"Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan, "Salam," (Al-Furqan; 63).
Islam begitu menekankan tentang perlunya kita menjaga hati, perlunya kita bersabar, perlunya menjagai perasaan orang lain, dan perlunya kita mematuhi syariat yang telah ditetapkan.
Apabila kita mengakui bahawa kita ini hamba, maka sudah pasti kita perlu menjalani kehidupan sebagai hamba. Tidak aku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengabdikan diri kepadaKu...
Seharusnya seorang hamba tidak menampakkan kesombongan, keriakan, keangkuhan, yang dimiliki Allah tetapi sebaliknya berjalan dengan rendah hati, menginsafi tujuan asal kejadiannya dan mengumpul sebanyak mungkin bekalan apabila melalui kehidupan dunia yang sementara.
Seorang hamba tidak cepat marah apabila dihina, sesuai dengan asal kejadiannya, bahkan sebaliknya pula mendoakan si penghina akan kebaikan untuk mereka.
Subhanallah, sungguh tinggi nilai akhlakmu, wahai si hamba! Walau dihina tetapi masih mampu untuk berbuat baik...
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan mengerjakan kebajikan, nescaya diberi petunjuk oleh Tuhan kerana keimanannya. Mereka di dalam syurga yang penuh kenikmatan, mengalir dibawahnya sungai-sungai. Doa mereka di dalamnya ialah, "Subhanakallahumma" (Maha Suci Engkau, ya Tuhan kami), dan salam penghormatan mereka ialah, "Salam" (Salam Sejahtera). Dan penutup doa mereka ialah, "Alhamdulillahi Rabbil 'alamin" (Segala puji bagi Allah, Tuhan seluruh alam) (Yunus; 9-10).
Justeru, mari kita sentiasa sebarkan salam dimana jua...menepati kehidupan kita di dunia dan insyaAllah seterusnya di syurga... Amin, ya Rabbil 'alamin!!!
No comments:
Post a Comment