Wednesday, January 20, 2010

Pada Mulanya Ikhlas Tetapi...



Ikhlas adalah rukun bai'ah yang kedua. Begitu pentingnya keikhlasan itu sehingga Sheikh Syahid Hassan Al-Banna meletakkan ke tangga kedua selepas Al-Fahmu. Rukun yang lain ialah Amal, Jihad, Tadhiyah atau Pengorbanan, Taah, Thabat atau Konsisten, Tajarud atau Jelas, Ukhuwwah dan Thiqah.



Dalam kehidupan seharian, kalau kita perhatikan kadang-kadang begitu mudah untuk mengikhlaskan diri tetapi kadang-kadang terasa begitu sukar. Kesukaran ini timbul akibat dari adanya perasaan atau pengharapan bahawa aku ingin sesuatu pulangan darinya atau dalam bahasa Inggeris 'We are hoping for something in-return'. I scratch your back then you scratch my back. Begitulah kata-kata halus yang kita dengari. Pendekata, if you don't scratch my back, I won't scratch yours!

Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi tindakan yang menyakiti. Allah Maha Kaya, Maha Penyantun. Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu merosak sedekahmu dengan menyebut-nyebutnya dan menyakiti perasaan penerima, seperti orang yang menginfakkan hartanya kerana riya' (pamer) kepada manusia dan dia tidak beriman kepada Allah dan hari akhirat. Perumpamaannya orang itu seperti batu yang licin yang di atasnya ada debu, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, maka tinggallah batu itu licin lagi. Mereka tidak memperolehi sesuatu apa pun dari apa yang mereka kerjakan. Dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang kafir. (Al-Baqarah; 263-264)



Keikhlasan kita dalam mendidik anak supaya menjadi anak-anak yang soleh dan solehahpun kadang-kadang saya rasa kurang keikhlasannya. Saya berkata demikian kerana kita menaruh harapan yang tinggi supaya anak-anak ini akhirnya akan membantu kita balik, baik secara duniawi mahupun ukhrawi. Kalau hendak dikira sebetulnya pendidikan anak-anak ini adalah tanggungjawab kedua ibubapa. Suka mahupun tidak, tanggungjawab itu terpikul di bahu kita, lebih-lebih lagi si bapa. Kalau tidak, anak-anak akan mempersoalkan kita di akhirat kelak!

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu; penjaganya malaikat-malaikat yang kasar, dan keras, yang tidak durhaka kepada Allah terhadap apa yang Dia perintahkan kepada mereka dan selalu mengerjakan apa yang diperintahkan. (At-Tahrim; 6)



Sama-sama kita tekadkan niat kita dalam apa jua urusan supaya semuanya lahir dengan penuh keikhlasan, baik pemergian kita ke masjid untuk solat berjamaah, membantu anak isteri, meringankan beban jiran, dan sebagainya. Minta dijauhkan ada hati kecil yang berkata, "Dulu aku tolong dia, sekarang aku perlukan pertolongan, mata hidungnyapun tak nampak." Wal'iya zubillahu minzaalik...

No comments:

Post a Comment