Setiap ibubapa begitu berharap agar anak-anak mereka berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Bermula dari tadika ke sekolah rendah kemudian ke sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat universiti.
Mereka ingin melihat anak-anak berjaya meraih ilmu pengetahuan yang mendalam dalam sesuatu bidang yang diceburi.
Salah seorang anak saya mendapat keputusan SPM 7A, 1B dan 3C. Pada saya, ia adalah satu keputusan yang tidak teruk sangat, walau ketiga-tiga C tersebut merupakan matapelajaran Fizik, Kimia dan Biologi. Alhamdulillah segala puji bagi Allah, beliau merupakan pelajar 'straight A's' dalam UPSR dan PMR sebelum ini (5A dalam UPSR dan 9A dalam PMR).
Disebabkan kecenderungannya kepada bidang agama, beliau telah mengambil peperiksaan STAM dan mendapat keputusan 'Mumtaz' dan bagi saya alhamdulillah satu keputusan anugerah Allah yang begitu baik buatnya.
Beliau begitu berharap untuk melanjutkan pelajaran ke Universiti Madinah di negara Arab Saudi atau setidak-tidaknya ke Universiti al-Azhar di Mesir.
Saya berpesan kepadanya supaya mengisi juga borang UPU, 'just in case'.
Untuk menunjukkan kesungguhannya, beliau telah ke Universiti Madinah untuk proses 'interview' disamping menunaikan ibadah umrah. Keputusannya belum diketahui tetapi kita sedia maklum bahawa permohonan ini agak getir persaingannya. Permohonan dari Malaysia mungkin dua tiga ribu tetapi calon yang diterima masuk hanya segelintir saja.
Impian untuk ke al-Azhar dalam situasi pergolakan sekarang ini mungkin tidak begitu mengizinkan dan sudah tidak relevan!
Keputusan UPU telah keluar dan anak saya tidak berjaya dalam permohonannya untuk ke Universiti Malaya (UM) di dalam bidang syariah. Beliau membuat rayuan melalui UPU untuk ke USIM pula kerana mungkin UM standardnya terlalu tinggi untuk mendapat tempat. Malangnya, keputusan rayuannya juga adalah mendukacitakan.
Pada Jumaat lepas, saya sempat berbual dengan seorang pegawai UTM, bahagian Unit Kemasukan dan Rekod. Beliau memaklumkan bahawa permohonan ke UPU mesti disertakan dengan keputusan peperiksaan MUET. Kalau dulu, MUET digunakan sebagai 'exit point' tetapi sekarang ia telah menjadi 'entry point'. Maksudnya, kalau dulu sebelum pelajar 'graduate', mereka perlu mengambil peperiksaan MUET tetapi sekarang tanpa MUET, permohonan mereka untuk memasuki ke IPTA tidak akan diproses.
Patutlah anak saya tak dapat! Dia tidak mengetahui tentang keperluan ini semasa membuat permohonan ke UPU dulu dan tiada siapa guru-gurunya yang menasihati supaya mengambil peperiksaan MUET.
Yang lepas sudahpun lepas dan saya menasihati anak-anak yang akan menduduki SPM dan ibubapa mereka supaya peka dan mengambil berat tentang perkara MUET ini. Ambillah tauladan dari peristiwa anak saya. Janganlah apa yang berlaku kepada anak saya, berlaku juga kepada anak tuan-tuan!
Kalau nak dikira, apalah salahnya kalau kita tetapkan MUET sebagai 'exit point' seperti dulu. Tapi mungkin ia sebagai salah satu 'screening process' untuk mengurangkan permohonan yang terlalu banyak. Dan mungkin juga ia merupakan satu sumber pendapatan. Kalau semua orang yang memohon UPU perlu mengambil MUET dan HANYA perlu lulus 'Band 1' maka sudah tentu bilangannya lebih ramai berbanding yang hanya berada di IPTA yang diwajibkan ambil...
No comments:
Post a Comment