Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Friday, September 24, 2010
Solat Malam...
Kita ghairah menunaikan solat tahajjud apabila tiba bulan Ramadhan. Kesungguhan atau momentum yang telah kita perolehi jangan dibiarkan ia semakin lemah tetapi seharusnya dipupuk sentiasa sehingga ia menjadi rutin.
Teringat kata-kata ayahanda mertua saya semasa balik bercuti raya tempohari. "Ayah, tahun ni hanya beberapa hari jah tak solat malam".
Tiada niat sedikitpun untuk menyohorkan amalan orang tua yang sudah menjangkau 66 tahun itu tetapi sekadar membandingkan diri ini yang sudah berusia 46 tahun.
Kenyataan untuk diri ini mungkin sebaliknya pula iaitu; "Hanya beberapa hari aku solat malam pada tahun ini".
"Apabila seseorang lelaki bangun tidur di sebahagian waktu malam dan membangunkan isterinya lalu keduanya melakukan solat 2 rakaat, maka mereka berdua tercatat dalam golongan laki-laki dan perempuan yang banyak mengingati Allah." (Diriwayatkan Abu Daud dari Abu Hurairah)
Solat malam adalah solat sunnah yang paling utama selepas solat fardhu. Hadis ini menceritakan betapa besarnya pahala menunaikan solat malam walau hanya dengan 2 rakaat sehingga disifatkan sebagai golongan yang banyak mengingati Allah.
Hadis ini juga menceritakan tentang kerjasama, suami mengejutkan isteri atau sebaliknya isteri mengejutkan suami dengan tujuan untuk sama-sama mendapat pahala dalam beribadah.
Rasulullah (SAW) juga tidak mengatakan 11, 13, atau 23 rakaat tetapi sekadar 2 rakaat. Tujuannya ialah untuk tidak memberatkan umatnya dan menggalakkan kita melakukan amal yang minima tetapi berterusan.
Setelah kebiasaan mula bertapak dan rasa keseronokan beramal mula menjelma, bolehlah kita menambah bilangan rakaat tadi sepertimana yang dilakukan Rasulullah.
Banyak kita dengar tentang lamanya Rasulullah bersolat malam sehingga Aisya (RA) menegur baginda, kenapa Rasulullah bersusah payah bersolat malam sehingga bengkak kakinya sedangkan baginda telah dijamin syurga, dan diampunkan segala dosa. Rasulullah menjawab, "Apakah salah aku menjadi seorang hamba yang bersyukur!"
Ayuh teman-teman, teruskan momentum kita yang sudah dipupuk semasa Ramadhan yang lalu... Moga-moga kita tergolong dalam golongan mereka yang banyak mengingati Allah!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment