Sunday, September 14, 2014

Bicara Pengetua 4

BICARA PENGETUA
Bil.23             Semester II Sesi 2006/2007            Kolej 16 & 17                    Februari 2007

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Saya rasa banyak perkara kita terlepas pandang dari segi tatacara kehidupan sopan dewasa ini. Tak kurang kita baca di akhbar-akhbar tentang kebejatan sosial yang melanda generasi kita. Kadang-kadang, saya nampak sesetengah akhbar suka mensensasikan berita. Tak tahulah apa strategi mereka atau apa yang ingin diterapkan kepada minda generasi kita. Cerita-cerita rogol dihalusi dengan terperinci supaya pembaca dapat menggambarkan keadaan perlakuan mereka. Seolah-olah mengajak kita mencuba atau mengajar bagaimana ingin dilakukan perkara yang sumbang itu. Pada saya sekiranya matlamat untuk melariskan jualan maka ia amat tidak berbaloi untuk dipertaruhkan. Etika kewartawanan harus diikuti dan ditegakkan. Kerosakan akhlak atau kejatuhan tamadun lebih tinggi nilainya untuk dijudikan. Gambar-gambar artis, kadang-kadang sudah tidak nampak beza pegangan agamanya. Fesyen berkemban yang menjadi pakaian generasi 70an semasa ke perigi telah menjadi ikutan, cuma bezanya jenis kainnya saja!

Kita yang berada di Menara Gading tak ketinggalan dari segi mengikut fesyen masa kini. Kadang-kadang melangkah ke dewan atau bilik kuliah merupakan satu tempat untuk memperagakan ‘fashion show’. Baju-baju yang singkat sehingga menampakkan pusat sudah tidak asing lagi. Puas pihak HEP mengeluarkan poster dan peraturan bertulis supaya diikuti, namun masyarakat amnya tidak mempedulikannya. Poster warna-warni hanya sekadar menghiasi dinding-dinding fakulti dan pejabat kolej!

Apa harus kita lakukan? Adakah kita biarkan saja supaya lama kelamaan menjadi ‘norm’ kehidupan dan kemudian menceduknya menjadi sebahagian dari budaya kita? Banyak perkara yang dahulunya bertentangan dengan adat budaya rumpun kita tapi sekarang sudah tidak asing lagi. Contohnya yang paling mudah ialah minum air dari botol. Kalau dulu tiada yang minum air tanpa cawan atau gelas kerana dianggap biadap. Nah sekarang dari sekecil-kecil orang sampai ke sebesar-besar orang melakukannya.

Sheikh Abdullah Nasih Ulwan mengupas panjang lebar tentang bencana pakaian wanita yang menjolok mata. Beliau menulis;

Semua ini akan menarik perhatian anak-anak muda remaja belasan tahun dan orang-orang dewasa. Mereka tidak mampu melawan fitnah si cantik manis yang terdedah setengah badannya. Semua itu tentu sekali mengganggu urat saraf, merosakkan akhlak, serta menghalang mereka dari bekerja bersungguh-sungguh.

Beliau juga menyentuh tentang bahaya filem-filem berunsur jenayah dan seks. Ujar beliau, “Di antara gejala-gejala barat yang akan menyelewengkan anak-anak, dan menyerahkannya kepada kejahatan dan penjenayahan serta berkelakuan pincang dan kerosakan moral ialah membiarkan mereka menonton filem-filem lucah, atau cerita-cerita polis dan gangster. Kemudian mereka membaca pula majalah-majalah lucah dan cerita-cerita yang menaikkan nafsu. Semua ini adalah menarik kepada penyelewengan dan penjenayahan, dan dia juga merosakkan akhlak orang-orang tua, apatah lagi dengan anak-anak kecil yang baru mencapai usia belasan tahun”. Tegasnya lagi, wajib bagi si ayah atau pendidik atau orang yang bertanggungjawab melarang anak-anak mereka pergi menonton filem-filem seks dan filem-filem detektif yang lucah. Sesungguhnya pembacaan atau penontonan ini akan membahayakan aqidah serta menarik mereka kepada kerendahan moral dan jenayah. “Wahai orang-orang yang beriman, peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka.” (At-Tahrim: 6). Sekian. Wassalam.

Bantulah Kami Dalam Membantu Anda


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

Friday, September 12, 2014

Bicara Pengetua 3

BICARA PENGETUA
Bil.25        Semester II Sesi 2006/2007                   Kolej 16 & 17                          April 2007

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Peperiksaan Akhir menjelang kembali. Seperti semester-semester lepas, pesanan saya tetap sama. Pertama, anda semua perlu membuat revision, kalau boleh dalam kumpulan. Discussion in a group is much better, boleh saling ingat mengingati. Kedua, masih tak lewat untuk bertanya pensyarah mana-mana bahagian yang tak faham. Tapi jangan pulak semuanya tak faham. Make a point to see the lecturer, he won’t bite you! Kalau anda bernasib baik, mungkin pensyarah anda akan reveal tips atau beri hint apa yang akan keluar dalam final.

Past year questions perlu dilihat supaya dapat memberi petunjuk corak soalan yang akan keluar! Silap-silap haribulan, soalan sama dengan sedikit modifikasi keluar balik. Jaga kesihatan. Riadah setiap petang secara sederhana menyihatkan badan dan membolehkan kita belajar di malam hari. Badan Sihat Otak Cerdas! Kesihatan penting dijaga. Tidur mesti mencukupi dan kalau boleh cuba elak dari belajar atau berbincang sepanjang malam. Berilah tubuh kita haknya untuk berehat. Pemakanan berkhasiat amat perlu kerana we are what we eat. Keluar ke bandar menaiki kenderaan sendiri perlu dikurangkan. Ia penting bagi mengelakkan kemalangan yang tidak berbau.

Jangan membuat rakan atau kawan terganggu dengan telatah kita. Jaga tatatertib kerana kesilapan yang kecil dikala semua orang ‘tension’ akan menjejaskan emosi. Peraturan asrama mesti diikuti dan dipatuhi. Kita tak nak, kerana saman ia menghantui fikiran anda di hujung semester, dikala duit hanya cukup-cukup untuk makan. Jangan tambah beban anda dengan perkara-perkara yang ‘unnecessary’.

Dirikan solat pada waktunya dan kalau boleh secara berjamaah. Sebatikan diri dengan doa ke hadrat Allah SWT setiap kali lepas solat. Solat-solat nawafil (sunat) dan puasa sunat elok diperbanyakkan jika mampu. Sesungguhnya Allah SWT amat mendengar doa hambaNya dan Dia adalah sebaik-baik pendengar dan pemberi pertolongan. Jangan lupa untuk menghubungi ibubapa untuk memberi tarikh-tarikh Peperiksaan Akhir anda. Sudah pasti mereka akan menyelitkan doa kepada anda setiap kali mereka berdoa selepas solat.

Minta ampun dari kesalahan kepada Allah SWT, ibubapa, pensyarah dan rakan-rakan anda. Diri anda yang diampuni dosa adalah lebih disenangi oleh manusia apatah lagi Tuhan. Last but not least, Jangan Bawa Masuk Nota Dalam Bilik Atau Dewan Kuliah!

Akhir sekali dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada barisan JKM, mantan-mantan JKM, dan AJK-AJK lain yang pernah berkhidmat dengan saya. Anda telah banyak membantu dalam membangunkan Kolej kita. Segala teguran saya, baik secara tegas mahupun berlapik adalah demi untuk mendidik dan memperbaiki diri anda. Jika ada nasihat saya yang baik, jadikanlah ia sebagai tauladan. Dan jika ada layanan saya dari segi tutur kata dan perbuatan yang menyinggung perasaan, berbanyak kemaafan saya pohonkan. Saya tidak menyimpan dendam dan perasaan benci pada sesiapa. Kepada mereka yang tamat belajar, saya doakan anda Selamat Maju Jaya. Dan kepada yang masih di Kolej 16 & 17, saya doakan semoga anda juga akan turut berjaya. Polisi atau perkara baik yang saya buat di kolej ini, diharapkan ianya akan diteruskan. Saya juga ingin memohon kemaafaan buat diri saya dan famili jika ada kesalahan dan kesilapan, baik secara sengaja mahupun tidak sengaja. Sekian.

Wassalam.

Selamat Menempuh Peperiksaan & Salam Perpisahan


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

Thursday, September 11, 2014

Bicara Pengetua 2

BICARA PENGETUA
Bil.18              Semester I Sesi 2006/2007            Kolej 16 & 17                   Julai 2006

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Selamat kembali kepada warga kolej dan selamat datang kepada mereka yang baru bersama kita. Saya rasa banyak sekali pengalaman dan pengajaran yang diperolehi sepanjang cuti semester baru-baru ini. Untuk pengetahuan warga kolej, kita telah menjalankan program Khidmat Siswa di Bachok, Kelantan pada 3 hingga 11 Jun 2006. Hasilnya amat memberangsangkan, baik dari perbualan masyarakat kampung mahupun ulasan pelajar-pelajar SMK Badak dan SRK Chantum. Kalau kita hayati lagu Keunggulan Terbilang, Perkhidmatan Kepada Watan adalah salah satu agenda UTM dalam memartabatkan bangsa disamping Perundingan, Penulisan, Pengajaran dan Penyelidikan. Semasa cuti baru-baru ini juga, Kolej telah menambahkan satu lagi kemudahan sukan iaitu padang bola tampar pantai yang berada di antara Blok XB1 dan XB2. Gunakan kemudahan yang disediakan dengan sebaik yang mungkin.

Saudara-saudara yang dikasihi,
Di sini saya ingin menarik perhatian tentang beberapa perkara yang akan berlaku pada semester ini. Pertama, SUKAM XIV akan berlangsung bermula dengan pelancaran pada 19 Julai ini. Saya berharap saudara dapat mengambil bahagian dan membentuk pasukan terbaik yang kita ada. Pada tahun lepas, kita menjadi Johan bagi acara Bola Sepak Pantai, meraih Naib Johan bagi acara Olahraga, Sepaktakraw, Bola Sepak, Bola Keranjang dan Orienteering dan pada tahun ini saya berharap kita akan mencapai tempat yang lebih baik dalam acara-acara yang dipertandingkan. Pada saya, ramai pemain yang tersohor tidak menjaminkan kemenangan tetapi keserasian dan kesefahaman dalam sesebuah pasukan adalah paling utama. Lihatlah pengalaman World Cup baru-baru ini!

Kalau saudara perhatikan banyak banner yang dipasang menyatakan tentang “Smart Day” pada hari Isnin, “Uniform Day” bagi mereka yang terlibat dengan pasukan beruniform pada hari Rabu, dan keluar kampus selepas 12 tengah malam. Untuk makluman saudara, pihak HEP akan melaksanakan peraturan dengan tegas bermula semester ini. Saya syorkan supaya saudara pastikan berpakaian kemas pada hari Isnin untuk ke kuliah, pejabat kolej dan pejabat-pejabat yang lain. Kalau boleh berpakaian kemas bagi setiap hari kuliah lagi baik. Lagipun ini selaras dengan tuntutan agama supaya kita sentiasa bersih dan kemas. Jika saudara perlu untuk keluar kampus sehingga melebihi jam 12 tengah malam, pastikan saudara mengisi borang yang akan diluluskan oleh saya. Banyak insiden yang tidak diingini berlaku kepada pelajar-pelajar kita selepas 12 tengah malam pada semester lepas; ada yang kena tikam, ada yang kena tetak dan bermacam-macam lagi. Justeru itu, saya cadangkan supaya saudara hanya makan di sekitar kampus sahaja bagi mengelakkan musibah yang bakal terjadi. Lagipun makan selepas tengah malam tidak baik untuk kesihatan.

Pada semester ini, Iftar atau berbuka puasa setiap hari Isnin dan Khamis akan diteruskan lagi. Sesiapa yang berpuasa bolehlah mengambil kesempatan untuk sama-sama menjamu selera di Surau Arked dan Surau Blok. Setiap hari Jumaat, Badan Keluarga Kolej 16 & 17 (B2K) dengan murah hati menyediakan sedikit jamuan selepas solat jumaat di Pejabat Asrama. Jika ada kesempatan datanglah disamping kita berkenal mesra. Makanan tidaklah banyak dan kita sediakan mengikut first come first serve basis. Akhir sekali, saya ingin menasihati saudara untuk meletakkan kenderaan ditempat yang betul. Wang yang ada tak perlu dibazirkan untuk membayar saman. Kadang-kadang kesenangan yang kita rasai dengan meletak kenderaan sesuka hati sebenarnya menyusahkan orang lain. Bertimbang rasalah pada kawan dan jiran kita. Sekian. Wassalam.

Bantulah Kami Dalam Membantu Anda


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

Wednesday, September 10, 2014

Bicara Pengetua 1

BICARA PENGETUA
Bil.24       Semester II Sesi 2006/2007         Kolej 16 & 17                           Mac 2007

Assalamu’alaikum Warah Matullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera…

Ramai yang terkejut apabila seorang Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Remaja dari UKM membuat kajian yang mendapati 886 dari 887 pelajar perempuan sekolah menengah di negeri Selangor pernah melakukan hubungan seks. Pensyarah, Menteri, masyarakat awam mempertikaikan dari segi kesahihan data yang diperolehi! Ada yang mengatakan takrifan hubungan seks tak jelas. Ada pula yang mengatakan responden menjawab soalan secara tidak jujur dan sebagainya.

Pada saya, apapun yang berlaku kita perlu ambil iktibar dari kajian ini. Tak payahlah kita ambil 99.89% yang mengaku pernah mengadakan hubungan seks, ambil saja 50%. Yang 49.89% kita reserve kepada responden yang tak faham definisi hubungan seks dan yang sengaja exaggerate atau sensasi jawapan kajian. Itupun saya rasa amat naïve bagi pelajar sekolah menengah tak tahu definisi hubungan seks. Kalaulah sekadar berlaga hidung dan bercium dah dikatakan membuat hubungan kelamin maka tiap-tiap malam kita dihidangkan adegan hubungan seks di kaca TV!

Janganlah kerana kesilapan sedikit metodologi kajian, kita tolak semuanya. Saya pasti pensyarah berkenaan sekurang-kurangnya melalui kursus asas penyelidikan dan mempunyai etika kerja (code of ethic) dalam jurusannya. Dan jangan pula kerana kita takut menghadapi realiti, kita buang terus dapatan kajian. Kalaulah kajian itu separuh betul, tak ternganga kita dibuatnya! Pada dasarnya, kajian yang dibuat di IPTA adalah bersifat ilmiah, menceritakan perkara yang sebenarnya kerana mereka tiada kepentingan.

Saya sebenarnya ‘takut’ sekiranya kajian dibuat di IPTA atau IPTS sendiri. Bagaimana pula dapatannya? Lima peratus, 10%, 20%, 30% atau 50%? Kalau begini hasilnya, alangkah gawatnya kita dalam menuju Negara Maju menjelang 2020. Itulah pentingnya nasihat-menasihati (Addin nun Nasihah). Agama kita menggalakkan kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Kalau tengok kawan kita intim ke sana ke mari berdua-duaan, nasihatilah mereka, takut mereka terlajak. Perhubungan positif dan negatif jarang tidak bercantum. Sudah lumrah kehidupan, paling tidak, berlaku berpegang-pegangan. Perkara ingat mengingati seharusnya menjadi sebahagian dari hidup kita. Tak kira yang tua menasihati yang muda atau sebaliknya.

Kita sudah tidak ada nabi lagi yang boleh ditanya seperti berlaku di zaman dulu, yang mana seorang lelaki datang menemui Rasulullah meminta izin untuk berzina. “Wahai Rasulullah, aku sudah tak tahan rasanya ingin berzina”. Maka jawab Rasulullah (SAW), “Apakah engkau sanggup jika ada orang yang berzina dengan ibu kamu? Adik perempuan kamu?”. Maka Si Lelaki tadi menjawab, “Tidak sanggup, ya Rasullullah”. Dan Si Lelaki tadi terus membatalkan hasratnya untuk berzina.

Dan alangkah lebih baik jika kita dapat menjadi seperti Nabi Yusuf (AS), seorang yang kacak, telah dipikat seorang wanita rupawan yang mempunyai darjat dan pangkat, ditutupnya semua tingkap dan pintu yang mana sudah tidak ada halangan lagi, sepertimana yang diceritakan dalam Al-Quran. “Dan perempuan yang di rumah tempat tinggalnya itu mencuba memujuknya supaya menurutkan kesukaannya, dan oleh perempuan itu ditutupnya semua pintu-pintu seraya mengatakan: Marilah ke mari!” “Dia (Yusuf) menjawab: Aku berlindung diri kepada Allah! Sesungguhnya Dia Tuhanku, yang telah memberikan tempat yang baik kepadaku, sudah tentu tiadalah beruntung orang-orang yang bersalah.” (Yusuf: 23). Sekian. Wassalam.

Bantulah Kami Dalam Membantu Anda


KAPT HAJI WAN IBRISAM FIKRY BIN HAJI WAN ISMAIL

PENGETUA KOLEJ 16 & 17

Saturday, September 6, 2014

Mungkin Abah Banyak Kekurangan...

Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak pandai bermesra dengan anak-anak
Tapi seingat abah semasa kamu kecil tak pernah abah tidak bergurau senda dengan kamu semua
Itulah abah kamu...

Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak pernah luangkan masa untuk anak-anak
Tapi seingat abah, tidak pernah abah pergi kedai kopi berborak-borak hingga dinihari
Itulah abah kamu...

Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak pandai untuk saja-saja beri wang ringgit kepada kamu
Tapi seingat abah, abah tidak pernah mengecewakan kamu apabila kamu betul-betul perlukan duit
Itulah abah kamu...

Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak suka anak abah bermewah-mewah
Tapi seingat abah, abah tidak pernah biar anak-anak abah kelaparan tanpa makanan
Itulah abah kamu...

Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak suka anak abah berat tulang
Abah dah banyak buat kerja masa kamu kecil dulu
Sekarang biarlah abah rehat...


Mungkin abah banyak kekurangan
Abah tak suka anak abah membazir
Bukan hanya abah yang tak suka
Allahpun tak suka orang yang membazir, kataNya kawan syaitan!

Mungkin abah banyak kekurangan
Tapi itulah abah... Membesarkan kamu
Dari kaki kamu sebesar ibu jari
Hinggalah kamu dah boleh berlari ke sana ke mari

Mungkin abah banyak kekurangan
Rasa benci, rasa marah, rasa kecil hati, rasa tidak dipeduli
Tetapi itulah abah kamu
Cuba memenuhi kehendak kamu sejak dari kecil... sehingga dia mati.

Saturday, August 23, 2014

Selamat Hari Lahir Ke-16 'Ammar!

Semalam, tanggal 22 Ogos, merupakan hari berkabung Malaysia dan juga hari jadi buat anakku yang kelima, Wan Muhammad 'Ammar. Badan 'Ammar sudah semakin sasa. Aku rasa, dia akan menjadi anak lelaki yang paling tegap tubuh badannya berbanding abang-abang dan adik-adiknya yang lain. But, you'll never know, budak-budak grown-up cepat.

Pagi tadi, aku membawanya ke pasar tani berhampiran Stadium Larkin. Tujuannya adalah supaya mudah untuk ke sana ke mari apabila ada orang yang membawa barang-barang yang dibeli. Kebiasaannya, aku ke pasar tani di Taman Sri Pulai. Tetapi sejak cuti bertukar kepada hari Jumaat dan pasar tani Taman Sri Pulai masih maintain pada hari Ahad maka agak sukar untuk aku ke pasar tani pada hari bekerja.


Aku ke pasar tani hanya untuk mendapatkan bekalan daging atau tulang lembu 'fresh'. Kami tak makan daging import tetapi kalau makan di kedai..., apo nak dikato!

Daging batang pinang (panggilan orang Johor) atau musir (panggilan orang Kelantan) di pasar tani sudah semakin mahal. Sekilo sudah RM30! Harga daging batang pinang dan tulang leher yang ku beli tadi ialah RM177. Anakku Rasyid terutamanya, sangat suka makan sup tulang.

Disamping daging, aku juga membeli buah jambu batu dan cempedak. Harga cempedak varies, dari yang semurah RM4 sekilo sehinggalah kepada RM7 sekilo.

Aku masih go for the price and not so much for the quality. Bukan apa, aku ingin cuba menyekat dan mengurangkan inflasi. Kalau semua barang naik bagaimana orang-orang susah hendak makan! Kalau kita membeli sebagaimana corak orang Singapura membeli maka lambat laung harga barangan akan lagi cepat naik.

Tadi ada juga intai udang yang besar-besar. Cuma ada setempat, harga RM63 sekilo tetapi kurang menarik. Kalau menarik aku dah ambik tadi kerana anak-anak suka sekali sekala dapat makan udang besar.


On the way back, kami singgah di warung dekat Perpustakaan Larkin untuk sarapan. 'Ammar makan mee goreng bersama telor mata manakala aku makan roti arab cicah kuah gulai daging.

10 tahun akan datang, anak bongsuku pula akan mencapai umur 16 tahun. Wan Asmaa Solehah yang begitu rapat dengan umminya, insyaAllah akan berada di tingkatan 4 dan aku pula akan mula bersara di usia 60 tahun!

Menurut kawanku, usia 60 tahun adalah usia terakhir. Kalau tiada penyakit ditambah 10 tahun lagi dan jika ada penyakit ditolak 10 tahun. Kelmarin aku juga mendapat makluman dari adikku bahawa chegu Hamka yang setahun lebih tua dari ku di kampung telah pergi menemui Allah SWT. Semoga rohnya ditempatkan bersama-sama para soleh dan solehin... Amin!

Wednesday, August 20, 2014

Minta Komisen Dari Syarikat Jualan Kereta...

Memang setiap syarikat penjual kereta menyediakan komisen bagi mereka yang membawa bakal pembeli kereta. Jika kita menjadi 'introducer', jangan kita tidak 'claim' dari syarikat penjual kereta, rugi....!

Tetapi cara kita mesti betul. Pertama, kita mesti bawa bakal pembeli tersebut. Apa maksud bawa? Maksud bawa ialah kita bawa dengan kenderaan kita. Dengan kata lain, kita telah menggunakan minyak dan lain-lain kos 'wear and tear' kenderaan kita. Bukannya kita dibawa oleh si pembeli!


Janganlah pula kita naik kereta bakal pembeli kereta baru tersebut ke syarikat jualan kereta. Alih-alih kita minta komisen, dapat duit RM300, satu sen harampun kita tidak beri kepada pembeli kereta baru.

Sepatutnya, kita kena fikir, aku ke sana naik kereta dia. Aku tak buat apapun. Hanya duduk sebelah dia aje. Dapat duit melayang ke riba tanpa ada 'investment'. Maksud 'investment' ialah kita kena keluar sedikit modal, baru dapat untung.

Bila nak pungut duit dari syarikat penjual kereta, kita datang pula dengan kawan. Dan kawan tu pun dapat 'share' duit atas angin!

Setidak-tidaknya, bila keluar minum bersama keluarlah sedikit duit untuk belanja. Ini tidak, rasa sayang dan kedekut mula timbul. Ya Allah, jauhilah daku dari bersifat sedemikian.

Kita berkawan... Maka kawan kita akan terasa betapa kita menggunakan kawan untuk kepentingan kita. Adakah nilai persahabatan kita hanya ada pada RM100, RM200 atau RM300? Sudah tentu tidak!

Kedua, adakah kita sebagai 'introducer' berperanan dengan meminta berbagai 'free gift' dari 'salesman' syarikat penjual kereta berkenaan kepada kawan kita?


Kalau setakat teman seperti tunggul kayu aje, baik tak payah!

Kita akan dinilai oleh kawan kita. Adakah kita boleh dijadikan rakan atau hanya kawan biasa? Kalau setakat kawan biasa, maka janganlah kita mengharapkan perkara-perkara luar biasa akan berlaku sepanjang persahabatan ini...

Sebab itu orang berkata, "Untuk mencari kawan adalah mudah tetapi untuk mencari rakan agak susah!"

Saya mempunyai agak ramai rakan. Antaranya, ada seorang yang mempelawa saya untuk menggunakan keretanya semasa Hari Raya tempohari.

Rakan seperti ini, kita amat menjaga hatinya. Tidak mudah untuk kita mendapat rakan seperti ini dan kadang-kadang ia lebih rapat dengan kita berbanding ahli keluarga sendiri.