Ramadhan semakin meninggalkan kita... Hanya tinggal beberapa hari lagi... Ya Allah! Berilah kekuatan kepada diri ini untuk terus beramal dengan sisa atau baki hari Ramadhan yang tinggal. Tiada siapa yang dapat mempastikan bahawa dia masih teguh berdiri pada Ramadhan tahun depan.
Alhamdulillah, aku masih diberi kudrat oleh Allah untuk berqiamullail dan ber'itikaf di masjid sejak malam 10 yang akhir.
Ya... kadang-kadang hati merasa berat untuk meninggalkan tilam empuk 12 inci untuk bercengkang mata di masjid. Tetapi yang penting, kita perlu paksa diri kita. Diri perlu kita paksa untuk mendidik nafsu supaya nafsu boleh dikawal oleh iman.
Hawa nafsu memang tidak suka kepada kepayahan, gemar kepada keselesaan...
Itulah sebenarnya tarbiyyah madrasah ramadhan... yang perlu kita himpit nafsu serapat-rapatnya... dan membiarkan iman bermaharajalela. Di bulan yang syaitan dibelenggu inilah perlu kita kuasai diri sebaik mungkin.
Kalau kita masih tidak mampu mengawal diri, ia menunjukkan betapa gagah dan berkuasanya nafsu kita. Wal'iya zubillah.
Alhamdulillah, di masjid-masjid sudah ramai anak-anak muda berqiamullail. Bayangkan apabila mereka ini telah berkeluarga dan membudayakan aktiviti qiamullail kepada keluarga mereka pula... masyaAllah, akan penuh masjid-masjid nanti.
Sebahagian dari kita, mula berqiamullail dan ber'itikaf apabila umur sudah dewasa dan sudah berkeluargapun... Tetapi alhamdulillah, setidak-tidaknya masih diberi hidayah oleh Allah untuk ber'itikaf dan berqiamullail.
Sesetengah kawan kita, tidak kenalpun 'itikaf dan qiamullail.
Kebanyakan orang tuapun, tidak begitu peka terhadap ganjaran lailatulqadar. Mereka lebih seronok untuk menemui 1 Syawal... Perkiraan lebih banyak tentang Raya; bayu raya, kuih raya, duit raya, masakan untuk dijamu di hari raya dan berbagai-bagai lagi.
Keprihatinan untuk menggandakan amal di 10 hari terakhir tidak begitu mendapat tempat di hati kebanyakan kita. Ini mungkin kerana budaya kita yang suka berkumpul sesama keluarga di hari raya. Adalah menjadi kesalahan besar di mata masyarakat jika anak-anak tidak pulang ke kampung semasa raya.
Pada hal mungkin kita boleh menziarahi keluarga dan sanak saudara di hari-hari biasa dan tidak terjejas di saat-saat akhir Ramadhan untuk beramal. Mungkin juga, pada hari-hari biasa, jalan-jalan begitu mudah ditelusuri untuk berziarah berbanding semasa raya.
Walau apapun, buatlah yang terbaik, hati orang tua perlu dijaga tetapi peluang beramal jangan disia-siakan... Mudah-mudahan kita beroleh LAILATUL QADAR!
No comments:
Post a Comment