Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Sunday, August 29, 2010
Malam Badar Hidayah 1431
Semalam berlangsung acara tahunan Hidayah iaitu Malam Badar. Pada paginya, persiapan memotong bawang, daging, tulang, dan sebagainya. Tengahari, mereka mula memasak.
Kumpulan usrahku ditugaskan untuk membantu dari jam 9 pagi hingga 12 tengahari. Aku bersama Firdaus, dan anak-anak, 'Ammar dan Rasyid ke Hidayah untuk membantu.
Pada masa yang sama, kumpulan mengumpul dana yang diketuai oleh Prof Madya Dr Kamarul Baharin Tawi telah membuat persiapan mengecop nombor siri resit atau kupon di Hidayah. Resit-resit bernilai RM5 dan RM10 ini akan diberi kepada penderma sebagai bukti pendermaan mereka kepada Dana Hidayah.
Bertungkus lumus kumpulan pengumpulan dana untuk mencari RM1.8 juta untuk menaikkan 2 bangunan tambahan Hidayah. Yang terkumpul sekarang baru RM0.5 juta.
Salah satu bangunannya (bangunan kayu bersebelahan surau) akan mula dirobohkan pada 1 September ini dan akan mula dibangunkan dengan bangunan baru. Manakala, satu lagi bangunan terpaksa menunggu dulu sehingga duit mencukupi.
Alhamdulillah, hasil kutipan Malam Badar malam tadi menjangkau melebihi RM70 ribu. Disamping menerima sumbangan secara berterusan, anak-anak Hidayah akan dibekalkan dengan resit-resit tersebut untuk mencari dana semasa cuti raya nanti.
Sekolah yang telah terbukti bagus dari segi prestasinya, baik dari aspek akademik mahupun sahsiah pelajar, juga susah mendapat simpati dan bantuan dari kerajaan.
Sepatutnya, sekolah seperti inilah dibantu kerajaan! Muridnya berakhlak mulia, gurunya berdedikasi, prasarananya sederhana, tetapi pencapaian akademik dan ko-kurikulum melebihi dari sekolah biasa.
Sekolah seperti ini yang gejala sosialnya boleh dikatakan sifar sepatutnya mendapat sokongan dan dokongan dari pihak kerajaan. Sekolah ini perlu mendapat bantuan kerana ia mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam menyelesaikan segala penyakit sosial akibat dari sistem pendidikan yang tidak seimbang.
Tetapi kita kurang prihatin tentang apa yang orang lain boleh lakukan untuk menyelesaikan masalah negara. Yang lebih penting bagi kita ialah kita terus menerajui negara!
Kadang-kadang aku merasa agak kecewa apabila melihat sebuah sekolah cina yang didirikan di Taman Impian Emas. Sekolah Cina ini dijanjikan semasa pilihanraya umum yang lepas. Sekarang ini ia siap tersergam indah tetapi masih tiada penuntut yang belajar di situ.
Setiap hari aku menghantar anak ke Hidayah, aku melintasi sekolah tersebut. Dalam hati aku berkata, kenapa ya sekolah Cina yang dibina kerajaan boleh bernama Sekolah Thai Hong? Kenapa kerajaan tidak menamakan sekolah tersebut dengan nama cina yang telah berbakti kepada negara, seperti Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Yap Ah Loy dan sebagainya, kalaupun tidak dinamakan dengan nama yang lebih nampak kemalaysianannya.
Aku juga bertanya, perlukah masyarakat cina kepada sekolah itu? Aku nampak seperti ia tidak diperlukan tetapi kita terpaksa memberikannya kerana telah dijanjikan. Sudah berapa lama ianya siap tetapi nampak seperti hanya guru-guru dan staf sahaja yang berulang-alik ke sekolah itu. Pelajarnya tiada!
Di sekitar Johor Baharu, masyarakat cina lebih gemar menghantar anak-anak mereka ke sekolah yang lebih berprestij seperti Sekolah Menengah Seri Omega atau Sekolah Menengah Foon Yew. Walaupun yuran Sekolah Seri Omega agak mahal (menurut kawan cina RM700 sebulan) tetapi mereka masih menghantar anak ke sana kerana sistem pembelajarannya bagus.
Pernah juga terjadi, guru dari Hidayah pergi berkhidmat di Sekolah Seri Omega kerana bayaran gajinya lebih lumayan. Mereka mampu membayar gaji yang mahal kerana mereka mengenakan yuran yang mahal kepada pelajar.
Sekolah Hidayah lebih kepada memenuhi keperluan sosial. Kita ingin seramai mungkin yang mampu belajar di Hidayah. Kita tidak mengutamakan keuntungan sama sekali. Gaji guru Hidayah jauh bezanya berbanding dengan sekolah kerajaan mahupun swasta yang lain. Gaji guru-guru Hidayah sangat rendah dan tidak mempunyai kemudahan pinjaman perumahan, kenderaan dan sebagainya.
Kadang-kadang terasa sedih juga apabila kerajaan boleh memberi bantuan kepada sekolah swasta cina tetapi tidak kepada sekolah swasta melayu. Lihat aje petikan di bawah;
Kerajaan Johor mengumumkan bantuan kewangan sebanyak RM3.2 juta kepada sekolah Cina dan untuk membina rumah ibadat di Johor.
Wang tersebut akan disalurkan melalui MCA, termasuk RM1.5 juta untuk semua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJK(C)), RM400,000 kepada lapan sekolah menengah Cina swasta dan RM300,000 untuk Kolej Selatan.
Cuma, kadang-kadang apabila kita berjaya bangkit tanpa bantuan orang lain, kita akan merasa begitu puas... Puas kerana kita mampu berdikari!
Semoga Sekolah Hidayah terus maju dan melahirkan lebih ramai cerdik pandai yang amilin dan muttaqin, insyaAllah...
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment