Tuesday, August 17, 2010

Iftar Bersama Anak Usrah

Pada hari semalam (Ramadhan ke-6), kami telah berjaya melaksanakan iftar jama'ie sesama ahli usrah. Usrah yang biasanya berjalan pada pukul 9.15 malam telah diawalkan kepada jam 6 petang dan diteruskan dengan iftar bersama.

Lebih kurang 6.20 petang, kami memulakan usrah. Saya membuka majlis dan diteruskan dengan sesi pembentangan tentang seerah Nabi oleh saudara Skem atau Suhaimi. Buku seerah yang digunakan ialah dari karangan Dr Mustafa as-Sibaie, dari muka surat 9 hingga 26.

Saudara Skem menjelaskan tentang perlunya kita mempelajari seerah sebagai panduan dan ikutan kita kepada junjungan Nabi Muhammad (SAW) dan bukan sekadar hanya menjadi cerita-cerita penglipur lara.

Ahli usrah yang hadir semalam ialah saudara Skem @ Suhaimi, Saudara Hadi, Saudara Firdaus, dan Saudara Syed Abdul Hakim. Saudara Muhaimin tidak dapat datang kerana ibunya telah dimasukkan ke wad kerana disyaki mengidap penyakit darah tinggi (Didoakan semoga ibu Muhaimin cepat sembuh seperti biasa). Manakala Cikgu Ariff juga tidak dapat datang kerana kelas mengajarnya habis agak lewat di sekolah.

Hj Abdullah Zawawi yang merupakan naqib bersama juga turut hadir. Sudah 2 sesi, Tn Hj Abdullah Zawawi bersama-sama kami.

Suhaimi menceritakan tentang 4 asas rujukan yang digunakan untuk menulis seerah. Yang pertama ialah kitab al-Quran. Di dalamnya ada diceritakan oleh Allah (SWT) tentang akhlak nabi dan sebagainya. Kedua ialah dari sumber hadis yang dihafal oleh para sahabat. Hadis-hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, An-Nasai, Tarmizi, dan lain-lain adalah dirujuk.

Sumber yang seterusnya ialah syair-syair arab di zaman kerasulan. Dan akhir sekali, ialah kitab-kitab seerah seperti Ibnu Ishak, Ibnu Hasyim dan lain-lain.

Selesai pembentangan Seerah Nabi, saya mengingatkan kepada semua ahli tentang Program Iftar IKRAM JBT pada 21 Ogos ini di Rumah Alumni dan Program Malam Badar di Sekolah Hidayah pada 28 Ogos.

Kami berbuka puasa dengan buah tamar, martabak, tembikai, sardin roll, dan buah dokong. Kemudian kami solat maghrib berjamaah dan meneruskan agenda terakhir iaitu menjamu selera dengan daging masak kurma, cencaru goreng, dan sayur.

Dan seterusnya, masing-masing bergerak ke masjid untuk menunaikan solat Isya' dan tarawikh di sana.

No comments:

Post a Comment