Apabila kita dilahirkan semua bergembira kecuali kita yang menangis; Apabila kita dikembalikan semua menangis kecuali kita yang gembira... Gembira untuk menemui Allah Rabbul Jalil...
Thursday, August 5, 2010
Beberapa Program IKRAM Berlangsung Malam Tadi
Malam tadi aku membawa anak-anak usrahku ke program Daurah Ahli Biasa (AB) IKRAM Johor Bahru Tengah di Pejabat JIM. Program bermula dengan solat Isya' berjamaah di Pejabat JIM. Program ini dibuat untuk modul M01 dan M02 bagi ikhwah dan akhawat.
Program dimulakan oleh Pengerusi Majlis (akh Ariffin Shah Giman), kemudian mas'ul tarbiyyah (akh Hassan Hushin) memperkenalkan struktur organisasinya bagi IKRAM kawasan JBT dan disusuli pula dengan tafsir Surah Al-Hujurat oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Puaad Abdul Rahman.
Sebenarnya, aku juga mempunyai program usrah iaitu usrah gabungan antara Ahli Teras (AT) dan Ahli Aktif (AA) IKRAM Johor Bahru Tengah di Pejabat Iman ELC. Program bermula jam 9.15 malam.
Aku hadir setengah jam lewat kerana bersama anak-anak usrah tadi di program Daurah.
Usrah gabungan AT dan AA dimulakan dengan tafsir hadis oleh al-Fadhil Ustaz Ahmad Marzuki Mohamed. Hadis yang dibentangkan ialah berkenaan dengan keperluan seseorang Islam menanam biji tamar yang berada di tangannya walaupun di kala saat kiamat sedang menjelma.
Al-Fadhil ustaz juga menceritakan tentang keperluan untuk berdakwah. Beliau menyentuh juga cerita pasal Ghulam yang mempelajari ilmu sihir dari Ahli Sihir DiRaja dan ilmu agama dari seorang pendita.
Ghulam ini menjadi tersohor kerana kejayaannya membunuh seekor haiwan yang besar dengan balingan batu. Untuk mendapat penerangan lanjut, bolehlah mendapatkan tafsir surah al-Buruj dan hadis nabi mengenai riwayat Ghulam ini.
Akhirnya seorang pembesar raja yang buta ingin berubat dengan Ghulam. Ghulam memberi syarat bahawa sekiranya ia sembuh maka dia seharusnya beriman dengan Allah dan tidak kepada Raja. Pembesar itu bersetuju dan akhirnya dia sembuh.
Raja mereka sangat murka kerana rakyat mula mempercayai ada Tuhan yang lain selain darinya. Raja telah menghukum pembesar dan guru Ghulam dengan menggergaji membelah dua badan mereka bermula dengan membelah kepala mereka.
Raja tetap menyuruh Ghulam kembali menyembahnya, kalau tidak dia akan dibunuh. Ghulam tetap beriman kepada Allah.
Raja memerintah pengawal-pengawalnya untuk membawa Ghulam ke atas sebuah bukit dan menghumbankan Ghulam ke bawah. Tetapi dengan berkat doa Ghulam apabila tiba dipuncak, bukit bergegar dan semua pengawal jatuh mati bergelimpangan kecuali Ghulam.
Ghulam kembali ke istana dan raja memerintah pengawal-pengawalnya membawa Ghulam ke tengah laut dan mencampakkannya ke dalam laut. Apabila tiba di tengah laut, Allah membawa angin ribut dan mencampakkan semua pengawal ke dalam laut kecuali Ghulam.
Ghulam kembali ke istana dan menceritakan kepada raja, "Sekiranya tuanku hendak membunuh saya, maka panggillah sekalian rakyat jelata dan panahlah saya dengan panah ini". Rajapun terus melaksanakan apa yang disarankan oleh Ghulam.
Setelah semua berkumpul, rajapun menarik panah yang telah diberikan dan membaca doa yang diajar Ghulam, "Dengan Nama Allah, Tuhan si Ghulam".
Maka panah tersebut tepat kena pada sasaran. Maka seluruh rakyat jelata yang melihat kejadian tersebut mengucap, "Sesungguhnya, kami beriman kepada Tuhan si Ghulam"....
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment