Wednesday, September 1, 2010

Madrasah Ramadhan Bersama IKRAM (MARBI)


Selesai bersahur di Restoren Ayub, kami terus ke MSI untuk menunaikan solat Subuh. Agak sesak juga Kancilku kerana disamping 5 orang anak-anak lelakiku, Abdul Muhaimin, sahabat baik abang juga turut bersama.

Selesai solat Subuh, aku balik ke rumah. Setelah berpesan kepada isteri untuk mengejutkanku pada pukul 8 pagi, akupun terus dibuai mimpi.

Aku telah merancang untuk bersama IKRAM JBT untuk menghantar sumbangan (Bingkisan Ramadhan) kepada keluarga miskin. Program akan dirasmikan di MTSAW pada jam 9 pagi.

IKRAM JBT telah mengenalpasti 4 kawasan yang akan diberikan sumbangan iaitu; Kawasan Taman Perling, Kawasan Gelang Patang, Kawasan Skudai, dan Kawasan Taman Universiti.

Aku telah mendaftar untuk mengagihkan barangan ke kawasan Taman Universiti. Di Taman Universiti terdapat beberapa belas rumah yang telah dikenalpasti.

Kumpulanku mendapat senarai 5 buah rumah yang berada di Jalan Perubatan 18, Jalan Perubatan 19, dan Jalan Perubatan 20. Setiap kumpulan diarahkan supaya mempunyai 2 atau 3 kenderaan untuk bergerak.

Aku membawa abang, achik, dan Rasyid bersama supaya mereka dapat melihat sendiri kehidupan orang lain. Matlamat akhir ialah supaya mereka menginsafi betapa bersyukurnya kita mempunyai kehidupan yang lebih teratur dan lebih "mewah" berbanding dengan orang lain.

Program didahului dengan ucapan Pengerusi IKRAM JBT iaitu Prof. Madya Dr Tholuddin Mat Lazim, kemudian disusuli dengan perasmian oleh Prof. Madya Dr Khairul Sozana Nor binti Kamaruddin. Majlis juga mengagihkan sumbangan kepada 5 orang muallaf (pelajar UTM). Antaranya ialah bekas kadetku dan sekarang ini telah menjadi pegawai muda berpangkat Leftenan Muda.

Sejurus menerima sumbangan dari Pengerusi IKRAM JBT, Lt M Frank datang menemuiku atas dasar hormat agaknya... Aku terus memeluk beliau dan mengucapkan tahniah kerana telah memilih Islam sebagai agama barunya. Aku merasa begitu terharu... kalau dia tak datang jumpa akupun, aku tidak terasa hati ... kerana dia bukan lagi pegawai yang 'attached' di PALAPES UTM dan dia juga sudahpun 'graduated'. Frank baru ditauliahkan oleh Yang diPertuan Agong pada bulan Jun lepas di USM.

Frank memaklumkan kepadaku bahawa beliau akan melapur diri di Kem Askar Wataniah apabila kad pengenalan barunya siap nanti. Frank membuat I/C baru kerana pertukaran status agamanya. Aku berpesan kepadanya supaya datang berjumpa denganku jika beliau menghadapi apa-apa masalah.

Dari 5 buah rumah yang kami kunjungi, hanya 3 buah mempunyai penghuni. Dua buah rumah lagi, penghuninya balik ke rumah orang tua mereka di Pontian dan Batu 5, Skudai.

Kesemua mereka adalah ibu tunggal. Rumah pertama yang kami lawati ialah rumah yang baru siap diperbaiki selepas mengalami kebakaran. Kos pembaikian rumah telah ditanggung oleh Baitulmal.

Rumah kedua pula ialah ibu tunggal mempunyai anak seramai 5 orang. Yang sulong baru tingkatan 3. Bekas bapa adalah penagih dadah.

Rumah ketiga yang kami pergi nampak agak besar sedikit kerana telah dibuat penambahbaikan. Kesemua rumah-rumah di sini adalah rumah kos rendah. Bekas suami kakak ini telah meninggal dunia 2 tahun lepas kerana menghidapi kanser lidah.

Dengan sedikit bantuan makanan dan duit yang dihulurkan oleh IKRAM JBT dan Rangkaian Tadika Iman, mudah-mudahan ibu-ibu ini dapat menjalani kehidupan yang lebih bermakna di bulan Ramadhan al-Mubarak...

No comments:

Post a Comment