Alhamdulillah, malam tadi aku lihat MSI begitu ramai dikunjungi berbanding malam-malam sebelumnya. Ya lah, malam yang ke 25! Pelajar Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) SMIH saja rasanya dekat 60 orang. Banin dan banat SMIH berprogram di MSI dari petang semalam hingga petang ini.
Semalam abang menyuruh umminya membuat minuman sirap laici untuk berbuka kepada rakan-rakan sekolahnya di MSI. Tiada bantahan dari umminya, dan dihantar satu tong besar minuman tersebut ke MSI sekitar jam 6.30 petang...
Pagi tadi, aku dan anak-anak bersahur di MSI. Di sebelah malam telah dimaklumkan kepada isteri bahawa kami tidak pulang untuk bersahur di rumah. Nasi putih bersama sambal udang dan sayur air serta beberapa biji kurma menjadi hidangan buat Rasyid, Syakir, Achik dan aku. Abang dan rakan-rakannya dari SMIH mempunyai makanan tempahan mereka sendiri.
Hari ini adalah hari terakhir kami berbuka dan berterawikh di bumi Johor. Malam ini jam 10, kami 10 beranak akan menaiki bas untuk pulang ke Pengkalan Chepa. Pencarian malam Qadar akan diteruskan di masjid Chabang Tiga, Pengkalan Chepa, insyaAllah.
Aku ingin mengambil kesempatan di sini untuk memohon ampun dan maaf jika ada penulisanku yang mengguris hati, baik disengajakan mahupun tidak. Tetapi yang pasti tujuannya adalah suci iaitu untuk mencari mardhatillah...
Aku mendoakan semoga saudara saudari semua beroleh kesejahteraan dan berjaya menjejaki lailatul qadar. Mudah-mudahan Madrasah Ramadhan 1431 betul-betul berjaya membentuk sahsiah dan akhlak kita semua untuk meneruskan kehidupan 11 bulan yang akan datang. InsyaAllah, pada tahun depan kita diberi peluang lagi untuk berjumpa Ramadhan 1432!
Selamat Mencari Lailatul Qadar, Selamat Hari Raya Aidil Fithri, Maaf Zahir Batin...
No comments:
Post a Comment