Thursday, September 23, 2010

Muhasabah Diri Selepas Ramadhan...

Dalam usrah malam tadi, naqib menerangkan tentang perkataan taqwa... Perkataan taqwa itu sendiri disebut Allah lebih dari 250 kali dalam Al-Quran. Antara ayat taqwa ialah;

"Wahai orang-orang yang beriman! Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa" (Al-Baqarah; 183).

Lihat diri kita, imbaskan kembali sama ada kita telah mencapai darjat taqwa yang dijanjikan Allah semasa kita beramal di bulan puasa? Atau kita kembali ke asalnya sepertimana di bulan-bulan yang lain?

Apa maksud taqwa?

Seringkali kita dengar semasa khutbah jumaat, khatib berkata; "Ittaqullah!" Dan di'translate'kan sebagai 'Takutlah olehmu akan Allah'.

Bagaimana kita takut kepada Allah? Adakah sama kita takut kepada ibubapa yang garang dan mempunyai hukuman yang keras? Adakah kita takut kepada Allah sama sepertimana kita takut kepada hantu, dan sebagainya?

Sesetengah orang mengatakan bahawa apabila kita bertaqwa kepada Allah maksudnya kita membuat semua suruhan Allah dan meninggalkan segala laranganNya. Dalam bahasa orang putih ialah 'god conciousness'...

Pernah seorang sahabat bertanya Saidina Omar (RA) apa maksud taqwa? Beliau menjawab, taqwa adalah umpama seseorang berjalan di sebatang jalan yang penuh duri. Maksudnya, seseorang itu begitu berhati-hati dalam tindak tanduk mereka. Begitu berhati-hati untuk meletakkan kaki mereka, takut-takut tercucuk duri...


Apapun definisi taqwa yang kita faham... Adakah kita merasa berbeza sebelum kita melangkah ke bulan Ramadhan dan selepas berlalunya Ramadhan? Atau sama aje...

Di bulan Ramadhan, kita begitu ringan untuk bangun bertahajjud sebelum bersahur. Selepas Ramadhan, adakah kita biarkan deringan jam loceng kita berlalu begitu saja?

Di bulan Ramadhan, kita begitu pemurah, bersedekah sana sini. Apa, selepas Ramadhan masih ada rasa keinginan untuk bersedekah atau membantu mereka yang memerlukan?

Di bulan Ramadhan, kita banyak bersabar. Bagaimana tahap kesabaran kita selepas Ramadhan?


Muhasabahlah diri kita dan berubahlah jika masih belum berubah... InsyaAllah, kita terus berusaha dan berusaha untuk menjadi insan bertaqwa!

Bulan Syawal sudah hampir separuh berlalu pergi. Janganlah kita asyik beraya sehingga tertinggal untuk berpuasa 6. Jemputan rumah terbuka perlu diraikan demi merapatkan hubungan mahabbah tetapi pandai-pandailah mencari luang dan ruang untuk berpuasa 6 hari di bulan Syawal.

Tawaran jualan murah dari Allah begitu berharga... Berpuasa sebulan di bulan Ramadhan dan 6 hari di bulan Syawal pahalanya seumpama kita berpuasa setahun!!!

No comments:

Post a Comment