Thursday, January 14, 2010

Buat Pasport Antarabangsa Untuk Anak...

"Abah! Dah pukul 4.45 pagi. Kata nak pergi pukul 5.00 pagi ke Pejabat Imigresen", kejut isteriku. Aku sudah memaklumkan kepada isteri untuk mengejutkan aku awal pagi kerana urusan membuat pasport Wan 'Atikah untuk ke Jawa.

Dua hari lepas, Dr. Murni telah menghantar e-mail kepada kesemua 'parents' R2J4 menyatakan PM Hj Ainollotfi bersama anaknya, Fatimah Azzahra bertolak pukul 5 lebih pagi ke Pekan Rabu, Tampoi, untuk membuat pasport. Itupun mendapat nombor 83.

Pagi tadi, aku dan Angah sampai di Pejabat Imigresen lebih kurang 5.10 pagi dan didapati sudah ramai beratur.

Jam hampir 6 pagi kedengaran azan Subuh dari masjid berdekatan. Akupun bertanya khabar pengusaha kedai gambar dimana letaknya surau. "Di bawah encik, dekat parking lot!", jawabnya.

Apabila aku bangkit dari rakaat pertama, ada seorang datang dan mencuitku dari belakang menandakan ia akan mengikutku untuk solat berjamaah. Selesai solat aku naik kembali ke atas dan menggantikan Angah beratur.

"Kat mana abah?", tanya Angah padaku. "Angah pergilah kat tepi sana dan arah kiblatnya begini", tunjukku. Untuk menyuruhnya turun ke surau di bawah sana, keadaan agak gelap dan tidak 'condusive' untuk orang perempuan berseorangan.

Manusia ku lihat semakin ramai, bertali arus datang berbaris. Hampir jam 7.30am, dua orang pegawai Imigresen datang, seorang kecil dan seorang lagi berbadan besar, mengagihkan nombor giliran kepada kami yang beratur. Yang berbadan besar hanya memerhati yang berbadan kecil memberi nombor satu per satu, seolah-olah macam 'bouncer' atau 'body guard'.

Aku hanya mampu berdoa kepada Allah supaya nombor sempat sampai ke tempat kami berbaris. Alhamdulillah, Angah mendapat nombor 128, dan bila sampai ke nombor 150, pegawai tadi menyatakan nombor sudah habis! Aku agak ada dalam 300 orang lagi di belakangku yang tidak mendapat nombor. Mereka terpaksa pulang dengan hampa...

Aku mengambil kesempatan berborak dengan pegawai yang berbadan besar. Di atas bahunya nampak ada 3 calit, kalau askar, mungkin berpangkat Sarjan la kot... "Kenapa nombor dikeluarkan setakat 150 aje?", tanyaku. "Kita ikut pengarah, kalau pengarah kata 200, kita agihkan 200 nombor", balasnya dengan sopan.

Kami terpaksa kekal dalam barisan untuk ke kaunter penyemakan. Kaunter ini bertindak untuk menyemak samaada dokumen yang dibawa adalah menepati keperluan disamping untuk mengecop nombor. Nombor yang tiada cop adalah tidak 'valid'!

Tiba-tiba belakangku ditepuk. Aku menoleh ke belakang dan kelihatan Dr Azlan dan anaknya, Azam baru sampai. "Kat mana nak ambil nombor?", tanya Dr Azlan. "Dah habis, akhi! Ramai yang terpaksa balik kerana nombor sudah habis", jawabku.

Kemudian telefonku berdering, "Minta anta ambil borang putih 15 keping, borang kebenaran ibubapa untuk anak membuat pasport. Borang tu RM1 satu", pinta Prof Dr Aizaini. "Ok, insyaAllah", balasku.

Sesampainya di kaunter, Angah mengeluarkan segala dokumen yang diperlukan. "Encik, surat beranak anak yang original ada?", tanya pegawai di kaunter. "Surat beranak yang photostat aje ada, tetapi anak saya ada I/C original disamping yang sudah diphotostatkan", balasku. "Oh.. tak boleh encik, kita hendak surat beranak yang original juga", tambahnya lagi.

Logik kepala aku mula hendak keluar dari mulut. Tapi aku pendamkan dulu. Takkanlah masa buat I/C dulu, tak bawa surat beranak original boleh dapat I/C. "Inikan dah ada I/C original", bentak hatiku.

"Tak apa encik, nombor encikpun lambat lagi..., saya agak nombor 128 mungkin pukul 9.30 atau 10 pagi baru panggil. Encik balik ambil surat beranak tu dulu... Encik tinggal kat Skudai kan?", sambung pegawai itu lagi.

Dengan berat hati aku pulang ke rumah untuk mengambil surat beranak Angah yang original.

Kami tiba semula di Pekan Rabu setengah jam kemudian. Aku dan Angah ke warong di aras 2 untuk mengalas perut. Selesai makan, kamipun masuk ke dalam pejabat dan nombor yang dipanggil sudah ke angka 90 lebih.

Tiba-tiba, telefon sekali lagi berdering... "Ni Razali Ngah, ana ke Pejabat Imigresen Kukup tapi tutup, sekarang 'on the way' balik... Nombor ada lagi tak di sana?", tanya Dr Razali Ngah. "Dah habis Li", jawabku.

Apabila nombor kami dipanggil, kami ke kaunter dan menjelaskan segala bayaran dan menyediakan segala dokumen yang diperlukan. Tetapi nama Wan 'Atikah tidak dapat diletak '(koma) di depan perkataan Atikah dalam pasport. Tidak mengapalah, kalau itu sudah peraturannya... Semuanya selesai sebelum jam 10.45 pagi.

Kami disuruh datang mengambil pasport jam 1 petang nanti.

Jam 1.12 petang kami sampai semula ke Pekan Rabu. Kelihatan notis berbahasa Melayu dan Inggeris menyatakan bahawa Pejabat Imigresen Pekan Rabu, Tampoi akan ditutup mulai 15 Januari dan segala urusan pasport hendaklah dibuat di Pejabat Imigresen Wisma Persekutuan tertampal di 'sliding grill' pejabat.

Sambil mengambil pasport, aku menanyakan pegawai bertugas kenapa pejabat ini hendak ditutup. "Buat sementara aje Encik, kerana pasport sudah habis! Ada baki sikit-sikit, kita hantar ke Wisma Persekutuan", jawabnya. "Pernah satu hari tu, kita proses pasport sebanyak 5,000 buah untuk seluruh negeri Johor. Dan kita kerja sampai malam", tambahnya. "Jumlah 5,000 itu untuk Johor, belum lagi negeri-negeri lain. Ini gara-gara kerajaan memperkenalkan pasport berharga RM100", sambungnya lagi.

Sebelum ini, aku mendapat maklumat pasport yang diproses di Pekan Rabu dan di Wisma Persekutuan akan mendapat pasport mereka pada hari yang sama kecuali pejabat-pejabat imigresen daerah seperti di Kukup, Keluang dan sebagainya yang memerlukan tempoh seminggu.

Pada hari ini, Pejabat Imigresen Kukup ditutup dan pada hari esok Pejabat Imigresen Pekan Rabu pula ditutup...

Natijahnya ialah kita tidak bersedia dari aspek 'preparation' bahannya atau apa-apapun jua, apabila pihak 'politician' memperkenalkan dasar atau polisi baru. Sepatutnya, sebelum pengisytiharan itu, kajian perlu dibuat dari segi kesan dan implikasinya... baik implikasi kewangan, bilangan pasport yang sediaada, mahupun masa kerja pegawai yang bertugas.

Dari segi kewangan, kerajaan memperolehi pendapatan yang bertambah secara mengejut tetapi dari aspek rakyat terpaksa bersengkang mata 'just to get numbers' adalah kurang praktikal! Sekiranya, pasport mencukupi, kemungkinan rakyat tidak perlu datang seawal 5 pagi.....

No comments:

Post a Comment