Kita selalu dengar ustaz berceramah bahawa harta atau wang milik kita yang sebenar ialah wang yang telah kita belanjakan. Yang berada di bank atau dalam simpanan di rumah, ia belum tentu menjadi milik kita...
Apabila kita mengeluarkan RM100 dan diberikan kepada surau untuk majlis iftar atau berbuka puasa, maka malaikatpun mencatitnya. Begitu juga, apabila kita mendengar Sekolah Islam Hidayah memerlukan RM1.8 juta untuk membina bangunan sekolahnya hujung tahun ini, maka kita keluarkan RM100 untuk itu. Malaikat sekali lagi mencatit perbelanjaan yang telah kita buat.
Wang yang telah kita belanjakan tadi memang sah milik kita dan kita mendapat habuan pahala hasil darinya. Wang yang masih dalam bank mungkin sekadar transit untuk menjadi milik orang lain selagi kita belum membelanjakannya.
Kita juga selalu dengar ustaz bercerita bahawa duit yang kita infaq di jalan Allah tidak akan berkurangan malahan makin bertambah. Susahkan logik akal untuk menerimanya? Itulah hakikat sebenar yang berlaku. Makin kita menderma makin banyak rezeki yang Allah berikan.
Juga boleh dikatakan makin banyak kita menderma makin berkurangan ujian atau musibah yang datang. Setiap musibah memerlukan perbelanjaan atau penggunaan wang ringgit.
Contoh yang mudah ialah, mungkin kereta kita tidak banyak mengalami kerosakan. Walaupun telah memakainya berpuluh-puluh tahun tetapi rosak baru sekali dua aje. Mungkin juga rosaknya tidak melibatkan alat komponen yang mahal-mahal. Anak isteri jarang sakit atau demam yang memerlukan rawatan yang tinggi. Paip air di rumah tidak bocor. Dan macam-macam lagi.
Bulan Ramadhan ini, aku cuba untuk memenuhi semua permintaan atau keperluan orang lain. Sesiapa yang meminta, akan aku cuba tunaikan. Kalau tidak banyak, sikit pasti diberikan.
Cuba kita bayangkan dalam kesusahpayahan Rasulullah, beliau masih mampu menjadi insan pemurah.
Tidak kurang juga mereka yang bersedekah mengharapkan mendapat ucapan terima kasih, penghargaan, sanjungan, pujian, dan penghormatan.
Semoga kita dijauhkan dari mempunyai niat yang keliru apabila bersedekah. Apabila kita bersedekah, kita mengharapkan kita bersedekah dengan niat tulus ikhlas semata-mata kerana Allah.
Imam al-Ghazali dalam Ihya' Ulumuddin telah menjelaskan bahawa sekiranya tujuan mengeluarkan zakat adalah hendak mendapatkan kemasyhuran, maka amal menjadi rosak kerana tujuan berzakat adalah bagi menghilangkan rasa sayang atau cinta kepada harta.
Mudah-mudahan dengan baki bulan Ramadhan yang ada ini, kita makin giat untuk membuat sedekah dan beramal. Dan akhirnya mencapai objektif puasa yang sebenar iaitu mencapai ketaqwaan (la'allakum tattaqun).
No comments:
Post a Comment