"Ana ada 4 anak, semua lelaki... Yang nombor 1 rapat dengan nombor 3, dan yang nombor 2 mesra dengan yang nombor 4. Dan depa tidur sebilik, nombor 1 dengan nombor 3, dan sebilik lagi nombor 2 dengan nombor 4", jelas kawanku.
"Depa sembangpun agak rancak dengan sesama depa. Bukan kata, yang sulong tak rapat dengan yang bongsu atau yang kedua tak ngam dengan yang ketiga tetapi depa lebih suka kongsi cerita atau rahsia sesama depa", jelas kawanku lagi.
Ragam anak-anak, kadang-kadang susah untuk difahami. Semalam semasa berbuka puasa, Achik memaklumkan kepada kami bahawa Kak Long akan telefon pukul 10.30 setelah kami pulang dari terawikh nanti.
Kami setiap malam berterawikh di Masjid Sultan Ismail, UTM. Semua pergi termasuk Asmaa Solehah yang baru menghampiri umur 2 tahun.
Aku bertanya Achik, "Siapa yang mesej, Achik mesej ke, Along yang mesej?" "Dua-dua", jawabnya. "Tak, maksud abah siapa yang mesej dulu", tanya aku kembali. "Achik", jawabnya pendek.
Aku mula mengangak bahawa dia merasa rindu kepada kakak-kakak dan abangnya. Di rumah sekarang, dialah yang paling tua, berumur 14 tahun.
Untuk berkongsi cerita dengan adiknya 'Ammar (2 tahun lebih muda), aku rasa 'Ammar bukanlah seorang yang memahami jiwa orang yang meluahkan perasaan. Adik-adiknya yang lain, lagi jauh perbezaan umurnya.
Aku masuk tidur jam 10.40 malam. Achik masih di meja komputer menunggu Kak Long menelefonnya, menggunakan YM atau Skype.
Mudah-mudahan apabila Along menelefonnya nanti, terubatlah rindunya pada Kak Long.
Kak Long pula tidak pulang ke tanah air pada tahun ini, mungkin kerana telah banyak menggunakan wang untuk pindah rumah, berziarah ke Jordan dan Syria. Alhamdulillah, Kak Long akan memasuki tahun 3 apabila Cairo University bermula selepas Raya nanti, insyaAllah.
No comments:
Post a Comment