Sunday, January 31, 2010

Jangan Tertipu Dengan Penjualan Amal...


Suatu hari saya ke Petronas berhampiran pasar di Taman Universiti untuk mengisi minyak. Selesai mengisi minyak datang seorang remaja perempuan bertudung dan memohon derma untuk sekolah tahfiz di Kedah. Beliau mengeluarkan CD dan merayu supaya saya mendermakan kepadanya.

"Adik dah membuat hafazan berapa juzuk?", tanyaku. "15 juzuk", jawabnya. "Anak pakcik di Sekolah Menengah Islam Hidayahpun membuat hafazan dan sekarang dah 21 juzuk", jelasku tanpa dipinta...

"Betul ke derma ini untuk sekolah tahfiz?", tanyaku lagi. Sekarang ini bermacam-macam kutipan derma, entah ya entah tidak, kitapun tak mampu untuk menyelidikinya...

"Ya, pakcik! Kalau tidak betul, pakcik doakanlah supaya kami ditarik balik rezeki oleh Allah dan diberikan kesusahan!", balas budak perempuan tadi. Sungguhpun hati saya merasa sangsi tetapi dihulurkan juga sekeping note berwarna merah... "Terima kasih pakcik, semoga pakcik dimurahkan rezeki!", balas budak tadi.

Peristiwa itu berlaku lebih kurang 2 bulan yang lalu. Hari ini, saya tergerak hati untuk melihat CD yang dihulurkan oleh gadis remaja tersebut.

Muka luar terpampang gambar seorang lelaki berpakaian melayu lengkap serta memakai tengkolok atau tanjak dan tertulis "amanat SM Amin". Apabila dibuka, di dalamnya ada gambar SM Amin memeluk pinggang seorang perempuan tanpa tudung bernama Shazia berlatar belakang gambar kumpulan Kuntum Band. Subhanallah, rupa-rupanya CD lagu! Lagu yang dinyanyikan oleh SM Amin bersama Shazia dan diiringi oleh Kuntum Band. Apatah nama kedua penyanyi dan kumpulan band tersebut, tak pernah saya dengar...

Manusia berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan wang tanpa mengira cara yang betul dan halal. Mengeksploitasikan remaja, menipu dan membohongi penderma sudah tidak dihiraukan lagi. Janji dapat duit...

Pakcikpun tak pasti samaada pakcik akan berdoa kepada Allah SWT sepertimana yang adik lafazkan kepada pakcik tempohari...

Thursday, January 28, 2010

Idealisme Seorang Bergelar Mahasiswa


Kehidupan sebagai seorang mahasiswa merupakan idaman bagi setiap remaja. Mereka yang bertaraf mahasiswa mempunyai identiti sendiri. Mereka mempunyai neraca nilaian sendiri bersandarkan idealisma teori hasil pembacaan mereka. Ini diperkuatkan lagi dengan syarahan para profesor yang turut sama membentuk mereka mengikut acuan yang telah disasarkan oleh universiti. Contohnya, UTM berpegang kepada falsafah untuk melahirkan teknokrat yang kompeten dan bertanggungjawab kepada Pencipta dan masyarakat. Oleh itu, seharusnyalah setiap individu pensyarah cuba 'mould' anak murid mereka ke arah falsafah tersebut.

Pada masa inilah mereka begitu idealistik! Inginkan pengurusan yang sistematik, sistem pentadbiran yang efisien, polisi yang jelas, kemudahan prasarana yang lengkap, perjuangan ke arah memartabatkan agama dan bangsa. Mereka cukup benci birokrasi, gejala rasuah, peradaban dan tamadun yang songsang, dan segala yang merencat proses pembelajaran mereka!

Pada masa ini juga, perasaan ingin memperbetulkan sistem begitu melonjak dan berkocak dalam setiap sanubari mereka. Seharusnya kita terus menyogok mereka dengan prinsip-prinsip positif, pemahaman tentang integriti, dan nilai-nilai murni seperti bersih, cekap, amanah, bertanggungjawab, hormati orang tua dan menyayangi anak muda, dan sebagainya. Tidak terkecuali untuk kita memaklumkan juga sistem yang korup, negatif, dan bertentangan dengan norma-norma kehidupan masyarakat timur. Tujuannya adalah supaya mereka juga kenal syaitan disamping kita ingin mereka bertindak sebagai seorang manusia dan bukannya malaikat!

Datuk Ahmad Said mantan Ketua Pengarah BPR berkata: "Ya, mereka yang melakukan rasuah kerana penyelewengan dan salah guna kuasa. Dia salah guna kuasa untuk memberi kontrak dan perniagaan, menggunakan kuasa untuk mendapatkan keuntungan. Gaji bukanlah faktor utama menyebabkan rasuah, kerana ramai yang bergaji rendah tidak melakukan rasuah. Hari ini, ramai yang melakukan rasuah disebabkan life style (gaya hidup). Graduan bergaji tinggi tetapi life style dia, nite life dia, teman wanita ramai. Dia mahu memenuhi kehidupan dia. Sebab itu dia melakukan rasuah. Ini memang benar-benar berlaku di kalangan pegawai muda. Kajian menunjukkan 30 peratus pelaku rasuah adalah di kalangan orang muda. Tetapi orang muda akan berkata, 30 peratus orang muda, yang 70 peratus lagi?"

Biarkan mereka hidup dalam fantasi sehingga mereka keluar dan menghadapi realiti.

Datuk Seri Abdullah Hj Ahmad Badawi di dalam Perhimpunan Agung UMNO 2006 menyebut, "Memerangi rasuah memerlukan komitmen semua pihak. Usaha memerangi rasuah tidak dapat mencapai kemenangan jika sekadar ditumpukan kepada aktiviti menangkap dan mendakwa. Masalah rasuah tidak berakhir dengan penangkapan jika benih baru masih dibenarkan tumbuh. Laksanakanlah dalam diri masing-masing, dengan kita sendiri tidak dipengaruhi oleh wang ringgit dalam membuat pertimbangan."

Mahasiswa inilah yang kita begitu mengharapkan supaya membuat perubahan ke arah keadaan yang lebih baik dari keadaan sekarang...

Jangan ganggu gugat mereka... Jangan pula kita mengajar mereka untuk menipu dan memanipulasikan sistem yang ada!

Hari ini UTM telah mengadakan pilihanraya Majlis Perwakilan Pelajar (MPP). Biar mereka belajar sistem demokrasi dalam konteks yang betul. Kepincangan kita dalam menyediakan suasana pemilihan yang kondusif dan nampak adil bakal merungkai serta meroboh idealisma mereka sebelum lagi mereka keluar dari kepompong... Ingat! Jangan kita keluarkan tetapi biar mereka keluar sendiri secara natural...

Wednesday, January 27, 2010

Mengingati Allah Sepanjang Masa...

Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal, iaitu orang-orang yang mengingati Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini dengan sia-sia; Maha suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka." (Ali-Imran; 190-191)

Untuk mengingati kepada Allah sepanjang waktu adalah idaman mereka yang telah menjadikan Allah sebagai kekasih mereka. Orang yang berkasih tidak dapat tidak akan cuba melihat wajah kekasihnya walaupun sekelumit cuma. Kalau tidak dapat melihat, dapat mendengar suarapun sudah mencukupi. Kalau tidak jiwanya resah dek kerana rindu dendam... Tidak dapat lihat wajah, dapat tengok tanggapun jadilah!

Banyak kaedah untuk kita sentiasa mengingati Allah. Menghadiri majlis-majlis ilmu, membaca Al-Quran, membaca buku-buku agama, mengerjakan solat sunat, berjamaah di masjid, berpuasa, bersedekah, berzikir dan lain-lain lagi.

Jangan kita jadikan saat bersama Allah hanyalah sewaktu di dalam masjid sahaja atau hanya bila membaca surah yasin di malam jumaat sahaja...

Seharusnya hati sentiasa bertaut dengan Allah dalam apa jua keadaan dan pada bila masa sekalipun.

Saya kadang-kadang membawa seutas tasbih apabila saya berjalan keluar. Tasbih janganlah terlampau besar sehingga mengundang umpatan orang. "Nak tunjuk alim konon", mungkin luahan hati mereka yang memandang. Bersaiz kecil tetapi selesa untuk kita memindah-mindahkan butir tasbihnya.

Tanpa tasbih, kadang-kadang kita lupa untuk berzikir; subhanallah, alhamdulillah, allahu akbar dan laa ilaha illallah... Apabila jari jemari menggelunsur biji-biji tasbih, maka secara spontan mulut dan hati terus memuji Ilahi.... Maha Suci Allah... Segala Puji Bagi Allah... Allah Yang Maha Besar... Tiada Tuhan Melainkan Allah.

Tuesday, January 26, 2010

Bantuan Yang Kita Boleh Dapat...


Tidak ramai yang perasan, ada satu jabatan yang dipanggil Jabatan Kerja Sosial Perubatan di Hospital Negeri. Saya agak setiap hospital negeri mempunyai jabatan tersebut. Kalau di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB), ia terletak di sebelah kiri apabila kita melewati pengawal keselamatan, dan bersebelahan dengan Bank atau Tabung Darah.

Antara fungsi utama jabatan ini ialah membantu rakyat miskin untuk menjelaskan bil hospital mereka.

Saya pernah berurusan dengan Jabatan Kerja Sosial Perubatan sekitar tahun 2008. Pada masa itu, salah seorang anak saya didapati mengalami masalah pendengaran dan memerlukan alat bantuan pendengaran. Jabatan Otorinolaringologi (ORL), HSAJB telah mengesahkan anak saya mengalami masalah pendengaran jenis deria saraf tahap sederhana pada telinga kanan dan tahap ringan pada telinga kiri.

Alat bantuan pendengaran itu berharga RM2,000 lebih. Saya telah menemui pegawai Jabatan Kerja Sosial Perubatan, Pn Noraziah bt Zazali dan memaklumkan keperluan anak saya.

"Saya tidak pasti samaada jabatan ini boleh membantu saya atau tidak tetapi sekiranya saya tidak mengambil atau menggunakan hak orang lain, saya juga ingin memohon bantuan", jelas saya kepada Pn Noraziah.

"Gaji saya agak tinggi sebagai pensyarah di UTM tetapi tanggungan saya juga ramai kerana mempunyai anak seramai 9 orang. Dan saya pembayar cukai pendapatan...", tambah ku lagi.

"Baiklah, kita akan cuba bantu tetapi berapakah yang encik mampu bayar?", tanyanya pula.

"Setakat RM1,000 insyaAllah saya mampu bayar", jelasku.

"Permohonan encik bersama dua 'quotation' harga akan kita hantar ke Kementerian Kesihatan Malaysia, Bahagian Kewangan, di Putrajaya. Saya rasa untuk mendapat bantuan setakat RM1K insyaAllah, tiada masalah... Cuma, saya perlu untuk ke rumah encik Wan untuk membuat lawatan", balas Pn Noraziah. "Tujuan lawatan adalah untuk melihat keadaan rumah dan status pendapatan encik Wan", tambahnya lagi.

Kalau tidak silap saya, permohonan pada masa tu dibuat bulan April 2008.

Sejurus kemudian, saya mendapat maklumbalas dari Kementerian Kesihatan Malaysia mengatakan bahawa UTM boleh mengeluarkan bantuan tersebut tanpa perlu bantuan dari Kementerian Kesihatan Malaysia di bawah pekeliling sekian sekian...

Seterusnya saya menghubungi Pn Hartini bt Darsono, Penolong Pendaftar, Bahagian Pembangunan Sistem, UTM dan beliau memaklumkan bahawa "UTM tidak menanggung perbelanjaan bagi pembelian alat bantuan kecacatan dan ketidakupayaan anggota seperti tongkat ketiak, kerusi roda, cermin mata dan alat bantuan pendengaran samaada untuk staf ataupun tanggungannya".

Saya sekali lagi mengutuskan surat kepada Pn Hani Idayu bt Meskam, Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia dan menyertakan sekali surat dari UTM yang begitu jelas lagi bersuluh maksudnya.


Alhamdulillah pada 7 Januari 2009, saya mendapat surat dari Pn Hani menyatakan bahawa Tabung Bantuan Perubatan (TBP) diluluskan untuk pemasangan Alat Bantu Pendengaran di Telinga Kanan anak saya berjumlah tidak melebihi RM1,525. Dari jumlah keseluruhan harga alat, saya hanya perlu menambah sebanyak RM800.

Pada saya, sekiranya kita layak dan tidak mengambil hak orang lain maka gunakanlah kemudahan yang disediakan oleh kerajaan ini. Saya pasti ramai dikalangan kita yang tidak mengetahui kemudahan ini...

Monday, January 25, 2010

Mempunyai Anak 'Istimewa'


Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT jika kita mempunyai anak-anak yang cukup sifat, lengkap fizikal dan mentalnya. Setiap ibubapa sentiasa berdoa apabila siibu mula mengandung supaya Allah mengurniakan anak yang soleh dan solehah disamping sempurna kejadiannya. Siibu saban malam membaca surah Maryam disamping bacaan Al-Quran harian yang telah menjadi darah dagingnya.

Di saat kelahiran maka terzahirlah rezeki yang Allah kurniakan itu, adakah anak kita mempunyai segala anggota badan yang sempurna? Pun begitu, kadang-kadang apabila anak makin membesar maka kita dapat mengenalpasti kekurangan yang ada kepada anak tersebut.

Sebagai ibubapa, mereka tidak membezakan anak yang sempurna mahupun anak yang 'istimewa'. Semuanya ditatang bagai minyak yang penuh!

Setengah daripada kita merasa malu mempunyai anak 'istimewa'. Mempunyai anak 'istimewa' memberi banyak cabaran kepada ibubapa dan ibubapa seharusnya redha dan banyak bersabar! Ini adalah ujian Allah kepada kita...

Teringat saya lagu The Revolvers, "Namun Ku Punya Hati";

Senyum ku tak seghairah
gerak gaya tidak selincah
mata ku tak seayu
kicau burung pun tak semerdu
namun ku punya hati
juga gaya ku perasaan
hidup ku yg begini
kadar waktu di izin Tuhan
tidak ku pinta lahir ke dunia
tidak ku duga cacat begini
bukan ku minta kasih dan sayang
bukan ku rayu bantu simpati
maafkan wahai teman
ku menumpang di sudut dunia
mencari ketenangan
sampai masa ku pergi jua.............

Begitulah senikata lagu tersebut. Kadang-kadang, berat mata memandang tetapi berat lagi bahu memikul...

Kepada yang mempunyai anak 'istimewa', saya sarankan supaya saudara membuat pendaftaran dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat Malaysia. Banyak kemudahan yang disediakan kepada anak 'istimewa' atau orang kurang upaya (OKU). Bantuan-bantuan yang disediakan adalah seperti bantuan alat tiruan, elaun pekerja kurang upaya, skim bantuan pelancaran, kursus-kursus, kemudahan perumahan, kemudahan pengangkutan awam, pelepasan cukai, dan banyak lagi.

Sekurang-kurangnya apabila kita mempunyai Kad Kenal Diri Orang Kurang Upaya, kita diberi potongan perkhidmatan telefon. Maksud saya sewa bulanan talian telefon rumah hanya dikenakan RM1 sebulan. Sekiranya kita ingin membawa anak OKU kita ke luar negara, tiada caj dikenakan untuk membuat pasport. Dan banyak lagi kemudahan-kemudahan lain yang disediakan oleh pihak kerajaan...

Friday, January 22, 2010

Bulat Hati Percaya Dengan Rezeki Allah...


Saya telah menghadiri Majlis Ilmu yang disampaikan oleh Ustaz Rifqi Mydin pada 2 minggu lepas. Tajuk ceramahnya ialah berkaitan tema maal hijrah 1431, ‘Memantap Ukhuwwah, Memperkasa Ummah’.

Beliau juga menceritakan peristiwa hijrah itu sendiri, yang mana baginda Rasulullah berhijrah bertemankan Abu Bakar RA. Penghijrahan Rasulullah dibuat dengan penuh perancangan. Asma bertindak menghantar makanan ke Gua Tsur, Abdullah menyampaikan berita yang diperolehi dari Kota Mekah. Manakala Ali RA pula menggantikan baginda di tempat tidur. Ada dengan pemandu jalan upahan dan sebagainya...

Setelah segala persediaan dibuat barulah kita bertawakkal kepada Allah SWT, dan mendoakan sebaik mungkin supaya perancangan tercapai.

Di Kelantan ada satu 'term' yang disebut 'toka'. "Kito tokalah, kalu nasib baik lulus! Kalu nasib tak baik dok lulus!", begitulah kata-kata yang selalu disebut. 'Toka' itu maksud asalnya ialah tawakkal tetapi penggunaannya tidak menepati ajaran Islam.

Islam menyuruh kita bersedia dulu, membuat 'preparation' dan sebagainya kemudian baru bertawakkal. 'Toka' tanpa persediaan hanya menempah maut. Tiada persediaan fizikal dan mental kemudian ingin pergi berjihad, boleh ke? Dalam satu hadis Rasulullah SAW, beliau menyuruh sahabat mengikat dulu unta di tiang kemudian barulah bertawakkal kepada Allah SWT. InsyaAllah, unta itu tidak hilang.

Sebenarnya apa yang saya ingin sentuh tentang ceramah Ustaz Rifqi ialah bagaimana beliau merasakan rezeki itu sebetul-betulnya datang dari Allah SWT apabila beliau bercuti belajar tanpa gaji. Beliau menyambung pengajian di peringkat Sarjana di UUM.

Macam kita sekarang, setiap 25 haribulan maka duit gaji akan masuk. Bulan depan lagi awal kerana Tahun Baru Cina! Pergantungan kita kepada Allah tidak begitu kuat berbanding jika kita berkerja sendiri.

Ustaz menceritakan bagaimana kebergantungan kepada Allah begitu tinggi di saat itu. Kadang-kadang rezeki datang tanpa diduga. Suatu hari Ustaz sepatutnya berceramah tetapi beliau mendapat 'called at a very last minute' menyatakan ada ustaz lain yang ditempah oleh ajk masjid dan ceramah Ustaz Rifqi terpaksa di 'cancel'! Jadi tiada pendapatanlah pada malam itu. Tetapi keesokan malamnya, ajk yang telah menempah Ustaz Rifqi datang ke rumah dan memberi bayaran ceramah walaupun beliau tidak berceramah pada malam sebelumnya.

Ada pula yang menelefon ustaz untuk datang ke rumah. Setelah datang mereka memberikan wang ringgit kepada Ustaz.

Tetapi ada juga masa dan ketika yang beliau risau takut tiada duit untuk makan pakai dan sebagainya... Maklumlah cuti tak bergaji selama setahun bukannya sebulan... Mudah-mudahan coretan ini dapat menguatkan iman kita tentang rezeki sememangnya datang dari Allah melalui hasil usaha yang kita lakukan. Jika banyak usaha kita maka insyaAllah banyaklah rezeki kita.

Thursday, January 21, 2010

Bila Adik Besar, Adik Hendak Beri Duit Pada Ayah Tak?


"Nanti bila adik besar, sudah berkerja..., adik hendak beri duit pada ayah tak?", tanya si ayah yang duduk di atas sofa. Anaknya yang bermain mainan di atas meja kopi di depannya mengangguk...

"Berapa?", tanya ayah. Anaknya menunjukkan 2 jari kepada si ayah. "Wow, RM2 ribu?", tanya si ayah kembali. Anaknya mengeleng-ngeleng kepala... "Bukan, RM2! Emak kata kalau beri banyak, nanti ayah beli benda yang bukan-bukan!", balas anaknya.

Sungguh kelakar iklan TV tersebut. Saya dan anak-anak tergelak besar melihat telatah si ayah yang menaruh harapan yang begitu tinggi kepada anaknya. Anaknya pula sambil bermain-main menjawab dengan selamba saja...

Iklan yang memaparkan kisah si ayah yang mempunyai begitu banyak kad kredit. Akhir sekali, isterinya hanya meninggalkan satu kad kredit saja untuk kegunaan si ayah...

Kad kredit banyak kegunaannya. Semasa kita kehabisan wang, kad kreditlah yang menjadi sahabat karib. Isi minyak kereta guna kad, beli beras di Jusco guna kad, bayar sewa hotel guna kad, bayar tambang kapal terbang guna kad dan bermacam-macam kegunaan lagi. Sesetengah kad kredit siap memberi diskaun jika kita menggunakannya, contoh kad kredit CIMB Petronas. Apabila kita mengisi minyak di Petronas menggunakan kad tersebut maka ada 5% diskaun diberikan. Itu tak termasuk kad mesra lagi, yang mana poinnya kita dapat kumpul untuk membeli atau 'redeem' dengan barangan atau minyak. Dengan kata lain, membayar dengan kad lebih murah dari membayar secara tunai!

Jusco juga membekalkan kad kreditnya yang tersendiri yang mana pemegang J Card memperoleh nilai berganda apabila membuat pembayaran dengan kad kredit Jusco. Apabila nilai poin J Card mencapai 2500 maka dapat ditukar dengan 'voucher' bernilai RM20.

Kebanyakan kad kredit sekarang ini sudah tidak mengenakan bayaran 'annual fee'. Masing-masing berlumba untuk mendapatkan pelanggan dengan membuat tawaran yang sukar ditolak.

Saya sering didatangi agen-agen bank yang menawarkan kad kredit mereka. Mereka datang ke UTM dan bergerak dari bilik ke bilik pensyarah untuk mendapatkan pelanggan. Acap kali saya menerima pelawaan mereka atas dasar kesian. Kesian kerana mereka terpaksa menapak menaiki tangga ke aras 3 ke bilik saya. Apa yang saya boleh bantu mereka ialah mereka ini mendapat sedikit komisyen mengikut bilangan permohonan kad kredit yang diluluskan oleh pihak bank. Kebiasaannya selepas setahun maka saya akan memberhentikan kad kredit tersebut.

Pada suatu masa, saya mempunyai hampir 10 kad kredit tetapi sekarang hanya tinggal 3 saja. Bank-bank ini tidak pernah mendapat untung dari saya kerana saya tidak pernah berhutang. Setiap bulan, saya menjelaskan sepenuhnya bil yang digunakan...

Saya ingin menasihati mereka yang ingin atau yang telah memakai kad kredit supaya jangan berbelanja melebihi kemampuan. Kata orang, ukurlah baju di badan sendiri... Gunakan kad kredit bila ia menguntungkan kita, seperti ada 'rebate' yang diberikan dan sebagainya. Jangan sesekali tidak membayar penuh bil kad kredit kerana ia akan menggandakan jumlah wang yang kita berhutang (interestnya begitu tinggi!). Lagipun, elakkan dari kita membayar riba!

Wednesday, January 20, 2010

Pada Mulanya Ikhlas Tetapi...



Ikhlas adalah rukun bai'ah yang kedua. Begitu pentingnya keikhlasan itu sehingga Sheikh Syahid Hassan Al-Banna meletakkan ke tangga kedua selepas Al-Fahmu. Rukun yang lain ialah Amal, Jihad, Tadhiyah atau Pengorbanan, Taah, Thabat atau Konsisten, Tajarud atau Jelas, Ukhuwwah dan Thiqah.



Dalam kehidupan seharian, kalau kita perhatikan kadang-kadang begitu mudah untuk mengikhlaskan diri tetapi kadang-kadang terasa begitu sukar. Kesukaran ini timbul akibat dari adanya perasaan atau pengharapan bahawa aku ingin sesuatu pulangan darinya atau dalam bahasa Inggeris 'We are hoping for something in-return'. I scratch your back then you scratch my back. Begitulah kata-kata halus yang kita dengari. Pendekata, if you don't scratch my back, I won't scratch yours!

Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Allah Maha Kaya, Maha Penyantun. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan penerima, seperti orang yang menginfakkan hartanya kerana riya' (pamer) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perumpamaannya orang itu seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin lagi. Mereka tidak memperolehi sesuatu apa pun dari apa yang mereka kerjakan. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. (Al-Baqarah; 263-264)



Keikhlasan kita dalam mendidik anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehahpun kadang-kadang saya rasa kurang keikhlasannya. Saya berkata demikian kerana kita menaruh harapan yang tinggi supaya anak-anak ini akhirnya akan membantu kita balik, baik secara duniawi mahupun ukhrawi. Kalau hendak dikira sebetulnya pendidikan anak-anak ini adalah tanggungjawab kedua ibubapa. Suka mahupun tidak, tanggungjawab itu terpikul di bahu kita, lebih-lebih lagi si bapa. Kalau tidak, anak-anak akan mempersoalkan kita di akhirat kelak!

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At-Tahrim; 6)



Sama-sama kita tekadkan niat kita dalam apa jua urusan supaya semuanya lahir dengan penuh keikhlasan, baik pemergian kita ke masjid untuk solat berjamaah, membantu anak isteri, meringankan beban jiran, dan sebagainya. Minta dijauhkan ada hati kecil yang berkata, "Dulu aku tolong dia, sekarang aku perlukan pertolongan, mata hidungnyapun tak nampak." Wal'iya zubillahu minzaalik...

Thursday, January 14, 2010

"Anniversary Ke-21"




Pagi tadi semasa dalam kereta sambil membelek resit pasportnya, Angah bertanya padaku, "Hari ini anniversary abah dengan ummi kan?". "Aa aah, yang ke 21", jawabku.



Lupa pula aku tahun ini... Aku berkahwin dengan isteriku pada 14 Januari, 1988.

Di rumah, aku bertanya kepada isteri samaada hendak pergi makan di Hotel Puteri Pan Pacific malam ni sempena anniversary...

"Anak-anak macamana? Pergi semua?", tanya isteri tersayang. "Mana boleh, bengkoklah saya makan kat hotel untuk 8 orang", balasku.



Tetapi sebenarnya, kalau ditinggalkan anak-anak kat rumah, siapa yang hendak menjaga Asmaa Solehah yang baru berumur 1 tahun 2 bulan. Angah dah pergi jaulah ke KL sehingga Ahad ni. Yang paling besar Achik, 14 tahun, lelaki pula tu... mana boleh harap!



Malam tadi, acara penutup program indoor R2J4. Anak Prof Zainuddin Manan membuat persembahan 'public speaking' membicarakan pasal 'LOVE'. Dia bercerita pasal 'love' yang perlu dilihat dari perspektif yang betul, 'Love to Allah', 'Love to Prophet and his sunnah', 'Love to Parents', 'Love to Pets', and 'Puppy Love' atau 'Cinta Monyet'.

Maklumlah mereka semua dah meningkat remaja, baru habis SPM!

Persembahannya bagi ku adalah A+, dari segi 'pronounciation'nya, gayanya, kelancarannya, keselambaannya, dan lain-lain lagi. I'm proud of her! Tidak sia-sia Ustazah Intan dan Prof Zain mendidiknya... Rupa-rupanya dia adalah salah seorang 'debator' Bahasa Inggeris SMIH.



Program habis hampir jam 12 tengah malam. Aku lupa hendak mengucapkan 'I love you to my wife' sempena anniversary apabila detik 12 malam menjelma...



Aku berdoa kepada Allah semoga hubungan perkahwinan kami kekal buat selama-lamanya... Takut juga, bila dengar ada kawan-kawan yang bercerai-berai di kala usia sebegini. Lebih-lebih lagi, apabila suami menambah bilangan isteri...



Ya Allah, Engkau mengetahui bahawa hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihiMu, bertemu untuk mematuhi perintahMu, bersatu memikul beban dakwahMu, hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk mendaulat dan menyokong syariatMu, maka eratkanlah ya Allah akan ikatannya. Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini akan jalanNya yang sebenar. Penuhkan hati ini dengan cahaya RabbaniMu yang tidak kunjung malap. Lapangkan hati-hati ini dengan limpahan iman dan keindahan tawakkal kepadaMu. Hidup suburkan hati-hati ini dengan ma'rifatMu... Jika Engkau mentakdirkan mati maka matikanlah pemilik hati-hati ini sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMu. Engkaulah sebaik-baik sandaran dan sebaik-baik penolong. Ya Allah, perkenankanlah permintaan ini.....

Buat Pasport Antarabangsa Untuk Anak...

"Abah! Dah pukul 4.45 pagi. Kata nak pergi pukul 5.00 pagi ke Pejabat Imigresen", kejut isteriku. Aku sudah memaklumkan kepada isteri untuk mengejutkan aku awal pagi kerana urusan membuat pasport Wan 'Atikah untuk ke Jawa.

Dua hari lepas, Dr. Murni telah menghantar e-mail kepada kesemua 'parents' R2J4 menyatakan PM Hj Ainollotfi bersama anaknya, Fatimah Azzahra bertolak pukul 5 lebih pagi ke Pekan Rabu, Tampoi, untuk membuat pasport. Itupun mendapat nombor 83.

Pagi tadi, aku dan Angah sampai di Pejabat Imigresen lebih kurang 5.10 pagi dan didapati sudah ramai beratur.

Jam hampir 6 pagi kedengaran azan Subuh dari masjid berdekatan. Akupun bertanya khabar pengusaha kedai gambar dimana letaknya surau. "Di bawah encik, dekat parking lot!", jawabnya.

Apabila aku bangkit dari rakaat pertama, ada seorang datang dan mencuitku dari belakang menandakan ia akan mengikutku untuk solat berjamaah. Selesai solat aku naik kembali ke atas dan menggantikan Angah beratur.

"Kat mana abah?", tanya Angah padaku. "Angah pergilah kat tepi sana dan arah kiblatnya begini", tunjukku. Untuk menyuruhnya turun ke surau di bawah sana, keadaan agak gelap dan tidak 'condusive' untuk orang perempuan berseorangan.

Manusia ku lihat semakin ramai, bertali arus datang berbaris. Hampir jam 7.30am, dua orang pegawai Imigresen datang, seorang kecil dan seorang lagi berbadan besar, mengagihkan nombor giliran kepada kami yang beratur. Yang berbadan besar hanya memerhati yang berbadan kecil memberi nombor satu per satu, seolah-olah macam 'bouncer' atau 'body guard'.

Aku hanya mampu berdoa kepada Allah supaya nombor sempat sampai ke tempat kami berbaris. Alhamdulillah, Angah mendapat nombor 128, dan bila sampai ke nombor 150, pegawai tadi menyatakan nombor sudah habis! Aku agak ada dalam 300 orang lagi di belakangku yang tidak mendapat nombor. Mereka terpaksa pulang dengan hampa...

Aku mengambil kesempatan berborak dengan pegawai yang berbadan besar. Di atas bahunya nampak ada 3 calit, kalau askar, mungkin berpangkat Sarjan la kot... "Kenapa nombor dikeluarkan setakat 150 aje?", tanyaku. "Kita ikut pengarah, kalau pengarah kata 200, kita agihkan 200 nombor", balasnya dengan sopan.

Kami terpaksa kekal dalam barisan untuk ke kaunter penyemakan. Kaunter ini bertindak untuk menyemak samaada dokumen yang dibawa adalah menepati keperluan disamping untuk mengecop nombor. Nombor yang tiada cop adalah tidak 'valid'!

Tiba-tiba belakangku ditepuk. Aku menoleh ke belakang dan kelihatan Dr Azlan dan anaknya, Azam baru sampai. "Kat mana nak ambil nombor?", tanya Dr Azlan. "Dah habis, akhi! Ramai yang terpaksa balik kerana nombor sudah habis", jawabku.

Kemudian telefonku berdering, "Minta anta ambil borang putih 15 keping, borang kebenaran ibubapa untuk anak membuat pasport. Borang tu RM1 satu", pinta Prof Dr Aizaini. "Ok, insyaAllah", balasku.

Sesampainya di kaunter, Angah mengeluarkan segala dokumen yang diperlukan. "Encik, surat beranak anak yang original ada?", tanya pegawai di kaunter. "Surat beranak yang photostat aje ada, tetapi anak saya ada I/C original disamping yang sudah diphotostatkan", balasku. "Oh.. tak boleh encik, kita hendak surat beranak yang original juga", tambahnya lagi.

Logik kepala aku mula hendak keluar dari mulut. Tapi aku pendamkan dulu. Takkanlah masa buat I/C dulu, tak bawa surat beranak original boleh dapat I/C. "Inikan dah ada I/C original", bentak hatiku.

"Tak apa encik, nombor encikpun lambat lagi..., saya agak nombor 128 mungkin pukul 9.30 atau 10 pagi baru panggil. Encik balik ambil surat beranak tu dulu... Encik tinggal kat Skudai kan?", sambung pegawai itu lagi.

Dengan berat hati aku pulang ke rumah untuk mengambil surat beranak Angah yang original.

Kami tiba semula di Pekan Rabu setengah jam kemudian. Aku dan Angah ke warong di aras 2 untuk mengalas perut. Selesai makan, kamipun masuk ke dalam pejabat dan nombor yang dipanggil sudah ke angka 90 lebih.

Tiba-tiba, telefon sekali lagi berdering... "Ni Razali Ngah, ana ke Pejabat Imigresen Kukup tapi tutup, sekarang 'on the way' balik... Nombor ada lagi tak di sana?", tanya Dr Razali Ngah. "Dah habis Li", jawabku.

Apabila nombor kami dipanggil, kami ke kaunter dan menjelaskan segala bayaran dan menyediakan segala dokumen yang diperlukan. Tetapi nama Wan 'Atikah tidak dapat diletak '(koma) di depan perkataan Atikah dalam pasport. Tidak mengapalah, kalau itu sudah peraturannya... Semuanya selesai sebelum jam 10.45 pagi.

Kami disuruh datang mengambil pasport jam 1 petang nanti.

Jam 1.12 petang kami sampai semula ke Pekan Rabu. Kelihatan notis berbahasa Melayu dan Inggeris menyatakan bahawa Pejabat Imigresen Pekan Rabu, Tampoi akan ditutup mulai 15 Januari dan segala urusan pasport hendaklah dibuat di Pejabat Imigresen Wisma Persekutuan tertampal di 'sliding grill' pejabat.

Sambil mengambil pasport, aku menanyakan pegawai bertugas kenapa pejabat ini hendak ditutup. "Buat sementara aje Encik, kerana pasport sudah habis! Ada baki sikit-sikit, kita hantar ke Wisma Persekutuan", jawabnya. "Pernah satu hari tu, kita proses pasport sebanyak 5,000 buah untuk seluruh negeri Johor. Dan kita kerja sampai malam", tambahnya. "Jumlah 5,000 itu untuk Johor, belum lagi negeri-negeri lain. Ini gara-gara kerajaan memperkenalkan pasport berharga RM100", sambungnya lagi.

Sebelum ini, aku mendapat maklumat pasport yang diproses di Pekan Rabu dan di Wisma Persekutuan akan mendapat pasport mereka pada hari yang sama kecuali pejabat-pejabat imigresen daerah seperti di Kukup, Keluang dan sebagainya yang memerlukan tempoh seminggu.

Pada hari ini, Pejabat Imigresen Kukup ditutup dan pada hari esok Pejabat Imigresen Pekan Rabu pula ditutup...

Natijahnya ialah kita tidak bersedia dari aspek 'preparation' bahannya atau apa-apapun jua, apabila pihak 'politician' memperkenalkan dasar atau polisi baru. Sepatutnya, sebelum pengisytiharan itu, kajian perlu dibuat dari segi kesan dan implikasinya... baik implikasi kewangan, bilangan pasport yang sediaada, mahupun masa kerja pegawai yang bertugas.

Dari segi kewangan, kerajaan memperolehi pendapatan yang bertambah secara mengejut tetapi dari aspek rakyat terpaksa bersengkang mata 'just to get numbers' adalah kurang praktikal! Sekiranya, pasport mencukupi, kemungkinan rakyat tidak perlu datang seawal 5 pagi.....

Wednesday, January 13, 2010

Apa Yang KIta Cari Dalam Sebuah Kehidupan...



"Wan, I minta maaf kalau kita tak jumpa lagi selepas ini", sapa seorang rakan sepejabatku sekejap tadi.

"Well, UTM lepaskan you? How much do you have to pay?", tanyaku pula.

"RM504,000", balasnya.

"Wow, that's more than half a million!", ujarku.

"Tengoklah, kan kita boleh buat rayuan dan bayar sikit-sikit", sambungnya lagi.

Rakan sepejabatku sudah lama bertahan. Suami di UK, anak di Melaka, dan dia pula keseorangan di Skudai. Akhirnya, membuat keputusan untuk berhenti kerja dan kembali ke pangkuan suami, warga British di UK!

Aku juga sedang membaca sebuah buku bertajuk "A Walk Through Life", karya Norma Kassim. Beliau menceritakan kisah hidup beliau...



Norma telah melanjutkan pelajaran ke Bath, UK, selepas menamatkan persekolahan menengahnya di Sultanah Asma Secondary School. Semasa di UK, beliau berkahwin dan berhenti belajar untuk menjadi surirumah sepenuh masa. Beliau aktif berdakwah selama 6 tahun di UK dan sekembalinya ke Malaysia.



Beliau kemudiannya bercerai dan mengakhiri perkahwinannya selama 13 tahun. Beliau mula bekerja dan membina kerjayanya. Disamping bekerja, beliau membuat Diploma in Business Management. Seterusnya, memperolehi MBA dari University of Leicester.



Beliau bergiat di dalam Persatuan Ibu Tunggal, menjadi Pengerusinya buat beberapa waktu, dan sekarang memegang jawatan Bendahari. Sekarang ini, beliau meneruskan pengajian di peringkat PhD dalam bidang Tamadun Islam di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) secara separuh masa.

Dua senario yang berbeza, kes yang pertama meninggalkan kerjaya untuk bersama keluarga, manakala kes kedua pula, 'meninggalkan atau ditinggalkan' keluarga untuk mengejar kerjayanya...

Aku ingin menambah satu lagi kes.

Semalam, isteriku menyuarakan pandangan untuk kembali bekerja di SRIH setelah berhenti lebih setahun. "Kan awak kata penat kerja?... Pergi sekolah pukul 7am dan balik 7pm...", soalku.

"Kesian kat sekolah, ramai guru yang berhenti dan guru-guru gantipun bukannya boleh bertahan lama. Komitmenpun tidak seperti kita!", ujarnya lagi. Aku terus diam...

Setiap individu mempunyai matlamat atau sasaran hidupnya masing-masing. Sasaran kita tidak semestinya sama. Kadang-kadang, kita fikir itu terbaik untuknya tetapi dia pula berfikir sebaliknya...



Apapun bagiku, niat yang paling utama! Kitapun tahu bahawa Allah berfirman, "Tidak aku jadikan jin dan manusia adalah untuk beribadah kepadaKu..." Selagi kita berkerja dan berniat untuk mencari keredhaan Allah, maka teruskanlah... mudah-mudahan ada amal yang kita lakukan di sisiNya.