Sunday, July 17, 2011

Jadual Padat Esok...


Esok jadual agak padat! Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah (FGHT) ada membuat Majlis Perpisahan kepada Pn Hajjah Siti Embun sempena persaraan beliau setelah berkhidmat di UTM melebihi 30 tahun. Tak pasti dapat hadir atau tidak kerana jamuan bermula pada pukul 12.30 petang.

Perancangan awal dibuat dengan PM Zahub Deraman untuk menziarahi PM Ahmad Khalid yang baru balik dari negara China dan sekarang sedang berehat di HSAJB. PM Ahmad baru membuat pertukaran buah pinggang di China dengan belanja melebihi RM200,000. Alang-alang pergi HSAJB, rasanya ingin terus menderma darah. Kalau jadi, esok ialah pendermaan darahku kali yang ke-30!

Aku selalu menasihati kawan-kawan supaya menderma darah. Untuk menderma duit dan harta mungkin kita tidak mampu. Apalah salahnya kita menderma darah? Setidak-tidaknya kita membantu orang yang memerlukannya.

Pukul 2.30 petang pula, Dekan FGHT ingin berjumpa dengan staf akademik yang masih belum menghabiskan PhD mereka.

Selepas maghrib pula, program makan beradat atau ‘mess night’ di Hotel Pan Pacific Johor Bahru sempena pentauliahan ‘young officers’ baru-baru ini di UTHM. Tahun ini, kami para pegawai staf diizinkan untuk membawa isteri bersama. Susah juga untuk memujuk isteri untuk turut sama kerana sebelum ini (beberapa tahun dahulu), beliau datang dan telah berpengalaman makan cara askar. Dia rasa tidak begitu seronok makan secara ‘regimental’. Mungkin dia tidak ‘enjoy’ makan sebegitu…

Tetapi itulah askar, semuanya ada adab dan peraturan yang perlu dipatuhi. Askar didisplinkan menerusi peraturan bukan sahaja supaya mereka patuh dan taat tetapi juga mempunyai budi pekerti yang mulia. Sebelum kadet-kadet makan di kem, mereka diajar supaya mempelawa atau mengajak sama para pegawai dan anggota lain-lain pangkat. Anak-anak saya cukup seronok apabila mereka melihat kadet-kadet mempelawa makan… “Makan tuan, makan encik, makan staf dan makan semua!” Sebelum mereka mula menyuapkan makanan, salah seorang dari mereka mengepalai rakan-rakan untuk membaca doa makan.

Mereka makan bersama dan siap makanpun bersama. Mereka diterap supaya bekerja dalam satu pasukan. Tiada askar dalam dunia akan mencapai kejayaan tanpa adanya persahabatan, ukhuwwah, saling bantu membantu. Apabila mereka berperang, mereka berperang secara berpasukan! “Command’ atau ‘orders’ pegawai atasan mereka tidak mempunyai pilihan lain tetapi wajib dipatuhi!!!

Thursday, July 14, 2011

Cemerlang, Gemilang, Terbilang...

Ramai masih ingat pesan emak masa kecil-kecil dulu, “Nak… jangan kamu sekali-kali berbohong kerana bercakap bohong buruk akhlaknya”. Peribahasa juga ada menyebut tentang keburukan berbohong, “Siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama mencuri”.

Kita tidak saja diajar supaya jangan berbohong tetapi diajar juga untuk menyatakan kebenaran. “Nyatakan kebenaran walaupun ianya pahit”. Kita begitu mengkagumi mereka yang boleh mempertahankan kebenaran walau tubuh badan mereka dicarik-carik dan dirobek seperti Bilal bin Rabah. Kita memuliakan Yassir dan Sumayyah yang berani berdepan dengan puak kuffar demi menyatakan kebenaran Islam.

Kita membaca cerita-cerita sebegitu kepada anak-anak kita supaya apabila mereka membesar menjadi dewasa, mereka akan menjadi seorang manusia yang berprinsip dan bukannya seorang manusia yang tiada pegangan seperti lalang. Lalang ditiup angin ke hilir akan bergerak ke hilir dan apabila ditiup ke hulu maka bergeraklah dia ke hulu.

Kita tidak mahu anasir-anasir perosak agama seperti golongan munafik di zaman Rasulullah (SAW). Rakan-rakan seangkatan dengan Abdullah bin Ubai bin Salul memang kita ketepikan dari awal kerana kita tidak suka adanya golongan musyrik dan munafik ini dari kalangan keluarga kita.

Cerita kehebatan Rasulullah (SAW) menyampaikan risalah tanpa peduli dipanggil manusia gila, dibaling batu, disimbah najis dan dicederakan. Begitu juga keperwiraan para sahabat ditonjolkan supaya menjadi ikutan kepada generasi kita dan generasi selepas kita.

Cuba kita amati berapa ramai yang berjaya menegakkan perkara di atas kepada diri dan keluarganya… Berapa ramai yang berjaya mempertahankan prinsip yang begitu teras dalam kehidupan manusia? Sanggupkah kita merasai sedikit kesusahan demi mempertahankan prinsip kehidupan?

Atau kita rela prinsip digadai demi takutnya kepada tentangan dan dugaan? Atau kita hanya pendamkan saja… untung sabut timbul dan untung batu tenggelam. Buat apa susah-susahkan badan…kan kita selalu dengar ‘the truth will prevail’. Kita tunggu aje la…

Kalau itulah yang kita lakukan maka jauhlah lagi untuk kita digelar sebagai pejuang. Kita hanya setaraf dengan masyarakat kampong yang mungkin tak ke sekolah yang akan menerima apa saja polisi atau dasar yang diterimapakai.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kita memang kedepan berbanding dengan badan-badan yang seumpamanya di negara ketiga yang lain. SPR kita lebih profesional dan lebih berwibawa dalam mengamalkan sistem demokrasi. Cumanya, adakah salah kita memperbaiki lagi kebaikan yang telah kita capai itu supaya ia menjadi cemerlang, kemudian gemilang dan akhirnya terbilang sepertimana motto yang diwar-warkan di zaman pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Dalam Islampun kita disuruh supaya hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini.

Pada saya, tiada salah dengan apa yang ingin diperjuangkan oleh kumpulan Bersih! Mereka ingin melihat demokrasi yang sudah baik di Malaysia menjadi lebih baik lagi. Tidak sukakah kita untuk menjadi lebih baik dari apa yang kita ada sekarang?

Saya kesian melihat seorang Sasterawan Negara yang berumur lebih 70 tahun masih berjuang menuntut perkara ini diterima oleh pihak kerajaan. Kalau kita fikir sejenak, buat apa beliau susah-susah menuntut perkara yang tidak mendatangkan manfaat secara langsung kepada beliau? Kepada mereka yang tiada pegangan atau prinsip mungkin berkata, “Duduklah diam-diam wahai pakcik atau datuk! Nikmatilah apa yang kau telah raih selama ini… Bukan ia akan memberi apa-apa pulanganpun kepada engkau!”.

Tetapi manusia berprinsip mesti ingin menyatakan kebenaran dan akan merasa bersalah kepada anak, cucu, dan cicitnya sekira ia hanya melihat dan tidak berbuat apa-apa…

Friday, July 8, 2011

Semua Suka Bersih!


Bersih, suci, halal, dan seerti dengannya. Kenapa kita perlu bersih? Bersih disarankan oleh agama… Kita mesti bersih dan suci dari hadas kecil dan besar sebelum boleh melakukan sesuatu ibadah seperti menunaikan solat, tawaf, dan sebagainya.

“Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu hendak melaksanakan solat, maka basuhlah wajahmu dan tanganmu sampai ke siku, dan sapulah kepalamu dan basuh kedua kakimu sampai ke kedua buku lali. Jika kamu junub maka mandilah. Dan jika kamu sakit atau dalam perjalanan atau kembali dari tempat buang air atau menyentuh perempuan, maka jika kamu tidak memperolehi air maka bertayamumlah dengan debu yang baik (suci); usaplah wajahmu dan tanganmu dengan debu itu. Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmatNya bagimu, agar kamu bersyukur” (al-Ma’idah; 6).

Kebersihan juga mencerminkan keimanan seseorang. Alangkah malunya seorang Islam yang tidak menjaga kebersihan!

Allah dan Rasul sukakan kebersihan. Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong juga suka Bersih. Sasterawan Negara, A Samad Said juga suka Bersih. Datuk Seri Dr Khir Toyo pun suka kebersihan kerana beliau menghadiahkan penyapu kepada Yang di Pertua Majlis Perbandaran yang tidak membersihkan kawasannya.

Dengan kata lain, tiada orang yang tidak suka Bersih! Kita ingin melihat tandas-tandas awam kita bersih supaya pelancong memandang tinggi nilai dan etika kebersihan negara. Penduduk tempatan juga inginkan kebersihan.

MPJBT nampak kurang bersih apabila pekerja mengangkut sampah kurang membersihkan kawasan. Yalah, sekarang sudah 'privitised' kepada Southern Waste Management. Sepatutnya swasta lagi bersih! Adakala, sepatutnya lorinya datang tetapi tidak datang! Sewajarnya, diganti hari yang mereka tidak datang supaya sampah sarap tidak melimpah ruah. Tetapi itu hanya harapan pelanggan.

Mana ada projek penswastaan yang dilancarkan pada tahun 1980an oleh Tun Mahathir berjaya? MAS lingkup! Sebabnya ialah tiada keikhlasan... Kerajaan kata untuk mengurangkan kos kerajaan maka diswastakan tetapi pihak yang mendapat projek mempunyai niat untuk mendapat keuntungan semata-mata. Maka semuanya menaikkan harga! TNB naik harga, PLUS naikkan tol, SAJpun sama. Tiada lagi rasa tanggungjawab sosial! Sepatutnya, keperluan asas wajib menjadi tanggungjawab kerajaan!

Lihat kepada Air Asia! Niatnya suci, 'everybody can fly'. Untungnya berlipat kali ganda dan makin membesar.

Apabila kawasan di tepi jalan telah dimesin rumput oleh pihak Majlis maka muncullah pelbagai barangan seperti plastik, tin dan tong kosong ke permukaan kerana rumput panjang yang melindungi sudah tiada. Apa tindakan Majlis? Biarkan saja… Alasannya, masyarakat kurang prihatin tentang kebersihan! Lagipun pada minggu depan, sampah sarap itu dah terlindung apabila rumput panjang!

Apa salahnya jika pihak Majlis yang mengutip? MPJBT mendapat hasil cukai pintu antara yang tertinggi di Malaysia! Saya sendiri membayar RM259 setahun! Berapa juta pegangan harta yang ada di bawah MPJBT? Bayangkan…

Saya merasakan MPJBT terutama di kawasan Taman Universiti dan persekitarannya antara kawasan penyeliaan Majlis yang terkotor di Malaysia!

Mungkin juga orang yang tidak suka Bersih kerana mereka suka hidup dalam kekotoran… Buat apa Bersih, kalau penipuan yang menguntungkan kita tidak dapat dilaksanakan! Buat apa Bersih, kalau kita tidak boleh terus berkuasa dan mengaut segala keuntungan! Buat apa Bersih, kalau ia menyulitkan pergerakan kita untuk memanipulasi keadaan!

Orang yang suka Bersih, hanyalah mereka yang ingin memartabatkan keadilan sejagat! Dan kebersihan ini sangat-sangat dituntut oleh Islam dan semua negara maju! Orang yang suka Bersih adalah orang yang mempunyai nilai diri! Orang yang suka Bersih adalah orang yang kuat beragama!

Susahkan kalau kita tidak mahu gejala rasuah berlaku tetapi kita tidak suka Bersih! Payahkan kalau kita mahu sesuatu hukuman diadili secara adil tetapi kita tidak suka Bersih!

Biarkan mereka tuntut Bersih, nanti generasi kita akan menjadi Bersih! Tiada lagi salah guna kuasa, tiada lagi penyelewengan, tiada lagi rasuah, tiada lagi pecah amanah, dan tiada rampasan kuasa.

Kita semua akan hidup aman dan damai apabila semuanya Bersih! Hidup Mau Bersih, Matipun Mau Bersih! Hidup Bersih!!!

Thursday, July 7, 2011

Anak Haji Qamaruddin Dibunuh, Dipotong Dan Dibakar

“Hadis 45-MWA, Hadis 46-AB, Majmuk Rasail, pp.474-485-Semua”, begitulah berbunyi pesanan sms dari naqib untuk usrah kami yang sepatutnya berlaku malam tadi.

Dalam pukul 9pm, dapat sms pula dari timbalan naqib, “Kita berkumpul di rumah MWA, pukul 9.30pm kita ziarah Hj Qamaruddin yang mana anaknya dibunuh dan dibakar di Bandar Seri Alam”.

Setelah semua ahli usrah berkumpul, kami bertolak ke Bandar Seri Alam dengan menaiki Innova. Apabila kita menyusur keluar Skudai untuk memasuki lebuhraya, terdapat satu ‘road block’ polis. Tiada seorangpun anggotanya yang bertugas, semua berada di bawah khemah.

Terlintas di benak, apalah tujuan semua ini? Kalau betul-betul hendak membuat pemeriksaan, buatlah betul-betul! Jangan hanya ingin membuat rakyat marah… Masa dan kos minyak kami berharga sekali!

Cuba bayangkan betapa ruginya aggota keselamatan yang sepatutnya meronda dan menjaga keselamatan awam tetapi terpaksa berada di khemah-khemah ‘road block’ di seluruh negara hanya kerana pandangan dan pemikiran sempit segelintir anggota atasan.

Mungkin perompak, pencuri, dan penyamun bermaharaja lela sejak beberapa minggu yang lepas angkara tiada anggota keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan dan kebajikan masyarakat. Semuanya sibuk membuat ‘road block’!!!

Antara mangsa yang kurang bernasib baik ialah anak perempuan kepada Haji Qamaruddin. Beliau telah dibunuh dengan kejam dan anggota badannya telah dikerat-kerat.

Apabila kami menghampiri kawasan pembinaan di Bandar Seri Alam, kami mesti melalui ‘gate’ yang dijaga oleh pengawal. Kami menanyakan pengawal keselamatan yang bertugas dimana rumah kongsi Haji Qamaruddin. Pengawal mengarahkan supaya kami meneruskan lagi perjalanan ke depan.

Kami disambut mesra oleh Haji Qamaruddin. Masing-masing bersalaman takziah sambil memeluk Haji Qamaruddin. Sebelum kami, sudah sampai sebuah kereta yang mewakili ahli jamaah Surau At-Taqwa, Taman Pulai Utama.

Haji Qamaruddin adalah salah seorang ahli jamaah Surau At-Taqwa. Jika ada kenduri-kendara di surau, tugasan beliau ialah menyediakan air tebu atau air kordial perisa mangga. Beliau sebelum ini tinggal di rumah kongsi Taman Pulai Flora dan baru 3 bulan berpindah ke Bandar Seri Alam.

Beliau menceritakan arwah anaknya ditinggalkan kawannya di depan ‘gate’ pengawal yang kami lalui tadi jam 2 pagi. Menurut isteri Hj Qamaruddin, pengawalpun perlu diberi upah untuk membuka ‘gate’, walhal mereka telah diberi gaji. Kadang-kadang duit, dan kadang-kadang rotipun sudah memadai.

Menurut Hj Qamaruddin sambil menunjukkan gambar penyangak dan gambar arwah anaknya yang berumur 16 tahun, pengawal yang bertugas di situlah yang telah membunuh, memotong badan, dan membakar anaknya. Ngeri juga melihat wajah penyangak yang berkepala botak dan bermisai tebal tu.

Katanya, pengawal tersebut sudah ada 7 kes polis dan ini adalah kes yang kelapan. Hairan ya, macamana syarikat pengawal keselamatan membuat tapisan sesiapa yang ingin menjadi pengawal. Dulu, kes budak 9 tahun di Gelang Patah, pengawal keselamatan juga yang merogolnya.

Saya mengenali Haji Qamaruddin kerana pernah mengurut dengannya selama 2 kali di rumah kongsi Taman Pulai Flora. Beliau telah datang ke Malaysia dari Lampong, Indonesia sejak 21 tahun yang lalu.

Semasa mengurut, beliau mengisahkan bahawa sebelum ini, beliau adalah beragama Hindu dan membina kuil di Lampong. Tetapi setelah memeluk agama Islam dan menunaikan ibadah haji, beliau telah mengumpul wang untuk membina masjid di sana. Hasil pendapatan dari mengurut dikirimnya wang ke sana, sedikit demi sedikit. Masjid telah dibina sejak tahun 2003 dan sekarang hampir 90% siap.

Masjid tersebut akan dirasmikan dalam bulan Syawal nanti apabila Haji Qamaruddin pulang sekejap. Ayah beliau yang berumur 80an masih menunggu beliau untuk mengucap dua kalimah syahadah! Ayahnya juga mempunyai 9 orang isteri!

Sama-sama kita doakan semoga ayahnya sempat menganut agama Islam dan ramai lagi dari kalangan keluarga dan penduduk kampong beliau berhijrah kepada agama fitrah, Islam!

Kami bergerak pulang setelah jam menunjukkan pukul 11 malam.

Tuesday, July 5, 2011

‘Expectation’ Kita Terlalu Tinggi…


Kita menghantar anak-anak ke Sekolah Islam dengan harapan anak-anak akan menjadi bukan saja pandai tetapi alim atau baik sahsiah peribadinya. Itulah ‘expectation’ kita… Pandangan dan ‘expectation’ kita kepada sekolah (termasuk guru, staf, tukang kebun, jaga, dan lain-lain) satu hal dan pandangan dan ‘expectation’ kita kepada pelajar-pelajar sekolah adalah satu hal yang lain pula.

‘Last weekend’ saya berjumpa dengan seorang sahabat yang menjadi ahli lembaga Sekolah Islam di Kelantan. Beliau puji Sekolah Islam Hidayah Johor Bahru bukan main lagi… sekolah idolalah, sekolah contohlah, dan berbagai-bagai pujian lagi. Saya yang pernah menjadi ahli lembaga Sekolah Islam Hidayah (1996-2007) merasa agak malu bercampur bangga dengan pujian ini. Beliau yang pernah melawat ke Sekolah Hidayah menyatakan bahawa beliau hairan bagaimana pelajar-pelajar sekolah kita boleh duduk diam semasa rombongan beliau memasuki kelas ikut pintu belakang. Maksud beliau, gelagat pelajar sekolah kita begitu tertib dan sopan!

Kita yang berada di Hidayah pula, kadang-kadang bingung dan risau apabila sekali sekala berlaku kecurian kasut, kecurian wang dan sebagainya. Itu yang saya kata ‘expectation’ kita terlalu tinggi. Kita ‘expect’ sekolah kita ‘must be theft free’, tiada masalah disiplin, senang ‘control’, semua pelajar cerdik, kedepan dalam semua aspek, baik dalam kurikulum dan ko-kurikulum.

Begitu juga ‘expectation’ saya semasa mengerjakan ibadah haji di Mekah pada tahun 2003 dulu. Saya ‘expect’ dalam Masjidil Haram tiada kecurian berlaku. Tiba-tiba sedang saya bersolat zohor, seorang wanita dikejar seorang wanita berjubah hitam (polis) kerana mencuri.

Keadaan yang sudah baik bagi sesetengah orang, mungkin masih kurang baik bagi kita!

Kita melihat anak-anak kita pula. Kita melihat mereka kurang kedepan dalam pelajaran, kurang menonjol dalam aktiviti sekolah, tidak banyak hafazan surah-surah al-Quran dan doa-doa yang mereka ingat dan sebagainya. Kita ‘complain’ anak-anak kita!

Cuba kita berhenti sekejap dan merenung sejenak… Cuba kita lihat balik 20-30 tahun yang lalu. Lihat diri kita apabila kita seusia mereka. Pernah kita terlintas untuk menghafaz surah-surah al-Mulk, As-Sajadah, al-Waqiah, Yaasin, ad-Dukhan, doa-doa al-Ma’thurat? Pernah kita kenal solat tahajjud, solat Dhuha, dan solat witir? Pernah kita segiat mereka berpuasa hari Isnin dan Khamis?

Jawapan kepada persoalan di atas hanya kita yang tahu...

‘No doubt about it that they are much better than us!’ Tetapi itulah hakikatnya, kita mempunyai ‘expectation’ atau menaruh harapan yang menggunung terhadap anak-anak kita. Dan kita meminta mereka ‘to deliver it’!

‘Expectation’ sudah pasti ada kerana kita tidak menghantar anak-anak kita ke sekolah ‘free of charge’. Kita membuat pelaburan yang tidak murah. Bagi saya yang mempunyai 9 orang anak dan kesemuanya belajar di Sekolah Rendah dan Menengah Islam Hidayah, ratusan ribu ringgit telah dibelanjakan!

Tetapi kalau boleh, ‘Don’t expect too much!’ Cukuplah dengan apa yang mereka ‘produce’ kepada kita. Jangan meletakkan pengharapan yang terlalu tinggi! Bandingkan mereka dengan diri kita…sebelum kita bandingkan mereka sesama mereka!

Pada pandangan saya, jika kedua ibubapa kita yang baik itu telah berjaya mendidik kita seperti ini, dan kita pula berjaya mendidik anak-anak kita seperti itu, insyaAllah, mereka pula akan mendidik anak-anak mereka ke arah yang lebih sempurna...

Rabbana hablana min azwajina wazurriyatina...

Sunday, July 3, 2011

Jumpa Sahabat Lama Lagi...

Sahabat-sahabat lama, kadang-kadang kita ketemui semula setelah puluhan tahun berpisah... Puluhan tahun bukan waktu yang singkat! Banyak yang berubah secara fizikal. Rambut terutamanya sudah banyak yang putih, kedut dan kerutpun semakin jelas kelihatan, dan badanpun nampak tidak sesasa dulu lagi. Isi badanpun sudah berbonjol-bonjol di sana sini.


Bersama Abdullah Shabri, kawan lama semasa menuntut di University of Southwestern Louisiana, USA (1984-1986).


Bersama Mohd Hatta Hussin (kawan semasa belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Inggeris, Kg. Laut, Tumpat (1971-1976)), Prof Dr Mohammad Ismail (kawan UTM & senior-senior semasa belajar di Sek. Men. Teknik Terengganu (SMTT)), Maliki Abdul Ghani (kawan sekampong..., Kg. Palekbang).


Bersama Maliki Abdul Ghani, Prof Madya Dr Zakaria Mohd. Yusof, dan senior-senior SMTT (termasuk Prof Dr Mohammad Ismail)


Bersama Hj Nazmi Abdullah (class-mate di SMTT (1980-1981)), Hj Mohd Hatta Hussin (school-mate di SRJK (Inggeris) Kg. Laut, Prof Madya Dr Mohd Ruslan Abdullah (school-mate di SMTT), Wan Azhar Wan Omar (school-mate di SRJK (Inggeris) Kg. Laut dan Johari Hassan (colleague at UTM)


Bersama Hamzah Ahmad (kawan satu universiti di University of Southwestern Louisiana, USA (1984-1986)).

Friday, July 1, 2011

Ahlan Ya Ramadan...


Hari ini ialah hari Jumaat, 1 Julai 2011 bersamaan 29 Rejab 1432. Sebulan lagi kita akan bertemu dengan 1 Ogos 2011, bersamaan 1 Ramadan 1432. Doa kita kepada Allah SWT untuk sampai ke bulan Ramadan sentiasa kita ucapkan tanpa henti. Semoga doa kita dikabulkanNya, insyaAllah!

Kita begitu merindui bulan Ramadan! Kenapa kita begitu menanti-nantikan kedatangannya? Seolah-olah menunggu seorang kekasih yang begitu seronok dengan kedatangannya dan begitu sedih dengan pemergiannya…

Kita menanti kedatanganmu ya Ramadan kerana bulanmu penuh barakah... Bulanmu merupakan bulan kita berpesta beramal. Sesiapa yang membiarkan bulanmu berlalu tanpa berpesta beramal, maka teramat rugilah dia…

Kita begitu mengejar dividen Bank Rakyat yang memberikan pulangan 15% saban tahun. Tidak kurang juga kita mencarum ke dalam TH kerana pulangannya 5-6% setahun dan terus ditolak zakat. Nyatakan apa saja pelaburan yang halal, pasti kita akan melaburnya. Kita tidak mahu tertinggal dalam pelaburan duniawi!

Kita juga tidak mahu tertinggal dalam pelaburan ukhrawi! Alangkah malangnya si dia, jika dia hanya membuat pelaburan di dunia semata-mata. Dia hanya menimbunkan harta kekayaan di sebelah sini tetapi destinasinya yang di sebelah sana tiada apa himpunan bekalan!

Rumah batu besar dibina tersergam indah di sebelah sini. Siap dengan puluhan bilik dan beberapa bilik air. Dihiasi pula dengan lorekan kayu atau hasil kerja tangan pengukir tersohor. Berapa puluhan tahun, tuan punya rumah dapat menghayati kecantikan rumahnya di sini? Jika dia membinanya selepas pencen, mungkin 20 hingga 30 tahun lagi. Selepas itu, rumah mahligai indah akan ditinggalkan!

Adakah sebuah lagi mahligai indah akan menantinya di sebelah sana atau hanya satu lubang dari lubang-lubang neraka yang menjadi kediamannya untuk selama-lamanya?

Jualan murah di bulan Ramadan melampaui jualan-jualan murah yang ditaja oleh manusia. Rahmat Allah mengalir turun sederas-derasnya untuk kita semua kecapi. Seorang yang cerdik akalnya tidak sekali-kali melepaskan peluang keemasan ini. Tahun depan belum tentu lagi kita dapat menemuinya!

Marilah kita tanamkan azam yang tinggi untuk melakukan solat sunat banyak-banyak disamping solat fardhu. Solat sunat terawih, solat sunat tahajud, solat sunat hajat, solat sunat sebelum dan selepas solat fardhu, solat sunat taubat, solat sunat witir dan bermacam-macam solat sunat lagi kita akan cuba laksanakan sepanjang bulan Ramadan.

Kita juga berazam untuk melaksanakan puasa yang terbaik yang pernah kita lakukan!

Kita juga berjanji akan mengeluarkan sedekah bagai air yang mengalir di bulan yang diberkati ini. Kita akan memanggil mereka untuk beriftar di rumah kita atau setidak-tidaknya, kita akan memberi sumbangan kepada masjid atau surau yang melaksanakan iftar.

Kita juga bersemangat tinggi untuk mengkhatamkan al-Quran sekurang-kurangnya 2 kali sepanjang bulan Ramadan ini.

Kita juga akan mencuba untuk banyak berqiamul-lail di masjid. Kita juga berazam untuk berzikir dengan zikir-zikir yang ma’thur sepanjang Ramadan ini.

“Ya Allah, Berkatilah Rejab dan Syaaban dan Sampaikan Daku ke Bulan Ramadan”… Amin! Ya Rabbil ‘Alamin!