Friday, February 27, 2009

Menyalahi Orang Lain


Suatu hari di dalam kereta semasa balik dari sekolah, anak lelaki saya yang darjah dua berkata, "Abah, kawan 'Atiq hilangkan duit 'Atiq". "Ye ke, macamana dia boleh hilangkan duit saku 'Atiq?", tanya saya.

Anak saya ada 3 orang di Sekolah Rendah Islam Hidayah dan 3 orang di Sekolah Menengah Islam Hidayah. Yang sekolah rendah, duit sakunya RM3 sehari manakala yang sekolah menengah, saya beri elaun bulanan sebanyak RM100 seorang.

"Dia kejar 'Atiq, tiba-tiba duit dalam poket hilang", tambahnya lagi. "Ye ke?" balas saya, cuba mendapatkan cerita sebenar. "Dia seluk poket 'Atiq ke?", tanya saya lagi. "Tak, dia kejar aje", jawabnya selamba.

"Ok, kalau macam tu, 'Atiq tak boleh tuduh sembarangan, berdosa!", tegur saya. "Kita mesti kena ada bukti yang membolehkan kita kata dia yang menghilangkan duit 'Atiq", tambah saya lagi. Dia nampak boleh menerima teguran saya itu dan terus diam.

Kerap kita dengar, ada segelintir kanak-kanak mahupun orang dewasa cuba menyalahi orang lain akibat kecuaiannya atau kelalaiannya sendiri. Dengan kata lain, dia cuba mencipta satu 'escapism' supaya kesalahannya dapat ditebus semula.

Kita sepatutnya bersedia menerima kenyataan bahawa sedikit kerugian atau kegagalan pada masa ini akan memberi pengajaran kepada kita di masa hadapan. Dalam kes duit saku tadi, mungkin anak kita akan lebih berhati-hati semasa menyimpannya di dalam poket...

"Failure is only the opportunity to begin again more intelligently" - Henry Ford.

Thursday, February 26, 2009

Mengasihi Orang Lain


“Tidak sempurna iman seseorang kamu melainkan dia mengasihi saudaranya seperti dia mengasihi dirinya sendiri”. Begitulah maksud hadis yang kita pelajari sejak di bangku sekolah lagi. Soalnya, setakat mana penghayatan kita terhadap hadis tersebut? Adakah setakat menghafalnya sahaja dan menyalahkan orang lain yang tidak mengamalkannya?

Kalau kita hayati betul-betul maksud hadis tersebut, tak mahu kita memotong barisan di dalam kesesakan lalulintas. Kita tahu kita akan marah jika orang lain berbuat demikian terhadap kita. Yang pasti segala kata cerca akan terkeluar hasil tindakan kita yang kurang sopan itu. Cuba bayangkan kalau 40 orang yang kita potong itu menghadiahkan ucapan sumpah seranah kepada kita. Apa akan terjadi? Adakah kehidupan kita menjadi berkat? Tak perlu kira dosa pahala lagi…

Tak mahu kita memasang radio kuat-kuat sehingga mengganggu jiran di sebelah. Tidak mahu kita meninggal sisa najis dalam tandas kerana orang lain seperti kita juga jijik melihatnya. Dan banyak lagi perkara-perkara yang kita tak suka, kita tidak akan buat pada orang lain jika hadis tersebut betul-betul dihayati.

Begitu cantik sekali Islam mengajar kita supaya menyayangi, menghormati dan menghargai orang lain.

Bagaimana ya, datuk nenek moyang kita boleh tertarik dengan Islam suatu masa dahulu jika pembawa risalah yang merupakan pedagang-pedagang tidak menunjukkan contoh yang baik. Qudwah hasanah inilah yang ditunjukkan oleh mereka dan menarik orang tua kita kepada Islam.

Islam tidak tertegak hanya dengan bualan kosong tapi tertegak dengan amalan perbuatan. ‘Actions speak louder than words’. Isteri Rasulullah (SAW), Aisyah (RA) pernah berkata, “Jika kamu hendak melihat Al-Quran, lihatlah Muhammad (SAW)”. Nabi Muhammad adalah Quran bergerak, yakni baginda mengamalkan apa yang Allah (SWT) wahyukan kepadanya.

Bagaimana dengan kita? Bolehkah orang bukan Islam tertarik dengan perbuatan atau amalan kita? Cara kita berurusan, berkomunikasi, berpakaian dan sebagainya tidak nampak perbezaannya dengan mereka. Apabila berjanji, kita selalu mungkir. Apabila membuat temujanji, kita selalu lewat. Apabila berurusan, kita mengharapkan duit kopi.

Kita perlu berubah. Dan perubahan ini mesti bermula dari diri kita dan keluarga kita. Kemudian ia akan meningkat kepada masyarakat dan seterusnya negara!

Tuesday, February 24, 2009

Maulidur Rasul


Tanggal 12 Rabiulawal, tahun gajah, lahirlah seorang makhluk agung yang membawa rahmat ke seluruh alam. Muhammad (SAW) adalah seorang yang ummi, iaitu tidak boleh membaca dan menulis. Namanya telah tertulis di dalam Taurat dan Injil.

"Orang-orang yang mengikuti Rasul, Nabi yang ummi (tidak bisa baca tulis) yang namanya mereka dapati tertulis di dalam Taurat dan Injil yang ada pada mereka, yang menyuruh mereka berbuat yang makruf dan mencegah dari yang mungkar, dan yang menghalalkan segala yang baik bagi mereka dan mengharamkan segala yang buruk bagi mereka ..." (Al-A'raf 157).

"Katakanlah Muhammad, "Wahai manusia! Sesungguhnya aku ini utusan Allah bagi kamu semua, Yang memiliki kerajaan langit dan bumi; tidak ada tuhan yang berhak disembah selain Dia, Yang menghidupkan dan mematikan, maka berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya ..." (Al-A'raf 158).

Begitu besar jasa Nabi dan Rasul terakhir ini. Saban tahun kita menyambut kedatangan 12 Rabiulawal tapi setakat mana penghayatan dan keinsafan kita... Adakah setakat rutin dengan berarak membawa sepanduk dan banting ke sana ke mari? Atau sekadar melaungkan selawat dari rumah ke rumah?

Setiap kali kedatangan maulid nabi, seharusnya kita memeriksa kembali setakat mana amal kita selaras dengan ajaran Ar-Rasul? Sunah-sunahnya adakah kita ikuti dari segi makan, pakai, hubungan sesama manusia dan sebagainya?

Dan yang terpenting, kita rujuk sirah atau buku sejarah Nabi. Baca dan cuba hayati pengorbanan baginda dan sahabat, sehingga kita dapat menerima dan mengamal Islam sehingga kini.

Pengalaman saya melihat Gua Tsur, nun tinggi di atas bukit sana, mengalir air mata! Mengenangkan betapa payah dan susahnya Nabi bersama Abu Bakar bersembunyi sebelum berhijrah ke Madinah. Gua yang tinggi di puncak bukit itu jugalah didaki oleh Asmaa' setiap hari untuk membawa makanan kepada ayahandanya, Abu Bakar dan Nabi Muhammad (SAW). Begitu juga dengan Abdullah, anak Abu Bakar setiap hari datang ke Gua Tsur menyampaikan berita. Abu Bakar sendiri yang menahan kesakitan ketika dipatuk binatang sehingga menitis airmata ke atas muka Baginda semasa di dalam gua. Lihatlah, bacalah dan hayatilah pengorbanan mereka...

Sekiranya kita tidak membaca kisah junjungan Nabi kita, macamana kita nak sayang padanya. Datuk nenek kita yang tak sempat kita jumpapun, rasanya susah untuk kita luah yang kita sayang pada mereka. Apatah lagi Ar-Rasul yang lebih 1400 tahun meninggalkan kita...

Jangan kita mengaku Islam tapi pembawa risalah Islampun kita tak kenal. Bayangkan seorang barat, Michael H. Hart, pembacaannya tentang Nabi Muhammad (SAW) begitu meluas, sehingga beliau menyenaraikan Muhammad (SAW) adalah orang teratas dari 100 dalam senarai orang yang paling berpengaruh.

Sunday, February 22, 2009

Bersyukurlah...


Setiap kita mempunyai impian masing-masing. Keinginan yang berpadanan dengan kemampuan boleh direalisasikan, manakala kehendak yang melampaui hanya tinggal sebagai angan-angan.

Di musim kegawatan ini, kita selalu dengar agar mengurangkan pembelian barangan 'keinginan' dan menjimatkan barangan 'keperluan'. Dengan kata lain, kita kena pandai merancang bajet supaya ia tidak 'burst'. Kalau dah pecah, memang susah untuk memperbaiki atau balik kepada sediakala.

Bagi pihak peniaga mereka perlukan kita berbelanja bagi menggerakkan ekonomi. Sehingga ada cadangan supaya rebat sebanyak RM5 ribu diberi kepada pemunya kereta lama agar menggalakkan mereka menukar kereta baru. Tawarannya begitu memberangsangkan. Tapi adakah kita memerlukannya?

Keinginan yang tak berkesudahan mungkin tidak baik. Pada awalnya, kita merasa seronok jika ada motorsikal. Dapat motorsikal mula berkeinginan untuk mendapatkan Kancil. Apabila dapat Kancil, inginkan kereta yang lebih besar. Dan seterus dan seterusnya.

Keseronokan mendapat benda baru tidak bertahan lama. Pengalaman saya tidur di atas 'Toto' selama setahun lebih, merangsang untuk mencari tilam yang empuk. Setelah mendapat tilam yang empuk berharga RM960, terasa teramat sangat nikmatnya. Sungguh seronok tidur... Nampak aje tilam setebal 18 inci itu, rasa nak tidur aje.

Tapi keseronokan, kenikmatan itu hanya saya rasa betul-betul selama sebulan sahaja. Lepas itu, dah rasa macam biasa. Dengan lain perkataan, jika kita tiada sesuatu terasa begitu mendalam untuk mendapatkannya. Apabila kita dah dapat, maka keseronokan makin berkurangan dan mula ingin mendapatkan yang lain pula. 'We never feel satisfied!'

"When we choose not to focus on what's missing from our lives but are grateful for the abundance that's present.... We experience heaven on earth" Sarah Breathnach.

Muhasabah Diri


Kita mesti menjadi seorang manusia yang menyenangkan orang. Tidak sekali-kali menyusahkan orang lain.

Apabila bangun pagi, kita kena setkan minda, apa yang kita nak buat supaya orang lain dapat tempias hasil tindakan kita. Kalau kita dapat membantu seseorang keluar dari musibah adalah sangat baik. Kalau kita dapat meringankan beban seseorang juga amat mulia perbuatannya.

Contoh yang paling senang ialah apabila kita hendak pergi membayar cukai pintu di Majlis Perbandaran atau cukai tanah di Pejabat Tanah. Paling kurang kita tanya jiran atau sahabat kita sekiranya mereka juga ingin menjelaskan bayaran tersebut. Apa salahnya jika kita juga tolong bayar untuknya sekali? Setidak-tidaknya, masa dan duit minyak jiran kita tidak terbuang...

Dalam kehidupan berkeluarga pun sama. Apalah salahnya kita membasuh sebiji dua pinggan yang telah kita gunakan untuk makan. Setidak-tidaknya, isteri kita tidak terasa seperti orang gaji. Setelah penat memasak, kena pula cuci pinggan mangkuk, periuk belanga dan sebagainya.

Begitu juga dari aspek perkataan. Sapaan atau pujian ikhlas kepada keluarga atau taulan boleh mengeratkan perhubungan.

Kadang-kadang 'a little thing' yang kita buat dapat menceriakan suasana atau hubungan sesama keluarga dan juga kawan. Jangan anggap perkara kecil itu remeh! Perkara remeh bagi kita tapi kadang-kadang nampak besar oleh orang lain!

'Kind words can be short and easy to speak, but their echoes are truly endless' - Mother Teresa.

Thursday, February 19, 2009

Kawan Lama


Minggu lepas, Rosli Yaacob, teman serumah semasa di University of Southwestern Louisiana (USL) telefon. Berbual dengannya agak lama setelah beberapa tahun tidak berjumpa. Kali terakhir berjumpa di Hotel Vistana, Kuala Lumpur, pada tahun 2005. Seli, the name that I call him, dah menjadi jutawan. Harga rumahnya di KLpun dah lebih dari RM1 juta. Seli beralih dari seorang 'civil engineer' kepada 'insurance manager'.

Malam tadi, Pudin (Pengkalan Chepa) pula menghubungi saya setelah puluhan tahun tak ketemu. Pudin juga adalah alumni USL, mempunyai 3 orang anak dan yang sulung berada di Darjah 6. Pudin berkhidmat sebagai pengurus atau 'manager' Petronas di Kertih. Ibu Pudin adalah tauke roti jala tersohor di Baung, Pengkalan Chepa. Pudin mendapat nombor telefon saya dari Amran Ariffin (ex-USL). Amran berasal dari Pasir Mas, juga adalah jutawan! Isteri Amran adalah seorang doktor pakar.

Pagi ni, Azmi Omar atau nama timangan semasa di Teknik Terengganu 'Ghemi' menghubungi saya. Puluhan tahun tak berjumpa! Ghemi mendapat nombor telefon saya dari seorang lagi Amran Ariffin (alumni SMTT). Ghemi adalah waris isteri saya. Manakala Pudin dan Seli adalah bersaudara. Amran Ariffin dan isterinya, Cikgu Jamilah (alumni SMTT) datang ke rumah saya pada bulan lepas.

Mempertingkatkan hubungan silaturrahim sangat digalakkan dalam Islam.

"Dan apabila kamu dihormati dengan suatu salam penghormatan, maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik, atau balaslah penghormatan itu yang sepadan dengannya. Sesungguhnya, Allah memperhitungkan segala sesuatu" (An-Nisa; 86).

Monday, February 16, 2009

Sayangi Keluarga


Saban hari kita dengar tentang anak yang bebas tanpa batas. Dari segi pergaulan, pakaian, senda gurau, dan sebagainya melampaui norma yang dibenarkan. Akhirnya, terjerumus ke lembah yang hina.

Mungkin kita boleh katakan, itu anak orang lain dan bukan anak kita. Pernah tak terdetik di hati, apa perasaan kita, jika dia anak kita? Saya rasa ramai juga ibubapa yang tak terfikir bahawa anak yang keluar malam dan balik pagi itu adalah anak mereka. Then, they're caught by surprise. Bila ini berlaku, nasi dah jadi bubur.

Apa yang perlu kita buat bagi mengelakkan perkara ini berlaku? Kalau kita lihat, sekarang ini banyak hiburan yang boleh diperolehi. Baik secara berbayar mahupun percuma. Dan secara lumrah, anak-anak inginkan hiburan. Kita kena pantau mereka. Siapa kawan mereka? Kemana mereka pergi? Bentuk hiburan yang dibenarkan dan sebagainya.

Pengalaman saya menghadapi pasangan yang terlanjur kadang-kala sedih bercampur marah. Sedih kerana begitu mudah seorang perempuan mempercayai janji manis seorang lelaki. Marah kerana begitu mudah seorang lelaki mengambil kesempatan terhadap seorang wanita. Tidak terfikirkah dia, sekiranya orang lain berzina dengan ibunya atau kakaknya atau adiknya, apa perasaan dirinya?. Ini sepertimana seorang pemuda yang ingin berzina dan datang memberitahu Nabi SAW. Lantas Rasulullah SAW bertanya, "Adakah kamu suka jika seseorang berzina dengan ibu kamu, atau kakak kamu atau adik kamu?". Terus pemuda tadi membatalkan hasratnya.

Sebagai menangani kegawatan sosial, sebaiknya kita mencari sekolah bercirikan Islam. Setidak-tidaknya, suasana Islam yang dialami dapat membentuk peribadi mulia. Saya juga mendapat maklumbalas dari ibubapa yang anak-anak mereka di sekolah Islam bahawa anak-anak ini tidak terkeluar untuk menyebut perkataan kurang sopan apatah lagi untuk berkelakuan yang kurang baik.

Sedikit pengorbanan perlu ada di pihak kita dari segi wang ringgit untuk membayar yuran sekolah tapi kata orang "money is not everything but everything is money".