Wednesday, December 29, 2010

Anak Sahabat Kami Kembali MenemuiNya...

Balik dari main badminton petang semalam, aku lihat isteri sudah bersiap-siap untuk keluar. "Ada apa?", tanyaku. "Ada katibah, bermula dengan iftar bersama...", balas isteri. "Tengah tunggu Sabihah untuk pergi bersama", sambungnya lagi.

Sebentar kemudian, isteri mendapat panggilan telefon.

"Katibah cancel kerana adik Afiq, anak Norhisham Samiran baru meninggal di Klinik Penawar Taman Universiti...kerana semput", maklum isteriku. Isteriku amat mengenali Afiq dan nampak dia agak terkejut dengan berita tersebut.

"Ok, lepas solat maghrib... kita pergi ziarah", maklumku kepada isteri. "Nak ikut!", mula Rasyid. Kemudian, Syakir dan 'Ammarpun sama, mendesak supaya dibawa bersama. Aku memaklumkan kepada anak-anak bahawa hanya Ummi, Asmaa, dan abah aje yang pergi...

Masing-masing nampak kecewa. Arwah Afiq adalah senior setahun 'Ammar, dan junior setahun Achik semasa di Tadika Nahwal Iman lagi. Kemudian mereka sama-sama di SRIH dan SMIH.

"Baru-baru ini, Aman jadi fasi untuk Afiq", maklum abang. Abang menjadi fasilitator dalam salah satu program musim cuti sekolah anjuran IKRAM.

"Tu lah bang, kita kena bersedia untuk mati... Orang mudapun meninggal dan tak semestinya, tua macam abah baru mati", saja aku memberi tadzkirah kepada anak lelaki sulungku. Harap-harapnya, anak-anak yang lain juga mendengar dan mengambil iktibar.

Selesai solat maghrib, aku, isteri dan Asmaa keluar untuk ke Taman Mutiara Rini. Sebelum keluar, sudah telefon Hj Abdullah Zawawi, bertanyakan alamat rumah Norhisham.

Pusing punya pusing, namun tidak juga menjumpainya. Keluar dari kawasan Jalan Utama, pergi pula ke Jalan Bakti. Akhirnya, telefon lagi Dr Faizul. Balik semula ke kawasan Jalan Utama. Alhamdulillah, akhirnya berjumpa juga.

Di luar kawasan rumah, ada dalam 10 orang manakala di dalam mungkin berbelas-belas orang sedang membaca surah Yasin. Aku masuk ke dalam rumah bersama Asmaa yang sudah terlena, mungkin kerana lama berpusing-pusing tadi.

Di sudut depan ruang tamu, terbujur kaku adik Afiq yang baru berusia 13 tahun. Ya Allah, aku berdoa kepadaMu supaya menempatkan adik Afiq yang masih mentah ini di syurgaMu. Cucurilah rahmat ke atas rohnya, lapangkan dan terangilah kuburnya...

Selesai membaca surah Yasin, aku keluar rumah untuk memberi ruang kepada tetamu lain yang baru hadir. Ku lihat, berpusu-pusu orang datang, dari kalangan rakan taulan, guru-guru hidayah, dan sebagainya.

Semasa di luar rumah, aku sempat berbual dengan Azfar, abang kepada arwah... Azfar ini juga, ku kenali semasa di Tadika Nahwal Iman lagi.

"Petang tadi, arwah batuk-batuk... lepas tu, dia naik atas ke tandas untuk buang kahak. Bila keluar, dia guna 'inhaler' untuk ubat semputnya tapi tak jadi. Dia minta mesin, untuk pasang kat hidung... Tapi ubat itu masih tidak membuka rongga pernafasannya. Emak sapu minyak panas kat belakang Afiq... Tapi masih tiada kesan. Bila bawa ke klinik, dalam kereta nadinya sudah lemah... Sampai di klinik, doktor kata sudah tiada...", Itulah penerangan Azfar kepadaku.

Yang menyedihkan lagi, ayahnya masih dalam perjalanan dari Kuala Terengganu ke Skudai semasa ketiadaan Afiq. Norhisham terpaksa mengambil flight dari KT ke KLIA dan dari KLIA diambil oleh sahabat-sahabat dari Skudai kerana flight KLIA ke JB sudah tiada.

Semoga Norhisham sekeluarga bersabar dan redha dengan ketentuan Allah... Inna lillahi wainna ilai hiraaji'un...

Monday, December 27, 2010

Kanak-Kanak Berdakwah Kepada Bukan Islam...


"Auntie nak masuk syurga tak?", tanya Qanitah kepada jiran sebelah rumahku. Qanitah, berumur 9 tahun, anak jiran sebelah rumahku di sebelah kanan manakala 'auntie' adalah jiran di sebelah kiri rumahku.

"Kalau auntie masuk syurga, apa aje auntie nak, akan dapat", sambung Qanitah lagi. Sebenarnya Qanitah, Rasyid, dan Sakinah bertiga bergerak dalam satu pasukan untuk mengajak makcik Cina, berumur lebih kurang 40 tahun kepada agama Tauhid.

Rasyid juga berumur 9 tahun dan Sakinah berumur 8 tahun.

"Tak pa lah, tak pa lah, auntie tak suka sembahyang kepada Tuhan yang tak nampak", balas auntie kepada anak-anak.

Sambil menunjukkan kepada tokong, auntie berkata, "Tuhan auntie tu bagi auntie sihat!".

"Macamana tokong yang orang buat boleh jadi Tuhan?", tanya Rasyid pula. "Tak pa lah, tak pa lah, tak baik cakap macam tu", balas auntie. Auntie mengalah dan mungkin tak ingin berbahas dengan anak-anak.

Sebenarnya, aku mendapat cerita ini dari Rasyid malam tadi. "Abah, abah... petang tadi, Qanitah, Rasyid, dan Sakinah tanya makcik Cina sebelah rumah kita bla... bla.....".

Pukul 8 pagi tadi, sebelum datang pejabat, Qanitah yang bertandang di rumahku pula menceritakan peristiwa yang mereka lalui. "Pakcik, semalam kita tanya makcik Cina sebelah rumah bla... bla....".

Kanak-kanak tak pandai menipu. Kanak-kanak juga tak fikir panjang.

Kita yang berfikir terlampau panjang pernah tak mengajak jiran kepada Islam? Nanti jiran terasa hati, nanti jiran tak tegur kita, nanti jiran itu dan ini... Seribu satu macam sebab yang menghalang kita dari mengajak mereka yang belum Islam kepada Islam.

Tetapi hakikatnya, itulah yang wajib kita buat. Rasulullah (SAW) mengajak manusia kepada Islam tanpa segan silu. Ada masa baginda kena herdik, ada masa baginda kena maki, dan ada masa baginda kena baling batu...

Baginda hanya inginkan umatnya menerima risalah tauhid. Beriman kepada Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah. Membawa keluar umatnya dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya kebenaran.

Pagi tadi, sedang aku membuka pagar untuk ke Masjid Sultan Ismail bersama Rasyid, suami jiran melaungkan 'morning' kepada ku. Suami 'auntie' bekerja di Singapura dan pukul 5.40 pagi sudah bergerak dengan motosikal untuk ke tempat kerja.

Aku rasa mungkin siisterinya menceritakan peristiwa tersebut kepadanya...

Thursday, December 23, 2010

Kem Tahunan PALAPES UTM 2010

Latihan Kem Tahunan PALAPES UTM 2010 berlangsung di sekitar kampus UTM, Kota Tinggi dan Pengerang dari 10 Disember hingga 24 Disember 2010. Sebelum itu, latihan tempatan telah bermula dari 6 Disember hingga 9 Disember di kampus UTM Skudai. Beberapa gambar menarik disertakan...


Lt. Kol Wee dari Markas Latihan, Mejar PM Dr Ahmad Ariffian & Mej Bad dari 501...


Kept Dato' Prof Ir Dr Alias selaku Timbalan Komandan PALAPES UTM memakaikan pangkat kepada salah seorang pegawai kadet intermediate selepas mereka berjaya melakukan serangan ke atas pasukan senior...


Upacara penutup Kem Tahunan PALAPES UTM 2010...


Lt. Kol Hj Samsudin selaku Ketua Jurulatih PALAPES UTM, Lt. Kol Rizal dari Markas Latihan sedang menikmati jamuan makan malam bersama wasit di Restoren Hassan Ong, Kota Tinggi...


Jamuan makan malam bersama para wasit...


Jamuan makan malam bersama para wasit...


Mej Hj Wan Ibrisam Fikry, Ketua Jurulatih, Ketua Cawangan Latih, dan pegawai-pegawai lain sedang mendengar kadet membaca perintah serangan. Perintah serangan dibuat dengan simulasi model supaya semua anggota kadet intermediate faham sebelum membuat serangan ke atas pihak musuh pada keesokan harinya...


Model simulasi keadaan tanah, sungai, topografi, tanaman, jalan, dan lain-lain dibuat bagi menunjukkan paksi serangan ke atas pihak musuh...


Anggota kadet intermediate tekun mendengar arahan perintah Ketua Platun supaya serangan yang akan dibuat berjaya... Penugasan diberikan kepada semua ketua seksyen, IC mortar dan semua yang diberi jawatan... Mereka yang berjawatan ini perlu memahami segala tugas dan perincian pergerakan mereka. Koordinasi antara seksyen, petugas senjata GPMG, mortar, dan lain-lain bakal merealisasikan kejayaan sesebuah serangan...


Pegawai-pegawai yang memberi input ke arah pembaikan penyampaian perintah...

Tuesday, December 21, 2010

Bengkel Jabatan Pentadbiran & Pembangunan Tanah Di Vistana Kuantan

Jabatan Pentadbiran & Pembangunan Tanah, Fakulti Geoinformasi & Harta Tanah telah menjalankan Bengkel Strategik pada 14 Disember 2010, bertempat di Vistana Hotel, Kuantan. Antara mereka yang hadir adalah seperti dalam foto-foto berikut;


Saudara Ummul Baharin selaku urusetia...


Hj Wan Ibrisam Fikry Hj Wan Ismail juga diminta hadir walaupun sedang cuti belajar


Kamaruzaman Abd. Rasid...


PM Dr Mohammad Tahir Sabit Hj Mohammad, Cik Robiah Suratman, dan Puan Nurdaliza...


Ketua Jabatan, Dr Hj Harun Shah Mat Zin...


Cik Faezah nun di hujung sana selaku urusetia...




Prof Salleh Buang...


PM Dr Hj Ismail Omar dan PM Hj Mohd. Zahib Hj Deraman...


KJ sedang memberi taklimat tentang halatuju, cabaran, saingan, dan harapan Jabatan...



Bengkel ini merancang halatuju Jabatan untuk 5 tahun akan datang... Nampak gayanya sesiapa yang bakal menerajui Jabatan ini pada masa depan akan menempuh pelbagai dugaan dan cubaan, baik di peringkat dalaman mahupun luaran.

Monday, December 20, 2010

Sekitar Majlis Penutup Kem Tahfiz Hidayah 2010...

Majlis Penutup Kem Tahfiz Hidayah 2010 berlangsung pada hari Ahad (19 Disember, 2010), jam 11 pagi hingga 12.30 tengahari. Dua tiga orang ibubapa turut serta dalam majlis penutup ini.

Majlis Penutup Dimulakan Dengan Bacaan Surah Taha, Ayat 1 hingga 37 oleh Wan Abdul Rahman & Terjemahannya oleh Yaqin


Majlis Penutup Dirasmikan Oleh Ustazah Zuraidah


Besarlah Harapan Ibubapa Untuk Melihat Anaknya Menjadi Seorang Hafiz @ Hafizah...


Semoga Pengorbanan Wang Ringgit Ibubapa Diterima Allah & Diberi Ganjaran Sewajarnya...


Antara Peserta Banin & Banat Kem Tahfiz Hidayah 2010


Peserta Banat Kelihatan Ceria...

Sunday, December 19, 2010

Rehlah Bersama Ahli Usrah Di Hutan Bandar Mutiara Rini


Sebelum keluar kereta untuk ke MSI, aku mendapat mesej dari Firdaus menanyakan program Rehlah hari ini. Aku menjawab hujan renyai-renyai aje...

Aku, 'Ammar, dan Rasyid terus melangkah ke atas masjid untuk menunaikan solat fardu Subuh.

Selesai solat, kami pulang ke rumah sementara menunggu jam 7 lebih untuk ke Hutan Bandar, Taman Mutiara Rini. Program dijadualkan bermula 7.30 pagi.

Hati terdetik juga takut-takut program terpaksa dibatalkan kerana hujan. Kami telah memutuskan untuk mengadakan rehlah ini semasa usrah Khamis lepas. Kira-kiranya, inilah rehlah kami yang pertama.

Rehlah adalah salah satu wasail tarbiyyah IKRAM yang perlu dipenuhi sebanyak 6 kali setahun. Wasail-wasail yang lain ialah usrah berbentuk mingguan, katibah dengan kekerapan sebulan sekali, rehlah dan nadwah (dibuat sebulan sekali secara bergilir-gilir), daurah (4 kali setahun), mukhayyam (secara idealnya 2 kali setahun), dan muktamar sekali setahun.

Dalam perjalanan ke Hutan Bandar, Firdaus menghantar sekali lagi sms mengatakan mereka telah sampai. Kami sampai 5 minit kemudian.

Rehlah kami bermula dengan acara 'streching' atau 'warming-up'. Kemudian masing-masing berjogging atau berjalan mengikut kemampuan masing-masing.

Sedih juga rasa hati kerana tidak semua ahli usrah dapat hadir... Saudara Muhaimin masih di KL kerana mendapat cahaya mata pertama, saudara Hakim juga di KL kerana cuti sekolah, dan saudara Skem balik kampung dan katanya membawa keluarga ke Melaka.

Yang ada pagi tadi ialah saudara Firdaus, saudara Hadi, dan Cikgu Ariff. Alhamdulillah, selesai beriadah, kami bersarapan menu nasi dagang, nasi lemak, dan kuih muih. Anak-anakku, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir tidak ketinggalan turut menjamu selera.

Selesai bersarapan, kami berempat masing-masing memberikan tazkirah ringkas spontan secara bergilir-gilir. Mudah-mudahan, ia memberi sedikit bekalan dengan peringatan pendek tersebut.

Alhamdulillah, program tamat jam 10 pagi.

Walaupun program ringkas, tetapi ia seharusnya dipelbagaikan supaya ia tidak menjadi 'monotonous' dan mudah bosan.

Sedikit sebanyak perasaan ukhuwwah akan lebih terjalin dan memberi keyakinan kepada setiap ahli kita untuk terus bersama... Dan yang paling penting ialah kita mendapat pahala dan redhaNya jua... Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang beramal, insyaAllah!

Friday, December 17, 2010

Ikanku Mati...


Kolam di depan rumah sudah lama tidak berisi kerana menunggu untuk diperbaiki. Airnya meresap keluar!

Pernah isteri bersuara supaya diisikan tanah saja kolam itu dan dibuat tanam pokok...

Pada hujung minggu lepas, pekerja Prof Mahmood siap membuat 'water proofing' dan kolam ikan sudah tersedia untuk diisi semula.

Aku membiarkannya selama 2 hari supaya simen betul-betul kering. Sekembali dari Kuantan pada hari Selasa malam Rabu, aku terus mengisi air.


Di awal pagi Rabu, aku bersama Rasyid dan 'Ammar terus ke Kolej Dato' Onn Jaafar (Kolej 16 & 17) untuk mengambil kembali ikan-ikan ku yang ditumpangkan di kolam kolej buat beberapa purnama.

Rasyid begitu ceria menangkap ikan koi, lampam, sepat untuk dibawa pulang. Berbelas-belas ekor jugalah!

Kami membuat dua 'trips' kerana takut ikan yang telah ditangkap yang berada dalam baldi kehabisan oksigen. Lagipun perjalanan dari Kolej Dato' Onn Jaafar ke Taman Pulai Utama agak jauh...

Selesai memasukkan ikan-ikan tersebut di dalam kolam, PM Zahib pula tiba dengan 15 ekor ikan kelahnya untuk dimasukkan ke kolam ku.

Apabila dilepaskan ikan kelah ke kolam, nampak begitu gembira dan ceria sekali ikan-ikan tersebut kerana kolamku agak besar dan sebelum ini mereka menginap di tempat yang agak terhad.

Bila tiba waktu tengahari, Rasyid berteriak memanggilku. "Abah!, ikan mati!!" Aku melihat seekor ikan lampam terdampar di atas lantai di luar kolam. Beberapa ekor lagi sebesar tapak tangan tenggelam timbul dalam kolam... Anak-anak kelahpun sama!

Aku sudah meletakkan sebotol anti klorin dalam kolam. Segenggam garam juga telah dimasukkan...

Bilangan 'casualty' makin meningkat. Keesokan harinya, berbelas-belas ekor ikan mati. Baki yang tinggal iaitu 2 lampam dan 3 kelah telah aku, 'Ammar, dan Rasyid bawa semula ke kolam Kolej Dato' Onn Jaafar.

Cuma yang aku peliknya, seekor ikan sepat, 2 ekor kura-kura dan mungkin 10 ekor ikan koi yang berada dalam kolamku tidak mati. Mungkin ketahanan diri mereka lebih kuat untuk melawan air simen...

Begitulah kejadian Allah (SWT), ketahanan diri makhluknya berbeza-beza.

Sepatutnya aku menyapu kulit nenas dulu pada kolam tersebut sebelum meletakkan ikan. Kulit nenas bertindak meneutralkan alkali simen yang terdapat dalam air. Apapun, ia telah menjadi pengajaran buat ku.