Monday, August 23, 2010

Buat Kad Pengenalan 'Ammar

Semalam (Ahad), 22hb. Ogos adalah hari lahir 'Ammar. Genap umurnya 12 tahun.

Anakku 'Ammar di masa kecilnya agak susah hendak dijaga. Bukan susah yang bagaimana, cuma susah apabila dia demam! Apabila 'Ammar demam, kami amat risau sekali kerana dia akan mudah kejang.

Umminya selalu mengambil langkah waspada dengan memandikannya atau mengelapkan kepalanya dengan kain basah apabila 'Ammar demam.

Kami sangat risau kerana takut 'Ammar mengalami masalah saraf otak jika demam terlalu panas.

Alhamdulillah fasa itu telah berlalu, 'Ammar tidak lagi diserang 'fit' jika dia demam. Sudah lama rasanya, mungkin sejak dia mula masuk sekolah dulu...

Beza umur 'Ammar dengan abangnya Luqman @ Achik ialah 2 tahun, manakala dengan adiknya Rasyid ialah 3 tahun.

'Ammar ialah satu-satunya anakku yang terpaksa memakai 'hearing aids' kerana telinga kanannya kurang dengar. Darjah pendengaran telinga kanannya ialah 65dB, manakala telinga kiri ialah 25dB. Ini mungkin rentetan dari pengalaman selalu kejang semasa bayi dahulu (Hanya Allah yang Maha Mengetahui punca sebenarnya).

Sungguhpun 'Ammar anak yang istimewa, kami tetap menyayanginya sama seperti 8 orang anak-anak yang lain.

Malam tadi, jam 2337, Kak Long dari Mesir menghantar mesej padaku...

"Salam abah. Nak mintak tolong abah sampaikan: Happy 12th Birthday 'Ammar! Sanah helwah... Moga menjadi hamba Allah yang taat, anak yang soleh, abang yang menjadi contoh, adik yang baik, pelajar yang success... Didoakan semoga 'Ammar berjaya dalam UPSR dan SPPM... Dan yang utama semoga menjadi pejuang buat Islam, biar sehebat 'Ammar bin Yassir... 'Ammar belajar rajin-rajin tau, biar makin pandai... Score banyak-banyak. Tahun depan insyaAllah kita jumpa. Dan jangan lupa solat, qiam dan doa banyak-banyak pada Allah. Sayang 'Ammar..."


Itulah sms Kak Long yang aku tunjukkan kepada 'Ammar pagi tadi semasa sahur.

Pagi tadi sebelum jam 7, kami sudah bergerak ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Daerah Kulai Jaya. Dalam masa 15 minit kami tiba dari Skudai, dan didapati ada sebuah kereta lain sudah menunggu.

Apabila pejabat dibuka pada pukul 8 pagi, mungkin dalam 15 orang hingga 20 arang yang ingin berurusan dengan JPN. Sangkaan kami, JPN masih ramai yang beratur dan perlu datang awal pagi kerana takut nombor habis adalah meleset.

Disamping membuat kad pengenalan 'Ammar, kami juga mengambil kad pengenalan ummi yang mengubah alamat, dan kad pengenalan abang yang hilang semasa menjadi fasilitator mukhayyam untuk pelajar SRIH, awal tahun ini.

Kad pengenalan 'Ammar akan siap dalam masa sebulan...

No comments:

Post a Comment