ini?

Tetapi bagi sesetengah orang, mereka mampu melakukan apa saja asalkan matlamat mereka tercapai... 

Sunday, November 4, 2012

Melanggar Lampu Merah

Pagi tadi aku bersolat subuh di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid. Selepas mengimamkan solat, Ustaz Rifqi memberi kuliah subuh bertajuk 'Doa-doa yang dibaca semasa sujud'. Kita selalunya membaca Subha narabbial 'ala wabihamdih! Menurut beliau banyak lagi doa-doa yang boleh dibaca semasa sujud.

Dalam kuliah tersebut, beliau juga menyentuh tentang banyaknya ajaran sesat yang ada di negara kita. Ada yang meratib (berzikir) Ha Hu He dan sebagainya... Pelikkan ajaran sebegitupun ada pengikutnya. Ajaran Syiah yang tidak mengaku Abu Bakar, Omar dan Usman sebagai sahabat Rasulullah SAW, bahkan mengkafirkan mereka juga ada pengikutnya di Malaysia. Astagfirullahal 'azim!


Selesai kuliah subuh, mentari sudah terang dan akupun bangun untuk menunaikan solat sunat dhuha. Selesai solat akupun masuk ke dalam kereta dan melihat jam baru 7.01. Rupa-rupanya aku mengerjakan solat sunat dhuha sebelum masuk waktunya lagi.

Waktu dhuha bermula kira-kira 25 minit selepas tamat waktu subuh.

Akupun bergerak balik ke rumah. Seperti biasa, aku 'order' roti walnut yang diletakkan 'cheese' dan dipanaskan dalam 'microwave oven' daripada isteri tersayang.

Tiba-tiba telefon Samsung SIII ku berdering! Ku lihat tertera nama Firdaus.


"Assalamu'alaikum En. Wan. Ni Emily... Firdaus sakit dan minta tolong untuk dibawa ke klinik". Aku bergegas ke rumah mereka tanpa sempat menjamah sarapan.

Berpusing-pusing juga aku mencari alamat Jalan Kebangsaan 79. Maklumlah belum sempat menziarahi mereka selepas mereka keluar dari rumah felo Kolej Dato' Onn Jaafar.

Setibanya aku ke rumah mereka, ku lihat Firdaus mengerang kesakitan. Katanya cirit birit sejak pukul 4.30 pagi tadi. Perutnya memulas mulas setiap 5 minit. Katanya sakit dekat ulu hati.


Aku membuat keputusan untuk tidak ke klinik seperti permintaan asal mereka tetapi terus ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru. Melihat keadaannya yang sebegitu, pada firasat aku, klinik juga akan 'refer' kesnya ke HSAJB juga nanti. Jadi untuk menjimatkan masa, baik aku terus ke sana.

Tidak tahan mendengar Firdaus mengerang kesakitan di sebelahku, aku terus memasang 'hazard light' dan meluncur laju. Ada 2 'traffic lights' merah yang aku melanggarnya! Itupun bila aku melihat ia selamat dan tidak mengancam keselamatan kenderaan lain.

Di sepanjang Jalan Skudai, aku membawa 120km/j berbanding 80km/j 'speed limit' yang dibenarkan! Tak pasti pula, apa perasaan Emily yang berada di kerusi belakang Kancilku.


Sampai di HSAJB, aku terus membawa Firdaus ke foyer 'Accident & Emergency'. Dia dibawa masuk dan diberikan 'drip' air. Akupun keluar dan membiarkan Emily menguruskan apa yang patut untuk suaminya yang tercinta.

Di tempat menunggu, aku berkenalan dengan kawan Firdaus dan Emily yang baru tiba. Saudara Nazri, isteri dan anaknya yang belum lagi mencapai umur setahun juga datang untuk menziarahi Firdaus di HSAJB.


Sementara menunggu keputusan pemeriksaan doktor, aku melihat 2 orang anggota polis membawa seseorang yang digari. Bersama mereka ada dua orang lagi yang sibuk menceritakan bahawa si dia yang digari itu telah meragut beg isteri salah seorang dari mereka. Kata si suami, lelaki yang bersamanya itu telah diparang oleh si peragut itu. Jadi, kawannya dan si peragut dibawa ke HSAJB untuk diperiksa jika ada kecederaan yang dialami mereka.

Sedih juga aku melihat si melayu yang digari itu. Dia memang melayu kerana fasih berbahasa melayu dan berasal dari Ulu Tiram. Di lengannya kelihatan 'tatoo'. Dia ni katanya dah ada 5 kes polis. Dia juga katanya ahli 'gangster'.

Kalau dibandingkan badannya yang kecil dan kurus, aku rasa aku lebih layak untuk menjadi 'gangster'! Apapun kita hidup mengikut apa yang kita pilih... Kita mahu jadi orang jahat maka jahatlah kita dan jika kita memilih untuk menjadi baik maka baiklah kita.


Sementara menunggu keputusan pemeriksaan doktor juga, aku dan Nazri sempat mencari 'breakfast' di gerai Hutan Bandar. Sambil aku mengenakan lontong kering dan Nazri mengenakan nasi lemak, sempatlah kami bermuayasyah dengan lebih terperinci.

Setelah kembali ke HSAJB, kami dimaklumkan bahawa Firdaus tidak mengalami apa-apa masalah. Walau bagaimanapun pihak Hospital akan menempatkannya di wad D 4 bagi tujuan pemantauan.

Pelik juga melihat keadaan dirinya yang merengkuk kesakitan dalam kereta dan terketar-ketar dalam bilik pemeriksaan di Emergency Room tapi setelah dibuat x-ray tiada apa-apa penyakit...


Aku memaklumkan kepada Firdaus bahawa Emily bolehlah balik semula ke rumah bersama Nazri dan keluarga untuk mengambil pakaian dan keperluan kegunaannya di hospital. Apabila Emily ingin datang semula ke hospital bolehlah aku dan isteri membawa Emily kembali ke sini...

Dengan pesanan itu, akupun bergerak pulang...

Tuesday, October 30, 2012

Membuat Sedikit Peraturan Supaya Hati Kita Tenang Semasa Solat Sunat

Mengerjakan solat di masjid nampaknya semakin menjadi pilihan utama bagi kebanyakan kita. Siapa yang tak mahu mendapat ganjaran pahala yang lebih?

Daripada  Abu Hurairah RA katanya: “Nabi SAW bersabda : “Pahala sembahyang jemaah bagi seseorang lebih daripada sembahyang bersendirian, sama ada di tempat kerjanya (di pasar) atau di rumahnya dengan gandaan dua puluh lima darjat. Kerana orang yang telah menyempurnakan wuduk kemudian pergi ke masjid dengan tujuan untuk bersembahyang semata-mata, maka setiap langkah perjalanannya itu diberi satu darjat (pahala) dan dihapuskan satu dosa sehingga dia masuk ke dalam masjid. Dan apabila dia berada di dalam masjid dia dianggap seperti orang yang bersembahyang selagi dia menunggu untuk berjemaah. Dan para malaikat mendoakan untuk seseorang selagi dia berada di tempat sembahyangnya dengan doa : Ya Allah ya Tuhanku, rahmatilah dia, ampunilah dia, terimalah taubatnya selama dia tidak menyakiti, dan tidak berhadas di tempat itu.”


Walau bagaimanapun, bilangan mereka yang pergi ke masjid boleh dipertingkatkan lagi. Seelok-eloknya biarlah masjid yang begitu indah, besar dan luas di bumi Malaysia ini dimakmurkan dengan sebaik-baiknya.

Kadang-kadang apabila kita ke masjid yang tersergam indah, yang menelan belanja jutaan RM untuk membinanya hanya dipenuhi dengan satu atau dua saf sahaja. Di waktu subuh lagilah... Sungguh mendukacitakan!


Kesedaran untuk bersolat jamaah di masjid nampaknya semakin rancak berbanding puluhan tahun yang lalu. Tidak lagi mereka yang ke masjid hanya dikalangan mereka yang pencen sahaja tetapi sudah ramai anak muda yang hatinya begitu bertaut dengan masjid.

Isu yang ingin saya timbulkan di sini ialah tentang berapa lama sesudah azan, muazzin sesebuah masjid itu melaungkan iqamah?


Ia nampak remeh tetapi kadang-kadang apabila kita sedang menunaikan solat sunat maka tiba-tiba si muazzin melafazkan iqamah maka kitapun tak sempat untuk menyempurnakan solat sunat. Memang solat sunat lebih elok dilakukan dengan banyaknya di rumah.

Tetapi maksud saya ialah seperti solat tahiyyatul masjid, solat sunat fajar dan sebagainya.

Sesetengah masjid yang prihatin, mereka melihat dan memandang ke kiri kanan jika ada para jamaah yang masih melaksanakan solat sunat maka ditunggu dulu sebelum diteruskan dengan iqamah. Sesetengah masjid pula, muazzinnya lebih 'brutal' nampak seperti tidak mempedulikan, bila dia datang terus diqamatnya!


Saya merasa cukup seronok apabila sesebuah masjid itu menetapkan waktu iqamahnya. Contohnya, ada masjid yang menetapkan waktu iqamahnya 10 minit selepas masuk waktu (azan). Bila ada ketetapan begini, kita boleh agak samaada kita masih sempat untuk mengerjakan solat sunat atau tidak.

Kadang-kadang bila tidak ada ketetapan yang dibuat, apabila kita tiba di masjid kita merasa serba salah samaada mahu mengerjakan solat sunat atau tidak. Bagi masjid yang mempunyai bilal yang berhemah kita akan merasa lebih tenang. Mereka menunggu sehingga kita habis solat sunat.


Ya betul, memang kita boleh berhenti mengerjakan solat sunat bila-bila aje apabila iqamah dilaungkan tetapi kita merasakan seperti ada sedikit ketidakadilan. Kalau imam atau khatib dan sebagainya yang mengerjakan solat sunat mereka tunggu tetapi kalau rakyat biasa mereka teruskan iqamah...

Pada pandangan saya, dengan menetapkan waktu iqamah seperti 10 minit selepas azan dan sebagainya akan membuat hati kita lebih tenang untuk kita 'calculate' samaada kita masih sempat untuk bersolat sunat atau tidak?


Dengan berbuat demikian juga, kita boleh mengagak jika kita masih berada di rumah samaada kita masih sempat untuk datang ke masjid untuk berjamaah.

Sesetengah masjid pula tidak ingin meletakkan waktu iqamahnya kerana kadang-kadang imamnya sendiri masih belum sampai walau 10 atau 15 minit selepas waktu azan. Ini berlaku terutamanya di waktu solat subuh.

Saya juga pernah 'terpaksa' naik menjadi imam kerana imamnya tidak datang pada waktu subuh!!!

Monday, October 29, 2012

Terima Kasih Semua...

Assalamu'alaikum wrth. wkth. 
Saya mewakili Pengerusi Badan Keluarga FGHT, Pengarah Program Ibadah Qurban, dan AJK BKFGHT yang lain ingin merakamkan ucapan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua yang terlibat di dalam program ibadah qurban yang julung-julung kalinya kita adakan di FGHT. 
Terlampau ramai untuk dicoretkan nama satu per satu, dari jaga lembunya, tukang lapahnya, tukang potong daging dan tulangnya, tukang masaknya, tukang membeli peralatan memasaknya, tukang memotong bawangnya, tukang pembersihannya dan lain-lain lagi... Tidak ketinggalan juga kepada peserta-peserta qurban kerana tanpa mereka kita tidak dapat menumbangkan 2 ekor lembu dan seekor kambing.

Makanan yang dimasak oleh tukang-tukang masak kita memang best! Sehingga menjilat jari...

Semoga objektif program ini untuk merapatkan hubungan sesama staf dan mahasiswa tercapai. Dan yang paling afdal, kita sama-sama mendoakan semoga ibadah qurban kita ini diterima Allah SWT. Masing-masing dari kita mempunyai saham masing-masing di sisi Allah walaupun kita hanya membantu menjayakan program ini.
Saya juga selaku Ketua Biro Kerohanian, BKFGHT ingin memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya dan AJK BKFGHT yang lain sekiranya ada terkasar bahasa dan mengguris hati mana-mana pihak sepanjang program berlangsung pada hari ini.
Kita mendoakan supaya program seumpama ini dapat diteruskan lagi di masa hadapan. 

Friday, October 26, 2012

Eid Mubarak. Taqaballahu Minna Waminkum...

Seluruh umat Islam menyambut hari raya Eid-ul-Adha pada hari ini. Semalam kita sama-sama mengerjakan ibadah puasa pada hari Arafah. Seperti yang kita maklum pahala orang yang berpuasa di hari Arafah ialah Allah mengampunkan dosa-dosanya setahun yang lalu dan setahun yang akan datang. Begitu besar sekali pahalanya.


Maksud hari Arafah ialah hari dimana para hujaj berada di padang Arafah dan berwukuf di sana.

Kita sebagai manusia yang berakal seharusnya merebut peluang apabila adanya tawaran istimewa dari Allah SWT. Kalau kita tidak terpanggil dengan tawaran-tawaran seumpama itu maka amat rugilah kehidupan kita.


Dua bulan yang lepas, kita ditawarkan untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal disamping berpuasa sebulan di bulan Ramadhan untuk mendapat pahala berpuasa setahun.

Di bulan Ramadhan pula kita ditawarkan dengan beribadat di suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malam Lailatul Qadr!


Begitu banyak sekali pelawaan dan tawaran yang diberikan oleh Allah SWT.

Kita pula si pendengar, adakah terasa terpanggil? Atau sekadar tahu dan maklum saja dan belum terasa untuk mengambil peluang yang ditawarkan...

Alangkah ruginya kita sekiranya membiarkan semua tawaran berlalu begitu saja tanpa membuat partisipasi.


Yang berlaku hari ini sehingga berakhirnya hari tasyrik ialah berqurban. Kita disunatkan untuk berqurban pada hari raya (10 Zulhijjah) dan pada 3 hari berikutnya (11 hingga 13 Zulhijjah). Jika kita masih merasa berat untuk berqurban maka kita kena membuat muhasabah diri.


Di dalam khutbah hari ini, Khatib membandingkan di antara harga sebahagian dari 7 bahagian qurban iaitu RM450 dengan jumlah langganan ASTRO yang kita buat untuk setahun. Kalau RM450 terasa begitu berat untuk kita membayar satu bahagian dari 7 bahagian qurban maka bayaran untuk kita menonton TV ASTRO sepatutnya lebih-lebih lagi terasa beratnya.


Tetapi ASTRO ok... sebab kita bukan bayar selepuk tujuh lapan ratus. Kita bayar bulan-bulan RM70 atau RM80.

Itulah hujjah kita... Sanggupkah kita memberi hujjah itu di hadapan Allah nanti?


Akhirnya, ingin saya nyatakan di sini bahawa kehidupan kita terlalu banyak tawaran-tawaran istimewa. Bukan setakat tawaran istimewa untuk membeli belah tetapi tawaran istimewa untuk kita merebut peluang pahala akhirat.


Rebutlah selagi usia masih ada...