Wednesday, September 1, 2010

Ulang Tahun Ke 46...

Malam tadi aku bersama anak-anak lelaki; abang, achik, 'Ammar, Rasyid, dan Syakir berqiamullail di Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM. Malam sebelumnya, kami berqiam di Masjid Tan Sri Ainuddin Wahid (MTSAW), Taman Universiti.

Alhamdulillah, semasa kami qiam di MTSAW begitu ramai sekali yang hadir. Pada awalnya semasa kami sampai di masjid sekitar jam 12 tengah malam, kelihatan tidak ramai orang tetapi apabila aku bangun jam 3 pagi, kelihatan begitu ramai jamaah yang sedang bersolat.

Di MTSAW, kami bersolat tahajjud, taubat, dan sunat hajat dibawah pimpinan 2 orang imam hafiz yang didatangkan khas dari Masjid Bandar Baru UDA. Sungguh syahdu sekali bacaannya...

Kami selesai solat sekitar jam 4.30 pagi. Kehadiran jamaah ialah menghampiri 4 saf. Sudah pasti sahur yang disediakan untuk 200 jamaah tidak mencukupi... Aku, anak-anak, Muhaimin, dan YDP IKRAM JBT telah bersahur di Restoren Ayub.

Sebelum ke masjid, isteri sudah bertanya samaada ingin bersahur di rumah. Aku memaklumkannya bahawa sahur disediakan.

Di MSI tidak berapa ramai yang berqiam. Mungkin kerana bukan malam ganjil. Apabila aku tersedar sekitar jam 3.40 pagi, ada satu mesej;

"Happy birthday abah! Semoga sepanjang usia abah di atas muka bumi Allah ini mendapat keberkatan dan keredhaanNya.. InsyaAllah. Kak Ngah doakan agar Allah menjadikan abah salah seorang hamba yang paling dikasihi dan disayangiNya.. Bila tibanya ulang tahun kelahiran kita, perlu kita ucapkan Alhamdulillah kerana Allah masih memberi kita nikmat dan peluang untuk hidup di atas muka bumiNya.. Namun perlu juga kita sedar bahawa semakin bertambahnya usia, semakin hampir jugalah masa kita akan mengadapNya.. Maka "fastabiqul khairat...", berlumba-lumbalah dalam melakukan kebaikan... Abah, syukran atas tarbiyyah yang abah berikan buat kami.. kerana kini kami semakin merasai dan menyedari bahawa diri kami hari ini adalah hasil tarbiyyah dari ayah dan ibu yang sangat komited ingin membina biah solehah dalam keluarga mereka.. Kak Ngah sayang abah kerana Allah!"

Selesai menunaikan solat tahajjud, taubat, dan membaca al-Quran, kami pulang ke rumah untuk bersahur.

Dalam perjalanan menghantar anak-anak ke Hidayah, aku terima pula mesej Kak Long;

"Salam abah. Sanah helwah, kullu sanah anta bil khair! Selamat hari lahir ke 46.. moga bertambah murah rezki.. moga usia abah yang lalu, kini dan akan datang sentiasa dalam berkat Illahi.. moga terus thabat dan sabar berjuang atas jalan dakwah dan tarbiyyah.. Hidup kat atas dunia ni cuma sekejap untuk singgah, moga singgahan kita tak sia-sia dan sempat mengumpul bekalan secukupnya untuk dibawa ke destinasi terakhir.. Moga syurgaNya menjadi tempat pengumpulan kita yang terakhir.. miss you.. love you so much abah! Moga sebaik-baik ganjaran untuk abah dari Dia yang Maha Esa.."

No comments:

Post a Comment