Sudah hampir separuh Ramadhan berlalu pergi, aku belum lagi ke Bazar Ramadhan untuk membeli kuih muih untuk berbuka. Entah kenapa, tiada rasa keinginan untuk ke bazar.
Sekarang memadai dengan sardin roll atau jemput-jemput buatan isteri. Pernah juga isteri membuat cream caramel (puding gula hangus), custard jagung, dan air susu bersama custard, jelly, dan buah-buahan.
Atau kerana aku rasa semua penjual di bazar hanya pentingkan keuntungan dunia saja. Tiada perasaan untuk menjual sambil menderma untuk orang berbuka yang mana pahalanya kita tahu begitu besar sekali.
Kalau menjual kuih muih sambil memberi makan orang berbuka, saiz kuih mungkin lebih besar atau harga kuih mungkin lebih murah.
Pernah seorang kawanku membeli kuih carai sebanyak beberapa belas ringgit untuk majlis berbuka puasa di surau, dan baki kuih yang tinggal ialah 2 biji. Tiada sepatah katapun dari penjual, "Oklah yang dua biji ni saya sedekahkan untuk berbuka!".
Kami juga tidak pernah 'missed' untuk bersahur. Saban malam, ummi akan bangun jam 3 pagi untuk memasak 'campbell soup' cicah dengan roti, atau 'hash brown' makan dengan sos tomato, atau 'fish and chips' atau 'sausage' dengan roti.
Jarang-jarang, ummi akan goreng nasi yang tak habis masa berbuka semalam! Kalau nasi bersama lauk dan kuah memang tak jalan untuk kami sekeluarga. Dah berpuluh-puluh tahun, itulah menu kami untuk sahur.
Apabila bersahur di rumah datuk dan neneknya di Pengkalan Chepa, boleh pula anak-anak makan nasi.
Mungkin segala-galanya bermula dariku. Bagiku, bersahur kadang-kadang memadai hanya dengan air masak segelas. Tetapi apabila berbuka, nasi mesti ada!. Apabila anak-anak melihat kita tidak makan nasi, merekapun tidak ingin makan nasi.
Walau apapun, yang utama dan penting ialah kita perlu bersahur!. Kita mendapat pahala dengan berbuat demikian...
No comments:
Post a Comment