Kita mengajar masyarakat supaya pandai memilih menurut 'priority'. Yang betul-betul penting dan segera perlu didahulukan dan yang kurang penting dikemudiankan. Kita juga mengajar masyarakat supaya positif dan melihat sesuatu dengan kacamata yang penuh sangka baik. Jauhkan dari memberi perspektif yang kurang baik dan kalau boleh yang baik ditonjolkan melebihi dari apa yang kurang baik.
Islampun mengajar begitu. Jadi, ia selaraslah dengan apa yang Islam kehendaki dan apa yang kita kehendaki! Tetapi dari aspek pelaksanaan bagaimana?
Apakah sama apa yang dikata dan apa yang dikota?
Persoalan yang mudah dilontarkan tetapi agak berat untuk menjawabnya.
Hari ini saya membaca akhbar berkaitan isu filem "Tanda Putera" yang tidak begitu digemari untuk ditayangkan di Pulau Pinang oleh Ketua Menterinya. Jadi ramailah yang membuat komen tentang isu ini.
Pada pandangan saya, yang pertama kita kena mempunyai prinsip dan berpegang dengannya. Prinsipnya ialah walau dari siapa kebenaran dan keadilan itu datang maka kita hendaklah menerimanya. Sebaliknya pula ialah walau dari siapa kebatilan dan kezaliman itu datang maka kita hendaklah menentangnya.
Kedua, adakah ia isu penting dan wajar digembar gemburkan? Adakah kita ikhlas menwar-warkan kepada dunia tentang sikap sesetengah orang atau sekadar ingin memburuk-burukkan personaliti tertentu?
Ketiga, di mana fokus kita? Adakah kita menfokuskan kepada perpaduan rakyat dan integrasi nasional atau sebaliknya ke arah polarisasi masyarakat? Ingatlah bahawa kebaikan jangka panjang adalah jauh lebih penting dan relevan dari kepopularitian jangka pendek.
Keempat, kita ingin membawa masyarakat kepada kehidupan yang lebih baik dari sekarang. Dengan kata lain, masyarakat maju yang boleh berfikir dan menimbang antara hak dan batil.
Andai kata, kita masih berbincang perkara remeh maka kita tiada masa untuk bergerak maju ke hadapan. Andai kata, kita masih suka berpolitik murahan maka kita tak ke mana...
Menyorot sejarah tidak salah tetapi buatlah dalam perspektif. Perspektif yang positif dan membantu masyarakat untuk terus membina negara yang kita sayangi ini...
Jangan pula kita asyik untuk melaga-lagakan mereka, baik pihak pemerintah mahupun pihak pembangkang.
Sesudah PRU berlalu pergi maka kita gerakkan jentera rakyat untuk terus bekerja lebih kuat bagi menaikkan ekonomi dan budaya kerja yang cemerlang.
No comments:
Post a Comment