Thursday, January 21, 2010

Bila Adik Besar, Adik Hendak Beri Duit Pada Ayah Tak?


"Nanti bila adik besar, sudah berkerja..., adik hendak beri duit pada ayah tak?", tanya si ayah yang duduk di atas sofa. Anaknya yang bermain mainan di atas meja kopi di depannya mengangguk...

"Berapa?", tanya ayah. Anaknya menunjukkan 2 jari kepada si ayah. "Wow, RM2 ribu?", tanya si ayah kembali. Anaknya mengeleng-ngeleng kepala... "Bukan, RM2! Emak kata kalau beri banyak, nanti ayah beli benda yang bukan-bukan!", balas anaknya.

Sungguh kelakar iklan TV tersebut. Saya dan anak-anak tergelak besar melihat telatah si ayah yang menaruh harapan yang begitu tinggi kepada anaknya. Anaknya pula sambil bermain-main menjawab dengan selamba saja...

Iklan yang memaparkan kisah si ayah yang mempunyai begitu banyak kad kredit. Akhir sekali, isterinya hanya meninggalkan satu kad kredit saja untuk kegunaan si ayah...

Kad kredit banyak kegunaannya. Semasa kita kehabisan wang, kad kreditlah yang menjadi sahabat karib. Isi minyak kereta guna kad, beli beras di Jusco guna kad, bayar sewa hotel guna kad, bayar tambang kapal terbang guna kad dan bermacam-macam kegunaan lagi. Sesetengah kad kredit siap memberi diskaun jika kita menggunakannya, contoh kad kredit CIMB Petronas. Apabila kita mengisi minyak di Petronas menggunakan kad tersebut maka ada 5% diskaun diberikan. Itu tak termasuk kad mesra lagi, yang mana poinnya kita dapat kumpul untuk membeli atau 'redeem' dengan barangan atau minyak. Dengan kata lain, membayar dengan kad lebih murah dari membayar secara tunai!

Jusco juga membekalkan kad kreditnya yang tersendiri yang mana pemegang J Card memperoleh nilai berganda apabila membuat pembayaran dengan kad kredit Jusco. Apabila nilai poin J Card mencapai 2500 maka dapat ditukar dengan 'voucher' bernilai RM20.

Kebanyakan kad kredit sekarang ini sudah tidak mengenakan bayaran 'annual fee'. Masing-masing berlumba untuk mendapatkan pelanggan dengan membuat tawaran yang sukar ditolak.

Saya sering didatangi agen-agen bank yang menawarkan kad kredit mereka. Mereka datang ke UTM dan bergerak dari bilik ke bilik pensyarah untuk mendapatkan pelanggan. Acap kali saya menerima pelawaan mereka atas dasar kesian. Kesian kerana mereka terpaksa menapak menaiki tangga ke aras 3 ke bilik saya. Apa yang saya boleh bantu mereka ialah mereka ini mendapat sedikit komisyen mengikut bilangan permohonan kad kredit yang diluluskan oleh pihak bank. Kebiasaannya selepas setahun maka saya akan memberhentikan kad kredit tersebut.

Pada suatu masa, saya mempunyai hampir 10 kad kredit tetapi sekarang hanya tinggal 3 saja. Bank-bank ini tidak pernah mendapat untung dari saya kerana saya tidak pernah berhutang. Setiap bulan, saya menjelaskan sepenuhnya bil yang digunakan...

Saya ingin menasihati mereka yang ingin atau yang telah memakai kad kredit supaya jangan berbelanja melebihi kemampuan. Kata orang, ukurlah baju di badan sendiri... Gunakan kad kredit bila ia menguntungkan kita, seperti ada 'rebate' yang diberikan dan sebagainya. Jangan sesekali tidak membayar penuh bil kad kredit kerana ia akan menggandakan jumlah wang yang kita berhutang (interestnya begitu tinggi!). Lagipun, elakkan dari kita membayar riba!

No comments:

Post a Comment