Friday, November 19, 2010

Lembu Terakhir IKRAM Johor Diqurbankan Pagi Tadi...


Pagi tadi, selesai solat subuh di MSI, UTM, kami bergerak ke ladang lembu di Simpang Renggam. Sebuah kereta yang dipandu PM Dr Hj Mohamad Wijayanuddin, dipenuhi oleh Hj Ahmadon, Hj Wan Ibrisam Fikry, Abdul Muhaimin, dan Wan Abdul Rasyid sampai di ladang sekitar jam 7.30 pagi. Kami memulakan acara dengan sarapan pagi yang disediakan oleh Hj Sarif di ladang.

Selesai sarapan, kamipun memulakan tugas dengan menyembelih 2 ekor lembu terakhir dari 33 ekor lembu yang dijadikan ibadah qurban oleh ahli IKRAM seluruh Johor pada tahun ini. Jumlah 33 ekor ini tidak termasuk ahli IKRAM Johor yang berqurban di lokaliti masing-masing bersama masyarakat setempat. Ada juga ahli IKRAM Johor yang berqurban di Indonesia bagi membantu masyarakat Indonesia yang ditimpa bencana gunung berapi di Jogjakarta.

Kemudian PM Dr Hj Mat Hussin tiba di ladang dengan keretanya, bersama sebuah lori 1 ton untuk membawa daging qurban ke Pejabat IKRAM Negeri Johor.

Pejabat IKRAM Negeri Johor baru sahaja dibeli dan belum lagi dibuat pengubahsuaian. Di sini, Pejabat IKRAM Negeri dan Pejabat IKRAM Daerah Johor Bahru Tengah akan beroperasi.

Tidak lama kemudian, PM Dr Hj Ali, Penyelaras Ibadah Qurban IKRAM Johor 1431 tiba bersama kawannya.

Sekitar jam 9 pagi, semua daging, tulang, dan babat (perut) dimuatkan ke dalam lori dan bergerak ke Taman Universiti.

Kumpulan ibu-ibu sudah bersiap sedia memotong bawang di Pejabat IKRAM sekitar jam 10 pagi.

Sebahagian dari daging akan diedarkan kepada orang-orang susah di sekitar daerah Johor Bahru Tengah, manakala sebahagian lagi dibuat sup dan masak kicap untuk jamuan kepada seluruh ahli IKRAM Johor.

Proses memasak bermula sekitar jam 11 pagi dan dijangka siap untuk dimakan selepas solat Jumaat.

Kereta kami sampai ke Pejabat IKRAM Negeri Johor, di alamat 11 Jalan Pendidikan 3, Taman Universiti, sekitar jam 10.20 pagi.

Saya bersama Dr Hj Jamaluddin menimbang dan mengisi beg-beg berlogo IKRAM dengan daging seberat satu kilogram setiap satu.

Pada pukul 11 pagi, saya memandu Kancil bersama Zahid Jamaluddin, Wan Abdul Rasyid, dan Wan Abdullah Syakir untuk mengagihkan daging qurban ke rumah-rumah kos rendah di Jalan Penyiaran, Jalan Pertanian, Jalan Perubatan, Jalan Kemuliaan, Jalan Kebangsaan, dan apa-apa jalan lagi di sekitar Taman Universiti...

Orang lain akan megagihkan daging di kawasan lain pula.

Sungguh memenatkan sekali... tetapi apabila mengenangkan betapa seronoknya orang yang kurang berada dapat memakan daging qurban pada hari ini, maka hilang segala kepenatan! Tujuan diedarkan sebelum tengahari adalah supaya mereka sempat memasak daging tersebut untuk santapan tengahari mereka.

Kami selesai mengagihkan daging-daging tersebut 10 minit sebelum pukul 1 petang.

Saya, Rasyid, dan Syakir pulang ke rumah untuk mandi sebelum ke Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama, untuk menunaikan solat Jumaat.

Selesai solat Jumaat, kami terus ke Pejabat IKRAM untuk menjamu selera...

2 comments:

  1. Wah Abe Wea..selamat hari raya maaf zahir batin.
    zaharudin belfast

    ReplyDelete
  2. Bila Din nak balik Malaysia? Kalu tak menyusahkan minta tolong beli scrable yg kat Car Boot tu... Tq.

    ReplyDelete