Petang semalam kami sekeluarga berbuka puasa di Surau at-Taqwa, Taman Pulai Utama. Iftar yang disediakan adalah anjuran Fasa 1, Taman Pulai Utama, iaitu fasa kami.
Malam ini, fasa lain pula menganjurkannya. Begitulah sehingga 27 Ogos, dah 'fully booked' jadual berbuka puasa di Surau at-Taqwa.
Alhamdulillah, masyarakat makin sedar tentang fadhilat menjamu orang berbuka. Pahala begitu besar sekali, yakni pahala puasa semua orang yang memakan makanan kita tanpa mengurang pahala mereka walaupun sedikit. Huh, banyak tu...
Kalau kita kurang mampu untuk memberi orang lain makan walau sebiji kurma, walau secawan air, walau sekeping kueh, maka bantulah menyediakan makanan untuk orang berbuka. Dapat pahala juga!
Semalam saya membantu menuang bubur lambuk ke dalam plastik di Masjid Sultan Ismail (MSI), UTM. Bubur lambuk ala bubur lambuk Kg. Baru, Kuala Lumpur telah disediakan oleh 'team' Sahabat YADIM dari Kuala Lumpur untuk diedarkan kepada pelajar dan staf. Sekejap aje, semua habis dan ramai yang tak sempat merasa...
Selesai berbuka di Surau at-Taqwa, kami sekeluarga beransur ke MSI untuk solat Isya' dan Tarawikh, iaitu tempat tarawikh kami sejak menjadi felo dan pengetua dulu sehinggalah sekarang.
Sebelum ini, ada menerima sms dari naqib bahawa usrah malam ini bermula dari 10 malam hingga 11.30 malam. Walaupun puasa, usrah tetap berjalan!
Selesai solat tarawikh, kami terus bergerak pulang. Selalunya kita sempat mendengar tazkirah dulu sebelum balik. Malam tadi, 'turn' PM Dr Ustaz Azhar untuk memberi tazkirah.
Selesai menghantar anak isteri pulang ke rumah, saya terus ke rumah rakan usrah.
Banyak 'reminder' dari naqib tentang kebesaran, keberkatan, dan kepentingan bulan Ramadhan. Sia-sialah kita membiarkannya berlalu pergi. 10 hari yang pertama ialah rahmah, 10 hari kemudiannya ialah pengampunan dosa, dan 10 hari terakhir ialah menjauhi diri dari api neraka.
Setiap detik dan setiap saat adalah begitu berharga di bulan Ramadhan. Tidurpun mendapat pahala, subhanallah!
Rugilah kalau kita membiarkan Ramadhan berlalu pergi... Sedar-sedar dah hujung bulan... Astaqfirullah al 'Azim!!! Tahun depan belum tentu akan ketemu lagi...
Ayuh kawan-kawan, kita masih di bulan Ramadhan Kareem, diambang fasa 10 malam yang kedua. Marilah kita banyak membaca "Allahumma Innaka 'Afuwwon Kareemun Tuhibbul 'Afwafa' Fuanni" disamping zikir dan doa-doa yang lain. Semoga dosa-dosa kita diampuni Allah SWT. Tentukan sekurang-kurangnya kita khatam Al-Quran sekali dalam sebulan.
Kita masih ada 20 hari untuk bersedekah. Jika ada sikit, memang sikit sekarang kerana belum gaji lagi, berilah sedikit... Jika ada banyak beri banyak sikit. InsyaAllah, sedikit perngorbanan dan perbelanjaan kita akan dicatat sebagai amal qawiyy oleh Allah SWT.
Minggu depan, insyaAllah usrah kami bermula lebih awal dan disusuli dengan iftar jamaie.
No comments:
Post a Comment