Monday, September 30, 2013

Inilah Abahmu...

Kita menangis meratap sedih
Kerana abah marah tak tutup gulai daging dan ayam goreng selepas makan
Bagi abah, makanan yang tak bertutup akan mengajak cicak dan lipas untuk turut sama menjamu selera
Nakke kita makan bekas jilatan cicak dan lipas?
Inilah abahmu…


Kita meratap sedih
Kerana abah marah tak tutup lampu dan kipas selepas selesai berada di bilik
Bagi abah, selagi anak-anak perlu untuk menggunakan lampu dan kipas, gunakanlah walaupun selama 24jam
Tetapi bila sudah selesai tutupkan suisnya
Abah hanya tidak ingin anak-anaknya membazir
Inilah abahmu…

Kita sedih, pilu dan hiba
Kerana abah marah menggunakan telefon sesuka kita
Bagi abah, telefon digunakan untuk perkara penting
Dua tiga ratus untuk bayar bil hanya membazir
Abah tidak ada duit extra untuk dibazir
Inilah abahmu…

Kita menangis pilu
Kerana abah marah tak mahu kerja musim cuti
Bagi abah, tidur, bangun, dan makan hanya kerja orang malas
Kalau kita kerja, kurang-kurang dapat tampung duit belanja
Abah tidak mampu beri lebih untuk belanja universiti
Inilah abahmu…


Kita meraung hiba
Kerana abah marah kita mandi lama
Bagi abah, mandi lama tak bagus untuk kesihatan dan bil air tinggi
Langkah jimat; buka pili dengan kecil, bila kita sabun badan tutup pili dulu, bila gosok gigi tutup pili.
Abah tidak suka bayar bil air dua tiga ratus bila orang lain hanya bayar dua tiga puluh.
Inilah abahmu…


Kita menangis teresak-esak
Kerana abah marah kita tak keluar sampah
Bagi abah, kita perlu faham sendiri rutin kerja rumah dan tak perlu suruh
Tengok rumah berhabuk, kita terus sapu
Jangan pula kita tunggu
Inilah abahmu…

Kita meraung sekuat rasa
Kerana abah marah kita kacau adik
Bagi abah, kita kena jaga adik
Dulu abah dah jaga kita
Kita sudah tak ingat…
Tengok si adik kecil…
Macam itulah abah jaga masa kita kecil dulu

Inilah abahmu…

Sunday, September 15, 2013

Pengajaran Buat Anak-Anak SPM Dan Ibubapa Mereka....

Setiap ibubapa begitu berharap agar anak-anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bermula dari tadika ke sekolah rendah kemudian ke sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat universiti.

Mereka ingin melihat anak-anak berjaya meraih ilmu pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang yang diceburi.

Salah seorang anak saya mendapat keputusan SPM  7A, 1B dan 3C. Pada saya, ia adalah satu keputusan yang tidak teruk sangat, walau ketiga-tiga C tersebut merupakan matapelajaran Fizik, Kimia dan Biologi. Alhamdulillah segala puji bagi Allah, beliau merupakan pelajar 'straight A's' dalam UPSR dan PMR sebelum ini (5A dalam UPSR dan 9A dalam PMR).

Disebabkan kecenderungannya kepada bidang agama, beliau telah mengambil peperiksaan STAM dan mendapat keputusan 'Mumtaz' dan bagi saya alhamdulillah satu keputusan anugerah Allah yang begitu baik buatnya.

Beliau begitu berharap untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah di negara Arab Saudi atau setidak-tidaknya ke Universiti al-Azhar di Mesir.

Saya berpesan kepadanya supaya mengisi juga borang UPU, 'just in case'.

Untuk menunjukkan kesungguhannya, beliau telah ke Universiti Madinah untuk proses 'interview' disamping menunaikan ibadah umrah. Keputusannya belum diketahui tetapi kita sedia maklum bahawa permohonan ini agak getir persaingannya. Permohonan dari Malaysia mungkin dua tiga ribu tetapi calon yang diterima masuk hanya segelintir saja.

Impian untuk ke al-Azhar dalam situasi pergolakan sekarang ini mungkin tidak begitu mengizinkan dan sudah tidak relevan!

Keputusan UPU telah keluar dan anak saya tidak berjaya dalam permohonannya untuk ke Universiti Malaya (UM) di dalam bidang syariah. Beliau membuat rayuan melalui UPU untuk ke USIM pula kerana mungkin UM standardnya terlalu tinggi untuk mendapat tempat. Malangnya, keputusan rayuannya juga adalah mendukacitakan.

Pada Jumaat lepas, saya sempat berbual dengan seorang pegawai UTM, bahagian Unit Kemasukan dan Rekod. Beliau memaklumkan bahawa permohonan ke UPU mesti disertakan dengan keputusan peperiksaan MUET. Kalau dulu, MUET digunakan sebagai 'exit point' tetapi sekarang ia telah menjadi 'entry point'. Maksudnya, kalau dulu sebelum pelajar 'graduate', mereka perlu mengambil peperiksaan MUET tetapi sekarang tanpa MUET, permohonan mereka untuk memasuki ke IPTA tidak akan diproses.

Patutlah anak saya tak dapat! Dia tidak mengetahui tentang keperluan ini semasa membuat permohonan ke UPU dulu dan tiada siapa guru-gurunya yang menasihati supaya mengambil peperiksaan MUET.

Yang lepas sudahpun lepas dan saya menasihati anak-anak yang akan menduduki SPM dan ibubapa mereka supaya peka dan mengambil berat tentang perkara MUET ini. Ambillah tauladan dari peristiwa anak saya. Janganlah apa yang berlaku kepada anak saya, berlaku juga kepada anak tuan-tuan!

Kalau nak dikira, apalah salahnya kalau kita tetapkan MUET sebagai 'exit point' seperti dulu. Tapi mungkin ia sebagai salah satu 'screening process' untuk mengurangkan permohonan yang terlalu banyak. Dan mungkin juga ia merupakan satu sumber pendapatan. Kalau semua orang yang memohon UPU perlu mengambil MUET dan HANYA perlu lulus 'Band 1' maka sudah tentu bilangannya lebih ramai berbanding yang hanya berada di IPTA yang diwajibkan ambil...  

Friday, September 13, 2013

Ada Aku Kisah?

Dua tiga hari lepas, ramai staf UTM yang tinggal di Taman Pulai Perdana, Taman Pulai Indah dan di persekitarannya datang lewat ke pejabat. Kebiasaannya masa yang diambil untuk sampai ke UTM hanya sekitar 15 minit tetapi untuk hari tersebut mereka terpaksa beratur kereta buntut ke buntut dan memakan masa lebih kurang satu jam.

Apa masalahnya? Masalahnya ialah kerja-kerja penurapan jalan dilakukan. Inilah budaya kita. Ada kita kisah berapa banyak minyak dibazirkan apabila kereta terperangkap di dalam 'traffic jam'? Ada kita peduli berapa masa dibiarkan berlalu begitu saja? Ada kita kisah jika ada temujanji terpaksa dibatalkan?

Itu masa kau! Yang penting bagi aku ialah kerja-kerja penurapan ini. Selesai turap dapat duit...

Kita tak kisah pasal orang lain. Kita kisah hanya pasal diri kita. Lagipun tender yang dapat nipun ciput aje untungnya. Kalau nak buat kerja penurapan ini waktu malam masa semua orang tidur, boleh ke aku bayar 'overtime' pekerja-pekerjaku? Itulah persoalannya.

Sekarang dunia makin sibuk. Makin banyak aktiviti-aktiviti yang berlaku. Kadang-kadang 24 jam terasa macam tak cukup untuk sehari. Kalau boleh nak jadikan 36 jam untuk sehari!

Orang dulu-dulu, pergerakannya perlahan kerana tiada sistem pengangkutan yang canggih, penulisannya lambat kerana tiada komputer, makan masakannyapun lambat kerana tiada Burger King, Pizza Hut dan sebagainya tetapi produktiviti mereka masyaAllah, contohnya Imam Nawawi yang hanya hidup sekitar 40 tahun tetapi kitab-kitabnya 40 tahunpun belum tentu kita habis membacanya.

Itulah yang dikatakan barakah!

Pada hemat saya, kita perlu prihatin dengan masalah rakyat. Sepatutnya projek penurapan semula jalan itu dilakukan pada waktu malam. Apa salahnya kita 'up'kan sikit kos tendernya supaya kontraktor boleh membayar pekerja mereka 'rate' malam. Kalau begitu, rakyatpun 'happy'!

Saya tengok di Kota Bharu, pekerja mengangkut sampah dengan lori MPKB di waktu malam. Jadi, ia tidak mengganggu kenderaan lain di waktu siang. Lagipun jika kita terpaksa beratur di 'traffic light', kita tidak akan terhidu bau-bauan 'wangi' dari lori sampah!

Dunia sudah berubah dan makin sibuk. Maka sudah 'high time' kita mula mengkaji apakah perkhidmatan yang perlu dilakukan di waktu siang dan apakah pekerjaan yang lebih baik dilaksanakan pada waktu malam?

Pada saya, kerja-kerja yang bakal mengganggu masyarakat lebih baik dilaksanakan pada waktu malam. Contohnya, menurap jalan, membawa sampah ke tempat pelupusan, membaiki atau memasang kabel di jalan yang memerlukan kepada penggalian lubang, mencantas pokok-pokok, menukar lampu jalan, pengangkutan barangan oleh kenderaan berat yang bergerak perlahan dan sebagainya.

Di Taman Universiti, saya nampak perkhidmatan mencuci kenderaan ada yang buka 24jam. Jadi pemilik kenderaan boleh membuat pilihan samaada ingin membersihkan kereta mereka di waktu malam atau di waktu siang.

Dengan cara ini, barulah nampak kita prihatin kepada rakyat. Masa yang berlalu tidak boleh diganti tetapi bagi sesetengah orang, minyak yang dibazirkan juga amat berat untuk mereka. 'Unnecessary spending for gasoline'! Mungkin untuk penjual minyak mereka suka ini berlaku kerana mereka dapat menjual lebih minyak.

Saya menasihatkan agar kerajaan negeri dan kerajaan tempatan agar mengkaji semula perkhidmatan mereka supaya kita semua memudahkan urusan rakyat jelata.

Permudahkan dan jangan menyusahkan! Apabila sesuatu perkara itu susah maka akan terjadinya perkara-perkara yang tidak diingini seperti rasuah dan sebagainya.

Wednesday, September 11, 2013

Sungguh Pandai Kita Bermain Kata-Kata...

Perkataan yang digunakan boleh menunjukkan tahap keseriusan sesuatu isu. Mereka yang pandai berbahasa menggunakan perkataan-perkataan tertentu dalam menunjukkan kekejaman, kerakusan dan ketamakkan sesuatu pihak. Sebaliknya perkataan yang ringan digunakan bagi pihak yang di sebelah sana untuk membuat justifikasi diatas perkara yang sama.

Kita (rakyat jelata) berkata harga minyak naik tetapi pihak kerajaan berkata mengurangkan subsidi harga minyak. Kita berkata rakyat Mesir dibunuh dengan kejam oleh rejim tentera dan mereka mati syahid. Tetapi pihak yang menyokong tentera merampas demokrasi Mesir berkata pelampau agama mati kerana menentang pihak berkuasa.

Kita juga berkata rakyat akan sengsara hasil kenaikan minyak kerana semua perkhidmatan dan barangan akan turut meningkat harga ekoran darinya. Tetapi pihak kerajaan mengatakan harga barang naik kerana takdir Allah!

Dengan kata lain, sesuatu isu akan nampak hebat, tinggi nilainya dan penting jika kita pandai menggunakan perkataan yang sesuai. Sebaliknya pula, walau isu itu penting tetapi dengan penggunaan bahasa yang ringan dan santai akan menampakkan bahawa isu itu remeh dan tiada nilai untuk dibahaskan.

Disamping bahasa yang digunakan, individu yang membicarakan sesuatu isu itu juga penting. Seorang 'layman' bercakap tentang sesuatu dasar negara mungkin tidak sepenting seorang negarawan bercakap tentang isu makan minum dia. Walhal isu dasar negara lebih kontemporari dan penting berbanding isu makan minum.

Dan yang tak kurang penting juga ialah pihak media. Propaganda yang berlebihan akan menggambarkan sesuatu isu remeh itu penting berbanding dengan agenda lain yang lebih penting. Pihak barat begitu mahir tentang perkara ini.

Pihak barat selalu mempamirkan golongan 'Islamic fundamentalist' yang terlibat dengan 'terrorism'. Apabila berlaku sesuatu pembunuhan atau kekejaman yang dilakukan oleh orang Islam maka berita yang disiarkan akan dikaitkan dengan pegangan agama orang tersebut. Berita mungkin menyiarkan 'An Islamic fundamentalist man has ran amok!' Sebaliknya pula, apabila 'Mat Salleh' yang mengamuk dan membunuh ramai orang, tidak pula 'Mat Salleh' ini diasosiasikan dengan pegangan agamanya. Mungkin berita berkata, 'a mad man has gunned down school children!'

Tujuannya ialah untuk menampakkan kejahatan dan keburukan pihak Islam. Apabila sebiji bom meletup maka kotak pemikiran manusia mula meneka, angkara golongan Islam mana pula ni?

Wartawan kitapun sudah pandai menggunakan strategi ini. Bila kerajaan mengenakan polisi yang menyusahkan rakyat maka berita yang dikeluarkan ialah 'kerajaan mengenakan sedikit cukai bagi memperbaiki dan mempertingkatkan nilai wang negara'.

Jika sesuatu isu diperkenalkan oleh pihak pembangkang, walaupun ianya baik tetapi ia selalu mendapat liputan negatif oleh pihak wartawan. Pihak pembangkang tidak mempunyai idea untuk membangunkan rakyat, HANYA BN yang mampu menerajui kerajaan dengan adil dan saksama.

Bilalah agaknya, wartawan kita boleh melapurkan berita dengan penuh beretika...

Saturday, September 7, 2013

Memartabatkan Institusi Masjid Dan Surau

Saya ada satu cadangan. Tak tahulah ia boleh diterima atau tidak... Atau mungkin juga ia sudah ada tapi saya yang tidak tahu!

Cadangan saya ditujukan kepada Jabatan Agama Islam Negeri, kalau Johor JAIJlah.


Kita tahu bahawa setiap masjid mempunyai organisasinya sendiri seperti Imam, Bilal, Noja dan sebagainya. Maksud saya, ini bukan organisasi pengurusan masjid seperti adanya pengerusi, setiausaha, bendahari, dan AJK dengan portfolio masing-masing.


Jadi cadangan saya, pihak JAIJ perlu membuat kursus untuk para imam, bilal dan noja dari segi bidang tugas masing-masing secara profesional. Kalau imam bukan setakat mengimamkan solat, kalau bilal bukan setakat menjadi muazzin semata-mata tetapi perlu diperhalusi 'job spec'nya atau bidang tugasnya. 



Kalau boleh, dirujuk hadis-hadis yang boleh diasosiasikan dengan tugas masing-masing dalam menyediakan modul berkenaan.

Bukan apa, kadang-kadang saya sedih melihat suasana masjid i.e. tahi cicak merata-rata, sajadah atau 'carpet' berbau hapak, sesawang atau sarang labah-labah merata-rata. Itu dari aspek luaran.

Memang tugas kita semua untuk membersihkan rumah Allah. Tetapi 'at least' biar ada PIC (person in-charge). 

Dari aspek kesediaan mereka menerima ahli jamaah satu perkara lagi. Maksud saya, mereka mestilah 'user friendly' supaya orang merasa seronok dan tenang untuk ke masjid. Masjid dan surau juga sepatutnya boleh menerima kanak-kanak, muallaf dan sebagainya. Secara tidak langsung, kita menanam sikap suka ke masjid sejak dari kecil.

Sebabnya pada tanggapan saya, untuk para imam mungkin sudah ada kursus secara berkala dari Jabatan Agama tetapi bagi jawatan bilal dan noja dan sebagainya saya tak pasti samaada ia dibuat atau tidak. Atau pandai-pandailah cari atau fikir sendiri bidang tugas masing-masing apabila sudah dilantik.

Setelah siap modulnya maka bolehlah diselaraskan ke seluruh negeri. Apa pandangan tuan-tuan?

Ini cerita sampingan, ada seorang hamba Allah yang rajin menjaga kebersihan dan kesentosaan madrasah di kampung saya. Nenek ini sudah tua. Dan apabila dia sakit, apabila diziarahi baunya wangi... tidak seperti bau orang tua biasa yang kita pasti akan terhidu bau-bauan yang kurang enak.

Sediakan Payung Sebelum Hujan

Bila usia makin meningkat, banyak kedengaran ada kawan masuk hospital. Dan ada juga yang meninggalkan kita dahulu yang mana kita pasti menyusul kemudiannya. Setiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian!

Apapun kita perlu bersedia sekiranya kita perlu masuk hospital. Kawan-kawan mungkin ada yang tak perasan ada skim insuran murah yang melayakkan kita mendapat perkhidmatan di hospital swasta. Kalau nak masuk hospital kerajaan mungkin kena 'queue' panjang walaupun kita tahu bahawa fasiliti di hospital kerajaan yang paling bagus.

Insuran ini di bawah cuepacs yang dipanggil cuepacs care. Tetapi hanya untuk kakitangan kerajaan SAHAJA.

Dulu saya mengambil skim takaful yang harganya seribu lebih setahun tetapi dengan cuepacs care hanya RM490 setahun untuk seisi keluarga. Borangnya boleh dimuat turun dari laman web cuepacs.

Kepada sesiapa yang berminat, bolehlah mendapatkan borang di pautan berikut;


 http://cuepacscare.com.my/Ccare_form_SL.pdf

Dengan menyertai skim ini, ia sama dengan skim takaful yang lain juga yang mana kita boleh mendapat 'deduction income tax'.

Jadi, eloklah kita menyediakan payung sebelum hujan sebelum ianya terlambat. Selamat menyertainya!

Minyak Oh Minyak...

Harga minyak meningkat 20 sen masih menjadi perbualan masyarakat, baik di tempat kerja mahupun di warung-warung. Tapi tak lama rasanya... Melayu Mudah Lupa!

Kerajaanpun pandai...senyap-senyap dia naikkan. Kalau bising-bising pasti tak jadi.

Kepada segelintir masyarakat yang bertaraf JUSA, apa susah! Elaun minyak ada, dan mereka yang ada 'post' pula...keretapun ada. Apa nak bising-bising?

Kepada kebanyakan masyarakat 'middle class' perit juga tetapi mereka yang berada 'lower class' lagi perit.

Semua barang keperluan bergantung kepada kos pengangkutan. Minyak naik, harga barangpun naik. Mungkin seminggu dua ni belum naik lagi kerana takut kepada Penguatkuasa. Lepas tu...naiklah dia.

Pergi makan roti canai tadi...dia maklum roti canai naik 10 sen. Tanya dia, ini kerana harga minyak naik ke? Balasnya, sebelum itu lagi.

Seeloknya, sebelum kita bebankan rakyat. Kita kurangkan dulu 'privilege' atau hak-hak istimewa pembesar-pembesar negara demi untuk menjimatkan wang negara.


Pembesar negara pakai Merc, kita hanya pakai Kanc. Pembesar pakai Alphard, kita hanya mampu pakai Alza.

Kita tak menafikan hak dan keinginan pembesar untuk mempunyai berpuluh-puluh buah kereta dan semuanya 'imported', cuma kesianlah kepada rakyat jelata... 

Biarlah mereka merasai betul-betul erti kemerdekaan yang telah kita lalui selama 56 tahun yang lalu. Apa guna kita merdeka tetapi sebahagian besar rakyat masih hidup seperti zaman dahulu.

Nak beli rumah masih tak mampu, terutama yang baru berkhidmat... tetapi pembesar kita... bila tengok gambar dalam akhbar tentang rumahnya dimasuki pencuri. Wow, besarnya macam istana! Itu baru nampak satu. Rumah-rumah yang lain... Subhanallah!

Sekadar meluahkan perasaan...

Monday, September 2, 2013

Membesarkan Isu Remeh & Meremehkan Isu Besar...

Kita mengajar masyarakat supaya pandai memilih menurut 'priority'. Yang betul-betul penting dan segera perlu didahulukan dan yang kurang penting dikemudiankan. Kita juga mengajar masyarakat supaya positif dan melihat sesuatu dengan kacamata yang penuh sangka baik. Jauhkan dari memberi perspektif yang kurang baik dan kalau boleh yang baik ditonjolkan melebihi dari apa yang kurang baik.

Islampun mengajar begitu. Jadi, ia selaraslah dengan apa yang Islam kehendaki dan apa yang kita kehendaki! Tetapi dari aspek pelaksanaan bagaimana?

Apakah sama apa yang dikata dan apa yang dikota?

Persoalan yang mudah dilontarkan tetapi agak berat untuk menjawabnya.

Hari ini saya membaca akhbar berkaitan isu filem "Tanda Putera" yang tidak begitu digemari untuk ditayangkan di Pulau Pinang oleh Ketua Menterinya. Jadi ramailah yang membuat komen tentang isu ini.

Pada pandangan saya, yang pertama kita kena mempunyai prinsip dan berpegang dengannya. Prinsipnya ialah walau dari siapa kebenaran dan keadilan itu datang maka kita hendaklah menerimanya. Sebaliknya pula ialah walau dari siapa kebatilan dan kezaliman itu datang maka kita hendaklah menentangnya.

Kedua, adakah ia isu penting dan wajar digembar gemburkan? Adakah kita ikhlas menwar-warkan kepada dunia tentang sikap sesetengah orang atau sekadar ingin memburuk-burukkan personaliti tertentu?

Ketiga, di mana fokus kita? Adakah kita menfokuskan kepada perpaduan rakyat dan integrasi nasional atau sebaliknya ke arah polarisasi masyarakat? Ingatlah bahawa kebaikan jangka panjang adalah jauh lebih penting dan relevan dari kepopularitian jangka pendek.

Keempat, kita ingin membawa masyarakat kepada kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Dengan kata lain, masyarakat maju yang boleh berfikir dan menimbang antara hak dan batil.

Andai kata, kita masih berbincang perkara remeh maka kita tiada masa untuk bergerak maju ke hadapan. Andai kata, kita masih suka berpolitik murahan maka kita tak ke mana...

Menyorot sejarah tidak salah tetapi buatlah dalam perspektif. Perspektif yang positif dan membantu masyarakat untuk terus membina negara yang kita sayangi ini...

Jangan pula kita asyik untuk melaga-lagakan mereka, baik pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang.

Sesudah PRU berlalu pergi maka kita gerakkan jentera rakyat untuk terus bekerja lebih kuat bagi menaikkan ekonomi dan budaya kerja yang cemerlang.